* Satu abad Ulama Besar BUYA PROF. DR HAMKA
Pada Mei 1981 Indonesia dihebohkan oleh fatwa mengharamkan umat Islam hadir pada perayaan Krismas (Natal). Fatwa itu oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI), surat rasmi yang mengandungi fatwa itu adalah pengerusi MUI, Prof Dr Hamka. Sebab itu Menteri Agama Indonesia, Leftenan Jeneral (B) Alamsjah Ratuperwira Negara, mengugut, seandainya fatwa itu tidak ditarik kembali dia akan mengundurkan diri daripada jawatan menteri agama. Namun Buya Hamka menjawabnya bahawa fatwa itu tidak boleh ditarik balik kerana berasa bertanggungjawab di hadapan Allah dan umat Islam. Sebagai penyelesaian, Buya Hamka sedia meletak jawatan sebagai pengerusi MUI. Katanya bukan menteri agama yang harus berundur kerana jawatan menteri adalah jawatan kerajaan. Begitulah prinsip perjuangan Buya Hamka yang yakin akan kebenaran fatwa itu yang berlandaskan nas yang sahih iaitu Al Quran dan As Sunnah serta ijmak dan qiyas. Apabila beliau meletakan jawatan sebagai pengerusi MUI pada 18 Mei 1981, ribuan panggilan telefon dan telegram diterimanya mengucapkan syabas dan tahniah atas ketegasannya mempertahankan prinsip dan fatwa itu. Hal ini membuat Buya Hamka terkejut, kerana semasa beliau dilantik sebagai pengerusi MUI pada tahun 1975, beliau tidak menerima ucapan serupa. Begitulah Buya Hamka, ulama besar karismatik, yang juga mufasir, penulis dengan ratusan buku dan puluhan ribu artikel. Beliau juga seorang sasterawan/ pujangga, penceramah dan pemidato ulung yang sentiasa dinanti suara dan nasihatnya, selain pensyarah dan juga pemimpin adat bagi suku kaumnya di Minangkabau kerana nama lengkap beliau adalah Prof Dr Hamka Datuk Indomo. Bagi Hamka, MUI yang ditubuhkan pada 26 Julai 1975 adalah pertubuhan yang berperanan menjadi jambatan antara keinginan rakyat Indonesia yang majoritinya beragama Islam, dengan hasrat kerajaan selagi hal itu tidak bertentangan dengan syarak. Begitu beratnya tanggungjawab sebagai pemimpin MUI, Hamka mengibaratkan MUI ini bagaikan memasak kuih bengkang... atas dan bawahnya panas kerana ada api. Di satu sisi berjuang untuk menjaga akidah umat, di lain sisi perlu menjaga kehendak kerajaan yang ada kalanya tidak sehaluan dengan kehendak hati dan nurani umat. Keluarga Ulama Ulama besar yang lahir pada 17 Februari 1908 di Sungai Batang, Maninjau, Minangkabau, Sumatera Barat ini, jika masih hidup bererti pada 17 Februari 200 lalu, usianya cukup satu abad. Beliau meninggal di pagi Jumaat bulan Ramadhan, 24 Julai 1981, dua bulan selepas meletak jawatan sebagai pengerusi MUI. Beliau meninggal dalam usia 73 tahun 5 bulan, disaksikan sahabat seperjuangan, Dr Mohammad Natsir. Pagi itu cuaca Jakarta begitu teduh dan damai, sebaik sahaja jenazah beliau dikuburkan di perkuburan Tanah Kusir, Jakarta, selepas sembahyang Jumaat, Jakarta kemudiannya dicucuri hujan yang begitu lebat. * -- "WAHAI JIWA-JIWA YANG TENANG JANGAN SEKALI-KALI KAMU MENCUBA JADI TUHAN DENGAN MENGADILI DAN MENGHAKIMI.BAHWASANYA KAMU MEMANG TAK PUNYA DAYA DAN UPAYA,SERTA KEKUATAN UNTUK MENENTUKAN KEBENARAN YANG SEJATI.BUKANKAH KITA MEMANG TERCIPTA LAKI-LAKI DAN WANITA,SERTA SUKU-SUKU DAN BANGSA-BANGSA YANG PASTI BERBEZA.BUKANKAH KITA MEMANG HARUS SALING MENGENAL DAN MENGHORMATI,BUKAN UNTUK SALING BERCERAI-BERAI DAN BERPERANG ANGKAT SENJATA!" "Wahai orang-orang yang beriman!Jika datang kepada kamu sesuatu berita,maka selidikilah kebenarannya,supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu ( mengenainya ) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan." ( al-Qur'an,al-Hujurat ( 49 ):6 ).
