Al-Quran mendahului sains
W. RAHIMAH DRAMAN



Islam bukan sahaja perlu
membudayakan membaca al-Quran tetapi mengkaji dan membongkar pelbagai
ilmu yang terkandung di dalamnya. - Gambar hiasan



SAINTIS orientalis beranggapan alam dan seluruh isinya terjadi dan
apa yang berlaku kemudiannya adalah ‘kebetulan’, atas dasar sifat
tabiinya (semula jadi).
Malah teori Darwin mendakwa manusia daripada keturunan monyet.
Bagaimanapun, beliau sendiri menafikan kemudiannya apabila wujud banyak
percanggahan daripada sudut sains dan akal serta disanggah kebanyakan
saintis ketika itu.
Namun perkara sebaliknya ditemui dan berlaku apabila saintis bukan
Islam ini merujuk kepada al-Quran dan membuat penyelidikan berasaskan
kalam Allah SWT.

Apabila al-Quran dijadikan rujukan serta mengkajinya, ramai saintis
yang mengakui kemukjizatan, kehebatan dan keunikan Kalamullah itu.

Mereka bukan hanya terpegun dan takjub, malah tidak ragu-ragu
mengakui Nabi Muhammad SAW adalah utusan-Nya untuk menyampaikan
Kalam-Nya itu kepada seluruh isi alam.


Sebabnya, mereka gagal temui suatu kejadian yang berlaku secara
kebetulan. Sebaliknya semua telah diatur dan ditentukan oleh Yang Maha
Berkuasa dan tercatat dalam al-Quran serta membuktikan keterbatasan
akal manusia. Lalu mereka mengimaninya serta menjadi Muslim berilmu
yang sejati.


Itulah yang berlaku kepada tokoh-tokoh sains besar Amerika Syarikat
seperti Profesor Psikologi, Dr. Muhammad al-Mahdi; Pensyarah Matematik,
Dr. Jefry Lang; dan ramai lagi saintis lain di dunia terutama di Eropah.

Mereka memeluk Islam kerana mengkaji al-Quran dalam penyelidikan sains serta 
alam semesta yang mereka lakukan.

Sehingga hari ini, tidak ada manusia yang boleh menyahut cabaran
Allah SWT agar membuat walau satu ayat yang dapat menyamai atau
setanding ayat-ayat al-Quran.
Malah usaha mencipta al-Quran palsu oleh golongan orientalis yang mengandungi 
77 surah dan disebar melalui Internet juga gagal.

Ini kerana, kata Pensyarah Pusat Pengajian Umum Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd. Arif Kasmo, surah-surah yang
dihasilkan hanya ada lima hingga 31 ayat tanpa memberi sebarang impak
terhadap kajian sains fizik terutama dalam penghasilan gelombang
mahupun bentuk susunan grafik pada ayat-ayat palsu itu.


Sedangkan kalam Allah itu kata beliau, bukan sahaja menghasilkan
bentuk gelombang dan imej yang unik, tetapi setiap susunan dan bilangan
huruf, ayat, nombor serta surah mahupun kedudukan ayat-ayat dan
nombor-nombor genap serta ganjil dalam al-Quran, memberi tindak balas
dengan menghasilkan impak jelas pada hasil kajian sains fizik.

Menurutnya, setiap huruf, ayat dan surah al-Quran itu pula saling
berkaitan antara satu sama lain selaras peranannya sebagai penyelesai
masalah dan membangunkan ummah.
“Susunan kandungan al-Quran apabila dipindah dalam bentuk grafik
sama ada berupa carta atau arus gelombang elektronik, ia tetap
memaparkan bentuk imej yang menakjubkan, termasuk membentuk kalimah
Allah dan Muhammad,” jelasnya.

Kajian sains matematik yang melibatkan angka-angka yang beliau
sendiri mengkajinya pula kata Dr. Mohd. Arif, memberi hitungan yang
terhasil daripada pelbagai cara pembahagian dan susunan dibuat tetap
menyamai bilangan asal kandungan ayat al-Quran yang terdiri daripada
6,236 ayat daripada 86,430 perkataan melalui 323,760 huruf-huruf Arab
(hijaiiyaah).

