Mohon dihindari kufur selepas dikurniakan
nikmat<http://bawangorengnet.blogspot.com/2008/09/mohon-dihindari-kufur-selepas.html>
<http://bawangorengnet.blogspot.com/2008/09/mohon-dihindari-kufur-selepas.html>
<http://2.bp.blogspot.com/_oV1RUxbNq84/SMs8DHXk2hI/AAAAAAAABA8/0uo7tN5PGkQ/s1600-h/syukurpq4.jpg>
Tidak dapat kita nafikan, ada manusia yang dapat rezeki banyak jadi bakhil,
kikir dan menjauhkan diri daripada beribadah. Kita dianjurkan bersyukur bila
berhasil dalam setiap perkara yang kita lakukan dan seharusnya bersabar bila
perkara yang kita lakukan, tidak/belum berhasil. Inilah sebaik-baik sifat
orang mukmin yang dituntut agama Islam.

Dalam kitab hadis sahih Muslim, dari Shuhaib r.a. katanya Rasulullah SAW
bersabda: "Sungguh mengagumkan orang-orang mukmin kerana pekerjaannya
semuanya baik. Yang demikian tidak akan terdapat pada orang lain kecuali
hanya pada orang mukmin. Kerana apabila dia berhasil (berjaya) dia
bersyukur. Dan apabila ditimpa kesulitan dia sabar itulah (rahsia)
Kebaikannya." (Shuhaib r.a., Bab - Zuhud (Suci dari kotoran dunia) No Hadis
– 2515)

Mari kita lihat dilihat sejarah hidup sahabat Rasulullah SAW bernama
Sya'labah bin Hathib. Semoga kisah ini menjadi pengajaran kepada kita semua.
Sya'labah bin Hathib sangat rajin beribadat dan berjemaah di masjid bersama
baginda. Akan tetapi, akhirnya beliau menjadi munafik, mungkir janji,
meninggalkan Jumaat dan tidak membayar zakat hingga menjadi seorang yang
ingkar.

Allah telah berfirman yang bermaksud, "Dan di antara mereka ada orang yang
telah berikrar kepada Allah: "Sesungguhnya jika Allah memberikan sebahagian
karunia-Nya kepada kami, pastilah kami akan bersedekah dan pastilah kami
termasuk orang-orang yang saleh. Maka setelah Allah memberikan kepada mereka
sebahagian dari karunia-Nya, mereka kikir dengan karunia itu, dan berpaling,
dan mereka memanglah orang-orang yang selalu membelakangi (kebenaran). Maka
Allah menimbulkan kemunafikan pada hati mereka sampai kepada waktu mereka
menemui Allah, karena mereka telah memungkiri terhadap Allah apa yang telah
mereka ikrarkan kepada-Nya dan (juga) karena mereka selalu berdusta.
Tidakkah mereka tahu bahwasanya Allah mengetahui rahasia dan bisikan mereka,
dan bahwasanya Allah amat mengetahui segala yang ghaib?" - (Surah at-Taubah,
ayat 75-78)

Disebutkan dalam al-Quran dalam ayat di atas, bermaksud: "Dan antara orang
munafik itu, adalah seseorang yang berjanji kepada Allah, dengan ucapannya:
Sesungguhnya jika Allah memberi rezeki padaku, nescaya aku akan bersedekah,
akan tetap patuh beribadat kepada Allah terutama akan mengorbankan harta
bendaku ke jalan amal yang baik."

Bagaimanapun, setelah mendapat rezeki dari Allah, dia menjadi bakhil, kikir
dan menjauhkan diri daripada beribadah. Akhirnya ia dijadikan Allah seorang
yang munafik dan penyakit nifak itu tertanam kuat dalam hatinya hingga akhir
hayat disebabkan mungkir janji.

Sejarah hidup Sya'labah bin Hathib pernah dihuraikan ahli tafsir, Ahmad bin
Muhammad Syamwi: Sya'labah seorang yang rajin solat jemaah dengan Rasulullah
SAW di masjid akan tetapi dilihat oleh Rasulullah SAW, dia sering cepat
pulang ke rumahnya sebaik selesai solat. Rasulullah SAW bertanya kepadanya:
Kenapa kamu lekas pulang, sebagai kebiasaan orang munafik? Dia menjawab: Aku
hidup miskin, kain yang kupakai solat ini dinantikan oleh isteriku di rumah
untuk dipakainya bagi mengerjakan solat pula, kerana kain kami hanya sehelai
ini saja, dipakai solat berganti-ganti. Ya, Rasulullah, doakanlah kepada
Allah supaya melapangkan rezekiku.

Rasulullah SAW bersabda kepadanya: Aneh sekali kamu, wahai Sya'labah.
Sesungguhnya harta benda yang sedikit, dengan penuh kesyukuran lebih baik
daripada harta yang banyak, tetapi tidak sanggup melakukan kesyukuran.

Sya'labah yang sengsara hidupnya berkali-kali datang kepada Rasulullah SAW
dengan permintaan sama, supaya Nabi SAW memohon doa kepada Allah dilapangkan
rezekinya. Nabi pun menjawab seperti mana sabdanya di awal tadi juga.

Akhirnya Sya'labah meminta, melafazkan janji bersumpah. Dia berkata: Demi
Allah, Tuhan yang telah mengurus engkau dengan sebenarnya, aku berjanji,
bahawa jika aku diberi rezeki oleh Allah nescaya akan aku penuhi segala
kewajipan yang bersangkut dengan harta benda itu.

Maka Rasulullah SAW pun mendoakan dengan ucapannya: Ya Allah, berilah
Sya'labah rezeki dengan harta benda.

