Takhrij al-hadis sahkan kesahihan hadis
Oleh DR. MOHD. NIZAM SAHAD
Utusan Malaysia 24th March 2008
SEMUA mengetahui secara umum bahawa al-Quran dan hadis
sahih adalah sumber pengetahuan dan perundangan Islam
yang autentik. Al-Quran merupakan
wahyu Allah yang dijamin dan dipelihara daripada
diubah-ubah oleh manusia.
Sebagaimana firman Allah swt, Sesungguhnya Kamilah
yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara
dan menjaganya. (al-Hijr: 9)
Kebenaran wahyu dalam al-Quran adalah bersifat mutlak
dan keimanan kepada ayat-ayat atau kalam Allah adalah
wajib. Al-Sunnah pula merupakan perkataan,
perbuatan dan taqrir (perakuan) Nabi Muhammad saw.
Al-Sunnah juga berfungsi menjadi penjelas, penguat,
penghurai nas-nas al-Quran.
Al-Sunnah juga merupakan wahyu daripada Allah swt
sesuai dengan firman-Nya, Dan ia (Nabi Muhammad s.a.w)
tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung
dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya
sendiri. (al-Najm: 3)
Ringkasnya al-Quran dan al-Sunnah merupakan dua sumber
perundangan atau syariat bagi umat Islam.
Al-Sunnah dalam sejarah penulisan dan pembukuannya
menghadapi cabaran dari sudut campur aduk sehingga
melahirkan hadis-hadis palsu atau maudu. Hadis
palsu merupakan hadis yang direka oleh musuh Islam,
terutamanya daripada golongan zindiq dan hadis
tersebut disandarkan kepada Nabi Muhammad saw.
Perbuatan golongan ini merupakan satu pendustaan dan
sikap keji untuk memusnahkan kefahaman umat Islam
terhadap agamanya. Hamad bin Raid Ibnu Darham
al-Azdi berkata: Orang-orang Zindiq memalsukan
hadis-hadis Rasulullah saw sebanyak 14,000 hadis.
Menurut Ibn Addi pula ketika Abd. al-Karim bin Abi
al-Auja ditangkap dan kemudiannya diserahkan kepada
Muhammad bin Sulaiman bin Ali yang
memerintahkan supaya dipenggal lehernya, berkatalah
ia: Demi Allah! Aku telah memalsukan hadis sebanyak
4,000 hadis.
Hadis-hadis palsu ini amat bahaya kepada umat Islam
kerana ia membuka peluang paling terbuka kepada
kesesatan dan syirik kepada Allah. Apatah lagi
hadis-hadis palsu yang berhubung dengan akidah dan
usuluddin.
Sebab itulah para ulama hadis dalam ilmu mustalah
hadis mengkategorikan hadis kepada beberapa jenis.
Antaranya ialah hadis sahih, hasan, daif mahupun
maudu.
Bagi menilai kesahihan hadis dan darjahnya serta sanad
yang meriwayatkan matannya (teks hadis), para ulama
menggunakan satu kaedah yang dinamakan takhrij
al-hadis. Ilmu takhrij hadis ini menjadi satu
keperluan untuk dipelajari dan diketahui umat Islam
bagi menilai kesahihan dan sumber hadis Nabi Muhammad
saw.
Definisi Takhrij Hadis
Menurut pakar bidang hadis di Universiti Sains
Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Radzi Othman, takhrij
hadis didefinisikan sebagai suatu usaha untuk
memastikan
asal-usul sesebuah hadis itu melalui kitab-kitab hadis
yang muktabar dengan sanadnya yang lengkap daripada
pengarangnya hinggalah kepada Nabi Muhammad
saw.
Dengan kata lain, ia merupakan suatu proses
mengeluarkan semula seberapa banyak maklumat tentang
asal-usul sesebuah hadis itu secara bersama apabila
setiap
hadis itu dinyatakan.
Sementara itu, Dr. Abdul Hayei Abdul Shukor pula
mendefinisikan takhrij hadis sebagai menunjukkan
tempat adanya hadis dalam sumber-sumber asal yang
dikeluarkannya dengan sanad, kemudian menyatakan
kedudukannya ketika diperlukan.
Sejarah Takhrij
Sejarah bermulanya takhrij hadis agak lewat. Pada
zaman awal Islam terutamanya pada zaman kelahiran
kitab-kitab hadis yang bermula pada awal abad ke-2
Hijrah sehingga zaman kecemerlangannya pada abad ke-3
Hijrah, kitab-kitab takhrij hadis masih belum wujud.
Ini kerana para ulama hadis ketika itu tidak
memerlukan kitab takhrij hadis lantaran keilmuan
mereka yang begitu luas dan ingatan yang mendalam dan
kuat mengenai
hadis dan kitab-kitab hadis serta metodologi
penulisannya.
Mereka berkemampuan mengenal pasti sumber hadis dan
kedudukan sesebuah hadis. Apatah lagi hadis-hadis pada
ketika itu masih diterima dan diriwayatkan
secara bersanad daripada syaikh atau guru-guru mereka.
Keadaan ini berterusan sehingga beberapa abad lamanya
sehingga sampai kepada satu keadaan yang
memerlukan kepada kaedah-kaedah tertentu bagi tujuan
memudahkan usaha mendapatkan sesebuah hadis.
Keadaan demikian timbul setelah ramai para ulama dan
huffaz hadis meninggal dunia dan pengetahuan mengenai
hadis dan kitab-kitab hadis berkurangan. Apatah
lagi dengan kemunculan pelbagai karya agama yang
memuatkan hadis tanpa sanad dalam pelbagai bidang. Ini
menyebabkan usaha untuk mengenal pasti sumber dan
status sesebuah hadis menjadi semakin sukar.