Bilangan dan kandungan kalimah itu akan kekal hingga kiamat. Itu jaminan Allah 
SWT.
Beliau berkata demikian ketika memperkatakan tajuk ‘Pembangunan
Manusia Melalui Pendekatan al-Quran dan Sains’ pada Seminar Keajaiban
al-Quran dan Sains kelolaan Masjid Negara Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Dr. Mohd. Arif, kenyataan al-Quran mengenai bulan terbelah
dua pula telah dibuktikan saintis astronomi Barat hasil penggunaan
teknologi moden, sekali gus menolak teori ‘kebetulan’ ke atas kejadian
alam.

Penemuan sains terhadap proses kejadian manusia dalam rahim ibu pula
membuktikan apa yang diberitahu dalam al-Quran mengenainya lebih 14
abad lalu.

“Namun orang Islam hari ini berhadapan dengan masalah yang sangat
gawat, walaupun al-Quran di sisi dan dimiliki untuk memandu mereka,”
ujarnya.

Kegawatan umat Muslim kata beliau, kerana kita sudah ketinggalan dalam hampir 
semua aspek pembangunan kehidupan.

Orang Islam kini  bergantung kepada umat lain untuk mengurus sebahagian besar 
sumber bagi membangunkan kehidupan diri dan ummah.

Hakikat kegawatan umat Islam telah pun dibayangkan oleh Rasulullah
SAW lebih 14 abad lalu melalui hadis yang diriwayatkan oleh Thauban
r.a. antara lain bermaksud: “...hampir-hampir satu kaum itu mengeroyok
kamu seperti orang-orang yang kelaparan mengeroyok dulang makanan, lalu
aku bertanya Nabi, adakah bilangan kami ketika itu sedikit; jawab Nabi,
tidak, kamu ketika itu ramai, tetapi kamu adalah seperti buih...”

 Poin-poin buih itu hilang terserap sebaik mendarat di pantai, malah
tetap lenyap walaupun di tadah dalam dulang emas. Itulah hakikat Muslim
sekarang.

 Walaupun ramai, malah banyak jumlah umat Islam tetapi tidak memberi
manfaat kepada agama. Sebaliknya saling bermusuhan sesama sendiri dan
menjadi ‘khadam’ kaum munafik dan kuffar.

  Tidak sebagaimana umat di zaman Nabi Muhammad yang sedikit bilangannya tetapi 
digeruni musuh dan penentang.

 “Ini semua gara-gara orang Islam sekarang tidak gemar membaca dan
mengkaji al-Quran untuk membongkar isi kandungan ayat-ayat-Nya serta
tidak beramal dengan Nya,” kata Dr. Mohd. Arif.

 Orang Islam katanya, hanya mempelajari al-Quran untuk boleh membaca
kalam Allah itu bagi mendapatkan ganjaran pahala dan syafaat di syurga.

 “Mereka belajar Al-Quran bukan untuk mengetahui isi kandungan kitab
Allah dan mengamalkannya. Jauh sekali untuk mengkaji al-Quran untuk
membongkar rahsia alam dan sains bagi manfaat kehidupan ummah sejagat,”
jelasnya.

 Al-Quran tegas Dr. Mohd. Arif, tidak akan berubah sampai bila-bila kerana 
perlindungannya dijamin oleh pemiliknya, Allah SWT.

 Sebab itu kata Dr. Mohd Arif, setiap mushaf (naskhah) al-Quran sama
sahaja jumlah dan kedudukan helaian muka surat, susunan baris dan
nombor walau di mana ia dikeluarkan.
 Bagaimanapun katanya, umat Islam sekarang bukan sahaja salah konsep
dalam mempelajari al-Quran, malah semakin jauh daripada kalam Allah itu.

 “Sebab itu umat Muslim semakin gawat. Jadi adalah penting untuk
setiap Muslim kembali mendekati al-Quran dan sentiasa membaca, memahami
serta mengkajinya secara serius,” ujarnya.

 Menurut Dr. Mohd. Arif, di dalam al-Quran tersedia segala-galanya
untuk dikaji, difahami dan dibongkar bagi merealisasikannya dalam
kehidupan untuk manfaat sejagat.