Maka Sya'labah mulai berternak kambing, dengan kudrat Allah ternakannya
berkembang-biak seperti ulat. Akibatnya ia menjadi lebih sibuk, ia hanya
pergi solat berjemaah dengan Rasulullah SAW pada waktu Zohor dan Asar saja,
sedangkan Maghrib, Isyak dan Subuh, beliau solat di desanya.

Semakin hari ternakannya semakin banyak, sehingga terpaksa ia berpindah ke
lain tempat yang jauh dari kota Madinah. Keadaan demikian membuat dia sibuk,
tidak dapat lagi solat berjemaah dengan Rasulullah SAW, hanya sempat sekali
seminggu saja pergi solat Jumaat bersama Rasulullah SAW.

Ternakannya semakin hari semakin berkembang-biak, sehingga ia terpaksa
pindah lebih jauh lagi, Akibatnya ia tidak dapat lagi solat Jumaat,
sekalipun hanya sekali seminggu.

Pada suatu hari Jumaat, Rasulullah SAW bertanya kepada orang ramai,
bagaimana Sya'labah. Orang menjawab: "Wahai Rasulullah, Sya'labah sudah
mempunyai ternakan kambing yang sangat berkembang-biak sehingga sudah
kesempitan tempat. Rasulullah SAW mengucapkan: Celaka Sya'labah, celaka
Sya'labah."

Setelah datang perintah wajib berzakat, Rasulullah SAW mengutus dua orang
utusannya, seorang daripada Bani Sulaiman dan seorang lagi daripada suku
Bani Jahinah untuk memungut zakat ke desa di luar kota Madinah, dengan
membawa surat perintah berzakat.

Kedua utusan itu lebih dulu datang kepada Sya'labah, meminta zakat
ternakannya, membacakan surat perintah Rasulullah SAW. Maka Sya'labah
berkata: "Ternakan ini hanya pajakan, bukan kepunyaanku. Pergilah kamu
keduanya terlebih dulu kepada orang lain dan jika sudah selesai, kembali
lagi kepadaku."

Kedua utusan Rasulullah SAW pergi kepada seorang yang menternak unta
daripada golongan Suku Bani Sulaim. Orang itu setelah mendengar perintah
Rasulullah SAW lalu diserahkannya zakat daripada ternakannya. Kemudian kedua
utusan itu pergi kepada orang lain yang layak mengeluarkan zakat.

Akhirnya, kedua utusan itu kembali menemui Sya'labah, Sya'labah minta surat
perintah Rasulullah SAW dan dibacanya. Lalu katanya: "Ini hanya pajakanku.
Pulanglah kamu keduanya, nanti aku fikir dulu."

Kedua utusan itu kembali kepada Rasulullah SAW. Belum mereka menyampaikan
berita mengenai Sya'labah, Rasulullah SAW bersabda: "Wah, celaka Sya'labah.
Wah, celaka Sya'labah."

Lalu Rasulullah SAW mendoakan untuk kaum Bani Sulaim yang memilih unta yang
baik sebagai zakat ternakan mereka, dengan doa kebaikannya. Kemudian kedua
utusan itu menyampaikan berita penolakan Sya'labah sehingga turunlah ayat
surah at-Taubah, ayat 75-78.

Kemudian Sya'labah datang kepada Rasulullah SAW menyerahkan zakatnya.
Rasulullah SAW menjawab, al-Quran melarang untuk menerima zakat daripada
Sya'labah. Maka Sya'labah berasa amat susah hati dan sedih sehingga dia
siram kepalanya dengan tanah.

Rasulullah SAW bersabda: Inilah akibat perbuatan kamu sendiri, saya selalu
perintahkan dulu, tapi hari itu kamu menolak, tidak mahu menurutinya. Tidak
lama kemudian Rasulullah SAW wafat. Maka Sya'labah pergi kepada Abu Bakar,
khalifah pertama untuk menyerahkan zakatnya. Abu Bakar menjawab, oleh kerana
Rasulullah SAW menolak, ia tentu tidak dapat pula menerimanya.

Selepas Abu Bakar wafat, Sya'labah berulang-ulang menyerahkan zakatnya
kepada Umar dan Usman. Kedua-dua khalifah itu pun menolak untuk menerima
zakatnya, seraya berkata: Rasulullah SAW dan Abu Bakar sudah menolak, tentu
kami tidak dapat pula menerimanya.

Begitulah Sya'labah yang mungkir janji sesudah berharta, berlimpah-ruah dan
mewah, akhirnya dia meninggal di zaman khalifah Usman. Panjangnya umur
Sya'labah kerana hidup di zaman Rasulullah SAW, zaman Khalifah Abu Bakar
As-Siddiq, Khalifah Umar Ibnu Khattab dan meninggal di zaman Khalifah Usman.

Biarpun umurnya dipanjangkan, hartanya banyak berlimpah-ruah, tetapi
kekayaan itu tidak diredai Allah. Maka, setiap insan beriman dianjurkan
berdoa: "Jika Engkau panjangkan umurku berilah umur yang Engkau reda (umur
yang engkau sukai), dan jika Engkau beri kekayaan berilah kekayaan yang
Engkau reda."

Renung-renungkan, dan selamat beramal!

-- 
- BawangGoreng -
¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤
http://bawangorengnet.blogspot.com
Buckle up! UpGrade yrself at
SERiPERSONA<http://www.seripesona.com/index.php?ref=bawangoreng>
¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤

Hadith Nabi s.a.w.:
Daripada Salman bin 'Amir r.a., Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Sedekah kepada golongan miskin, ganjarannya hanyalah sekadar pahala
sedekah; sedangkan sedekah kepada mereka yang mempunyai hubungan
silaturrahim terdapat dua ganjaran, iaitu pahala sedekah dan pahala menjalin
hubungan silaturrahim."

Hadith riwayat al-Tirmizi

¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤

Kirim email ke