Bicara Buat Yang Menang Dalam Merebut Jawatan        
        Selamat bertugas sebagai wakil dan pemimpin rakyat. Anda akan memimpin 
kami di dunia ini. Akhirat nanti Allah akan bertanya kami mengenai anda semua. 
Seperti mana hari ini kami diberi peluang untuk mengundi anda, berilah juga 
kami peluang untuk menjawab yang terbaik mengenai anda pada hari kiamat kelak. 
Kami tidak ingin mendakwa anda di sana nanti, maka adillah kepada kami di dunia 
ini. Seperti biasa, setiap pagi Sabtu selepas solat Subuh dan memohon kekuatan 
daripada Allah, saya akan mengadap komputer untuk menulis ‘Pena Mufti’ bagi 
keluaran setiap Hari Ahad. Sabtu pada waktu artikel ini ditulis (semalam) saya 
begitu  mengejar waktu. Maklumlah hari Pilihanraya Ke-12 negara kita. Tempat 
mengundi saya pula di Seberang Perai. Bukan di Perlis. 
 Selepas tulisan ini disiapkan, saya akan bergegas ke sana. Untuk memilih calon 
yang paling berkualiti dari sudut kemampuan kepimpinan dan nilai peribadinya. 
Itulah pegangan saya. Bukan pakaian; serban atau songkok, atau jenis kereta; 
murah atau mahal, atau gaya; berjenama atau biasa dan seumpamanya. Itu semua 
bukan penentu kemampuan seseorang memimpin dan menyampaikan hasrat rakyat. 
Sebaliknya, kualiti calon itulah yang patut dilihat. 
 Jika semua kita berfikir sebegini, saya percaya lima tahun lagi, tidak ada 
siapa pun yang berani tampil dengan selamba menawarkan diri, atau ditawarkan 
oleh partinya sedangkan dia amat tidak berkualiti. Rakyat hanya akan memilih 
yang terbaik. Hanya begini sahaja, fikiran kita akan maju dan menjadikan 
masyarakat kita matang dan terus membangun ke hadapan. 
 Ini  sikap Ulul Albab yang kita sebutkan dahulu. Firman Allah: (maksudnya) 
“..oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu . (Iaitu) mereka yang berusaha 
mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka 
itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah 
Ulul Albab” (al-Zumar: 17-18).
 Ketika tulisan ini ditulis, saya belum tahu apakah keputusan pilihanraya kali 
ini. Siapakah yang menang, siapa pula yang tewas? Siapakah yang kecewa, siapa 
pula yang bahagia?. Sudah pasti pada saat artikel ini dibaca, keputusan sudah 
diketahui oleh rakyat. Apapun, saya ingin mengingatkan kepada yang akan menang 
beberapa perkara dalam tulisan ini. Secara khusus bagi parti dan para wakil 
rakyat baru di kalangan kaum muslimin:
 Saudara, ketahuilah, bahawa kemenangan dalam memperolehi jawatan bukanlah 
suatu perkara untuk dibangga-banggakan. Ia mesti diterima dengan kerendahan 
diri kepada Allah, syukur dan memohon pertolongan  daripadaNya. Jawatan yang 
anda perolehi bukanlah harta rampasan perang, atau lubuk emas yang dirayakan. 
Ia adalah ujian dan amanah Allah untuk melihat sejauh manakah anda mampu 
melaksanakannya. 
 Pada hari akhirat terlalu beban dan berat tanggungannya. Ingatlah baik-baik 
apa yang ucapkan oleh Rasulullah s.a.w: : “Kamu semua begitu bercita-cita 
terhadap jawatan kepimpinanan, ianya akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. 
Ianya sesuatu yang nikmat pada permulaannya tapi keburukan pada akhirnya” 
(Riwayat al-Bukhari). 
 Hanya mereka yang melaksanakan amanah ini dengan penuh tanggungjawab sahaja 
yang akan terlepas daripada penyesalan itu. Pada hari ini ramai yang 
bersorak-sorai buat meraikan anda, namun pada hari kiamat nanti suara-suara itu 
sudah tidak kedengaran lagi. Anda dan semua manusia akan mendatangi Allah 
dengan membawa diri masing-masing. Tanpa pengawal, tanpa pengikut, tanpa 
pengampu. 
 Firman Allah: (maksudnya) “Dan Demi  sesungguhnya, kamu tetap datang kepada 
Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada 
mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah Kami kurniakan 
kepada kamu; dan Kami tidak melihat beserta kamu penolong-penolong yang kamu 
dakwa bahawa mereka ialah sekutu-sekutu (bagi Allah) dalam kalangan kamu. Demi 
sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan 
hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu dakwa” (Surah al-An’am: 94).
 Ketahuilah saudara, telah menang Rasulullah s.a.w dalam Pembukaan Kota Mekah. 
Satu kemenangan yang amat penting dalam sejarah Islam. Mekah adalah pusat 
ibadah peninggalan Nabi Ibrahim a.s. Padanya ada Masjidil Haram dan Ka’bah. 