Berdasarkan faktor inilah ulama hadis telah berusaha
mencipta beberapa kaedah dan metod bagi memudahkan
para penuntut ilmu khususnya pencinta hadis untuk
merujuk dan mengenal pasti sumber dan status sesebuah
hadis.
Secara umumnya, ilmu takhrij ini mula diperkenalkan
pada abad ke-6 Hijrah. Kitab takhrij yang pertama
dihasilkan ialah kitab Takhrij Ahadith al-Muhadhdhab
fi
al-Fiqh al-Syafii li al-Syirazi oleh Muhammad bin
Musa al-Hazimi (m.584H).
Kemudiannya kitab-kitab takhrij semakin bertambah
khususnya pada abad ke-8 Hijrah. Antara yang paling
masyhur ialah kitab Nasb al-Rayah li Ahadith
al-Hidayah oleh Al-Hafiz al-Zaili, al-Mughni an Haml
al-Asfar fi al-Asfar fi takhrij ma fi al-Ihya min
al-Akhbar oleh al-Hafiz al-Iraqi (m.806H), al-Talkhis
al-Habir fi Takhrij Ahadith al-Rafi al-Kabir oleh
al-Hafiz Ibn Hajar (m.852H) dan Manahil al-Safa fi
Takhrij Ahadith al-Syifa li al-Qadi Iyad oleh
al-Suyuti
(m.911H).
Kemunculan kitab-kitab takhrij ini terus berkembang
sehingga lahir pelbagai jenis kitab takhrij
berdasarkan kepada kaedah-kaedah tertentu. Antaranya
ialah kitab
al-Jami al-Saghir oleh al-Sayuti dan kitab al-Mujam
al-Mufahras li Alfaz al-Hadith al-Nabawi yang ditulis
oleh sekumpulan orientalis diketuai Anderjan Winsenk
(m.1939) dengan kerjasama Muhammad Fuad Abd al-Baqi.
Dewasa ini dengan kemunculan komputer dan perisian,
para sarjana Islam mengambil peluang menerokai bidang
takhrij hadis dengan cuba mengadakan
perisian-perisian bagi memudahkan proses mentakhrijkan
hadis. Melalui CD-Rom usaha untuk mentakhrijkan hadis
pada masa kini menjadi lebih mudah dan cepat.
Kepentingan
Dalam kalangan ahli akademik, terutamanya dalam
penulisan ilmiah yang melibatkan penulisan tesis,
jurnal, kertas kerja dan sebagainya, aplikasi takhrij
hadis
memang merupakan satu kemestian. Elok juga, sekiranya
kemestian itu dipanjangkan secara sedar dan
bertanggungjawab terhadap pengkarya dan penulis dalam
penulisan artikel dalam apa jua genre sekiranya mereka
memetik hadis-hadis Nabi Muhammad saw.
Sekurang-kurangnya mereka hendaklah menggunakan metod
termudah dalam takhrij hadis dengan menyatakan sumber
ringkas asal-usul dan darjah hadis. Kepentingan
takhrij hadis ini amat penting dalam suasana bagi
menilai
kesahihan sumber hadis rentetan serangan-serangan
musuh-musuh Islam dari luar dan dalam yang mencipta
hadis-hadis palsu.
Selain itu, mengaplikasikan metod takhrij hadis
memberi beberapa manfaat lain seperti dapat mengetahui
lafaz sebenar hadis sebagaimana yang disabdakan oleh
Rasulullah s.a.w. Ini kerana kemungkinan hadis
tersebut disebut secara ringkas atau dengan maknanya
sahaja.
Pemahaman terhadap hadis menjadi lebih baik dengan
mengetahui sebab timbulnya hadis dan latar belakang
peristiwa yang mendasari hadis. Ini kerana perkara
tersebut hanya disebut dan diterangkan dalam kitab
asal hadis atau syarahnya.
Di samping itu juga, dengan mentakhrij hadis kita
dapat mengumpul sebanyak mungkin riwayat hadis yang
membicarakan topik yang sama tetapi berlainan lafaz,
riwayat dan sanad. Akhirnya, dengan adanya keikhlasan
penulis untuk menyatakan sumber petikan hadis dari
kitab asalnya setelah melakukan proses takhrij hadis,
ia dapat menambah keyakinan umat Islam terhadap apa
yang dibahas dan dibicarakan tentang hadis-hadis yang
dipetik.
Kesimpulan
Oleh yang demikian adalah disarankan kepada semua
pihak terutamanya para penulis artikel sama ada ilmiah
atau pun tidak supaya sentiasa berhati-hati dalam
menukilkan hadis Nabi saw. Adalah lebih baik dan
beramanah kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw,
sekiranya kita menyemak terlebih dahulu hadis yang
ingin diketengahkan kepada masyarakat agar ia
benar-benar bersumberkan dari Nabi Muhammad saw.
Dalam hal ini, pengetahuan tentang ilmu bagaimana
mentakhrijkan hadis merupakan satu keperluan kepada
mereka yang ingin menutur bicara hadis sama ada
melalui
lisan mahupun tulisan. Agar dengan sikap hati-hati itu
kita terselamat dari dosa yang cukup besar dengan
mendakwa sesuatu itu hadis dari Nabi saw, namun
sebenarnya tidak sedemikian.
* DR. MOHD NIZAM SAHAD ialah pensyarah Pengajian
Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti
Sains Malaysia.
____________________________________________________________________________________
Looking for last minute shopping deals?
Find them fast with Yahoo! Search.
http://tools.search.yahoo.com/newsearch/category.php?category=shopping