http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=89942

Dakwah Remeh dan Ranting ?



Oleh



Zaharuddin Abd Rahman



www.zaharuddin.net



Semalam
saya membaca satu berita yang menggembirakan jika dilihat dari sudut
pandang Islam. Namun saya yakin ia berita yang negatif jika dilihat
dari sudut nafsu wanita moden yang sentiasa ingin ‘bebas' dalam cara
pemakaian mereka, kononnya di atas nama ‘hak kebebasan'.


Berikut adalah beritanya :-




 

KOTA BHARU
23 Jun - Larangan pemakaian gincu dan kasut tumit tinggi ialah antara
arahan yang ditetapkan kepada pemegang lesen dan pekerja di dalam
kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di
sini.


Yang Dipertua MPKB-BRI, Shafie Ismail berkata, arahan
itu bagi mengelak berlakunya anasir jahat seperti rogol dan zina selain
menjaga maruah serta peribadi muslimah di negeri ini.



Katanya,
wanita muslimah dilarang memakai solekan yang jelas dilihat seperti
gincu dan tidak dibenarkan memakai kasut bertumit tinggi yang
mengeluarkan bunyi.


....Sekiranya hendak memakai kasut bertumit tinggi,
tumitnya haruslah diperbuat daripada getah,'' katanya menerusi
pekeliling yang dikeluarkan kepada wanita beragama Islam yang bekerja
mengendalikan premis makanan dan bukan makanan di dalam kawasan
MPKB-BRI.


Bagaimanapun Shafie tidak dapat dihubungi Bernama untuk
mendapatkan penjelasan terperinci berkenaan larangan pemakaian gincu
itu.


Selain itu, beliau berkata, antara etika lain yang
perlu dipatuhi ialah memakai tudung yang labuh, tidak jarang dan
menutup dada, memakai baju berlengan panjang sehingga ke pergelangan
tangan, memakai baju labuh dan longgar serta memakai sarung kaki.


Shafie berkata, kegagalan mematuhi peraturan dan etika
yang ditetapkan itu akan dikenakan kompaun sebagaimana yang
diperuntukkan mengikut Undang-Undang Kecil Majlis Perbandaran Kota
Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) 1986 dan jika sabit kesalahan boleh
dikompaun tidak lebih RM500. - BERNAMA.



 




Saya
mengucapkan tahniah kerana pihak berwajib yang bersungguh  melaksanakan
etika sebegini. Namun sudah pasti di zaman kerosakan akhlak dan
kebanjiran masalah sosial ini, pelaksanaan etika ini akan dilihat
PELIK, JANGGAL, ZALIM dan pelbagai lagi.



Bagi mereka yang ingin membaca hujjah lanjut saya dalam hal ini, anda boleh 
membaca di artikel berikut :-



1)      Aurat Wanita  : Apa Sudah Jadi?



2)      Dilema Aurat Wanita Bekerja & Suami Nusyuz



3)      Suami & Lelaki Dayus



Bagi
mereka yang memahami Islam dari sumber yang sohih, ia tidak pelik sama
sekali malah tepat sekali terutamanya di waktu wanita keluar bekerja.



Sabda Nabi s.a.w :-



إن الإسلام بدأ غريبا وسيعود غريبا كما بدأ



Ertinya :
Sesungguhnya Islam dahulu datanag dalam keadaan asing, dan ia akan
kembali semula dalam keadaan yang dilihat asing" (Riwayat Muslim)



Al-Qadhi
‘Iyadh mengulas bahawa di waktu Islam muncul dahulu, ia hanya diamalkan
oleh sebilangan kecil pengikut, justeru ajaran-ajarannya dilihat begitu
pelik dan asing dari kebiasaan masyarakat Jahiliyyah, kemudian Islam
tersebar luas di seluruh dunia. Sesudah itu, semakin ramai yang akan
culas dari ajaran Islam sehingga Islam tidak diamalkan kecuali oleh
sedikit manusia sahaja. Tatkala itulah kumpulan yang ingin dan telah
mengamalkan Islam AKAN DILIHAT BEGITU PELIK oleh si Jahil, munafiq dan
kafir yang merupakan majoriti.



 




 

Inilah
yang saya kira akan berlaku kepada usaha kerajaan Kelantan yang ingin
melaksanakan etika aurat ini. Pasti ramai yang akan mengecilkannya dari
kelompok yang telah saya sebutkan di atas.



ISU REMEH SAHAJA



Tidak
kurang juga ada yang mengutuk usaha Kelantan ini sebagai usaha yang
sangat kecil dan meninggalkan priority. Tidak berbaloi, ranting dan
lain-lain. Jika berjaya, ia kejayaan remeh, demikianlah kesimpulan yang
lahir dari minda si pengkritik.



Saya
teringat, ketika saya muncul secara ‘live' di RTM 1 sekitar sebulan
lepas membicarakan persoalan harta dan pendapatan syubhat dalam urusan
kewangan harian, ada seorang pemanggil yang saya tidak pasti ingin
bertanyakan soalan atau memberikan pandangan. Individu yang bertanya
itu berkata :



"Bukankah
isu yang sedang kita bincangkan ini hanya isu ranting, malah banyak
lagi isu besar yang patut dibincang..bla bla bla.."



Itulah
point utama komennya, ia seolah-olah tidak puas hati kerana kononnya
kami membuang masa membincangkan perkara ranting, meninggalkan
perbincangan hal besar dan usul.



Panjang jika saya ingin mengulas benar-benar, namun cukuplah saya katakan, 
adakah anda faham apa itu ranting dan usul?



