Azamin Amin
Fri | Jan 25, 08 | 2:51:32 pm MYT
"Perlukah saya sediakan makanan dan buat kenduri arwah kepada
orang kampung sedangkan keluarga saya tengah sedih sangat sebab baru sahaja
kehilangan ayah tersayang?" tanya seorang remaja kepada saya yang baru
kehilangan ayahnya yang tercinta kerana sakit kronik.
Terkedu dan pernah juga terfikir dalam benak hati, namun kerana kenaifan
saya di bidang agama saya diamkan sahaja sehinggalah muncul kembali soalan yang
terbit daripada anak muda belasan tahun ini yang datang daripada keluarga yang
susah.
Lantaran itu, walaupun sedikit kesibukan dengan tugasan, saya meluangkan
masa mencari jawapan yang mungkin atau mengundang pelbagai pandangan dan
polemik serta emosi kurang senang banyak pihak.
Namun atas landasan mencari ilmu termasuk mahu berkongsi bersama, saya kutip
beberapa pendapat yang boleh dijadikan panduan kepada semua khususnya kepada
anak muda yang bertanya itu sehingga saya membiarkan dia termanggu tanpa
sebarang jawapan sebelum ini.(segala kesilapan dan kelemahan mohon tunjuk dan
maafkan)
Amalan membebankan keluarga si mati
Dalam laman blog dikenali sebagai Institut Al-Imam Syafie (Intis) seorang
Pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia (UIAM) Abdullah Bukhari Abdul Rahim menulis amalan kenduri arwah ini
sudah pasti menyusahkan keluarga si mati yang masih lagi bersedih dengan
kehilangan orang tersayang.
Katanya Rasulullah s.a.w ketika mendengar berita kematian Jaafar ibn Abi
Talib, baginda bersabda: "Persiapkan makanan untuk keluarga Ja'far, kerana
sesungguhnya mereka telah didatangi dengan apa yang menyibukkan mereka
(kesusahan)." - Hadith riwayat al-Tirmidhi & Abu Dawud.
Keluarga si mati yang baru ditimpa musibah(al-Baqarah:155-157) perlu
disokong dan dibantu.
Amalan di sesetengah tempat ini adalah salah, kerana katanya kesedihan
keluarga si mati akan ditambah lagi dengan kesedihan lain seperti bebanan
kewangan kerana perlu membayar upah orang membaca al-Quran, sembahyang jenazah
dan kenduri arwah.
"Budaya mengadakan kenduri arwah bersempena kematian pada malam pertama,
malam Jumaat, malam ketujuh, malam ke-40 dan malam ke-100 juga tidak mempunyai
asas sama sekali dalam Islam," katanya yang dipetik dari laman web tersebut
Amalan itu membawa kepada pembaziran jika membabitkan penggunaan harta si
mati tanpa jalan yang betul dan membabitkan penganiayaan harta anak yatim malah
Majlis Fatwa Mesir pada 1947 memutuskan bahawa amalan berkenaan perlu
dihentikan.
Ulama mazhab Syafie melarang kenduri arwah
Rujukan katanya boleh dibuat terhadap Kenyataan bekas Mufti Mesir Syeikh
Hasanain Makhluf di dalam akhbar al-Ahram bertarikh 27 Julai 1947 dan Fatwa ini
kemudian disahkan oleh Majlis Fatwa Mesir dan dikeluarkan dengan rasminya pada
14 Ogos 1947, bilangan 377.
Katanya lagi Ulama mazhab Syafie melarang budaya ini sebagaimana dipetik
daripada buku Feqah Mazhab Syafie, al-Fiqh al-Manhaji.
Antara petikan kitab tersebut yang berbunyi:"Daripada bidaah apa dibuat
keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan
upacara dinamakan berlalunya 40 hari dan seumpamanya."
"Sekiranya perbelanjaan makanan itu daripada harta peninggalan (si mati) dan
di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih
haram.
"Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk
kepentingan anak yatim itu. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini
setiap yang memanggil dan memakannya." ( rujukanjil 1/ ms 263, Damsyik: Dar
al-Qalam).
Dalam pada itu pada Jun 2005 blog tersebut turut memetik ruangan Tazkirah di
bawah tajuk 'Amalan Jahiliyyah Disangka Ajaran Agama' oleh Tuan Guru Dato' Nik
Abdul Aziz Nik Mat yang merujuk kepada pengarang kitab at-Tazkirah iaitu
Al-Qurtubi berhubung isu kenduri arwah.
"Dengan jelas mengatakan bahawa diantara amalan jahiliyyah ialah mengadakan
suatu himpunan beramai-ramai diperkuburan, di masjid atau di rumah dengan
berzikir dan juga lain-lain bacaan, serta mengadakan jamuan makan minum dengan
tujuan untuk orang mati, disebut orang sebagai kenduri Arwah.
"Dengan jelas perbuatan itu tiada Nas yang menjadi rujukannya dan tiada
petunjuk sunnah yang menjadi ikutan, " kata Nik Aziz.
Kenyataan pahit dan mengejutkan
Kenyataan ini kata Nik Aziz mungkin agak keras dan pahit serta boleh jadi
suatu penjelasan yang mengejutkan terutama terhadap mereka yang mengamalkan
perkara tersebut secara ikut-ikutan dan membuta tuli tanpa mengkaji dari sudut
ilmiyah.
"Tetapi inilah hakikat Islam yang mesti diakui oleh penganutnya yang sedia
kembali kepada al-Quran dan Sunnah," katanya
"Tidak dapat dinafikan bahawa amalan tersebut telah berakar umbi di dalam
masyarakat melayu, sehingga sebahagian dari mereka menganggap bahawa amalan
tersebut adalah merupakan amalan agama yang mesti dilakukan setiap kali berlaku
kematian," katanya lagi
Kata Nik Aziz lagi sungguhpun Nabi terlalu sayang terhadap umatnya terutama
terhadap para sahabatnya yang sentiasa membantu Nabi di dalam suasana damai dan
perang namun Nabi tidak pernah melakukan majlis zikir atau tahlil untuk
sahabat-sahabatnya r.a yang mati.
"Orang yang paling sayang terhadap Nabi s.a.w. adalah para sahabatnya yang
sentiasa berada di sisi Nabi siang dan malam, namun pernahkah terdapat para
sahabat berhimpun dan berzikir dan bertahlil untuk Nabi s.a.w.?" katanya
membangkitkan persoalan. Soalnya lagi jika perkara itu tidak dilakukan oleh
Nabi dan juga para sahabat maka dari manakah punca amalan itu diambil.
"Apa yang paling mendukacitakan, mereka menganggap amalan tersebut
sebahagian dari amalan Islam, padahal Rasulullah sa.w. tidak pernah menunjukkan
contoh seperti itu dalam sunnahnya," katanya.
Bagi umat Islam marilah berlapang dada dalam menghadpi persoalan agama
dengan menghayati petikan ayat daripada surah An-Nisaa' 4:59 :"Hai orang-orang
yang beriman, taatilah Allah dan taatilah RasulNya dan ulil amri di antara
kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah
ia kepada Allah (Al Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar
beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu)
dan lebih baik akibatnya." - mks.
HarakahDaily.Net
WWW.YAPIS.BLOGSPOT.COM
---------------------------------
Sent from Yahoo! - a smarter inbox.