Salam;
 
Bondaku madu Ibu Kandung ku telah kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat 
26/9/2008 di rumah Kakak saya Fatahiyah Hj abdullah di Kuang. Jenazah 
disemadikan di Sungai Bakau Seberang Perai selatan pada 27hb September 2008. 
Bonda ku berumur 84 tahun. Ramai anak murid beliau dari madrasah Falahiyah 
Sungai Bakau yang hadir. Sahibul Samahah Dato Mufti Perak menghantar SMS 
mengiring doa keoada Allahyarhamah. SS Mufti Perak adalah lepada Madrasah 
Falahiah. Seorang lagi bekas Mufti dato Hashim Yahya adalah lepasan Madrasah 
Falahiyah.
 
Pada malam 27/9/2008 bagi manfaat anak cucu selepas majlis baca yasin dan 
tahlil saya meminta Abg saya Dr Nabir (Ahli Sejarah UKM) untuk memberi orbitary 
tentang bonda tercinta. Allahyarhamah Hjh Rokiah Yaapar adalah seorang sri 
kandi yang berjuang dalam AWAS (Angkatan Wanita Sedar) dan antara nama yang 
awal disebut dalam surat khabar Malaya tahun 40an. Itu antara faktor Hj 
Abdullah Pelastine memilih Hj Rokiah untuk menjadi isteri. Hj Abdullah 
Pelastine (Allahyarham Ayahanda Tercinta) pengasas Madrasah Falahiyah di Sungai 
Bakau Seberang Perai selatan.
 
Perjuangan yang tak mengenal penat lelah untuk kebaikan umat dan bangsa. 
Madrasah Falahiyah dibangunkan dengan menggunakan buluh dan batang nipah. 
Governor General Malaya turun untuk melawat sekolah ini kerana aktivitinya. 
Ayahanda kami telah ditawarkan pelbagai jawatan kerajaan dan juga bintang 
kebesaran tetapi emuanya ditolak dan memilih menjadi Ahli Majlia Agama Pulau 
Pinang sebagai ahli bebas. Usaha Ayahanda disokong padu oleh Allahyarhamah Hjh 
Rokiah yang terlibat sebagai tenaga pengajar Madrasah Falahiyah.
 
Allahyarhamah ibu kandungku Hjh Saadiah bt Mohd Noor pula telah bermadu dengan 
Hjh Rokiah. Saya ingat ibuku menyatakan bahawa dia menerima menjadi isteri 
kedua ayahandaku kerana Allahyarhamah Hjh rokiah sendiri yang datang meminang. 
Ibuku juga sebagai aktivis yang menyokong usaha ayahanda sebagai setiausaha 
yang mencatat minit-minit mesyuarat serta buat book keeping bagi madrasah 
Falahiyah. Pada tahun 1992 Ibu ku telah dianugerah sebagai TOKOH Warga Tua 
Pulau Pinang. Satu anugerah yang dia tidak duga sama sekali justeru itu majlis 
anugerah itu tidak diiringi kami anak-anak allahyarhamah.
 
Sekian sedikit perkongsian latar kehidupan keluargaku dalam menjejaki 
perjuangan menobatkan agama dan bangsa. Ayahandaku di kenal dengan Hj Abdullah 
Pelastine kerana dia bersama Hj Sulaiman Pelastine (Tokoh yang mencabar Hussein 
Onn untuk Jawatan Presiden Umno dan No 2 keahlian UMNO) dengan Hj Abdul Rashid 
Palestine (Bekas Mufti Pulau Pinang - Guru kepada Y Bhg Ustaz Sayuti Ramli 
Mudir SRI SMI AlAzhar Jitra Kedah) dan seorang lagi yang tinggal di singapura 
yang saya tak ingat namanya telah berjuang dibumi Palestine pada tahu 1948. 
Ayahanda mempunyai keluarga angkat di Palestine Dr Adil (seorang dentist). Nama 
anggota keluarga kami mengambil nama-nama dari keluarga tersebut. (eg. Abdul 
Fatah, Nabil, Ahmad Makmon, Adil)
 
Banyak rentetan peristiwa yang boleh dicitrakan tetapi cukup sekadar 
mengingatkan diri saya dan ahli keluarga bahawa perjuangan menebus maruah agama 
dan bangsa memerlukan pengorbanan. Perjuangan yang tulus bukan untuk mengejar 
kedudukan, harta dan pangkat. Pesan Nenda ku Bonda Allahyarham Ayahanda ku 
maruah adalah perkara yang tidak boleh digadai. Maruah ditebus hingga ketitisan 
darah terakhir. Maruah yang ditunjangi keimanan pada Allah. Nendaku dan suami 
ke Semenajung dari Banjarmasin  kerana diburu oleh Belanda atas pendirian 
selaku pemimpin setempat yang tak mahu tunduk pada Belanda. Wallahualam.
 
Sedikit Citra mengingat semangat bondaku madu ibukandung ku dan juga ibu serta 
ayahanda. semuga mereka diberi Allah pengampunan dan diletakkan pada sisi Allah 
dari orang yang menang. Amin
 
Dicitrakan oleh:
Al-Fakir Fadzil bin Hj Abdullah
Genap umurku 52 Tahun pada 27/9/2008.
Ibuku meninggal pada 30/9/1980
Ayahandaku meninggal pada 6/12/1970.


      

Kirim email ke