Hidayah Nur Ain dikongsi insan tercinta Oleh ZUARIDA MOHYIN
Nur Ain Tinungul Abdullah
---------------------------------
BERGELAR mualaf atau saudara baru, rutin kehidupan mereka tidak pernah
terlepas daripada pelbagai dugaan dan cabaran. Kalau pun ada yang dipermudahkan
jalannya, bilangannya sangat kecil dan mereka ini dikira bertuah. Realitinya,
krisis yang melanda ini ada ketikanya menguji keimanan yang masih tipis. Pun
begitu, apabila semua itu berjaya dilepasi, itulah saat yang paling
membahagiakan dan di situlah nikmat kemanisan iman terungkai.
Bagi Nur Ain Tinungul Abdullah, 35, beliau mengakui sebaik diri bergelar
Muslim, pelbagai dugaan datang melanda malah ada ketikanya menimbulkan tekanan.
Namun, semua itu diterima dengan reda dan ikhlas demi kecintaan dan keyakinan
beliau kepada Allah Yang Esa.
"Sungguhpun agama Islam ini sudah lama saya kenali iaitu sewaktu di bangku
sekolah rendah lagi, namun ia tidak bermakna sudah cukup syarat yang melayakkan
saya bergelar Muslim. Sebenarnya, saya mengambil masa agak lama untuk
benar-benar yakin dengan kesyumulan agama Islam.
"Walau bagaimanapun, pada 2 Februari 2000, saya akhirnya mengucap dua kalimah
syahadah di Pejabat Agama Islam Sabah sewaktu pulang bercuti di kampung
halaman," cerita wanita kelahiran Keningau, Sabah ketika ditemui di Pusat
Islam, baru-baru ini.
Akui Nur Ain lagi, biarpun minat awalnya kepada Islam sekadar suka melihat
cara hidup masyarakat Muslim tetapi lama-kelamaan bertambah serius setelah
banyak membaca mengenainya Islam menerusi buku-buku pemberian seorang teman.
"Saya masih ingat lagi perkenalan dengan seorang anak ustaz bernama Farhana.
Mereka sekeluarga berasal dari Kuala Lumpur dan berhijrah ke Sabah kerana
bapanya menerima arahan untuk mengajar di sekolah saya.
"Kami memang berkawan baik malah saya mengenali rapat kedua-dua orang tuanya.
Banyak amalan mereka sebagai seorang Muslim seperti solat, puasa dan akhlak
mereka, begitu memikat hati saya.
"Semuanya menjadi serius selepas membaca tafsir al-Quran yang dipinjamkan
Farhana. Sejak itu, saya bertambah berminat mendalami tentang Islam. Pada masa
itu, minat sudah ada tetapi hidayahnya belum sampai," akui Nur Ain yang pernah
mengusahakan salon kecantikan dan dandanan rambut sebelum memilih melakukan
kerja itu secara freelance (bebas).
Menyambung kisah penghijrahan akidah, kata Nur Ain, selepas tamat persekolahan
pada 1993, beliau berhijrah ke Kuala Lumpur dengan perancangan bekerja sambil
belajar.
Apatah lagi, bidang kecantikan yang diminati lebih banyak ditawarkan di kota
metropolitan, Kuala Lumpur.
"Memandangkan pemergian saya pada masa itu atas kehendak dan pilihan sendiri,
jadi saya terpaksa berdikari demi menampung perbelanjaan sara hidup di tempat
orang.
"Sungguhpun sibuk dengan pengajian dan pekerjaan namun minat saya kepada Islam
tidak pernah pudar. Dalam kesibukan itu, saya tetap meluangkan masa untuk
membaca bahan-bahan berkaitan Islam.
"Lumrah anak perantauan, tinggal sendirian di Kuala Lumpur, pergaulan saya
lebih banyak dengan orang Melayu. Ini secara tidak langsung, menambah pemahaman
dan keyakinan dengan agama Islam," cerita Nur Ain yang menemui hidayah Ilahi
tujuh tahun kemudian.
