<http://mstar.com.my/cms/storage/images/com.tms.cms.image.Image_7e34667b-c0a85062-19a18430-40d30660/1/spr_7new.jpg>
*(Dikemas kini) PETALING JAYA: *Di sebalik pengumuman Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat Rabu ini bagi memutuskan tarikh pilihan
raya kecil, bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ezam Mohd
Noor hari ini meramalkan bekas 'ketuanya' itu berpeluang untuk kembali
menyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh.

"Anwar punya peluang untuk menang di Permatang Pauh kerana itu kerusi yang
pernah disandangnya sebelum ini," kata beliau kepada *mStar Online* hari
ini.

Bagaimanapun Umno Permatang Pauh pula mahu "anak Permatang Pauh menjadi
calon" kerana Ezam yang menyertai semula Umno tiga bulan lalu belum dapat
diterima sepenuhnya oleh penduduk kawasan berkenaan.

Anwar, yang pernah menyandang kerusi Parlimen itu dari 1982 hingga 1999
mengumumkan pendiriannya untuk bertanding semula di kawasan itu selepas
isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan berkuat kuasa
semalam.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman pula memberitahu *mStar
Online* pihaknya sudah menerima notis makluman mengenai kekosongan kerusi
Parlimen Permatang Pauh hari ini.

"Notis sudah diterima. Kita akan tentukan tarikh pilihan raya pertengahan
minggu depan," kata beliau.

Pilihan raya kecil perlu diadakan dalam 60 hari selepas kekosongan berkuat
kuasa.

Dr. Wan Azizah yang juga Presiden PKR memutuskan untuk mengosongkan kerusi
berkenaan selepas disandang sejak 1999.

Setiausaha SPR, Kamaruzaman Mohd. Noor memberitahu *Bernama, *mesyuarat
minggu depan akan turut menetapkan tarikh untuk mengeluarkan writ pilihan
raya, tarikh mengeluarkan notis pilihan raya dan daftar pemilih mana yang
akan diguna pakai pada pilihan raya kecil itu nanti.

Lazimnya penamaan calon diadakan dalam tempoh tujuh hingga 10 hari selepas
writ pilihan raya dikeluarkan.

Dan, jika tempoh berkempen adalah lapan atau sembilan hari, pilihan raya
kecil itu - yang merupakan pertama selepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu
- kemungkinan diadakan minggu terakhir bulan ini.

SPR memperuntukkan 13 hari untuk berkempen ketika pilihan raya umum ke-12
Mac lalu.

Dalam pilihan raya 8 Mac lalu, Dr. Wan Azizah memperoleh 30,338 undi bagi
menewaskan Datuk Pirdaus Ismail dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti
13,388.

Sementara itu, Ketua Umno Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid
berkata: "Kami mahu anak Permatang Pauh menjadi calon."

Ekoran pengumuman Anwar semalam, terdapat cadangan supaya Ezam bertanding di
situ sebagai calon BN berdasarkan kepada pengetahuan beliau mengenai bekas
Timbalan Perdana Menteri itu.

"Anwar sudah bertapak di Permatang Pauh sejak 1982 dan agak susah untuk
memperkenalkan calon baru yang bukan anak tempatan dalam masa yang singkat
kerana masyarakat di sini begitu mementingkan faktor orang yang mereka kenal
atau tahu," kata Abdul Jalil dipetik *Bernama* di Butterworth.

Beliau berkata, calon BN itu mestilah orang yang boleh berkhidmat kepada
masyarakat dan mengambil berat kesusahan mereka.

Mengenai persiapan, Abdul Jalil berkata, sebaik saja selesai pilihan raya
umum 8 Mac lepas, Umno Bahagian Permatang Pauh sebenar sudahpun mengerakkan
jenteranya bagi menghadapi pilihan raya kecil di situ kerana menjangkakan
Dr. Wan Azizah memang akan mengosongkan kerusi itu untuk Anwar.

"Kita tidak terkejut dengan pengumuman Dr. Wan Azizah itu kerana semasa
berkempen pada pilihan raya umum dulu beliau sudah memberitahu mengenai
perkara ini. Jadi, persiapan kita memang telah bermula awal lagi," katanya.

Abdul Jalil berkata, Umno bahagian itu telah mengadakan majlis penerangan di
semua 92 cawangannya sejak dua minggu selepas pilihan raya umum selesai bagi
menghadapi kemungkinan ini.

"Kursus pilihan raya juga telah diadakan untuk pergerakan Puteri dan Wanita
sama ada di peringkat cawangan mahupun bahagian. Insya-Allah, persediaan
kita sudah teratur," katanya.

Beliau berkata, dengan bantuan dan kerjasama parti komponen BN yang lain,
"pertembungan" yang dianggap paling sengit dalam sejarah pilihan raya di
Permatang Pauh nanti dapat ditempuhi dengan lancar.

