In the name of Allah, the Most Gracious, the Most Merciful...

"And if two parties or groups amongst the believers fall to fighting,
then make peace between them both. But if one of them outrages the
other, then fight you [all] against the one which outrages till it
complies, then make reconciliation between them justly, and be
equitable. Verily Allah loves those who are equitable". [Al Hujuraat
49:9]

Zaman fitnah politik membadai negara

Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN

SEKALIPUN pelbagai pihak menghubungi saya dengan 'jenuhnya' meminta
saya memberikan ulasan tentang perkembangan suasana politik tanah air
kita yang dinamakan sesetengah pihak sebagai tsunami politik tanah
air, namun saya hampir mengambil keputusan untuk tidak mahu
mencoretkan apa-apa pada minggu ini.

Saya ingin tangguhkan sedikit agar lebih mantap. Bukan lari daripada
tanggungjawab dan harapan masyarakat awam yang dahagakan pandangan
pada musim gawat ini, tetapi bimbang pandangan yang salah hanya
menambahkan kekusutan sahaja. Ramai yang resah kerana belum pasti
apakah yang akan berlaku keesokannya? Ramai bimbang dengan keadaan
yang terumbang-ambing. Tempoh ini bagaikan musim 'fitnah politik'.

Perkataan fitnah selalu ditafsirkan oleh masyarakat Melayu kita
sebagai 'menuduh secara tidak benar'. Namun perkataan fitnah apabila
digunakan oleh al-Quran dan sunah tidak pula bermaksud demikian.
Perkataan fitnah dalam al-Quran dan sunah membawa pelbagai maksud.
Antaranya; syirik, maksiat, ujian atau bala, melakukan kerosakan,
pembunuhan, kesakitan, peperangan dan lain-lain. Maka ramai ustaz yang
tersilap apabila memahami ayat Allah (maksudnya) Dan fitnah itu lebih
dahsyat dari membunuh (surah al-Baqarah: 191) dengan maksud menuduh
orang itu lebih dahsyat dari membunuh. Itu fahaman secara Melayu,
seperti menyamakan tuak di Kelantan dengan tuak di Kedah. Bukan itu
maksudnya, tetapi yang dimaksudkan dengan fitnah dalam ayat tersebut
adalah 'syirik'.

Adapun apabila disebut sebagai zaman fitnah ianya bermaksud zaman
ujian dan cubaan yang boleh menggugat keimanan dan ketenteraman hidup.
Ianya menjadikan manusia keliru dalam membuat pendirian atau begitu
sukar untuk berpegang teguh atas prinsip yang benar disebabkan
cabaran, ujian dan tekanan yang wujud pada waktu tersebut. Suasana
politik kita sekarang juga hampir sedemikian keadaannya. Ramai yang
bingung dan terkedu. Ada yang menyatakan kita tunggu dan lihat.

Ada pula yang berkata kita kena segera bertindak. Nabi pernah
mengingatkan para sahabah: Sesungguhnya nanti akan berlakunya fitnah,
orang yang duduk ketika itu lebih baik daripada orang yang berdiri,
orang berdiri lebih baik daripada orang yang berjalan dan orang yang
berjalan lebih baik daripada orang berkenderaan (riwayat al-Bukhari
dan Muslim). Maksudnya, yang cuba mengelakkan diri dari mencampuri
perkara yang tidak pasti dalam zaman fitnah adalah lebih baik.

