Sekali lagi perintah mahkamah cabul kehormatan parlimen               
KUALA LUMPUR, 14, Julai  - Perintah mahkamah yang diperolehi polis bagi 
menghalang Ketua Umum Parti KeAdilan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim ke 
parlimen hari ini, jelas melanggar perlembagaan kerana telah mencabul doktrin 
pengasingan kuasa dalam memohon dan mengeluarkan perintah menghalang Anwar itu. 
  Profesor Dr. Abdul Aziz Bari hairan dan berasa aneh bagaimana mahkamah boleh 
memberi perintah tersebut kepada pihak polis. Ini adalah kali ketiga polis 
mendapat perintah tersebut, ujarnya ketika diminta mengulas mengenai perintah 
mahkamah yang diperolehi polis bagi membolehkan mereka menangkap Anwar jika 
beliau menghampiri kawasan parlimen itu.   Perintah menghalang Anwar tersebut 
dikatakan telah dikeluarkan oleh mahkamah majisteret secara ex-parte, yakni 
permohonan sebelah pihak. Beliau menyifatkan tindakan polis itu menunjukkan 
betapa mereka tertekan dan tidak mampu berbuat apa-apa.   "Apa yang
 kita lihat ini cukup ganjil dan tidak pernah berlaku di mana-mana negara 
bertamadun yang mempunyai perlembagaan bertulis. Hanya negara polis atau negara 
diktator sahaja yang menyaksikan insiden seperti ini.   "Saya kurang jelas 
undang-udang apa yang dirujuk oleh mahkamah. Apa pun perlembagaan tidak 
menyebut kuasa mahkamah itu. Malah selama ini ada banyak kes mahkamah yang 
memutuskan bahawa parlimen mempunyai kata putus dalam hal-hal sedemikian", 
tegas Aziz yang juga pakar perlembagaan.   Ini bermakna, sambungnya, hanya 
parlimen - kebiasaanya melalui speaker - mempunyai kuasa menyekat atau 
memerintahkan ahli parlimen atau sesiapa yang difikirkan menghina parlimen 
meninggalkan dewan.   Pihak eksekutif (dalam insiden ini polis) dan mahkamah, 
ujarnya, tidak mempunyai kuasa atau hak untuk berbuat apa-apa. Dari satu sudut 
pihak eksekutif dan badan perundangan telah mencabul doktrin pengasingan kuasa 
dalam memohon dan mengeluarkan perintah menghalang Anwar itu.   Malangnya, kata
 profesor undang-undang itu lagi, parlimen memilih untuk berdiam diri dan 
membenarkan kehormatannya dicabul oleh kedua-dua pihak tersebut.   Aziz 
berkata, beliau tidak nampak mengapa Anwar perlu dihalang.   "Apakah Anwar 
seorang penjenayah atau seorang yang berpotensi melakukan jenayah? Atau apakah 
pihak polis mempunyai maklumat bahawa Anwar seorang pengganas?" soal Aziz.   
Beliau berkata, pihak polis hanya boleh menghalang Anwar sekiranya bekas 
Timbalan Perdana Menteri itu mempunyai potensi untuk melakukan jenayah di 
parlimen. Jika tidak mereka tidak mempunyai kuasa atau hak untuk menghalang 
apatah lagi menangkap Anwar.   Tetapi malangnya, tegas Aziz, mahkamah yang 
sepatutnya meneliti isu-isu ini mengambil jalan mudah dan membenarkan 
permohonan pihak polis.   Beliau percaya pihak polis menggunakan peruntukan di 
dalam Kanun Prosedur Jenayah atau Akta Polis 1967.   "Tetapi kita harus ingat 
bahawa kedua-dua status ini adalah undang-undang biasa yang tertakluk kepada
 peruntukan dan semangat perlembagaan," tegasnya.   Katanya lagi, sebagaimana 
perintah mahkamah dalam kes Protes di KLCC itu, perintah terbaru ini menandakan 
kegagalan mahkamah mentafsirkan perlembagaan dengan sewajarnya.   Menurut Aziz, 
hanya mahkamah tinggi sahaja yang mempunyai kuasa untuk memberi tafsiran 
perlembagaan yang kemudiannya boleh dirayu ke mahkamah yang lebih tinggi. Kes 
ini sepatutnya dirujuk kepada mahkamah atasan supaya isu perlembagaan yang 
berkaitan dapat dihalusi.   Dengan perintah demikian, tegas beliau, akan timbul 
tanggapan bahawa Anwar adalah seorang yang dianggap oleh polis sebagai suspek 
atau seumpamanya!   Beliau percaya perintah mahkamah itu ada hubungan dengan 
usul undi tidak percaya yang telah dikemukakan kepada Speaker Dewan Rakyat Tan 
Sri Pandikar Amin Mulia dan kerajaan gabrah dengan perkembangan terbaru itu.   
Anwar dan para penyokong Pakatan Rakyat bercadang untuk hadir bagi menyaksikan 
pembentangan usul undi tidak percaya itu. Tindakan
 polis dan perintah mahkamah adalah titik hitam yang akan tercatat di dalam 
perjalanan demokrasi di negara ini dan ia amat memalukan, katanya.   "Pihak 
polis dan mahkamah sepatutnya tidak menghalang satu proses yang dibenarkan oleh 
perlembagaan sendiri. Soal huru-hara, kacau-bilau dan demonstrasi adalah isu 
yang diada-adakan,"jelasnya lagi.   Pihak polis, jelas Aziz, sepatutnya 
mengambil langkah mengawal ketenteraman awam supaya undi tidak percaya itu 
berjalan mengikut prosedur.   Apa yang berlaku ini, pada pendapat Aziz, akan 
memberi gambaran bahawa Malaysia adalah negara polis di mana pihak berkenaan 
campur tangan di dalam proses demokrasi biasa yang diamalkan dengan aman 
termasuk di negara-negara ASEAN lainnya.   "Kita telah lihat bagaimana kerajaan 
tumbang melalui undi tidak percaya di Jepun, India dan Thailand," tambah 
beliau. Aziz menyeru pihak polis dan mahkamah bukan sahaja menghormati tetapi 
juga mempertahankan perlembagaan.   "Ini adalah tanggungjawab semua pihak
 yang diberi kuasa awam terutamanya para hakim," tegas Aziz sambil mengingatkan 
bahawa di sisi undang-undang keselamatan bukan cek kosong yang menjadi hak 
mutlak polis untuk menafikan hak rakyat. 

























       
---------------------------------
 Not happy with your email address?
  Get the one you really want - millions of new email addresses available now 
at  Yahoo!

Kirim email ke