Tidak Bersih Islam Dengan Kotor Muslim April 4th, 2008 | by
Abu Saif | 1,180 Views | Print This Post | Email this post |
Kita kena tunjukkan kepada orang-orang kafir yang kita orang Islam ini tidak
semudah itu diperkotak-katikkan, bentak seorang pembela Islam.
Ya, biar mereka tahu siapa kita!, tegas seorang yang lain.
Ajar kafir laknat tu!, berapi-apinya seorang pahlawan Islam yang seorang
lagi.
Tunjukkan! Buktikan! Biar mereka nampak!
Itulah kalimah yang sering diulang-ulang dengan penuh emosi, atas alasan mahu
mempertahankan kesucian Islam. Dan semakin kerap laungan itu diseru, semakit
palsu kedengarannya di telinga. Bahawa MUSLIM memaksa dunia untuk mengakui
kehebatan ISLAM.
RAMAI SEPERTI HUNAIN
Ironi sekali, isu penghinaan filem Fitna Geert Wilders muncul hampir serentak
dengan laporan media bahawa buat kali pertamanya di dalam sejarah, jumlah umat
Islam sedunia telah mengatasi jumlah penganut Catholic, sebagaimana yang
diumumkan oleh pihak Vatican City.
Bacalah laporan berikut yang dipetik dari agensi berita Reuters:
VATICAN CITY (Reuters) - Islam has overtaken Roman Catholicism as the biggest
single religious denomination in the world, the Vatican said on Sunday.
Monsignor Vittorio Formenti, who compiled the Vaticans newly-released 2008
yearbook of statistics, said Muslims made up 19.2 percent of the worlds
population and Catholics 17.4 percent.
For the first time in history we are no longer at the top: the Muslims have
overtaken us, Formenti told Vatican newspaper LOsservatore Romano in an
interview, saying the data referred to 2006.
He said that if all Christian groups were considered, including Orthodox
churches, Anglicans and Protestants, then Christians made up 33 percent of the
worlds population or about 2 billion people.
The Vatican recently put the number of Catholics in the world at 1.13 billion
people. It did not provide a figure for Muslims, generally estimated at around
1.3 billion.
Formenti said that while the number of Catholics as a proportion of the
worlds population was fairly stable, the percentage of Muslims was growing
because of higher birth rates.
He said the data on Muslim populations had been compiled by individual
countries and then released by the United Nations, adding the Vatican could
only vouch for its own statistics.
(Reporting by Silvia Aloisi; editing by Andrew Roche)
Sungguh memilukan.
Tatkala Vatican City mengisytiharkan kekalahan mereka kepada Muslim dari
segi jumlah penganut, ketika itulah satu lagi siri penghinaan terhadap Islam
muncul dalam versi filem pendek Fitna, hasil kreativiti ahli politik
berhaluan kanan Belanda, Geert Wilders.
Tiadakah sebarang makna kepada jumlah Muslim yang sebegitu ramai? Tidakkah
sepatutnya jumlah seramai itu sudah cukup untuk menggertak musuh tentang
ketuanan Islam? Bahawa Islam itu tinggi, dan tiada yang lebih tinggi
mengatasinya? Bahawa, jangan main-main dengan Islam!
Persoalan-persoalan ini menghiris perasaan sesiapa sahaja yang merenung
kehidupan ini dengan pandangan mata hati, bahawa apa yang dicari adalah sebuah
realiti, dan bukannya ilusi.
Bercakap tentang pertembungan realiti dan ilusi, izinkan saya memetik kembali
ungkapan yang sama pernah saya lakarkan di dalam artikel, PALESTIN: ANTARA
ILUSI DAN REALITI:
ILUSI DAN REALITI
Abu al-Hasan Ali al-Nadawi di dalam bukunya Ila al-Islam Min Jadeed (Kembali
Semula Kepada Islam). Di bawah tajuk Antara Ilusi dan Realiti (Bayna
al-Soorah wa al-Haqiqah), al-Nadwi telah memberikan suatu analogi yang sangat
baik untuk difikirkan bersama.
Al-Nadwi membayangkan bagaimana seorang pemimpin hebat yang telah mati,
dikenang oleh pengikutnya dengan membina sebuah patung yang besar dan amat
menyerupai rupa pemimpin itu semasa hayatnya. Tetapi pada suatu hari, seekor
burung datang bertenggek di atas hidung pemimpintersebut dan melepaskan
najisnya. Patung yang besar dan gagah itu tidak mampu berbuat apa-apa terhadap
burung yang kecil itu, walaupun di kaki patung itu terpahat nama seorang
pemimpin yang semasa hidupnya digeruni kawan dan lawan.
