Kenaikan harga minyak kali ini memberi kesan kepada semua golongan masyarakat 
di Malaysia termasuk mereka yang dari kalangan “middle class”, golongan 
professional dan sederhana.

Ada beberapa cara yang berkesan untuk menghadapi kesan kenaikan harga minyak 
ini untuk mereka yang berulang alik ke tempat kerja iaitu samada menggunakan 
pengangkutan awam, menggunakan kenderaan berkuasa NGV, berkongsi kereta atau 
menggunakan motosikal.

Untuk menggalakkan pengguna jalanraya menggunakan motosikal, kerajaan haruslah 
mengkaji secara serius kaedah pengeluaran lesen memandu motosikal serta cukai 
jalan , terutamanya motosikal yang berkuasa rendah iaitu 150 cc ke bawah.

Berikut adalah beberapa cadangan agar lebih ramai pengguna jalanraya 
menggunakan motosikal dengan ini dapat membantu rakyat menghadapi kesan 
kenaikan harga minyak :

1. Pemansuhan Lesen Memandu Motosikal 150 cc ke bawah
Adalah dicadangkan agar lesen memandu motosikal 150 cc ke bawah dimansuhkan. 
Perkenalkan undang-undang mereka yang mempunyai MyKad dan berumur 16 tahun ke 
atas tidak perlu lesen memandu motosikal. Rasionalnya ialah sekarang ini pun di 
bandar-bandar, apatah lagi di kampung-kampung, di tanah-tanah rancangan ramai 
yang menunggang motosikal berkuasa kecil ini tidak mempunyai lesen memandu. 
Lebih teruk lagi jika di taman-taman perumahan , kanak-kanak sekolah rendah pun 
diberi kebenaran ibu bapa membawa motosikal dalam keadaan yang membahayakan. 
Keutamaan penguatkuasaan larangan menunggang motosikal sepatutnya dikenakan 
kepada mereka yang dibawah umur, bukannya pekerja-pekerja kilang, 
penoreh-penoreh getah, buruh am dan sebagainya.

2. Pemilik Lesen Kenderaan Kelas D Tidak Perlu Lesen Memandu Motosikal 150 cc 
ke bawah
Sekiranya cadangan yang pertama tadi tidak dapat dilaksanakan, kerajaan 
haruslah mempertimbangkan agar pemilik lesen kenderaan kelas D tidak perlu 
lesen memandu motosikal 150 cc ke bawah. Rasionalnya ialah kebanyakan golongan 
“middle class”, golongan professional dan sederhana mempunyai lesen kenderaan 
kelas D tetapi tidak mempunyai lesen memandu motosikal 150 cc ke bawah. 
Sekiranya cadangan ini diterima pakai , ianya akan menggalakkan golongan ini 
untuk menggunakan motosikal ke tempat kerja.

3. Pemansuhan Cukai Jalan Untuk Motosikal 150 cc ke bawah
Jika kita perhatikan sekarang ini ramai pekerja-pekerja yang berpendapatan 
rendah, orang kampung, penoreh getah, mereka yang tinggal di tanah-tanah 
perancangan sudah bertahun-tahun tidak memperbaharui cukai jalan. Sekiranya 
mereka hendak memperbaharui cukai jalan untuk mendapatkan rebat RM 150, mereka 
perlu membawa motosikal mereka ke Puspakom untuk diperiksa. Sekiranya mereka 
tinggal di pedalaman , di kampung-kampung, di tanah-tanah perancangan adalah 
tidak munasabah untuk memperbaharui cukai jalan untuk mendapatkan rebat RM 150. 
Justeru itu adalah disarankan agar cukai jalan motosikal 150 cc ke bawah 
dimansuhkan. Untuk mendapatkan rebat RM 150 cukup dengan pemilik motosikal ini 
mendapat pengesahan di balai polis berhampiran yang motosikal mereka berada 
dalam keadaan selamat berserta dengan geran asal motosikal.

Apa yang penting di sini ialah kesedaran penunggang motosikal mengenai 
keselamatan di jalanraya serta sikap bertimbang rasa ketika memandu. Pemilik 
motosikal haruslah mempunyai kesedaran bahawa memandu dengan cermat serta 
memilikki motosikal yang selamat adalah untuk kebaikan mereka sendiri.

Sementara itu pihak berkuasa terutamanya pihak polis dan JPJ masih boleh terus 
menjalankan operasi terhadap motosikal tetapi tidak perlu lagi bertanyakan 
cukai jalan dan lesen memandu motosikal 150 cc ke bawah. Pihak polis dan JPJ 
akan lebih memberi perhatian akan aspek keselamatan antaranya mereka yang 
memandu di bawah umur, di bawah pengaruh alkohol dan dadah, motosikal tidak 
mengikut spesifikasi dan sebagainya.

Apa yang peliknya di Malaysia ini ialah ada yang setelah mendapat lesen memandu 
yang sah akan membawa motosikal atau kereta dalam keadaan yang merbahaya. 
Sedangkan ada yang memandu dengan berhati-hati ke tempat kerja, ke klinik untuk 
membawa anak yang sakit disaman kerana tidak mempunyai lesen memandu yang sah 
dan tiada cukai jalan.


   Rozmal http://waghih.blogspot.com   Yayasan Amal Malaysia 
http://www.amalmalaysia.net  Kelab AMAL NS http://amal-ns.blogspot.com   
Institut Kajian Angkasa http://ikam-space.blogspot.com   Pusat Pendidikan As 
Saidiyyah http://puspa-ns.blogspot.com



Kirim email ke