Dari sudut perasaan pula, ianya adalah tempat lahir Nabi s.a.w, tanahair 
baginda yang dicintai. 
 Baginda tidak keluar daripadanya, melainkan setelah diburu dan dianiayai oleh 
penduduknya yang terdiri dari pembesar Quraish yang  sombong dan zalim. 
Pembukaan Mekah amatlah jauh lebih utama dan agung untuk dibandingkan dengan 
kemenangan pilihanraya sesiapa sahaja. Termasuklah saudara. 
 Kegembiraan jiwa umat Islam dapat menawan Mekah tidaklah dapat dibayangkan 
oleh sebarang kalimat bicara dengan apa bahasa mahupun pena. Namun, baginda 
telah memasuki Mekah semasa kemenangan tersebut dengan merendah diri kepada 
Allah, membaca Surah dalam keadaan yang tenang dan lunak. 
 Kata ‘Abd Allah bin al-Mughaffal mencerita keadaan Nabi s.a.w ketika masuk ke 
Mekah semasa pembukaannya: “Aku melihat Nabi s.a.w membaca Surah al-Fath, atau 
ayat-ayat dari Surah al-Fath ketika baginda di atas untanya yang sedang 
berjalan dengan bacaan yang lembut dan baginda (tarji’) mengalun bacaannya” 
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
 Sambutlah kejayaan anda dengan penuh tawaduk dan merendah diri kepada Allah. 
Takutlah akan ujianNya itu. Bimbanglah jika anda tidak menepati kehendakNya. 
Janganlah  anda berpesta sehingga lupa hakikat kepimpinan adalah amanah, bukan 
ghanimah atau harta rampasan perang. Hanya tabiat orang Qarun yang bermegah 
dengan kejayaan sehingga melupakan nikmat Allah. 
 Allah menceritakan tentang ucapan Qarun yanag penuh kesombongan, firman Allah: 
(maksudnya) “Qarun berkata: “Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah 
disebabkan kepandaian yang ada padaku”. Tidakkah dia (Qarun) mengetahui bahawa 
Allah telah membinasakan sebelumnya, umat-umat Yang telah lalu, mereka itu ang 
lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta? dan (ingatlah) 
orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang 
dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya). Kemudian Qarun keluar 
kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (pada saat itu) berkatalah 
orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: “Alangkah 
baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya 
Dia adalah  seorang yang bernasib baik”. Dan berkata pula orang-orang yang 
diberi ilmu (di antara mereka): “Janganlah kamu berkata demikian, pahala dari 
Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak
 akan dapat menerimanya melainkan mereka yang sabar”. (Surah al-Qasas: 78-80).
 Jangan berlagak sombong dengan kejayaan. Sesungguhnya rakyat tidak 
mengharapkan kesombongan dan ketakburan. Mereka mengharapkan pembelaan dan 
sifat yang amanah dalam pengurusan negara dan kepimpinan. Seorang muslim patut 
merenung ucapan insan yang terbaik selepas Rasulullah s.a.w, iaitu Abu Bakr 
al-Siddiq. Khalifah selepas Rasulullah s.a.w. Insan paling layak untuk menjawat 
jawatan tersebut. 
 Namun beginilah ucapan pertamanya: “Wahai manusia, sesungguhnya aku telah 
dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik di kalangan kamu. 
Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu 
adalah amanah, bohong itu adalah khianat. Orang  yang lemah di kalangan kamu 
adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat di 
kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak 
(menghalang apa yang bukan haknya), insya Allah. Jangan kamu meninggalkan 
jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan 
mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan RasulNya. Jika 
aku derhakakan Allah dan RasulNya, maka tiada ketaatan untukku” (Ibn Athir, 
Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361). 
 Sedarlah saudara para pemimpin yang baru sahaja mendapat mandat! Kita semua 
tidak lebih baik daripada Abu Bakr r.a. Jika beliau insan terbaik yang dipuji 
oleh Allah dan Rasul -bukan sekadar pujian rakyat atau pemimpin parti- 
menyatakan: ” sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah 
aku yang terbaik di kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku 
salah, betulkanlah aku.”, apakah saudara ingin mendakwa lebih daripada  itu?. 
 Saudara, ya! seperti kata Abu Bakr:” Benar itu adalah amanah, bohong itu 
adalah khianat“. Jika saudara menunai janji, tidak munafik dalam ucapan dan 
sikap maka saudara seorang yang bercakap benar. Justeru itu saudara seorang 
