Masyarakat Orang Asli terima RM20 juta hadapi inflasi
22/07/2008 7:58pm

KUALA LUMPUR 22 Julai – Sebanyak RM20 juta diperuntukkan kepada masyarakat 
Orang Asli melalui pelbagai program pembangunan bagi membendung masalah inflasi 
di kalangan mereka.
 
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dalam satu kenyataannya hari ini 
memberitahu peruntukan itu melibatkan RM13.4 juta dalam bentuk bantuan makanan 
tambahan, RM2.7 juta bagi kos pengangkutan pelajar, RM2 juta untuk wang saku 
mereka manakala RM1.9 juta lagi bantuan input pertanian.
 
Selain itu, katanya, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) di bawah kementerian 
itu turut menerima RM19.2 juta untuk melaksanakan pembangunan tanah dan 
mengurangkan kadar keciciran di kalangan pelajar Orang Asli. 
 
``Ini menjadi fokus JHEOA dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) terhadap 
9,003 Ketua Isi Rumah (KIR) kumpulan miskin tegar dan 4,942 KIR golongan miskin 
masyarakat ini,'' katanya.
 
Kenyataan itu menambah, jumlah RM19.2 juta itu adalah bagi mencapai sasaran 
miskin tegar sifar yang ditetapkan kerajaan menjelang tahun 2010.- Utusan.
 
 
Menteri Luar ASEAN gagal reda ketegangan antara Thai, Kemboja
22/07/2008 6:57pm

 
SINGAPURA 22 Julai – Menteri-Menteri Luar ASEAN hari ini gagal meredakan 
ketegangan antara Thailand dengan Kemboja semasa rundingan krisis di sini 
berhubung konfrontasi di kawasan sempadan dua negara anggota ASEAN itu.
 
Semasa mesyuarat makan tengah hari itu, kedua-dua Menteri Luar dari Thailand 
dan Kemboja memberikan taklimat mengenai isu tersebut, kata seorang diplomat 
Asia.
“Kemboja mahu perbalahan itu diselesaikan menerusi ASEAN, tetapi pihak Thai 
mahu penyelesaian dicapai secara dua hala,” katanya.
 
Beliau bagaimanapun menegaskan tidak ada sebarang kemajuan dicapai.
Diplomat berkata, Kemboja mengirim surat kepada ASEAN pada minggu ini meminta 
bantuan bagi menyelesaikan pertikaian dengan Thailand berhubung sebahagian 
kawasan sempadan dekat sebuah kuil Hindu purba.
 
Setiausaha Agung ASEAN, Surin Pitsuwan berkata, mesyuarat hari ini berlangsung 
dalam suasana “mesra” tetapi tidak menyatakan sama ada kemajuan dicapai atau 
tidak.
“ASEAN masih berpegang dengan kenyataan Pengerusinya malam semalam supaya 
kedua-dua pihak menyelesaikan isu antara mereka secara baik,” kata Surin.
 
Beliau menjelaskan, ASEAN sentiasa bersedia untuk memberikan sebarang sokongan 
yang diingini oleh kedua-dua pihak.
 
“Kita tidak boleh bertindak lebih daripada itu,” katanya. – AFP
 
 
Suri rumah kelar leher jiran kekal dipenjara
22/07/2008 6:06pm

 
PUTRAJAYA 22 Julai – Seorang suri rumah yang dipenjara 19 tahun kerana membunuh 
jirannya berusia 76 tahun sebelum melarikan gelang tangannya, kekal menjalani 
hukuman itu setelah Mahkamah Rayuan menolak rayuannya.
 
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Gopal Sri Ram memutuskan demikian setelah 
berpuas hati bahawa perbuatan kejam Jamilah Jamlus, 36, tidak memberi mahkamah 
pilihan selain mengekalkan hukumannya.
 
``Kalau kamu didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kamu sepatutnya 
dihukum gantung. Si mati percayakan kamu tetapi kamu tutup mukanya dengan 
bantal untuk membuatnya lemas dan kelar lehernya.
 
``Mustahil bagi panel ini untuk membenarkan rayuan kamu,'' ujar beliau ketika 
bersidang bersama-sama Datuk Hasan Lah dan Datuk Vincent Ng. – Utusan.
 
 
Wanita nikahi bekas tentera tidak layak dapat pencen
22/07/2008 5:28pm

 
IPOH 22 Julai – Kerajaan tidak akan membayar pencen kepada balu bekas anggota 
tentera sekiranya pernikahan mereka berlangsung selepas anggota berkenaan 
bersara daripada perkhidmatan.
 
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia, 
Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan berkata, kerajaan menghargai sumbangan 
isteri yang sanggup mengikut suami berpindah-randah dan ditinggalkan semasa 
suami bertugas di perbatasan.
 
Beliau berkata, atas pengorbanan itu, maka kerajaan bersetuju membayar pencen 
kepada isteri terbabit sekiranya suami mereka meninggal dunia.
 
``Bagaimanapun, hanya isteri yang dikahwini semasa anggota tentera masih 
berkhidmat sahaja layak mendapat pencen tersebut kerana mereka yang banyak 
berkorban untuk kesejahteraan rumahtangga dan keluarga.
 
``Andai kata, bekas anggota tentera kematian isteri dan bernikah semula selepas 
bersara, maka isteri barunya tidak layak mendapat pencen kerana mereka tidak 
menyumbang apa-apa kepada suami semasa bertugas dulu," katanya.
 
Zulkiflee berkata demikian ketika menjawab soalan diajukan oleh seorang veteran 
JHEV semasa majlis dialog veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama 
beliau di Hotel Seri Malaysia di sini hari ini.- Utusan.


      

Kirim email ke