http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=61327
Tertipu: Kokka tidak wujud!
KUALA LUMPUR: Sepuluh tahun, RM8.1 juta. Secara purata, itulah nilai wang
penduduk negara ini yang lebur gara-gara memiliki kayu kokka kayu yang
selayaknya diubah nama kepada kayu kokak (tidak berguna) kerana satu kajian
terperinci mendapati kayu kokka sebenarnya tidak wujud dan sengaja
diperkenalkan semata-mata untuk tujuan perniagaan.
Anggaran jumlah berkenaan diperoleh hasil maklumat daripada sumber yang rapat
serta pernah menjalin urus niaga dengan beberapa tauke besar atau pembekal
utama kayu itu.
Begitupun, jumlah itu dipercayai lebih besar kerana ia tidak termasuk jumlah
jualan diperoleh peniaga kayu kokka di seluruh negara. Ia juga tidak termasuk
jumlah pembelian terus di luar negara, terutama di Makkah.
Peniaga kayu kokka yang mahu dikenali sebagai Abdul Jasman Ahmad, 38, berkata
berdasarkan pengalamannya, kayu kokka mula dibawa masuk ke negara ini menerusi
seorang warga Turki pada 1998.
Katanya, rakannya terpengaruh dengan keistimewaan yang diuar-uarkan mengenai
kayu itu sehingga sanggup mengeluarkan puluhan ribu ringgit untuk membelinya.
Ketika itu nilainya sangat mahal. Sebagai contoh, satu tasbih yang mempunyai
33 biji kayu boleh dijual dengan harga sehingga RM1,800, manakala tasbih 100
biji kayu kokka boleh dijual sehingga RM2,500. Jualan memang menggalakkan.
Rakan saya memperoleh untung sehingga 300 peratus kerana mengambilnya dengan
harga lebih murah, katanya.
Abdul Jasman berkata, pada 2003, sambutan terhadap kayu kokka sangat luar biasa
sehingga muncul seorang lagi pembekal dari Sudan menawarkan kayu kokka dalam
kuantiti lebih besar.
Katanya, buah, tasbih, cincin, gelang, minyak dan tongkat daripada kayu kokka
laris jualannya.
Rakan saya tidak mampu mengambil stok dalam jumlah banyak kerana harga
ditawarkan terlalu tinggi. Ketika itu juga pelajar Malaysia yang menuntut di
Timur Tengah turut membawa pulang kayu berkenaan untuk dijual, menyebabkan saya
terpaksa mengehadkan penjualan.
Begitupun, dia tetap membekalkan kayu itu kepada peniaga di seluruh Malaysia
dan memperoleh untung besar. Jika diikutkan, jualan kayu itu sehingga hari ini
mencecah RM1 juta, katanya yang mengakui kemunculan sebuah buku terbitan
sebuah syarikat mengenai keistimewaan dan khasiat kayu kokka melariskan lagi
kayu itu.
Dalam pada itu, satu lagi pembekal yang lebih besar modalnya dianggarkan
membuat jualan mencecah jutaan ringgit sehingga hari ini.
Seorang sumber yang mahu dikenali sebagai Asfar Kasim, 40, berkata pembekal itu
kini bergelar usahawan dan bertambah mewah apabila menjadi pembekal kayu kokka
di seluruh Malaysia.
Dia (pembekal itu) memperoleh bekalan daripada pembekal warga Turki dan Sudan.
Dia membeli dalam jumlah besar. Saya diberitahu, untuk tasbih saja, dari 1998
hingga hari ini sudah 100 ribu berjaya dijualnya.
Secara purata, setiap tasbih dijual dengan harga RM200 dan apabila
dijumlahkan, jualan produk itu mencecah RM2 juta, katanya.
Menurut Asfar, itu belum lagi termasuk buah, cincin dan gelang yang turut
mendapat sambutan hangat daripada pembeli.
Katanya, buah kayu kokka memang banyak dijual kerana sekurang-kurangnya 250,000
berjaya dijual dengan harga kira-kira RM100 sebiji sehingga jumlah jualan
mencecah RM2.5 juta dalam tempoh sama.
Untuk gelang pula, dalam tempoh sama, sekurang-kurangnya 100,000 berjaya
dijual. Harga ditawarkan sekitar RM100 dan ia menyaksikan jualan sehingga RM1
juta.
Cincin juga mencatat jualan mencecah 200,000 untuk tempoh 10 tahun. Setiap
cincin dijual dengan harga sekurang-kurangnya RM80, sekali gus menyaksikan
jualan mencecah RM1.6 juta, katanya.
Asfar berkata, pembekal terbabit mencatat jumlah jualan mencecah RM7.1 juta dan
ia belum ditambah dengan produk sampingan lain seperti minyak dan tongkat.
Kepalsuan kayu kokka dibongkar seorang Ahli Etnologi, Dr Abdul Manan Embong,
yang melakukan kajian terperinci untuk tempoh setahun bersama beberapa pakar
tempatan dan antarabangsa.
Mereka ialah Pakar Geomologi dan Mineral Universiti Sains Malaysia (USM), Dr
Hisham Hashim; Pakar Botani dari Mesir, Profesor Dr Mohammad Shakran Shuhatah;
Profesor Ali Akbar Zurillah dari Bahagian Kajian Penyelidikan Geologi Turki dan
penceramah bebas serta penulis, Ahmad Shukri Ghazali Siraj.
Kajian menyeluruh di negara yang dikatakan mempunyai pokok kayu kokka seperti
Mesir, Jordan, Turki dan Iran mendapati tidak pernah wujud nama kokka dan apa
yang didakwa sebagai kayu kokka sebenarnya diperoleh daripada spesies pokok
Palma.
