Abd. Latif Lawrence mahu istiqamah dalam ibadat
Oleh: ZUARIDA MOHYIN



HUBUNGAN mesra sesama rakan sekerja sentiasa dijaga oleh Mohd. Abd. Latif A. 
Lawrence Augustin (kiri).


GENGGAM bara api biar sampai jadi arang, pepatah Melayu ini paling
sesuai dengan prinsip yang menjadi pegangan Pengurus Pembelian di
sebuah hotel di Subang Jaya, Selangor, Mohd. Abd. Latif A. Lawrence
Augustin, 35, sejurus mengambil keputusan memeluk Islam lebih 10 tahun
lalu di Pejabat Agama Islam Perlis.

Pilihan pengurus muda yang dibesarkan di Behrang Ulu, Tanjung Malim,
Perak itu untuk bertukar agama diakui sememangnya mengguris hati
kedua-dua ibu bapanya, apatah lagi bila mengetahui bahawa keputusan itu
turut disebabkan oleh faktor perkahwinan.


Namun jauh di sudut hatinya, apa yang dilakukan itu tidak sama
sekali bertujuan untuk menconteng arang ke muka mereka atau mahu
bergelar anak derhaka. Inilah yang dikatakan qadak dan qadar Tuhan.

“Pun begitu hidayah yang diterima ini kalau tidak dihargai
penerimanya, ia tidak ke mana.
Mengapa saya katakan demikian? Ini
kerana minat dan rasa cinta saya kepada Islam hadir selepas menganuti
Islam. Umpama jatuh cinta atau bercinta selepas berkahwin.

“Sungguhpun cabaran berhadapan dengan keluarga agak hebat,
alhamdulillah.., sokongan dan galakan daripada masyarakat sekeliling
sewaktu berkerja di Pulau Langkawi hingga kini, banyak menimbulkan rasa
kecintaan dan minat mendalami ilmu Allah yang cukup luas dan sempurna.

“Perkenalan dengan imam di masjid Kuala Triang, Pulau Langkawi,
Abang Rocky, Zahari, Ustaz Imran iaitu Imam Masjid Subang Jaya, isteri
serta pihak pengurusan hotel adalah antara mereka yang banyak memainkan
peranan dan membawa perubahan dalam kehidupan saya,’’ cerita anak
sulung daripada empat adik-beradik ini sewaktu ditemui, baru-baru ini.

Tambah beliau, perubahan yang dialami ini bukan omong kosong tetapi
ia dapat dirasai oleh dirinya sendiri. Lebih-lebih lagi bagi seorang
yang tergolong sebagai mualaf.


Akui Abd. Latif, kalau sebelum ini membaca surah-surah lazim
langsung tidak diketahui, kini semakin berjaya dikuasai. Malah lebih
membanggakan, kelas mengaji yang dihadiri sejak tiga tahun lalu semakin
menampakkan perubahan.

Abd. Latif menyifatkan dirinya bertuah kerana ramai yang inginkan
Islam masih belum menerima hidayah. Malah katanya, apabila kita dapat
mempraktikkan perintah Allah dalam kehidupan seharian, ketenangan yang
wujud tiada tolok bandingannya.

“Saya berazam memperbaiki dan menaiktaraf ibadah dan amalan harian
seperti melakukan solat dhuha, tahajud secara perlahan-lahan. Saya juga
cuba memperuntukkan sedikit masa dalam sehari itu untuk membaca
al-Quran biarpun sebaris ayat.


Saya berharap dapat membaca al-Quran dengan tajwid yang betul, mengamalkannya 
dan mampu mengepalai sesebuah majlis,” katanya.

Kalau orang kata, ‘berdikit-dikit lama-kelamaan menjadi bukit’ begitu jugalah 
kita sebagai umat-Nya.

“Janganlah kita melakukan sesuatu itu berlebih-lebihan kemudian
langsung meninggalkannya umpama, hangat-hangat tahi ayam. Bagi saya apa
yang lebih baik, ikutlah pepatah yang pertama itu tadi.


“Saya tidaklah mengatakan diri saya baik tetapi itulah yang cuba
saya lakukan sebelum saya boleh bergerak lebih jauh. Malah keterampilan
para pendakwah mualaf sentiasa menjadi pemangkin semangat saya demi
menegakkan syiar Islam,” kata Abd. Latif yang mengakui mualaf dan
cabaran adalah begitu sinonim.

Pun begitu, tegas beliau, alasan cabaran tidak wajar menyekat
seseorang mualaf itu untuk lari daripada tanggungjawab bergelar
hamba-Nya. Seharusnya halangan-halangan seperti ketiadaan sokongan,
tersisih, kesukaran mencari ilmu dan banyak lagi menjadi titik
perubahan untuk menafikannya sekali gus membuktikan Islam bukannya
agama mundur tetapi satu cara hidup dan amalannya menepati fitrah
manusia.

