PAS Kawasan Rembau menyeru kepada mereka yang prihatin dan berkemampuan untuk membantu Puan Norehan di Kampung Senama Hilir untuk membaiki rumahnya yang terlalu uzur. Setelah kisah keluarga Puan Norehan tersiar dalam akhbar Sinar Harian, PAS Kawasan Rembau telah menghantar Penyelaras DUN Chembong Saudara Izam untuk melawat keluarga tersebut.
Menurut Saudara Izam antara yang rosak teruk dalam berada dalam keadaan kritikal ialah bahagian atap dapur yang bocor, bilik air, tandas serta tangki kumbahan. Menurut beliau anggaran baik pulih rumah tersebut ialah sekitar RM 7,000 termasuk bahan dan upah. Justeru itu mereka yang ingin menyumbang bolehlah menghubungi Tn Hj Roni , Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Rembau 012-2268230 atau Saudara Rozmal Malakan Pemangku Yang Dipertua PAS Kawasan Rembau 012-2267406. Sumbangan boleh juga disalurkan melalui Akaun Bank Islam atas nama DEWAN PEMUDA PAS KAW REMBAU, No Akaun 05012010065457. Semoga keluarga ini akan dapat menduduki rumah yang sedikit selesa menjelang Ramadhan Al Mubarak yang bakal menjelang. ********************************** Ibu miskin di Rembau rayu rumah dibaiki Sinar Harian REMBAU - Seorang ibu miskin yang ketiga-tiga anaknya berdaftar di bawah Pertubuhan Anak Yatim dan Miskin Negeri Sembilan (Peyakin) merayu kepada pihak terbabit agar segera membaik pulih rumahnya yang uzur di Kampung Senama Hilir. Norehan Kasim, 28 yang menetap di rumah pusaka tinggalan arwah nenek, Maimunah Jamaludin, kini tinggal bersama suami yang bekerja sebagai pemandu lori dan tiga anak perempuan yang masih kecil sejak setahun lalu. Menurut Norehan, sebelum Maimunah meninggal dunia pada bulan 9 tahun lepas, arwah pernah memohon kepada ketua kampung sekitar tahun 2006 untuk membaiki atap, dinding rumah yang telah uzur. Permohonan Maimunah bagaimanapun dipandang sepi walaupun sudah setahun dia meninggal dunia. “Saya pernah merujuk kembali kepada ketua kampung akan hal ini, sama ada perlu menukar borang kerana dahulu nenek yang memohon, tetapi setelah nenek meninggal kemungkinan perlu diisi borang baru. Saya diberitahu, tidak perlu mengisi borang baru sebaliknya perlu menunggu dengan sabar,” katanya. Jelasnya, empat bulan lalu, ketua kampung bersama kontraktor pernah datang ke rumahnya untuk mengukur bahagian rumah yang perlu dibaiki dan berjanji permohonan arwah nenek akan diluluskan dalam tempoh terdekat. “Bagaimanapun hingga kini kami masih belum menerima sebarang berita. Beberapa hari lalu saya ada berjumpa dengan ketua kampung tetapi sikap yang ditunjukkannya amat dikesali. Dia mengherdik dan meminta saya pergi sendiri ke pejabat wakil rakyat untuk menyelesaikan perkara itu. “Saya kecewa dengan sikapnya kerana bagi saya sebagai ketua kampung, dia seharusnya membantu saya mengetengahkan masalah ini kepada wakil rakyat, tetapi saya pula yang dimarahi. “Sudah 2 tahun, saya menunggu permohonan ini. Saya hanya seorang suri rumah dan pendapatan suami tidak cukup untuk menampung kos pembaikan rumah. Sampai bila saya harus bersabar sedangkan rumah ini makin hari semakin uzur dan membahayakan anak-anak. Saya benar-benar berharap permohonan tersebut disegerakan,” rayunya. Tinjauan Sinar Harian mendapati, keadaan rumah berusia lebih 40 tahun ini sudah uzur dan banyak yang perlu dibaiki terutama bahagian dapur yang reput kerana masih lagi menggunakan zink sebagai dinding. Selain itu, lantai kayu juga sudah dimakan anai-anai. Norehan menjelaskan pernah memohon Rumah Mesra Rakyat tetapi masalah lain timbul ekoran tanah adat tersebut mempunyai tiga penama dan salah seorang daripadanya gagal dikesan. http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story1838709.asp
