PUM bantah langkah serah sijil halal Jakim kepada HDC
Ali Bukhari Amir
Mon | Apr 21, 08
KUALA LUMPUR, 21 April (Hrkh) - Persatuan Ulamak Malaysia (PUM) membantah
langkah kerajaan menyerahkan hak pensijilan halal yang selama ini dikendalikan
oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kepada Halal Development
Corportion (HDC).
Setiausaha Agung PUM Dr Roslan Mohd Nor ketika mengulas isu tersebut berkata,
PUM menyifatkan Pensijilan Halal adalah hak mutlak bagi badan-badan Islam yang
berautoriti seperti Jakim atau Jain.
"Langkah memberi hak pensijilan kepada badan-badan selain badan berkenaan
lebih-lebih lagi kepada pihak yang cenderung menjaga kepentingan ekonomi
semata-mata dikhuatiri akan mengundang keraguan.
"Dan hal ini dihuatiri akan membawa implikasi yang serius terhadap
kepentingan umat Islam," kata beliau dalam suatu kenyataan akhbarnya baru-baru
ini.
Menurut beliau, semua pihak khususnya kerajaan wajar berhati-hati dalam
mengambil langkah berhubung perkara ini.
"Ini kerana, isu halal dan haram dalam makanan melibatkan integriti, darah
daging serta maruah umat Islam.
"Sehubungan itu, kami berharap supaya sebarang langkah yang diambil untuk
mengubah bidang kuasa yang melibatkan hal ehwal Islam termasuk dalam isu
pensijilan halal ini dipandang serius dan ia wajar dibantah," tambah beliau.
Bagi PUM, kata Dr Roslan, pengesahan status sesuatu produk mestilah dilakukan
oleh badan-badan Islam yang ada autoriti tanpa diganggu-gugat oleh mana-mana
pihak yang mempunyai kepentingan.
Selain itu, menurut suatu sumber, langkah penyerahan pensijilan halal kepada
HDC ini mula hangat dibahaskan oleh pihak tertentu yang mula mengesyaki
kalau-kalau wujudnya kepentingan menantu Perdana Menteri, Khairy
Jamaludin, dalam HDC.
"Mungkin ada kepentingan ke atas menantu Perdana Menteri dan rakan-rakannya
kerana mereka ada kaitan dengan World Halal Forum, Mihas dan Syarikat KasihDia
yang mempunyai kaitan rapat dengan Khairy.
"Kami persoalkan hala tuju yang kabur oleh HDC sama ada ia diwujudkan
bertujuan mengaut keuntungan atau menjaga kepentingan umat Islam," kata suatu
sumber.
Tambah sumber, mekanisme penyerahan tugasan Jakim kepada pihak HDC dibuat
secara tergesa-gesa tanpa dirujuk kepada Penasihat Undang-Undang.
"Difahamkan setakat ini, Peguam Negara juga tidak bersetuju. Hingga kini HDC
gagal menerangkan bentuk tugasan yang dilaksanakan oleh HDC secara jelas.
"Antara lain tiada pakar syariah yang mengetahui selok-belok hukum hakam
berkaitan halal, haram dan syubhah. Sedangkan asas penentuan halal dan haram
ataupun syubhah adalah tugas ulamak dan pakar syariah," kata sumber berkenaan.
- mns
---------------------------------
Yahoo! For Good. Give and get cool things for free, reduce waste and help our
planet. Plus find hidden Yahoo! treasure