Lantaran itu, selemah-lemah usaha adalah dengan berdoa kerana itulah
senjata manusia.
Apatah lagi banyak ayat al-Quran dan hadis yang
menjelaskan banyak berkaitan doa.

Sebenarnya, Islam itu mudah tetapi apa yang berlaku umatnya yang
menyusahkannya. Dalam mempraktikkan ibadat solat contohnya, aspek
kemampuan diri mualaf menjadi keutamaan dan pada masa yang sama
berusaha untuk memperbaikinya.

Di samping itu, kata Abd. Latif, melihat anak-anak membesar
mengujanya untuk memenuhi ilmu di dada terutamanya yang bersangkutan
pendidikan agama Islam.

“Saya selalu terfikir, bagaimana hendak berdepan dengan situasi
anak-anak yang sentiasa meminta tunjuk ajar bapa mereka. Sekarang pun,
saya mengalaminya. Kadang-kadang ada masanya saya ajar mereka tetapi
tidak kurang juga, kita belajar daripada anak-anak,” jelasnya.

Sebab itulah dalam kes-kes mualaf, orang sekeliling kena memainkan
peranan yang penting. Janganlah menjadi punca golongan ini hilang
keyakinan dan putus asa.


Kata Abd. Latif, jika tidak dapat membantu dari segi kewangan maka bantulah 
mereka ini dari segi lain.


“Kita mestilah sentiasa beringat bahawa kehidupan ini bukan sahaja bermatlamat 
dunia tetapi akhirat itu adalah lebih kekal.

“Lantaran itu, imbuhan di dunia tidak bermakna seandainya aset
akhirat kosong belaka.
Malah saya cukup terluka dengan sikap segelintir
umat Islam yang suka mempertikaikan pengislaman seseorang mualaf itu,”
jelas Abd. Latif.

Berkongsi pengalaman menarik sewaktu berada beberapa bulan di sebuah
hotel di Beijing, China, cerita beliau, toleransi agama yang diamalkan
di sana amat membanggakan dan wajar dicontohi rakyat Malaysia.


Manakan tidak, sungguhpun hanya mempunyai 30 kakitangan beragama
Islam, pihak hotel di situ mengambil inisiatif menyediakan tempat makan
dan dapur memasak yang berasingan dengan kakitangan bukan Islam.

Ujar Abd. Latif, beliau sentiasa menitikberatkan soal pembelajaran
asas, sentiasa mengikut al-Quran dan sunah, berusaha mendalami ilmu,
menjaga imej dan penampilan serta membina kerjaya bagi membuktikan
kesyumulan Islam.


Kesemua ini penting demi memartabatkan umat Islam dan memberi gambaran jelas 
Islam kepada bukan Islam.


Malah sekiranya kita menguasai perkara-perkara di atas, ia turut
menyumbang kepada usaha dakwah Islamiyah. Akui Abd. Latif berdakwah
tidaklah susah, bermula dengan diri sendiri sudah cukup memadai.

Beliau bersyukur hubungan kekeluargaan yang renggang suatu masa
dahulu, telah menampakkan sinar perubahan, lebih-lebih lagi selepas
berpeluang berpelukan dan mencium tangan bapa.


Malah Abd. Latif  juga berazam untuk berjaya dalam hidup dan lebih mendekati 
Allah tahun demi tahun.

“Saya amat berharap agar suatu ketika nanti orang akan memberitahu
kepada bapa perkara-perkara baik tentang saya. Itu lebih mendatangkan
kepuasan.


“Kini saya bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan dan dalam masa
yang saya terus berusaha memperbaiki kehidupan dan kerjaya,” tambahnya


Apabila kita berjaya lebih banyak yang boleh disumbangkan kepada
agama. Dengan adanya kekuatan dari segi ekonomi, banyak bantuan boleh
disalurkan demi memajukan umat Islam.


“Sesungguhnya dunia ini adalah sementara, yang kekal adalah akhirat,
lantaran itu apa yang dilakukan kenalah selaras dengan kehendak Islam
agar menjamin kehidupan kita di dunia dan akhirat,” kata Abd. Latif
yang berhasrat memanjangkan sumbangannya kepada golongan mualaf yang
lain.

Perkahwinan Abd. Latif dengan Noorli Mohd. Noor, 35 dikurniakan tiga
cahaya mata iaitu Farah Azwani, 14, Fatin Ilyana, 9, dan Mohammad Adam
Nasrullah, 6.



      New Email addresses available on Yahoo!
Get the Email name you've always wanted on the new @ymail and @rocketmail.
Hurry before someone else does!
http://mail.promotions.yahoo.com/newdomains/sg/

Kirim email ke