*Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang*
Thu | Jul 10, 08 | 7:00:31 am MYT

Semua di kalangan kita menyedari bahawa dunia Islam terletak dalam kedudukan
yang strategik di peta dunia.

Negara-negara umat Islam kaya dengan hasil bumi semulajadi yang turut sama
memberi sumbangan kepada seluruh dunia. Umat Islam bertebaran di seluruh
dunia sama ada di Timur atau Barat.

Mereka merupakan tenaga manusia yang memikul amanah dakwah agama Islam, yang
mengajak kepada keamanan , keadilan dan persaudaraan antara sesama manusia.

Tenaga kerja umat Islam pula dapat menjana tenaga kerja mahir dalam pasaran
global yang luas. Umat Islam juga merupakan umat yang mampu membangunkan
tamadun manusia dan mentajdidkannya. Namun kesan dan pengaruh penjajah masih
lagi utuh dan teguh.

Situasi ini menghalang usaha murni untuk membangunkan aspek kerohanian dan
material umat Islam itu sendiri apatah lagi untuk mambangunkan manusia
keseluruhannya supaya mereka menjadi umat yang disebut oleh Allah sebagai
umat yang terbaik.

Marilah kita menyedari bahawa Orde baru dunia hari ini adalah merupakan
hasil dan cetusan strategi penjajah yang bertujuan untuk membendung
kebangkitan Islam dan seterusnya menyekat umat Islam daripada kembali kepada
ajaran agama Islam yang menjadi punca keagungan kita.

Negara-negara umat Islam hari ini tidak mempunyai kebebasan dalam menyusun
hal ehwal ekonomi, pentadbiran, pendidikan dan media. Mereka masih
dibelenggu oleh peraturan yang ditetapkan oleh penjajah. Namun pada masa ini
peraturan-peraturan penjajah itu dilaksanakan oleh anak bangsa kita yang
menerajui sistem pemerintahan dan mereka bercakap dengan bahasa kita.

Dalam masa yang sama, gerakan Islam yang berjuang untuk membebaskan umat ini
daripada cengkaman penjajah terpaksa berdepan dengan berbagai halangan dan
rintangan sama ada dari dalam atau luar.

Sekalipun mereka bergerak dengan cara aman seperti menggunakan kaedah
demokrasi, kebebasan hak asasi manusia, keadilan dan berbagai syiar yang
dimomokkan oleh order baru pada masa ini, gerakan Islam masih dihalang
daripada menegakkan syiar-syiar tersebut kecuali dengan syarat mengubah
Islam atau mengenepikan asas-asas keimanan dan akhlak sebagaimana yang
dikehendaki oleh mereka.

Jika kita mengimbau sejarah umat Islam, kita dapati umat Islam telah berjaya
memberikan sumbangan yang besar kepada umat manusia khususnya di zaman
keagungan Islam. Islam telah mengemukakan sistem yang terbaik dalam
menguruskan sumber manusia sama ada dalam pembentukan individu, sistem
pemerintahan, pengurusan ekonomi dan sebagainya.

Islam juga berjaya memberikan definisi yang jelas mengenai nilai-nilai baik,
keadilan, persaudaraan antara sesama manusia dan hak-hak asasi kemanusiaan.
Dari sudut yang lain Islam juga berjaya meletakkan manusia sebagai hamba
yang mengabdikan diri kepada Allah dan menjadi khalifah Allah di atas muka
bumi ini.

Antara keistimewaan Islam adalah kesesuaiannya dengan fitrah dan naluri
semula jadi manusia. Oleh itu al-Quran memberikan petunjuk kepada manusia
sama ada melalui peraturan-peraturannya atau kisah-kisah yang dipaparkan
supaya ia menjadi panduan kepada manusia dalam semua urusan mereka.

Islam merupakan agama yang paling sempurna mengatasi segala idealogi dan
pemikiran yang dijadikan asas kepada order baru dunia hari ini. Kepincangan
dan kelemahan idealogi manusia ini boleh mengancam keamanan dan kestabilan
dunia sehingga tersebarnya gejala-gejala buruk dalam masyarakat dan negara.
Manusia diancam kebuluran dan ketakutan sehingga akhirnya boleh membawa
kepada kemusnahan dan kehancuran.

Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara-saudara kita di Turki
yang telah menganjurkan muktamar tahunan yang menghimpunkan seluruh
persatuan-persatuan dan gerakan Islam di seluruh dunia.

Muktamar ini diharap akan dapat menyatukan saf perjuangan umat Islam. Saya
juga berharap semoga muktamar ini akan dapat menyelaraskan kerja-kerja ini
dengan lebih baik dan teratur supaya kita akan berjaya memimpin umat ini
untuk mencapai objektif yang diharapkan dan menyelamatkan umat manusia
daripada agama yang menyimpang serta idealogi yang merosakkan.

Mudah-mudahan usaha ini akan menyebabkan kita berjaya menjulang tinggi agama
Islam yang mulia ini sekalipun ia dibenci oleh orang yang kufur.

Islam sebagai agama yang syumul dan global memerlukan kita bersikap positif
dalam menangani isu-isu berkaitan dengan politik, keamanan, ekonomi, akhlak,
alam sekitar dan sebagainya.

Sungguhpun gerakan Islam disekat daripada bergerak secara bebas kita masih
boleh berdepan secara aman dalam negara yang demokrasi.

Dari sudut yang lain, kita juga tidak akan berdiam diri terhadap sebarang
bentuk kezaliman yang dilakukan secara terang-terangan bagi menghalang
kemenangan kita di setiap tempat.

Begitu juga kezaliman yang menyekat kemajuan kita dalam bidang sains dan
teknologi serta paksaan untuk kita patuh dan tunduk dalam usaha untuk
menjajah bumi umat Islam dan menghalang hak-hak kita untuk hidup.

Dalam perayaan memperingati pembukaan kota Istanbul oleh orang-orang Turki
yang keluar dari Asia Tengah dengan dipimpin oleh Muhammad al-Fatih r.h.
mengingatkan kita kembali bahawa Islam akan memuliakan mereka yang berpegang
dengan ajarannya.

Sebagaimana Allah telah memuliakan masyarakat Arab yang keluar dari tengah
padang pasir dan berjaya menewaskan dua kuasa besar dunia pada masa itu
iaitu Rom dan Parsi.

Mereka berjaya memimpin dunia setelah mereka berpegang kepada ajaran Islam.
Kita juga akan berjaya memulihkan dunia yang telah dirosakkan oleh golongan
Zionis dan penjajah moden ini jika kita kembali kepada Islam kerana kita
berada di atas landasan yang benar.

Kebenaran akan terus kekal dan akan mendapat pertolongan daripada Allah SWT
Mereka membuat perancangan-perancangan jahat mereka sedang Allah juga
merancang untuk mereka dan ingatlah bahawa Allah tidak akan menyalahi janji
kepada para rasul-Nya dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bertindak. - mks.

*[Terjemahan intipati ucapan YB Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semasa
berucap di 17th International Congress of Muslim Communities Union, 29 � 30
Mei 2008, Istanbul, Turki. Ucapan diberikan dalam Bahasa Arab]* _

-- 
Berjuang,berjuang,berjuang dan terus berjuang!!!

Visit My Blog : http://perisikrakyat1.blogspot.com/

"WAHAI JIWA-JIWA YANG TENANG JANGAN SEKALI-KALI KAMU MENCUBA JADI TUHAN
DENGAN MENGADILI DAN MENGHAKIMI.BAHWASANYA KAMU MEMANG TAK PUNYA DAYA DAN
UPAYA,SERTA KEKUATAN UNTUK MENENTUKAN KEBENARAN YANG SEJATI.BUKANKAH KITA
MEMANG TERCIPTA LAKI-LAKI DAN WANITA,SERTA SUKU-SUKU DAN BANGSA-BANGSA YANG
PASTI BERBEZA.BUKANKAH KITA MEMANG HARUS SALING MENGENAL DAN
MENGHORMATI,BUKAN UNTUK SALING BERCERAI-BERAI DAN BERPERANG ANGKAT SENJATA!"

"Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik
membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya,
supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini
- Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu
menyesali apa Yang kamu telah lakukan.." ( al-Qur'an,al-Hujurat ( 49 ):6 ).

Kirim email ke