Penglipur lara terpinggir
Hanya Romli Mahmud tukang cerita yang masih hidup
SENI Awang Batil di Perlis dan Kedah kini semakin dilupai dan hikayatnya mula
tenggelam ditelan arus, apatah lagi dengan kemunculan pelbagai seni hiburan
moden yang dianggap lebih relevan dengan golongan muda.
Apa pun, bagi Romli Mahmud, 53, dari Chuping, Perlis, keserasiannya bersama
seni tukang cerita yang dikenali juga sebagai Tok Selampit atau Penglipur Lara
berdasarkan panggilan setiap negeri itu masih kuat sehingga hidupnya sendiri
saling tidak tumpah seperti kehidupan Awang Batil yang mempunyai dua karektor
berbeza yang boleh berubah mengikut keperluan serta keadaan.
Cuma bezanya, karektor Awang Batil berubah mengikut topeng yang dipakai
sama ada sebagai hulubalang atau ahli nujum, manakala bagi Romli pula dia akan
kekal sebagai anak kampung dan hanya berubah sebagai Awang Batil sekiranya
seruan persembahan tiba.
Namun, kegusaran masih menghantui dirinya kerana sehingga sekarang beliau masih
belum menemui pengganti yang boleh mengambil alih, sekali gus meneruskan
pengekalan seni Awang Batil di bumi Malaysia, sedangkan usianya kini semakin
lanjut.
"Untuk menjadi Awang Batil bukan senang. Saya pernah melatih ramai anak muda
terutama pelajar seni kebudayaan untuk dididik sebagai pelapis, namun masih
belum ada yang betul-betul sesuai.
ROMLI satu-satunya Awang Batil yang masih hidup di Perlis.
"Ada yang boleh dan mahir sekali bercerita, tetapi tidak pandai mengetuk
batil dan ada juga yang sebaliknya. Malah, ada yang pandai kedua-dua sekali,
tetapi apabila diminta menggabungkannya, gagal berbuat demikian," katanya yang
kini giat melatih enam pelapis Awang Batil dari jabatan Kebudayaan dan Kesenian
Negeri Perlis.
Menceritakan pembabitan sebagai Awang Batil, Romli berkata, dia bernasib baik
kerana dikurniakan kebolehan semula jadi untuk bermain alat muzik terutama
gendang terinai sejak kecil lagi iaitu ketika berusia lapan tahun.
Mengenai koleksi cerita yang sering dibawa, katanya cerita berkenaan bukan baru
dan sering diperdengarkan Allahyarham bapanya setiap malam terutama ketika dia
hendak tidur.
"Saya sendiri tidak tahu cerita yang disampaikan itu adalah koleksi Awang
Batil, sehinggalah saya sendiri mendengar ia didendangkan kepada umum. Oleh
kerana, saya memang sejak kecil lagi mengikuti Allahyarham bapa saya bercerita,
maka sedikit sebanyak minat serta kebolehan itu masuk dan sebati dalam diri
saya hingga ke hari ini.
KETUA Sumber Manusia Digi, Adzhar Ibrahim (kiri) menyerahkan plak
ukiran kepada Romli pada Majlis Digi's Amazing Malaysian 2006 di Chuping,
Perlis sambil disaksikan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kasim.
"Selain itu, saya juga banyak berkongsi cerita dengan rakan lain, terutama
orang lama yang memang memiliki cerita turun-temurun ini," katanya yang
mempunyai empat anak hasil perkongsian hidup bersama Nasirah Abdul Rahman, 46.
Ketika ditanya mengenai watak Awang, Romli kemudian tersenyum sambil berkata,
Awang kan hero Melayu..tak kan la kita nak pakai nama orang lain pulak.
Beliau berkata, sejarah Awang Batil pada awalnya disampaikan dari mulut ke
mulut kononnya seorang anak dara meminum air yang terkumpul di dalam lopak batu
di hutan, sehingga hamil dan melahirkan seorang anak lelaki dinamakan Awang.