 “Allah SWT mewahyukan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW bagi umat
Islam adalah sebagai penawar atau jalan keluar daripada masalah yang
gawat,” tambahnya.
Ini selaras dengan firmah Allah SWT dalam mafhum-Nya: Dan kamu
sekali-kali tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang-orang yang
buta (mata hatinya) daripada kesesatannya. Dan kamu tidak dapat
memperdengarkan (petunjuk Tuhan) melainkan kepada orang-orang yang
beriman dengan ayat-ayat Kami, mereka itulah orang-orang yang berserah
diri (kepada Kami). (Ar-Rum: 53)

 Beliau berkata, al-Quran adalah sains dan sains itu al-Quran. Sebab
itu hanya sedikit ayat yang membicarakan soal fikah, hukum hakam dalam
syariat Islam.

 “Al-Quran banyak membicarakan soal sains, fizik, kimia, biologi,
psikologi, astronomi, matematik dan seluruh alam serta isinya untuk
manusia fikir, kaji dan menyelongkarnya,” kata lulusan sains zoologi
yang memfokuskan kajian penghayatan sains dan al-Quran dalam
penyelidikan kedoktorannya.

 Lebih daripada itu tambah beliau, al-Quran menyuruh manusia
berfikir dan mengguna serta memanfaatkan akal yang dianugerahkan untuk
kebaikan ummah.

 Sayangnya kata Dr. Mohd. Arif, al-Quran tidak dimanfaat oleh
ilmuwan dan sarjana Islam bagi tujuan tersebut.. Sebaliknya ia dikuasai
dan dimanipulasi oleh para saintis dan sarjana orientalis.

 “Dr. Mohammad al-Mahdi, Dr. Jerry Lang dan Profesor Ibrahim
hanyalah segelintir saintis Barat yang meyakini Islam kerana mengkaji
al-Quran dan sains serta menjadi Muslim.
 “Tetapi ratusan malah ribuan lagi ahli sains orientalis yang
menanti peluang untuk menghancurkan Islam dan Muslim kerana mereka
mengkaji al-Quran dan mengalakkan sains,” ujarnya.

 Oleh itu, penting bagi setiap Muslim membaca dan memahami al-Quran
serta menggalakan anak-anak belajar dan menguasai bidang sains yang
berteraskan Kalam Allah.

FAKTA UNTUK DIFIKIRKAN

> Nisbah ahli sains
- Malaysia - 20 ahli sains dengan jumlah 10,000 orang penduduk.
- Singapura - 40 ahli sains dengan jumlah 10,000 orang penduduk.
- Barat (Eropah) - 80 ahli sains dengan jumlah 10,000 orang penduduk.

> Impak peristiwa 11 September New York
- Tidak kurang 33,000 orang Eropah memeluk agama Islam selepas peristiwa 11 
September.
- Berpuluh buah gereja di England telah ditukar menjadi masjid oleh Muslim.

> Al-Quran dari kajian sains fizik dari sudut angka (kekal bilangannya)
- Mengandungi 114 surah
- 154 ayat-ayat ganjil dari 27 surah ganjil dan 27 surah genap (27+27 = 54).
- 60 ayat genap dari 30 surah ganjil dan 30 surah genap (30+30 = 60)
- 54 ayat ganjil + 60 ayat genap  = 114 surah.
- 57 (27+30) surah ganjil + 57 (27+30) surah genap juga menghasilkan 114 surah.
- Mengandungi 86,430 perkataan dengan sejumlah 323,760 huruf Arab (hijaiiyaah).
- Mengandungi 6,236  ayat.
- Mengandungi 6,236   nombor surah dan ayat ganjil.
- Mengandungi 6,555 jumlah semua nombor  dalam surah.
-
Grafik daripada susunan ayat dalam surah al-Quran yang terhasil
daripada kajian sains fizik membentuk kalimah Allah dan Muhammad dan
imej-imej gelombang tersendiri yang unik.
- Mulai diterima oleh Rasulullah SAW pada 15 Ramadan ketika baginda berusia 40 
tahun.
- Diturunkan berperingkat selama 22 tahun 2 bulan 22 hari.
utusan


Biar susah, jangan menyusahkan..        JUNHAIRI BIN ABD JALIL   Eksekutif 
Pemasaran Bank Islam  019 - 363 5331


      

Kirim email ke