yang amanah. Jika saudara tidak jujur, tidak menepati janji dan manifesto, 
bersikap hipokrit maka saudara telah berbohong kepada rakyat. Justeru itu 
saudara adalah seorang pengkhianat.
 Saudara, lihatlah kejelasan matlamat seorang pemimpin seperti yang diucapkan 
oleh Abu Bakr r.a: “Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisi 
sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat di kalangan kamu, lemah di 
sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak, insya Allah”. 
 Itulah tanggungjawab pemimpin, mempertahankan hak rakyat. Sehingga yang lemah 
dan miskin terbela dan tidak ditindas. Sementara yang kuat, tidak boleh 
bermaharaja lela dengan kekuatan harta dan kuasanya. Namun jika saudara hanya  
di dampingi para taukeh dan pembodeh yang kaya-raya, sehingga melupai rakyat 
jelata, maka saudara lupa hakikat kepimpinan. 
 Jika pemimpin hanya menguatkan yang kuat dan menindas yang lemah, maka itu 
bukanlah pemimpin rakyat. Jika terpilih sedangkan dia demikian rupa dan cara, 
maka –maaf untuk ungkapkan- seorang kaki buli, atau kepala gengster atau 
seorang samseng telah dipilih. Pastikan anda tidak sedemikian. Pemimpin tidak 
dikenang kerana banyak membela taukeh, tetapi akan dikenang kerana banyak 
membela mereka yang ditindas dan lemah.
 Saudara, lihatlah kejujuran dalam ungkapan khalifah agung ini: “Taatlah aku 
selagi aku taatkan Allah dan RasulNya. Jika aku derhakakan Allah dan RasulNya, 
maka tiada ketaatan untukku”. Jika anda kecewa rakyat anda tidak taatkan 
saudara, terlebih dahulu sedarlah bahawa anda lebih buruk dari rakyat anda jika 
anda tidak mentaati Allah Pencipta dan Tuhan anda, bukan sekadar seorang wakil 
rakyat. Maka fahami  hukum-hakam Allah supaya anda tahu bagaimana hendak 
mentaatiNya. Kata ‘Umar bin al-Khattab r.a.: “Fahamilah benar-benar ilmu, 
sebelum kamu dilantik menjadi pemimpin” (Riwayat al-Bukhari). 
 Ingatlah bahawa arahan Allah kepada rakyat: (maksudnya) ” Wahai mereka yang 
beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr (pemimpin) dari 
kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat maka kembalilah kepada 
Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan 
hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya” 
(Surah al-Nisa’ 59) ayat ini datang selepas Allah memerintah pemimpin pada ayat 
sebelumnya iaitu firman Allah (maksudnya): “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu 
menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di 
kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah 
memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya  Allah adalah 
Maha mendengar lagi Maha melihat”. (Surah al-Nisa: 58). 
 Maka pemimpinlah yang terlebih dahulu diwajibkan melakukan keadilan dan 
menunaikan amanah, kemudian barulah rakyat akan taat. Al-Imam al-Qurtubi 
menyebut riwayat daripada khalifah Ali bin Abi Talib r.a bahawa beliau 
menyebut: “Tanggungjawab imam (pemerintah) adalah memerintah dengan adil dan 
menunaikan amanah. Apabila dia menjalankan tanggungjawab sedemikian maka wajib 
ke atas muslimin mentaatinya. Ini kerana Allah menyuruh agar ditunaikan amanah 
dan melaksanakan keadilan kemudian diperintahkan agar rakyat mentaatinya 
(pemerintah)” (Al-Qurtubi, al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/259, Beirut: Dar 
al-Fikr).
 Saudara, semoga Allah merahmati kepimpinan anda serta diberikan bimbangan ke 
jalanNya yang penuh adil dan saksama. Dahulu ada sarjana menyebut: “Jika aku 
mempunyai hanya satu peluang doa yang makbul, nescaya aku doakan kepada 
pemimpin agar adil, kerana keadilan mereka  kebaikan untuk semua”. Saya dan 
rakyat anda yang lain juga demikian. 
 Selamat bertugas sebagai wakil dan pemimpin rakyat. Anda akan memimpin kami di 
dunia ini. Akhirat nanti Allah akan bertanya kami mengenai anda semua. Seperti 
mana hari ini kami diberi peluang untuk mengundi anda, berilah juga kami 
peluang untuk menjawab yang terbaik mengenai anda pada hari kiamat kelak. Kami 
tidak ingin mendakwa anda di sana nanti, maka adillah kepada kami di dunia ini.


http://drmaza.com/


http://drmaza.com/english_section/

        
                   



       
---------------------------------
Never miss a thing.   Make Yahoo your homepage.

Kirim email ke