Terkedu

Berbalik kepada keadaan hari ini, saya juga terkedu seketika.
Walaupun, jika anda membaca artikel saya yang lepas, saya seakan
mengagak keputusan yang bakal lahir sebelum saya pergi mengundi. Namun
hari ini realiti itu benar-benar terjadi bukan lagi ramalan. Lalu
disusuli dengan suasana yang tidak menentu. Rakan-rakan penganalisis
politik yang hebat-hebat apabila berbicara, juga tidak tahu apa yang
hendak mereka katakan ketika ini. Cakap-cakap pelbagai kedengaran di
sana sini. SMS berterbangan ke sana ke mari. Membawa pelbagai cerita.
Ada yang lucu, ada yang resah, ada yang kecut. Sangat sukar hendak
ditentukan mana satukah berita yang sahih. Suasana ini sangat baru dan
asing bagi kita. Ini mengingatkan saya kepada kata-kata al-Nadwi
mengulas suasana gelisah selepas peristiwa pembunuhan Sayidina Uthman.
Katanya: "Dibaiah Sayidina Ali sebagai khalifah pada ketika yang
paling gawat dan penuh ujian dalam sejarah. Ini kerana apabila beliau
dilantik memimpin kerajaan dan masyarakat atau dibaiah sebagai
khalifah dalam keadaan peristiwa syahidnya khalifah muslimin Uthman
bin Affan baru sahaja berlaku dengan cara yang paling keji, kejam dan
ganas. Pada zaman itu terkumpul faktor-faktor tidak puas hati,
sentuhan perasaan dan jiwa, banyak pula berita khabar angin, persoalan
dan salah faham. Perasaan ingin tahu dan meminta penjelasan bertambah
kuat. Berita syahidnya Uthman menjadi tajuk bicara di mana-mana. Suara
orang ramai kedengaran di sana sini meminta pelaksanaan hukuman bunuh
balas terhadap pembunuh Uthman... Memang begitulah keadaan masyarakat
manusia pada setiap masa dan zaman bila sahaja berlakunya kejadian
yang asing bagi mereka, maka hilanglah ketenteraman dan
ketenangan..." (Abu al-Hasan 'Ali al-Nadwiy, Al-Murtada, m.s. 141,
Damsyik: Dar al-Qalam).

Apa pun, kita semua mengharapkan perkembangan politik yang sedang
berlaku ini tidak akan membawa kerugian kepada umat Islam. Ya, kita
ingin perubahan ke arah yang lebih baik. Itulah hasrat kita semua.
Kita benci keangkuhan dan penyelewengan. Namun kita juga tidak mahu
"menang sorak, kampung tergadai". Atau "yang dikejar tidak dapat, yang
dikendung berciciran". Jika pilihan raya yang baru berlaku ini berjaya
me'nyah'kan calon-calon tidak berkualiti, alhamdulillah. Namun,
janganlah dalam masa yang sama ia mengundang keburukan yang lebih
besar untuk umat ini. Saya tidak bimbang di negeri majoriti umat Islam
seperti Kelantan, Perlis, Terengganu dan Kedah. Namun saya gusar
dengan negeri yang nasib umat kita boleh diperjudikan.

Seperti kebiasaan, tulisan saya mengingat semua pihak secara adil.
Hasrat yang baik belum tentu akan memberikan natijah yang baik jika
tidak dibuat atau diatur secara teliti. Saya teringatkan kejujuran
isteri Rasulullah s.a.w. iaitu Saidatina Aisyah ketika ditanya
mengapakah beliau membawa angkatan tentera seakan ingin berbalah
dengan Sayidina Ali selepas pembunuhan Sayidina Uthman. Ini sebelum
berlaku peperangan Jamal yang membabitkan pertempuran antara
tenteranya dengan tentera Sayidina Ali. Jawab Aisyah: "Demi Allah!
Orang yang sepertiku tidak bergerak dengan suatu perkara yang
disembunyikan dan menyimpan berita dari memberitahu anak-anaknya
(maksudnya: Beliau adalah Umm al-Mu'minin iaitu ibu orang-orang
beriman, oleh itu mereka semua adalah anak-anaknya seperti yang
dijelaskan oleh al-Quran.)

Sesungguhnya golongan yang bodoh yang datang dari beberapa negeri dan
para pemberontak kabilah telah memerangi tanah suci Rasulullah dan
melakukan beberapa perkara di dalamnya. Mereka telah menempatkan di
dalamnya orang-orang luar. Dengan itu mereka telah mengundang laknat
Allah dan Rasul-Nya. Apatah lagi mereka telah membunuh imam orang-
orang Islam tanpa kesalahan dan alasan.

Mereka telah menghalalkan darah yang haram lalu mereka menumpahkannya.
Mereka mengambil harta yang haram dan menghalalkan tanah yang haram.
Mereka telah mengoyak maruah dan nilai. Mereka mendiami negeri yang
penduduknya membenci mereka tinggal di dalamnya, kerana mereka memberi
mudarat dan tidak memberi manfaat.

Penduduk Madinah tidak mampu menghalang dan mereka berasa tidak aman.
Aku pun keluar di tengah-tengah orang Islam untuk memberitahu apa yang
para pemberontak itu lakukan dan kewajipan mereka untuk bangun
membaiki keadaan." Lalu Aisyah membaca firman allah surah al-Nisa'
ayat 114 (maksudnya) Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan mereka
kecuali bisikan-bisikan daripada orang yang menyuruh (manusia) memberi
sedekah atau berbuat ma'ruf atau mengadakan perdamaian di antara
manusia. Kata Aisyah lagi, "Kami bangkit untuk mengadakan perdamaian
seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah. Inilah sikap kami, kami
mengajak kamu kepada yang makruf dan menggalakkannya. Menghalang kamu
dari yang mungkar dan menggesa supaya kamu mengubahnya." (Al-Tabariy,
Tarikh al-Tabari, 4/461-462 melalui riwayat Saif bin Umar, Beirut:
Rawai' al-Turath al-'Arabi).