Abdul Jalil berkata, sejak kawasan itu diwakili Dr. Wan Azizah, penduduk
Permatang Pauh "letih" menghadapi kerenah pemimpin parti itu yang hanya
memecahbelahkan keharmonian masyarakat dan menyekat kemajuan dan pembangunan
di kawasan berkenaan.

"Cukuplah kesusahan yang telah kita lalui. Hanya kerana hendak
memperjuangkan Anwar seorang, orang lain terpaksa mendapat susah.

"Buktinya, penat lelah menghadapi pilihan raya umum belumpun reda, kita
terpaksa menghadapi satu lagi pilihan raya. Semua orang akan mendapat susah
kerana dia. Ini bukan perjuangan untuk rakyat tetapi perjuangan peribadi,"
katanya.

Walaupun mengakui pertandingan kali ini memang sukar, Abdul Jalil berkata,
Umno yakin dapat memenangi hati rakyat menerusi usaha dan keikhlasan yang
ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin parti itu untuk membela nasib rakyat.

Ketika diminta mengulas lanjut, Ezam yang juga bekas Ketua Angkatan Muda PKR
menegaskan, beliau akan berjuang habis-habisan menentang bekas majikannya
itu tidak kira sama ada beliau dicalonkan atau tidak.

"Saya akan turun padang dan membantu jentera Umno dan Barisan Nasional. Saya
rasa bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada pengundi di Permatang Pauh
tentang permainan politik Anwar," katanya.

Semalam Menteri Besar Selangor, Tan Sri Mohd Khalid Ibrahim menggesa Umno
meletakkan Ezam sebagai calon untuk menentang Anwar di Permatang Pauh.

Ketika ditanya sama ada beliau sedia memikul tanggungjawab itu, beliau
berkata:

"Saya tidak boleh buat keputusan untuk betanding di sana. Semuanya akan
ditentukan oleh pucuk pimpinan parti dan Umno Bahagian Permatang Pauh."

Tambah Ezam, Penasihat PKR itu perlu menang di Permatang Pauh bagi
menghidupkan karier politknya.

Ezam yang juga bekas Pengerusi Gerak berkata, Anwar sememangnya menggunakan
peluang bertanding dalam pilihan raya kecil ini untuk kembali ke Parlimen.

Ditanya adakah BN akan merasa terancam sebaik Anwar kembali ke Parlimen Ezam
berkata:

"Anwar akan kembali ke Parlimen, namun dia hanya berdiri atas tiket PKR dan
BN tidak akan terancam kerana tiada pertambahan kerusi di pihak
pembangkang."

Ketika ditanya adakah beliau percaya mengenai cita-cita Anwar untuk
membentuk kerajaan pusat yang baru menjelang 16 September ini, Ezam
menjelaskan, ia hanya satu gimik politik Anwar.

"Kalau betul ada ahli Parlimen BN nak lompat parti, mengapa perlu tunggu
Anwar ke Parlimen. Sekarang pun boleh," ujarnya sinis.
Laluan BN di Permatang Pauh tidak semudah dijangka -
Najib<http://mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_7cc45014-c0a85062-19a18430-4d4bfe56>
PM: Dakwaan tetap diterus jika ada kes meskipun Anwar
bertanding<http://mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_7d221859-c0a85062-19a18430-ff35afba>
Pilihan raya kecil hujung Ogos atau awal
September?<http://mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_78bca591-c0a85062-19a18430-a4de6b14>
Wanita Umno siap strategi tawan Permatang
Pauh<http://mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_7d1699cd-c0a85062-19a18430-856fcdb8>
Pirdaus ramal Anwar tidak mudah
menang<http://mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_7e4bf58c-c0a85062-19a18430-91c0db06>
-- 
Berjuang,berjuang,berjuang dan terus berjuang!!!

Visit My Blog : http://www.perisik-rakyat.com/

"WAHAI JIWA-JIWA YANG TENANG JANGAN SEKALI-KALI KAMU MENCUBA JADI TUHAN
DENGAN MENGADILI DAN MENGHAKIMI.BAHWASANYA KAMU MEMANG TAK PUNYA DAYA DAN
UPAYA,SERTA KEKUATAN UNTUK MENENTUKAN KEBENARAN YANG SEJATI.BUKANKAH KITA
MEMANG TERCIPTA LAKI-LAKI DAN WANITA,SERTA SUKU-SUKU DAN BANGSA-BANGSA YANG
PASTI BERBEZA.BUKANKAH KITA MEMANG HARUS SALING MENGENAL DAN
MENGHORMATI,BUKAN UNTUK SALING BERCERAI-BERAI DAN BERPERANG ANGKAT SENJATA!"

"Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik
membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya,
supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini
- Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu
menyesali apa Yang kamu telah lakukan.." ( al-Qur'an,al-Hujurat ( 49 ):6 ).

Kirim email ke