Kelahiran tanpa bapa menyebabkan Awang tertekan akibat dihina sebagai anak luar
nikah. Justeru, Awang lari ke hutan untuk mencari bapanya, sehingga bertemu
dengan seekor gajah putih di kawasan lopak air yang pernah diminum ibunya suatu
ketika dulu yang juga air kencing gajah berkenaan.
Untuk membersihkan namanya, Awang mula menceritakan kisah hidupnya itu kepada
umum dan dia mengembara dari satu kampung ke kampung lain untuk menyampaikan
ceritanya itu, dengan berbekalkan batil yang diberikan gajah putih itu. Kerana
itulah kebanyakan cerita disampaikan Romli berkenaan dengan lelaki bernama
Awang.
"Semua cerita yang saya sampaikan adalah turun temurun yang saya dapat dari
satu generasi ke satu generasi dan saya tidak mencipta cerita baru kerana bagi
saya ia tidak asli," katanya yang menghafal lebih daripada 20 cerita pelbagai
tajuk.
Antaranya ialah Awang Akar Larak, Awang Lurus, Awang Ada Duit Semua Jadi, Awang
Kambing Berak Terbit Emas, Awang Geliga Embun dan Awang Segan. Bagaimanapun,
untuk setiap persembahan, Romli lebih gemar bercerita kisah Awang Akar Larak
atau Awang Kambing Berak Terbit Emas.
"Penonton suka kisah yang berakhir dengan kegembiraan dan tidak suka yang
berakhir dengan kesedihan dan ini penting kerana saya perlu kekalkan minat
penonton. Nanti kalau asyik bagi cerita sedih orang akan bosan.
"Untuk menambah keceriaan, dalam setiap cerita saya turut selitkan lagu yang
sesuai seperti lagu Makan Sirih, Air Mawar, Sri Siantan serta beberapa lagu
dalam bahasa Tamil yang diiringi gesekan biola serta memek muka tertentu,"
katanya.
Tindakan Romli yang masih memperjuangkan seni penglipur lara selain statusnya
sebagai Awang Batil terakhir ini turut diiktiraf syarikat telekomunikasi, DiGi
yang mengangkat Romli sebagai seorang dari projek Amazing Malaysian 2005.
Melalui projek itu, seramai 60 pelajar dari empat buah sekolah dibimbing Romli
bersama beberapa penggiat teater handalan seperti Joe Kukathas dan Namron
selain tenaga pengajar dari Temple of Fine Arts yang membantu pelajar ini
mengenali asas pergerakan, muzik, tarian dan Awang Batil.
Malah, melalui seni Awang batil juga, Romli turut berpeluang mengunjungi negara
luar sekali gus memperkenalkan seni budaya Melayu itu kepada dunia luar. Ini
termasuk ketika menyertai Pusat Kebudayaan Pulau Pinang (PCC) dalam lawatan dan
persembahan tiga minggu ke Thailand (1995), Singapura (1996) dan Switzerland
(1997).
"Saya sangat berbesar hati apabila masih ada pihak yang menghargai seni ini.
Saya harap daripada 60 pelajar ada yang berkebolehan dan berminat untuk
mendalaminya. Tapi itu pun susah hendak menduga kerana dalam empat anak saya,
tidak ada seorang pun yang berminat," kata Romli dengan penuh harapan.
Profil
Romli Mahmud
Usia: 53 tahun
Status: berkahwin, empat anak
Asal: Chuping, Perlis
Menetap: Chuping, Perlis
FAKTA
Awang Batil adalah tukang cerita yang dikenali juga sebagai Tok
Selampit atau Penglipur Lara berdasarkan panggilan setiap negeri.
Cerita Awang Batil diwarisi secara lisan.
Cerita popular termasuk Awang Akar Larak dan Kambing Berak Terbit
Emas.
Persembahan Awang Batil diiringi ketukan batil, biola, serunai dan
rebana.
Hanya ada seorang saja Awang Batil di Malaysia yang masih hidup.
Antara cerita Awang Batil yang dimainkan oleh Romli
Awang Akar Larak.
Awang Lurus.
Awang Ada Duit Semua Jadi.
Kambing Berak Terbit Emas.
Awang Geliga Embun.
Awang Segan.
---------------------------------
Real people. Real questions. Real answers. Share what you know.