Menyedari diri berseorangan bergelar Muslim, lantaran itu, Nur Ain sentiasa
tidak melepaskan peluang mengikuti pengajian agama di mana-mana pejabat agama
mahupun badan-badan bukan kerajaan seperti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia
(Perkim).
Menurutnya, hanya dengan ilmu sahaja dapat memberi keyakinan dan kekuatan
terutamanya kepada golongan mualaf untuk berhadapan dengan pelbagai tohmahan
yang dilemparkan, sama ada dari bukan Islam dan masyarakat Islam itu sendiri.
Selalunya tentangan itu wujud daripada mereka yang tidak mengenali Islam dalam
erti kata yang sebenar.
"Saya tidak salahkan mereka kerana kekeliruan itu timbul kerana orang Islam
itu sendiri tidak menunjukkan contoh akhlak Muslim.
"Banyak yang berlaku kepada teman- teman mualaf saya mereka disisih atau
dipinggirkan keluarga dengan alasan agama Islam ini menganiaya wanita, agama
kekerasan, agama yang mundur dan berbagai-bagai lagi.
"Namun, nasib baiklah mereka ini belajar agama, sekurang-kurangnya apa yang
melanda mereka boleh ditepis dengan ilmu pengetahuan daripada guru-guru agama
yang bertauliah.
"Sebenarnya, cabaran bergelar saudara baru itu amat besar dan banyak. Tanpa
ilmu dan sokongan, tidak mustahil boleh kecundang. Nauzubillah...
"Sebab itulah saya seronok mengikuti kelas agama. Ia bukan sahaja peluang
untuk menuntut ilmu tetapi berkongsi masalah serta membuka minda.
"Alhamdulillah, apabila kita memiliki ilmu, ia memudahkan amalan, sekali gus
menjadikan kehidupan kita itu lebih bermatlamat duniawi dan ukhrawi," akui Nur
Ain.
Beliau juga sudah bertahun mengikuti kelas pengajian agama kendalian Jabatan
Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada setiap Isnin hingga Jumaat.
"Peristiwa paling bermakna dalam kehidupan saya sebagai seorang Muslim ialah
apabila lapan adik-adik saya mengucap dua kalimah syahadah dan ia adalah saat
yang paling menyentuh perasaan," katanya yang mempunyai 10 adik-beradik.
Tambah manis lagi apabila ayahnya juga mengikut langkah mereka iaitu pada
tahun lalu dengan menggunakan nama, Mohamad Affendy Abdullah, 57.
Tiada ucapan yang dapat menggambarkan kesyukuran dan kegembiraan itu selain
lebih mengakui kekuasaan Allah itu.
Sungguhpun, ibunya tidak sempat mengucap syahadah secara rasmi tetapi kata Nur
Ain, sebelum beliau menghembuskan nafas pada 2004 telah ada tanda-tanda dan
tingkah lakunya yang menampakkan penerimaan Islam.
"Pengislaman mereka adalah hadiah paling bererti dalam hidup ini. Sesungguhnya
peristiwa ini menguatkan lagi keazaman saya untuk terus berdakwah.
"Orang selalu bertanya rahsia kejayaan saya mengislamkan hampir keseluruhan
ahli keluarga. Sebenarnya itu semuanya hidayah Ilahi, sebagai hambanya, saya
hanya terus-menerus berdoa.
"Saya percaya dakwah bil-hal juga punyai kekuatan tersendiri. Kita lihat
sendiri bagaimana Baginda Rasulullah SAW mempamerkan akhlak mulia sebelum
berdakwah secara terang-terangan.
"Perkara yang sama juga saya praktikkan kepada ahli keluarga dan meneruskan
tanggungjawab sebagai anak dan kakak," ujar Nur Ain yang terpanggil menjalankan
kerja-kerja pendakwahan kerana menyedari kewajipan atas suruhan menyampaikan
dakwah walaupun sebaris ayat
---------------------------------
Yahoo! Toolbar is now powered with Search Assist. Download it now! /a