Indah

Hasratnya sangat indah, namun kesudahannya tidak sedemikian indah,
sehingga berlaku pertumpahan darah di antara sesama kaum muslimin
dalam peperangan Jamal. Kata Ibn Taimiyyah: "Sesungguhnya Aisyah tidak
berperang dan tidak pula keluar untuk berperang. Tujuan beliau keluar
hanyalah dengan hasrat untuk mendamaikan orang Islam dan beliau
menyangka bahawa dengan keluarnya itu akan membawa kebaikan kepada
orang Islam. Kemudian ternyata kepadanya bahawa tidak keluar itu lebih
baik. Oleh itu, setiap kali beliau mengingati peristiwa itu beliau
akan menangis sehingga membasahi kain tudungnya. Demikian jugalah
semua al-Sabiqin (mereka yang menganut Islam pada peringkat awal)
termasuk Talhah, Zubair dan Ali yang Allah meredai mereka semua,
mereka menyesali penyertaan mereka di dalam peperangan tersebut." (Ibn
Taimiyyah, Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah, 2/185, Dar al-Kutub
al-'Ilmiyyah).

Demikian juga Sayidina Ali selepas berlakunya peperangan Jamal.
Apabila melihat kaum muslimin terkorban dengan begitu ramai, beliau
berkata kepada anaknya: "Wahai anakku! Alangkah baiknya kalau ayahmu
telah mati sejak dua puluh tahun yang lalu." Jawab Sayidina Hasan:
"Saya telah melarang ayah dari ini semua." Jawab Saidina Ali: "Wahai
anakku! Sesungguhnya aku tidak sangka akan berlaku sampai begini."
Lantas Saidina Ali memeluk Sayidina Hasan dan berkata, "Apa lagi
kebaikan yang diharapkan selepas ini." (Ibnu Kathir, al-Bidayah wa al-
Nihayah, 7/251, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah).

Bukanlah hasrat saya mematahkan semangat islah dan perubahan kepada
iklim dan cuaca yang lebih harmoni dan selesa. Namun saya membekalkan
anda semua dengan bingkisan sejarah yang boleh dibuat kenangan dan
pengajaran. Supaya semangat anda dikawal oleh keputusan akal yang
matang. Langkah-langkah perubahan politik dalam sejarah telah banyak
membawa kebaikan untuk kehidupan manusia kepada yang lebih adil dan
damai. Juga, bukan sedikit langkah-langkah itu apabila tersilap mampu
membawa padah yang tidak ada sudahnya. Berhati-hatilah kita semua
dalam meneruskan proses pengislahan politik ini.

Ingin saya memuji bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang menyerahkan
tugasannya dengan senyuman kepada Ketua Menteri yang baru dari parti
lawannya. Bahkan dia mempertahankan pula agar projek-

projek mega dari Kerajaan Pusat jangan dihenti untuk Pulau Pinang demi
kebaikan rakyat. Sikapnya ini membayangkan betapa kepentingan kaumnya
lebih diutamakan dari yang lain. Beginilah juga sepatutnya para
pemimpin Melayu Islam. Jangan hanya kerana fanatik parti, kita sanggup
memboikot dan menahan bantuan untuk negeri-negeri yang diperintah oleh
sesama Islam tetapi berlainan parti.

Di manakah ukhuwwah islamiah antara kita. Marilah kita berpolitik
dengan lebih matang dan mengutamakan kemaslahatan umat melebihi emosi
diri. Jangan pula ada di antara kita yang sanggup berpakat dengan
'orang lain' melebihi saudara muslimnya sendiri. Firman Allah
(maksudnya): Sekiranya ada dua golongan daripada orang-orang beriman
berperang maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu golongan
itu melampau terhadap yang lain maka perangilah golongan yang melampau
itu sehingga mereka kembali kepada perintah Allah. Jika golongan itu
telah kembali maka damaikanlah antara keduanya dengan adil, dan
berlaku adillah kerana Allah sukakan mereka yang melakukan keadilan.
(Surah al-Hujurat: 9).

- DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

E-mel: [EMAIL PROTECTED]

Layari http://drmaza.com/

Kirim email ke