Sebenarnya
isu harta haram ini bukan isu ranting bahkan ia isu usul dan kekal
pengharamannya sehingga hari kiamat. Malah ia memberI kesan kepada
seluruh system iman dan nilai seseorang sebagaimana hadis nabis.a.w
yang telah banyak saya perkatakan sebelum ini. Demikian juga isu aurat
dan zina.



Selain
itu, ingin saya tegaskan sikap sombong dan besar diri beberapa individu
yang ‘kononnya' merekalah juara dalam isu besar dan usul sehingga
memperkecilkan kerja dan usaha baik orang lain. Sikap ini perlu
dijauhinya sama sekali.



Benar,
saya selalu mendengar kutukan dari satu pihak terhadap usaha kebaikan
Islam yang cuba dilakukan oleh pihak lain hanya kerana kononnya ia isu
kecil dan ranting. Lalu diikuti kutukan itu dengan merendah-rendahkan
tugasan dan usaha yang dilakukan. Ia tidak sama sekali dari cara Islam.



TIADA DAKWAH MELAINKAN DENGAN BERPOLITIK KEPARTIAN?



Samalah
juga dengan mereka yang berjuang Islam melalui sesuatu paltform, akan
memperkecilkan usaha dakwah pendakwah LAIN YANG TIDAK melalui wadah
yang sama dengan mereka. Sebagai contoh, kerap kita lihat kejumudan
minda beberapa individu yang berjuang Islam melalui politik kepartian,
lalu diremeh dan dikutuk semua yang tidak berjuang Islam melalui
politik secara terangan seperti mereka. Dicemuh kononnya ‘tercicir'
dari jalan dakwah. Apa mereka ingat dakwah itu khas buat mereka,
tertipu sungguh mereka dengan permainan perasaan oleh Syaitan.



Astagfirullah,
tidak sedarkah mereka ia satu penyakit ‘ujub dan merasa diri hebat
dengan jalan perjuangan itu. Memperjuangkan Islam punyai cara yang amat
luas dan pelbagai, tidak perlu semua mengikuti rentak dan cara yang
sama, kaedah perlu di pelbagai sesuai dengan kumpulan sasaran.



Bahkan
berjuang Islam melalui politik kepartian itu sendiri amat luas skopnya,
dan bukan hanya dengan berterus terang sebagai ahli atau pimpinan parti
tertentu. Berceramah di musim pilihanraya atas pentas, berdemontrasi
aman, menyerah memorandum, mengulas isu politik kapartian dengan terus
terang dan lain-lain atas nama parti. Inilah sahaja yang dikategorikan
'berani' dan 'berjuang Islam' oleh segelintir mereka.



Kita dapat
lihat di zaman ini, begitu ramai ulama berperanan walaupun tanpa komit
dengan parti politik kepartian tertentu. Seperti Syeikh Dr. Yusuf
Al-Qaradawi, Syeikh Dr Wahbah Az-Zuhayli, Dr Ramadhan Al-Buti dan ramai
lagi. Buku tulisan mereka, kertas kerja pembetangan mereka tersebar
seluruh dunia dan dimanfaatkan oleh kawan dan lawan, berparti dan tidak
berparti.



Tidak
dinafikan ramai juga yang mengambil jalan politik kepartian seperti
Syeikh Dr. Abdullah Azzam, Dr Muhd Abu Faris, Syeikh Dr Hammam Sa'id
dan lain-lain. Justeru kedua-duanya cara dan kaedah punyai faedah dan
kelebihan masing-masing, menafikan usahakan kedua-dua cara adalah
KEJAHILAN yang menyedihkan.



Apa yang
penting untuk difahami, biarlah setiap orang berjuang dengan cara
mereka. Anda tidak tahu manakah yang lebih utama, berjasa dan lebih
ikhlas di sisi  Allah swt. Ada yang berjuang Islam melalui politik,
teruskan. Ada mengambil jalan akademik, ada yang ikuti jalan NGO,
korporat, motivasi, sekolah, tadika, menyediakan perniagaan dan makanan
halal dan lain-lain. Setiap satu melengkapi antara satu sama lain. Mana
yang terbaik di sisi Allah?, ia bergantung kepada dalaman, usaha
bersungguh dan keikhlasan  si pendakwah.



Allah swt berfirman :-



قُلْ كُلٌّ يَعْمَلُ عَلَى شَاكِلَتِهِ فَرَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَنْ هُوَ أَهْدَى 
سَبِيلاً





Ertinya : Katakanlah: ""Tiap-tiap orang berbuat amalan menurut keadaannya 
masing-masing"". Maka tuhanmu lebih mengetahui siapa yang lebih benar jalannya" 
( Al-Isra : 84 )



Ibn Abbas
menyatakan erti "syakilatihi" dalam ayat ertinya " sudut
masing-masing", manakala sebahagian lain mengatakan berdasarkan niat
masing-masing( At-Tabari, 15/154 ; Al-Qurtubi, 10/322)



Buat pihak
yang suka dan berhasrat untuk mengutuk kerja dan usaha baik orang lain,
sedarilah anda sebenarnya sedang MELAKUKAN DOSA dan menjauhkan orang
dari Islam dan hidayah Allah.  Disebutkan dalam sebuah hadis :-



‏لا تحقرن من المعروف شيئا ولو أن ‏ ‏تلقى أخاك ووجهك منبسط



Ertinya :
"Janganlah kamu mencela apa jua perkara kebaikan (yang dilakukan) ,
walaupun hanya sekadar seseorang bertemu saudaranya dengan wajah yang
senyum dan riang.." ( Riwayat Ahmad , dari hadis Jabir , no 19717 )



Justeru, apa jua kebaikan yang mampu diusahakan oleh seseorang, kita ditegah 
untuk memperlecehkannya.



Sekian,



 



Zaharuddin Abd Rahman



www.zaharuddin.net



24 Jun 2008




      

Kirim email ke