Jangan bimbang miskin kerana bersedekah Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Bersedekah membantu sesama manusia adalah amalan mulia dan ia tidak akan
menyebabkan kita menjadi miskin. Gambar hiasan
---------------------------------
Al-Maghaghi berkata, selepas Allah menggalakkan pada ayat terdahulu berkenaan
infak dan menerangkan kelebihan berinfak dan juga kepada ummah yang saling
tolong menolong serta bertakaful antara golongan yang kuat dan lemah.
Sayyid Qutub berkata: Keselarasan dapat dilihat dengan jelas pada kenyataan
penamat ini dari segi keumuman dan kesyumulan nas itu sama ada di permulaan
ayat atau pada akhirnya seolah-olah kenyataan penamat ini merupakan nada akhir
yang meliputi segala-galanya walaupun pendek.
Firman Allah: Orang yang menafkahkan hartanya (ke jalan Allah).
Ibn Kathir berkata: Pujian ini daripada Allah kepada yang bersedekah pada
jalan-Nya untuk mencari keredaan dalam semua waktu sama ada malam atau siang.
Begitu juga tersembunyi atau nyata sehingga menafkahkan kepada keluarga
termasuk dalam hal ini.
Al-Syarawi berkata: Masalah infak terbahagi dua sama ada secara jelas atau
sembunyi dan dari segi masanya pula malam dan siang.
Mengikut Imam al-Maghaghi, ayat ini diturunkan kepada Abu Bakar al-Siddiq yang
bersedekah sebanyak 40,000 dinar dan 10,000 dinar pada waktu malam, 10,000 pada
waktu siang, 10,000 secara sembunyi dan 10,000 secara terang-terangan.
Sayyid Qutub berkata: Demikianlah ia jelaskan secara umum meliputi segala
jenis hartanya.
Hamka berkata hati mereka terbuka terus, dan pintu rumah mereka terbuka, dan
peti simpanan mereka pun terbuka. Malam atau siang. Didahulukan di dalam ayat
ini menyebut malam daripada siang; kerana ada orang yang kesusahan tengah malam
mengetuk pintu rumahnya, ataupun dia sendiri pun teringat membantu orang yang
susah, sehingga matanya tidak mahu tidur, malam hari pun dia berjalan juga
untuk menghantarkan perbuatannya. Sedangkan malam dia begitu. Apatah lagi pada
siang hari. Dan dia pun memberikan secara rahsia kepada yang patut menerimanya,
ataupun secara terang-terangan kerana patut terang-terang, namun jiwanya ialah
jiwa yang selalu ingin memberi, sebab jiwa itu telah tergembleng oleh iman.
Sikapnya yang demikian disambut oleh Tuhan dengan janji Allah pasti benar,
bahawa dia akan diberi pahala, ganjaran dunia dan akhirat, terutama di akhirat.
Dan dikuatkan Tuhan semangatnya, kata Hamka.
Firman Allah: Di malam dan di siang hari secara tersembunyi dan
terang-terangan.
Al- Imam Nasafi berkata: Sama ada bersedekah dalam semua waktu dan keadaan
bagi menggalakkan kebaikan apabila keperluan berlaku hendaklah ditunaikan tanpa
mengira waktu dan keadaan.
Sayyid Qutub berkata: Ia merangkumi segala waktu dan segala keadaan.
Firman Allah: Maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya.
Al-Imam Baghawi menaqalkan riwayat daripada mujahid daripada Ibn Abbas
katanya: Ayat ini diturunkan kepada Ali hanya yang mempunyai 4 dirham tidak
yang lain, beliau telah bersedekah 1 dirham waktu malam, 1 dirham waktu siang,
1 dirham secara terang dan 1 dirham secara sembunyi.
Ibn Jauzi berkata, ayat ini turun kepada mereka yang mengikat kuda mereka pada
jalan Allah, inilah riwayat Ibn Abbas.
Sayyid Qutub berkata: Demikianlah ia jelaskan secara umum bahawa mereka akan
mendapat harta yang berlipat-ganda, keberkatan umur, balasan di akhirat dan
keredaan Allah.
Firman Allah: Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka
bersedih hati.
Sayyid Qutub berkata: Yakni tiada apa-apa kebimbangan dari sesuatu yang boleh
menakutkan mereka dan tiada apa-apa yang dukacita dari sesuatu yang boleh
mendukacitakan mereka sama ada di dunia atau di akhirat. Itulah keselarasan
yang terdapat dalam kata penamat perlembagaan sedekah yang lurus, yang
menyarankan keumuman dan kesyumulan.
Walau bagaimanapun, Islam tidak menegakkan kehidupan pemeluknya di atas
pemberian sedekah. Ini kerana seluruh sistem Islam adalah ditegakkan pertamanya
di atas dasar kemudahan kerja dan rezeki kepada setiap orang yang mampu mencari
makan dan di atas dasar pengagihan kekayaan yang baik di antara para
pemeluknya, iaitu mengagihkan kekayaan itu berdasarkan pertimbangan yang benar
dan adil di antara usaha dan ganjaran.
Namun, terdapat keadaan yang terkecuali kerana sebab yang khas dan keadaan
inilah yang diatasi dengan sedekah. Kadang-kadang dalam bentuk zakat yang wajib
dipungut oleh kerajaan Islam yang melaksanakan syariat Allah semuanya. Inilah
satu-satunya kerajaan yang berhak memungut zakat itu.
Ia merupakan salah satu sumber yang penting dari sumber-sumber kewangan negara
bagi kerajaan Islam, dan kadang-kadang pula dalam bentuk sedekah sukarela yang
tidak terbatas yang diberikan secara langsung oleh orang-orang yang mampu
kepada orang yang tidak mampu dengan memelihara peradaban-peradaban yang telah
diterangkan sebelum ini. Juga memelihara sifat menjaga diri dan segan meminta
para penerima sedekah yang telah digambarkan dengan jelas oleh ayat ini.
Sifat ini telah diasuh oleh Islam di dalam jiwa para penganutnya dan membuat
seseorang daripada mereka merasa segan untuk meminta-minta pada orang lain
walaupun ia mempunyai harta yang terlalu sedikit untuk memenuhi keperluan
hidupnya.
Hamka berkata: Kerana hatinya yang lapang lantaran iman, dunia pun lapang di
depannya. Di dalam dia tidak takut akan miskin kerana dermawan, sebab tiap-tiap
yang dibelanjakannya itulah merupakan keyakinannya yang sebenarnya kekayaannya.
Yang masih belum dibelanjakan, belumlah tentu jadi kekayaan. Dan dia tidak akan
berdukacita, sebab Tuhan berdaulat dalam hatinya, dan pintu syurga
Jannatun-Naim selalu terbuka, menunggu kedatangannya.
Al-Hasil berkata: Tidaklah dapat berkumpul dalam hati seorang mukmin di antara
iman dengan bakhil. Dan bakhil adalah alamat yang sangat nyata daripada
kosongnya iman. Sebab itu maka didikan iman daripada al-Quran yang kita terima
langsung tidaklah dapat dipenuhi kitab-kitab yang lain.
---------------------------------
Live Chat NOW! Love in 1 Click!