Saya amat tertarik dengan rancangan TV3 Bersama Mu
yang disiarkan pada 14 November 2007 yang lalu. Segmen
pada malam tersebut membawa pendekatan yang lain
daripada yang lain. Pendekatan yang amat-amat saya
harapkan dan sentiasa ditekankan selama ini.

Selalunya saya tidak mengikuti secara penuh dan
bersungguh rancangan TV3 Bersama Mu kerana tidak dapat
menahan sebak. Sebak kerana tahu betapa susahnya
mereka yang memerlukan tetapi tidak dapat membantu
mereka. Tahu betapa susahnya kehidupan mereka tetapi
tahu sebenarnya mereka itu adalah sebilangan kecil
sahaja yang disiarkan kisah kesusahan kehidupan
mereka, sedangkan di sekeliling kita ramai lagi yang
mengalami nasib serupa atau mungkin lebih teruk lagi.

Kisah pada segmen malam tersebut ialah seorang ibu
tunggal di Kelantan yang terpaksa bekerja keras hingga
lewat malam menanggung 5-6 orang anaknya. Anaknya yang
baru mendudukki peperiksaan PMR tahun 2007 dengan rela
hati mencari pekerjaan sebagai pembantu di kedai makan
selepas tamat PMR kerana niatnya ialah untuk
menjelaskan yuran persekolahan yang tertunggak
sebanyak RM 600. 

Setelah disiarkan kisah kehidupan tersebut,
kebiasaannya krew Bersama Mu TV3 akan menghulurkan
bantuan, membantu membelikan peralatan rumah, dapur,
pakaian dan sebagainya.

Tetapi kali ini tidak. Pengacaranya membawa krew
melihat kawasan sekeliling kampung. Mereka dapati
rata-rata penduduk sekitarnya tidaklah susah sangat,
malah terdapat ramai juga antara mereka yang mempunyai
rumah banglo. Lalu mereka singgah di salah sebuah
rumah banglo milik seorang ahli perniagaan. Setelah
menceritakan kisah penderitaan keluarga ibu tunggal
tersebut di hujung kampung mereka, ahli perniagaan
tadi dan isterinya mengalirkan air mata. Dan mereka
dengan rela hati menghulurkan bantuan untuk membaiki
rumah ibu tunggal tadi.

Lalu dipanggillah ketua kampung dan beberapa penduduk
kampung untuk membantu membaiki rumah ibu tunggal
tadi, serta menghulurkan beberapa bantuan lain.

Ini adalah satu contoh mudah bagaimana rakyat Malaysia
boleh membantu mereka yang memerlukan. Mereka yang
memerlukan ini berada di sekeliling kita, dan mereka
yang berkemampuan untuk membantu pun ada di sekeliling
kita. Kalau tidak mampu membantu dari segi kewangan,
kita bantu dari segi tenaga, kalau tidak mampu
membantu dari segi tenaga, kita cari atau salurkan ke
mana-mana individu atau agensi yang boleh membantu.
Masakan seorang ibu tunggal, seorang warga tua,
seorang yang lumpuh mampu turun naik Pejabat Kebajikan
Masyarakat, Majlis Agama Islam Negeri, Baitul Mal
Negeri, pejabat Wakil Rakyat untuk mengharapkan
bantuan. 

Masyarakat sekelilinglah yang bertanggungjawab. Takkan
kita hendak mengharapkan Pegawai Kebajikan Masyarakat
untuk mengetahui setiap satu keluarga yang susah di
lokaliti mereka, sedangkan mungkin mereka terpaksa
meneliti beribu-ribu permohonan. Takkan kita hendak
mengharapkan wakil rakyat turun setiap hari untuk
mencari keluarga yang susah, sedangkan mungkin
rata-ratanya seorang wakil rakyat biasanya mempunyai
5,000 keluarga di kawasannya yang memerlukan perhatian
bermakna jika dia pergi rumah ke rumah setiap tahun,
sehari dia perlu melawat 13 rumah sekurang-kurangnya ,
sedangkan mereka mempunyai tugas lain yang lebih
penting.

Masa untuk berubah. Sikap kita harus berubah. Kita
harus ambil peduli apa yang berlaku di sekitar kita.
Masalah gejala sosial, masalah dadah, masalah pecah
rumah, masalah ragut, masalah keciciran
pelajar,pengangguran dan sebagainya bermula apabila
kita semua mengambil sikap tunggu dan lihat, mengambil
sikap berpeluk tubuh dan menuding jari. Ini bukan
kerja aku, ini kerja dia, ini kerja AJK Masjid, ini
kerja JKKK, ini kerja wakil rakyat, ini kerja guru.

Tahun 2008 adalah tahun yang lebih mencabar. Harga
petrol dan gas dijangka akan naik dengan banyaknya.
Bawang pun susah nak cari sekarang ini. Roti dah naik
harga. Baru-baru ini ada seorang pelajar tahun akhir
di IPT tempatan dari Negeri Sembilan mengadu, yuran
pengajiannya tertunggak sebanyak hampir RM 10,000
walaupun dia ada dapat bantuan atau mungkin pinjaman,
namun ianya tidak mencukupi, sedangkan ayahnya bekerja
kampung. 

Dan sekarang ini Jabatan Bekalan Air Negeri Sembilan
pula menjalankan operasi memotong bekalan air bagi
mereka yang mempunyai tunggakan bil air. Dan ramai
antara kenalan saya bekalan air mereka telah dipotong.
JBA hanya menjalankan tanggungjawab mereka, kerana
mereka pula ada perbelanjaan lain yang perlu
dijelaskan. Ini semua adalah satu rantaian. Pandanglah
mata anak-anak kita, fikirkan apa akan jadi pada nasib
mereka, nasib generasi selepas mereka. Generasi kita
dulu, walaupun Malaysia belum lagi mencapai pelbagai
kejayaan , tetapi rata-rata kita semua mendapat
biasiswa. Akan tetapi sekarang ini, terlalu sukar
untuk mendapat biasiswa. Yang ada hanyalah pinjaman
PTPTN dan kerja pula belum dijamin selepas tamat
pengajian

Berubahlah kita semua, kalau kita sayangkan diri kita,
sayangkan anak-anak kita, sayangkan keluarga kita,
sayangkan negara kita. Kalau di Indonesia Mottonya
ialah Peduli Umat, menunjukkan kita perlu prihatin dan
ambil peduli nasib jiran-jiran kita. Jangan jadi
Peduli Engkau atau Lantak Engkau maka kita lihatlah
apa yang berlaku di negara kita sekarang ini dengan
masalah ponteng sekolah, Mat Rempit, Pendatang Asing,
Dadah dan sebagainya yang tidak nampak lagi jalan
penyelesaiannya.

Rozmal bin Malakan
waghih.blogspot.com



     
  Blog Rozmal http://waghih.blogspot.com
    
Yayasan Amal Malaysia http://www.amalmalaysia.net
  Yayasan Aman Palestin http://www.amanpalestin.com
  Pusat Pendidikan Al-Irshad http://alirshadns.blogspot.com
  Kelab Motor NS http://nsarc.blogspot.com 





      
____________________________________________________________________________________
Never miss a thing.  Make Yahoo your home page. 
http://www.yahoo.com/r/hs

Kirim email ke