Abdul Manan berkata, penyelidikan dilakukan secara berperingkat-peringkat,
iaitu mengesan asal usul kayu kokka dan mengesan pokok yang dikatakan
menghasilkan kayu kokka.
Kami tidak dapat mengesan spesies tumbuhan yang menggunakan nama kokka di
dunia. Jika ada sekalipun, nama panggilan di Jepun, kokua iaitu sejenis pokok
berbatang kecil dan menjalar yang digunakan untuk sejenis upacara keagamaan
dipanggil Shinto.
Ada juga sejenis tumbuhan palma yang sebutannya hampir dengan kokka, iaitu
sebutan bagi orang Turki, kuka daripada asal perkataan Coco De Mer atau
Melanococa digunakan untuk menghasilkan minyak, katanya.
Menurut Abdul Manan, kayu kokka dikesan dihasilkan daripada spesies pokok palma
Attalea Funifera.
Katanya, buah dan tempurung daripada pokok itu sememangnya digunakan untuk
membuat tasbih, gelang, cincin dan barang permainan semata-mata untuk
perniagaan.
Penyelidikan kami mendapati pokok berkenaan tumbuh di Brazil, Colombia dan
Argentina. Di Brazil, pokok berkenaan dikomersialkan, malah mempunyai ladang
seluas antara 20 hingga 2,000 hektar.
Segala hasil pokok itu, seperti buah, tempurung, batang, pelepah dan kulit
pokok dijadikan pelbagai barangan seperti minyak dan dieksport ke negara
seperti Turki, Mesir, Iran, Syria, Libya, Amerika Syarikat, Afrika, India dan
Malaysia, katanya.
Abdul Manan berkata, kayu kokka yang dibawa masuk ke negara ini dan kemudian
dihasilkan dalam bentuk tasbih, gelang, cincin, minyak dan tongkat adalah
seumpama biji kelapa sawit atau biji Tamar yang dijadikan perhiasan.
Tiada bukti dapat mengesahkan pokok yang didakwa kayu kokka itu ada
keistimewaan dan khasiat tertentu.
Bagi mengaitkannya sebagai bahan digunakan bahtera Nabi Nuh as seperti
diuar-uarkan sememangnya jauh tersimpang kerana pokok berkenaan tidak sesuai
dibuat kapal kerana tidak mampu bertahan di atas air, katanya.
Abdul Manan berkata, pokok sebenar digunakan Nabi Nuh bagi membina bahtera dan
tongkat baginda ialah kayu daripada pokok Pine Cypress yang diperoleh di
pergunungan Ararat, Turki.
Menurutnya, penemuan itu berdasarkan kajian dibuat terhadap satu fosil bongkah
kayu lama berusia kira-kira 3,500 tahun milik seorang Arab Kurdis yang mendakwa
dirinya keturunan ke-1750 Nabi Nuh.
Kandungan kimia dalam bongkah kayu berkenaan ialah Alpha Cellulose, Hemi
Cellulose dan Holo Cellulose iaitu asid asal Alpinene.
Kandungan itu bersesuaian dengan hasil kajian dilakukan Profesor Dr Mohammad
Shakran Shuhatah pada 10 Oktober 2007 di Mesir yang menemui hasil sama dengan
spesies Pine Cypress.
Daripada 19 jenis pokok Pine dikaji, spesies Pine Cypress mengandungi
kandungan kimia paling tepat sama dengan kandungan kimia serpihan lama bongkah
kayu itu yang dikatakan serpihan bahtera Nabi Nuh.
Malah, hasil kajian itu juga sama dengan hasil kajian diperoleh kumpulan
pengkaji Inggeris dari 1884 hingga 1954, katanya.
Menurut Abdul Manan, kajian dilakukan Ronald Eldon Wyat pada 1954 menyatakan
pokok Pine Cypress tumbuh di pergunungan Chaldea hingga pergunungan tengah
Armenia di sempadan Rusia hingga ke pergunungan Ararat, tempat bahtera Nabi Nuh
dikatakan tersadai mengukuhkan lagi dakwaan itu.
Hasil penyelidikan Ronald memperkukuhkan bukti pokok sebenar digunakan Nabi
Nuh bagi membina bahtera agung baginda ialah Pine Cypress, bukan kokka,
katanya yang akan menerbitkan buku khusus untuk memperjelaskan kekeliruan
masyarakat terhadap kayu kokka.
Abdul Manan berkata, fosil yang ditemui juga diuji Jabatan Mineral dan Geosains
Malaysia dan ia disahkan spesies Pine Cypress yang masih aktif kandungan
kimianya.
Katanya, dengan pendedahan itu, diharap masyarakat tidak tertipu dan terpedaya
dengan keistimewaan dan kelebihan yang diuar-uarkan mereka yang tidak
bertanggungjawab.
Info
> Kajian mendapati nama kokka tidak pernah wujud
> Apa yang didakwa kayu kokka sebenarnya spesies pokok Palma
> Tiada bukti mengesahkan pokok yang didakwa kayu kokka ada keistimewaan
> tertentu
> Mengaitkan kokka sebagai bahan membuat bahtera Nabi Nuh as sangat diragui
> kerana pokok berkenaan tidak mampu bertahan di atas air
> Pokok sebenar digunakan Nabi Nuh bagi membina bahtera dan tongkat baginda
> ialah kayu daripada pokok Pine Cypress
Petikan: harianmetro.com.my
__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam? Yahoo! Mail has the best spam protection around
http://mail.yahoo.com