Mengapakah keadaan itu boleh berlaku? Mengapakah pemimpin yang hebat itu
terhina hanya oleh perilaku seekor burung yang kecil?
Al-Nadawi mengulas analogi ini dengan mengemukakan konsep ilusi versus realiti.
Patung itu walaupun besar, gagah dan hebat, malah mewakili peribadi seorang
pemimpin yang agung semasa hidupnya, adalah hanya seorang patung. Ia hanya
sebuah gambaran. Sebuah ilusi. Manakala burung tersebut, walaupun kecil dari
segi saiznya, ia adalah burung yang hidup. Burung itu walaupun kecil, namun ia
adalah realiti.
Sunnatullah telah menetapkan bahawa realiti sentiasa mengalahkan ilusi.
Beginilah perihalnya kita ketika berhadapan dengan musuh. Jika kita membaca
al-Quran dan meneliti ayat-ayat tentang Nasrani, kita akan dapati bahawa
orang-orang Kristian hari ini amat menepati watak mereka seperti yang
digambarkan oleh al-Quran. Maka orang-orang Kristian hari ini adalah orang
Kristian sejati. Mereka adalah realiti. Pertembungan kita terhadap mereka
adalah pertembungan kita dengan sebuah realiti.
Jika kita membuka lembaran al-Quran dan mengkaji tentang Yahudi, maka kita
akan dapati bahawa keterangan al-Quran tentang karakter Yahudi amat selaras.
Maka orang-orang Yahudi hari ini adalah orang Yahudi sejati. Pertembungan kita
dengan Yahudi adalah pertembungan kita dengan sebuah realiti.
Namun, jika kita amati keterangan al-Quran tentang ciri-ciri orang Islam dan
Mukmin, apakah hasil pengamatan kita itu?
Apakah ciri-ciri kita sebagai Muslim, sama dengan ciri Muslim yang digambarkan
oleh al-Quran? Jika al-Quran yang pantang dihina oleh kuffar itu bercakap
tentang kualiti Muslim pada akhlaqnya, pada aturcara hidupnya, pada upaya
dirinya
apakah kita semua wahai kaum Muslimin, sama seperti apa yang
digambarkan oleh al-Quran?
Bercakaplah dengan jujur
Bahawa sesungguhnya kita amat jauh dari al-Quran. Kita amat berbeza dari
keterangan al-Quran tentang diri kita yang sebenar. Dalam erti kata yang lain,
dunia ini didiami oleh Yahudi dan Nasrani yang hakiki dan realiti, ketika
Muslimnya hanya sekadar ilusi. Sunnatullah menetapkan realiti sentiasa
mengatasi ilusi, biar pun ilusi itu besar jumlahnya, mengatasi Catholic buat
pertama kali di dalam sejarah, bagai laporan Vatican City tempoh hari.
Betapa perbuatan kita itu telah menimbulkan kekeliruan dan kesulitan yang amat
sangat untuk manusia mengenal dan memahami apa itu Islam. Yusuf Islam (Cat
Stevens) sendiri mengakui, beliau bertuah kerana bertemu Islam sebelum bertemu
Muslim! Golongan yang mahu mengenali Islam, terpaksa mengambil jalan yang susah
untuk mempelajarinya kerana mereka terpaksa memaksa diri untuk mengasingkan
al-Quran dan Islam Tekstual, dengan Muslim dan kelakuannya yang ada di depan
mata.
Tanyalah kepada bangsa Melayu di bumi ini, mengapakah selepas 50 tahun kita
berkongsi tanah hidup selorong dengan kaum Cina dan India yang tidak Islam itu,
jumlah mereka yang terbuka hati kepada Islam masih terlalu kecil? Bukan sahaja
kecil, malah ketakutan terhadap Islam dan Muslim bertambah-tambah! Tanyalah
kepada tokoh yang memeluk Islam seperti Ustaz Hussein Yee, atau Ustaz Farid
Ravi, Brother Shah Kirit atau Brother Lim Jooi Soon, Sifu Nasir dan ramai lagi,
bagaimanakah jalan dan liku mereka mencari Islam di celah-celah Muslim?
Let us pause awhile, and look around in the midst of any kampong, the domain
of the Muslim;.. you will see that those who sell rice to the kampong folks are
Chinese,
those who carry water
are Chinese, and those who cut and sew for
the majority of the inhabitants are also Chinese! By the look of it, one would
imagine that our religion, Islam, prohibits working hard for an honest living!
Verily this is a curse of the Almightly upon us! [Syed Sheikh al-Hadi, Menuntut
Ketinggian akan Anak-anak Negeri, al-Imam, 1907]
PESIMIS DAN OPTIMIS
Anta pesimis!, tegas seorang penghantar email kepada saya.
