Manusia Separuh Manusiawi
Pemergian ke PUISI 2007 di Waterford Ireland baru-baru ini memberikan
saya banyak pengalaman berharga. Bukanlah kerana banyaknya kejadian yang
berlaku ke atas diri saya, tetapi lebih kerana hasil kelaziman membuka mata dan
telinga terhadap perkara-perkara yang berlaku di sekeliling kita.
Mungkin ini caranya yang baik untuk kita mendidik diri. Jangan sekadar
tunggu peristiwa berlaku, tetapi carilah peristiwa yang berlaku untuk
disubjekkan sebagai bahan zikir dan fikir.
Pengalaman-pengalaman menarik tercoret seawal keberangkatan saya dengan
pesawat KLM via Amsterdam.
CORETAN DI LOBI AER LINGUS
Semasa sedang duduk menanti pesawat Aer Lingus di Lapangan Terbang
Schiphol Amsterdam ke Dublin, mata saya terpaku memerhati seorang kanak-kanak
Irish pada usia empat atau lima tahun, berbual bersama bapanya. Si ibu sibuk
mengemas beg di sebelah.
Ayah, kenapa kita belum masuk ke pesawat?, tanyanya.
Mereka sedang membersihkan pesawat, mengisi minyak, menyusun majalah,
dan menyediakan makanan untuk kita, jawab si ayah sambil bermain dengan rambut
anaknya.
Kenapa pesawat ini berwarna hijau dan pesawat lain berwarna biru?,
tanya si anak lagi.
Pesawat ini adalah Aer Lingus. Ia warna pesawat negara kita. Pesawat
biru adalah pesawat orang Dutch. Asalnya semua pesawat berwarna putih, kemudian
ia dicat mengikut syarikat yang membelinya, balas si ayah.
Mereka saling melunjurkan kaki ke dinding cermin.
Kenapa warna asal pesawat ialah putih?, si anak terus bertanya.
Mungkin itu peraturan pihak berkuasa Aviation antarabangsa, sambut si
ayah. Semacam tidak dipedulikan anaknya yang hanya berusia empat atau lima
tahun.
Saya ketawa kecil sendirian. Lucu melihat gelagat si anak yang bertanya
dan terus bertanya. Ayahnya pula tidak pernah jemu menjawab setiap soalan yang
ditanya oleh anaknya itu. Tanpa sedar saya menggenggam tangan, mungkin kerana
saya sendiri dalam kerinduan meninggalkan Saif, Naurah dan Imad bersama Ummu
Saif yang kesunyian di rumah.
IRISH DAN KANAK-KANAK
Belum pun tiba di Ireland, saya sudah dapat melihat satu contoh jelas
kepada apa yang saya percaya selama ini. Saya percaya bahawa orang Irish sangat
sukakan kanak-kanak.
Masih teringat di fikiran saya, semasa tinggal di Ireland, puas pipi
Saiful Islam dipicit, dicubit setiap kali kami menaiki kenderaan awam. Malah
kadang-kadang ada pula yang menahan stroller kami semata-mata mahu melihat
wajah anak kita. Di pusat membeli belah juga, stroller kanak-kanak sama sesak
dengan kesesakan lalu lintas kereta.
Malah dalam soal lalu lintas, hampir tidak pernah berlaku, saya dan Ummu
Saif dibiarkan menunggu di tepi jalan bersama stroller melainkan pasti kereta
akan berhenti memberikan laluan, khususnya di Belfast.
Tolaklah ke tepi golongan bermasalah yang mengabaikan anak-anak mereka
kerana di dalam masyarakat mana pun tetap ada karat dan daki yang menjadi
cabaran sosial.
Tetapi rata-rata saya dapat melihat bagaimana ibu bapa, khususnya mereka
yang berpendidikan, begitu memuliakan anak-anak. Memuliakan dalam erti kata,
mereka tidak melayan anak-anak seperti separuh manusia yang hanya ada fizikal
untuk dilayan. Malah keperluan mental dan emosi anak-anak turut diusahakan
sebaik mungkin.
Lihat sahaja jawapan ayah kepada anaknya tadi. Si bapa tidak menunjukkan
yang anak itu masih kanak-kanak, terhad keupayaan memahami atau soalannya hanya
membuang masa. Malah si bapa terus menjawab soalan demi soalan secara orang
dewasa. Bapa bukan sekadar mahu menjawab dan memahamkan si anak, tetapi
sentiasa meletakkan jawapan di paras yang sedikit tinggi, dengan galakan untuk
terus bertanya, supaya anak mengejar standard itu.
Sentuhan pada usia muda seperti ini amat penting untuk menyuntik potensi
anak-anak. Jangan dimatikan kebolehan anak-anak dengan kemalasan ibu bapa.
MASALAH KITA
Teringat kepada masjid kita. Rumah Allah yang tidak mengalu-alukan si
anak kecil. Budak-budak sering menjadi sasaran kemarahan jemaah di masjid.
Malah ada pula papan tanda kanak-kanak tidak boleh melepasi garisan ini.
Ada yang cuba menyelesaikan masalah ini dengan membahaskan tentang hukum.
Apa hukum yang berkaitan khususnya dengan kanak-kanak lelaki yang belum
berkhatan dan sebagainya.
Tetapi bagi saya, layanan buruk terhadap kanak-kanak di masjid bukanlah
kerana hukum. Tetapi kerana cara kita memandang kanak-kanak.
Air Asia juga sudah tidak lagi memberikan prioriti kepada mereka yang
menaiki pesawat dengan kanak-kanak, sebaliknya anda perlu membayar duit untuk
mendapat prioriti dalam barisan semasa masuk ke kapal terbang.
Masalah ini bukan masalah masjid dan hukum, tetapi kita datang dari
sebuah masyarakat yang memandang rendah kepada kanak-kanak. Semuanya bersifat
satu hala. Komunikasi satu hala, dan arahan satu hala. Kita memandang
kanak-kanak tidak lebih dari sekadar separuh manusia yang justeru itu dilayan
separuh manusiawi.
Apatah lagi masjid kita adalah kelab warga pencen yang secara tidak sedar
memegang polisi For Members Only.
Saya melangkah kaki masuk ke pesawat dengan rindu kepada anak-anak dan
Ummu Saif di tanah air
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Amsterdam Schiphol Airport, Holland
---------------------------------
Looking for last minute shopping deals? Find them fast with Yahoo! Search.