Mendaki Bukit Ketika Sarat Mengandung Ujian Berat Buat Ibu Mithali
 
KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Mendaki bukit ketika sarat mengandung untuk 
mencari rezeki membesarkan anak-anaknya adalah antara ujian berat bagi ibu 
kepada 17 anak, Eshah Din, yang hari ini dinobatkan sebagai tokoh Ibu Mithali 
2007.

Dengan menitikberatkan soal pendidikan anak-anak, Eshah, 70, tidak jemu 
menemani suaminya, Sulaiman Saipin, 74, menoreh getah di Ladang Malakoff dekat 
Tawar, iaitu lima kilometer dari Kampung Kuala Merah, Kuala Ketil, Kedah bagi 
mencari rezeki.

Malah, beliau tidak pernah merungut tentang jerih perih membesarkan anak yang 
ramai bilangannya itu walaupun berada dalam keadaan serba kekurangan.

"Ibu seorang yang tabah...masa sarat mengandung sembilan bulan, ibu boleh 
panjat bukit untuk ikut ayah pergi menoreh. Tapi saya tengok, ibu tidak pernah 
merungut ataupun bersedih dengan kesempitan hidup yang kami alami pada ketika 
itu.

"Ibu setia ikut ayah pergi menoreh, buat nasi lemak dan bihun goreng untuk 
dijual di kawasan estet. Semua itu untuk besarkan kami adik-beradik," kata 
Rosilah Sulaiman, anak keenam Eshah, ketika ditemui pemberita selepas majlis 
anugerah Ibu Mithali 2007 di sini hari ini.

Rosilah, 45, yang juga anak perempuan sulung, berkata meskipun menghadapi 
kesempitan hidup, tidak pernah sekalipun beliau melihat ibunya menitiskan air 
mata atau melepaskan kemarahan kepada anak-anak.

Beliau yang kini bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Taman Koperasi 
Polis di sini berkata pada ketika itu, beliau beruntung kerana tidak dibenar 
mengikut ayah mereka menoreh getah di ladang.

"Saya banyak membantu ibu dengan kerja rumah. Ayah tidak izinkan saya ke ladang 
kerana saya anak perempuan.

"Umur saya 12 tahun, saya sudah boleh memasak. Bukan ibu atau ayah paksa, tapi 
memikirkan tanggungjawab dan niat untuk membantu ibu, saya lakukan 
tanggungjawab sebagai anak perempuan," katanya.

Beliau berkata kepayahan yang dilalui oleh ibunya dalam membesarkan mereka 
memang tiada tolok bandingnya.

Sementara itu, Eshah berkata penat lelah yang dialaminya selama membesarkan 17 
orang anak terbalas apabila melihat kesemua mereka kini berjaya dalam bidang 
masing-masing, dengan 13 daripadanya melanjutkan pelajaran ke institusi 
pengajian tinggi (IPT).

"Membesarkan 17 orang anak dan melihat mereka melanjutkan pelajaran ke IPT 
dengan pendapatan kecil sebagai penoreh getah memang memenatkan tapi bukanlah 
satu bebanan kepada mak cik," katanya.

Beliau berkata kerana tidak mahu anak-anaknya mewarisi kelemahan dan kekurangan 
dirinya dalam pelajaran, beliau sanggup berjuang habis-habisan sepanjang hari 
untuk menambah pendapatan keluarga.

Malah, beliau juga tidak berasa susah kerana dikurniakan keluarga besar dalam 
keadaan kesempitan sebaliknya menganggap anugerah Allah itu sebagai rezeki.

Eshah dan suami yang buta huruf sentiasa mendisiplinkan anak-anaknya dengan 
membahagikan masa untuk belajar, mengaji al-Quran dan juga masa bermain,

Mengenai rahsia membesarkan anak-anak dalam keadaan serba kekurangan itu, Eshah 
berkata segala rezeki yang diperoleh dibahagi sama rata antara anak-anaknya 
untuk mengelakkan berlaku perebutan.

Terdahulu, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nor Zahirah berkenan berangkat 
menyampaikan anugerah itu kepada Eshah dan empat lagi calon Ibu Mithali 2007 
edisi ke-9 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Ibu Mithali yang terpilih, menerima hadiah wang tunai RM25,000 serta hadiah 
iringan plak, senaskah al-Quran, pakej umrah, sijil simpanan premium, barang 
kemas, selendang dan jubah.

-- BERNAMA 

Sumber : http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news.php?id=297627

Kisah2 hebat yang menceritakan pengorbanan ibu seperti di atas masih banyak di 
luar sana tanpa diberi penghormatan dan pengiktirafan.  Hakikatnya, ganjaran 
ALLAH SWT sentiasa dijamin buat hamba2NYA yang soleh, apatah lagi buat ibu2 dan 
bapa2 yang terpaksa berhempas-pulas membesarkan anak2 supaya terdidik dengan 
agama dan akhlaq mulia.

Walaupun ibubapa kita tidaklah sehebat ibu mithali di atas dari segi 
pengorbanan mereka (barangkali), namun mereka tetap ibubapa terhebat kita.  
Doakanlah agar diampuni dosa2 mereka, amin...

waAllahu ta'ala a'lam.

==================================
SHAHMUZIR BIN NORDZAHIR 
Perunding Takaful
::  019 - 382 6408
::  [EMAIL PROTECTED]
::  www.takafulonline.net
 
Unit 149, Mezzanine Floor, Bangunan Takaful IKHLAS,
No. 14, Jalan 19/1, 47300 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.
========================================

Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com 

Kirim email ke