Ya, saya pesimis. Tetapi saya juga optimis. Saya pesimis apabila datang kepada
slogan, retorik dan Islam kosmetik. Islam yang mahu ditunjuk-tunjuk, Islam yang
mahu dipaksa-paksa agar dihormati, saya pesimis dengan Islam yang seperti itu .
Cubalah hilangkan lapar dengan merenung pisang plastik.
Cubalah hilangkan tua di sebalik umur 50 dengan menyuntik botox atau membuat
pembedahan plastik.
Cubalah menjadi perempuan dengan mencukur bulu kaki, bulu tangan dan bersolek
si jantan supaya menawan.
Cubalah hapuskan rindu dengan hanya menatap gambar insan yang telah tiada.
Sesungguhnya naluri manusia saya tidak dapat merasakan apa-apa pada sebuah
kepalsuan. Segala yang palsu hanya mainan. Small things please small mind!
Hanya yang palsu menghargai kepalsuan.
Saya pesimis dengan Islam retorik dan Islam slogan, tetapi dalam masa yang
sama saya sentiasa optimis bahawa Muslim akan mulia apabila kembali kepada
substance, intipati
kembali dari ilusi kepada realiti.
SEBELUM MEMBANTAH PENGHINAAN
Oleh kerana itu, saya menyeru kepada diri saya dan kita semua, bahawa sebelum
kita mahu bangkit melenting dengan penghinaan sesiapa terhadap Islam, tanyalah
kepada diri sendiri, apakah Islam itu selama ini mulia di tangan kita? Apakah
Islam berjaya diperlihatkan kemuliaannya dengan adanya kita ini sebagai
Muslimnya? Apakah nilai yang ada pada kita untuk mengangkat kemuliaan Islam?
Sesungguhnya, sebelum Salman Rushdi atau Geert Wilders muncul dengan
penghinaannya terhadap Islam secara bermusim, kitalah si kaum Muslim yang
menghina Islam sehari-harian dengan kemunduran akal, akhlaq dan segala yang
kita ada atas nama Islam!
TIDAK LAYAK KESUCIAN ISLAM DIBELA OLEH KEKOTORAN MUSLIM
Tidak akan terbela Islam oleh hati, mulut dan tangan yang kotor seperti hati,
mulut dan tangan kita. Allah tidak akan izinkan Islam-Nya diperjuangkan oleh
manusia pengotor seperti kita. Tidak bersih palitan lumpur jika air yang
menyimbahnya juga cemar dan cela.
Sesungguhnya proses untuk memperjuangkan kesucian Islam sebenarnya adalah
proses menyucikan Muslim. Semasa kita menyucikan diri dari pemikiran, amalan
dan akhlaq yang kotor, ketika itulah kemuliaan Islam akan menyerlah.
Sucikanlah dirimu wahai Muslim, nescaya mulialah Islam, tanpa dipaksa-paksa,
tanpa diminta-minta. Tidak ada apa yang perlu kamu buktikan kepada dunia dengan
tempik sorak itu. Ditertawa ketika melawak adalah biasa. Tetapi ditertawa
ketika menunjuk marah, itulah kemuncak hina.
Sesungguhnya kegerunan musuh kepada kamu hanya akan muncul apabila kamu layak
digeruni, iaitu apabila Islam dan Muslim, kembali bersatu. Tiada lagi Islam di
satu lembah, dan Muslim di satu lembah yang lain. Penghormatan dunia kepada
Islam dan Muslim tidak perlu dipaksa-paksa, tidak perlu didesak-desak. Hormat
datang sendiri
apabila kita layak menerimanya.
Hampir tiba masanya kamu akan diserbu oleh bangsa-bangsa lain (musuh-musuh
kamu), sebagaimana orang-orang lapar mengadap hidangan di dalam jamuan.
Sahabat bertanya, apakah semua itu berlaku disebabkan oleh jumlah kami yang
sedikit?. Rasulullah S.A.W menjawab, bahkan ketika itu jumlah kamu amat
ramai, tetapi ramainya kamu tidak lebih dari seumpama buih di permukaan banjir.
Allah akan mencabut dari hati musuh-musuh kamu rasa gerun mereka terhadap
dirimu, dan dimasukkan ke hatimu penyakit AL-WAHAN. Seorang sahabat bertanya,
Ya Rasulullah, apakah al-wahan itu ? Jawab Rasulullah SAW ialah cinta dunia
dan takut menghadapi maut. (Hadis riwayat Abu Daud daripada Sauban)
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
---------------------------------
You rock. That's why Blockbuster's offering you one month of Blockbuster Total
Access, No Cost.