Penyediaan Kandungan Dokumentasi

Bahagian ini merupakan tajuk penting, iaitu anda harus memastikan bahawa kertas 
kerja dan pelan perniagaan anda mengandungi kesemua tajuk berikut. Segala isi 
kandungan yang ingin disampaikan terletak di bawah tajuk-tajuk ini. Namun 
begitu, isi kandungan ini juga tertakluk kepada jenis perniagaan yang ingin 
diusahakan, jika perniagaan yang ingin dijalankan merupakan perniagaan yang 
banyak menjurus ke sektor perusahaan, maka tajuk seperti Strategi Pemasaran, 
Implikasi Kewangan dan Janaan Pendapatan haruslah diberi penekanan. Manakala 
jika anda bakal mengusahakan perniagaan berbentuk perkhidmatan maka tajuk 
seperti Situasi Masa Ini, Konsep Pelaksanaan dan Kajian Sasaran dan Persaingan 
haruslah dititik-beratkan.


1.Ringkasan Eksekutif/Pelan

Merupakan tajuk selaku pembuka tirai bagi kertas kerja anda. Di bawah tajuk 
ini, ditulis sinopsis atau ringkasan penulisan anda agar pembaca mendapat 
gambaran menyeluruh tentang perkara yang ingin disampaikan melalui kertas kerja 
dan pelan perniagaan anda. Ringkasan itu dimulakan dengan memberikan idea serba 
ringkas tentang objektif dan matlamat kertas kerja dan nyatakan hasil (output) 
yang diharapkan pada akhir penyampaian pembentangan tersebut. Ringkasan 
Eksekutif/Pelan ini kebiasaannya tidak terlalu panjang dan hanya perlu 
disediakan untuk 1 atau 2 muka surat sahaja.

Di sini jugalah anda perlu menyatakan perkara-perkara yang bakal dibentangkan 
untuk menarik perhatian pembaca atau penilai. Secara psikologi, kita juga 
kadang-kala akan melihat dahulu tajuk-tajuk menarik sesuatu bahan bacaan 
sebelum membelinya, bukan? Begitu juga dengan kertas kerja dan pelan perniagaan 
ini, perlu diperjelaskan agenda-agenda yang akan dibentangkan sebagai faktor 
psikologi untuk pembaca atau penilai khususnya.

Sebagai contoh di sini diberikan cara Ringkasan Eksekutif/Pelan harus ditulis;

Kertas Kerja dan Pelan Perniagaan Pusat Cucian Kenderaan xx ini dibangunkan 
adalah untuk memperlihatkan secara lebih dekat dan terperinci berkenaan 
perkhidmatan/servis perniagaan yang dijalankan sebagai satu Panduan Tindakan 
(guideline) dalam memenuhi matlamat kepuasan pelanggan dan masyarakat setempat 
khususnya. Dalam Kertas Kerja dan Pelan Perniagaan ini juga disertakan pelbagai 
informasi dan keupayaan Pusat Cucian Kenderaan xx yang merangkumi lapangan 
seperti yang berikut:

Perkhidmatan yang disediakan - jenis perkhidmatan cucian dan servis yang 
diusahakan.

Spesifikasi perniagaan yang menjelaskan hala tuju perkhidmatan.

Pelan pemasaran terperinci merangkumi Perniagaan Luar Lanjutan bagi tujuan 
meningkatkan kuantiti pelanggan dan kaedah promosi.

Prosedur Operasi Kerja (S.O.P) bagi perkhidmat-an yang terdapat di Pusat Cucian 
Kenderaan xx.

Strategi pelaksanaan yang dapat menunjukkan gambaran keseluruhan strategi 
perancangan ini.

Diagram Konsep Perkhidmatan (Concept Diagram) Pusat Cucian Kenderaan xx dan 
Konsep Perkhidmatan Luar (Workflow) yang diusahakan.

Senarai aset dan kos-kos yang terlibat untuk permulaan, implikasi kewangan 
harian dan jangkaan purata kemasukan bulanan.

Jangka masa pelaksanaan (timeline) yang dicadangkan.

Dengan adanya Kertas Kerja dan Pelan Perniagaan ini dapatlah dikenal pasti hala 
tuju dan kaedah yang sesuai agar dapat memberikan ruang perkhidmatan kepada 
para pelanggan dengan hanya membabitkan nilai kos yang minimum bagi memulakan 
perniagaan ini. Penyediaan kertas kerja ini juga merupakan salah satu syarat 
utama yang perlu disediakan bagi memohon pinjaman perniagaan seperti yang 
dikehendaki. 

Satu kelebihan jika anda berjaya menyiapkan Ringkasan Eksekutif kerana melalui 
pendekatan ini, anda sebenarnya telah tahu perkara yang ingin disampaikan 
melalui kertas kerja perniagaan tersebut. Saya yakin bahawa anda akan berasa 
selesa untuk meneruskan penulisan kandungan yang seterusnya.



Artikel di atas dipetik daripada Bahagian 2: Penyediaan Kandungan Dokumentasi 
dalam buku ANEKA CONTOH KERTAS KERJA PERNIAGAAN. Maklumat lanjut tentang buku 
ini boleh didapati di www.books.perintis.com.my.

Kirim email ke