Salam~

Hari ini, 29 Ramadhan. Mungkin hari terakhir kita melalui bulan penuh barakah, 
maghfirah (pengampunan) dan rahmah bagi tahun 1429 hijriyyah. Tempoh ini tidak 
akan berulang sampai kiamat tiba. Tempoh ini datang sekali sahaja bagi setiap 
manusia yang hidup. Alangkah adilnya anugerah Allah SWT ke atas manusia! 
Subhanallahu walhamd..

Saya tertarik dengan beberapa topik email yang sampai ke inbox saya sejak akhir 
Ramadhan bermula. Ianya berkisar mengenai 'Sunnah Aidilfitri'. Isinya 
menceritakan beberapa pedoman dari as-sunnah tentang sambutan 'eid (raya). 
Bagus isinya. Namun ada satu persoalan besar terhadapnya, apakah bentuk sunnah 
Rasulullah SAW yang menjadi suasana ketika itu, yang perlu kita terapkan 
(wujudkan) sekarang? Dalam ertikata lain, apakah bentuk dan suasana sunnah yang 
persis menjejaki manhaj an-nubuwwah?

Saya mendapat laporan dari saluran radio tempatan, kenderaan sesak dari tol 
Jalan Duta hingga tol Ipoh Selatan. Dalam kiraan saya, jutaan kenderaan berada 
ketika kesesakan itu. Bayangkan betapa banyak jumlah kenderaan yang menggunakan 
petrol yang diniagakan oleh kerajaan kepada rakyat? Bayangkan pula berapa pula 
kadar riba' (faedah) yang dipungut oleh bank-bank kapitalis ke atas pinjaman 
kenderaan yang tersangkut dalam perjalanan pulang beraya? Betapa gencarnya 
pergaulan sosial-bebas antara lelaki dan wanita tatkala menyambut ketibaan 
Syawal dipasaraya-pasaraya mahupun dipasar-pasar Ramadhan? Dan tak kurang 
pentingnya, berapa harikah tarikh 1 Syawal dikalangan umat Islam didunia ini? 
Inikah suasana sunnah yang berlaku dizaman Rasulullah SAW?

Kita wajib mengikuti sunnah Rasulullah SAW bukan sekadar pada sunnah berbentuk 
individual, bahkan dalam suasana jama'ah. Biarpun dahulu belum wujud kereta, 
bank, lebuhraya, pasaraya, namun perkara yang perlu kita titikberatkan adalah 
suasana tersebut, apakah syar'ie atau sebaliknya. Kita mungkin mampu 
mengamalkan solat 'eid persis sunnah Nabi SAW melalui kajian fiqh yang ternukil 
dalam kitab-kitab muktabar, tetapi apakah dalam masa yang sama kita membiarkan 
(abai) sunnah-sunnah lain seperti memerangi riba', menghancurkan kezaliman para 
pemerintah, mencegah kemaksiatan.. mengkebumikan sistem kufur!? Inilah yang 
menjadi soal.

Tatkala kita menyambut 'eid atau hari biasa, kita sepatutnya memikirkan hal ini 
kerana ia sentiasa mengunjungi kita selagi kita masih bernyawa. Kita takkan 
terlepas dari dipertanggungjawabkan diakhirat kelak kerana Allah 
menganugerahkan peluang itu kepada kita sekarang (di dunia). Suka saya ingatkan 
hal ini melalui sabda Rasulullah SAW;

"Rebutlah lima keadaan sebelum datang lima keadaan yang lain, iaitu keadaan 
muda sebelum kedatangan waktu tuamu, keadaan sihatmu sebelum kedatangan waktu 
sakitmu, keadaan kaya (berada) sebelum ketibaan keadaan fakirmu, keadaan 
lapangmu sebelum kedatangan waktu sibukmu dan masa hidupmu sebelum tibanya 
kematianmu." [HR Hakim dari Ibnu Abbas]
 
Dengan peluang yang Allah anugerahkan ini, maka wajar kita melakukan muhasabah 
diri bersempena menyambut Syawal nanti. Sekaligus, kita mencorakkan usaha kita 
kearah memampankan lagi ketaqwaan kita demi meraih keredhaan Allah SWT. Allah 
hanya meredhai kehidupan Islam. Dan kehidupan Islam itu telah diteladankan 
(sunnah) oleh Rasulullah SAW dan para khulafa' ar-rasyidin r.a. Selain dari 
Islam, pasti kecelakaan yang menimpa umat manusia, didunia mahupun akhirat.

Semoga 'Eidul Fitri 1429H ini menjadi titik perubahan (turning point) bagi kita 
merebut peluang sebagai hamba Allah yang menghidupkan kehidupan Islam, 
sekaligus hidup dalam sunnah Rasullah SAW secara kaffah (total). Kesempatan 
ini, saya mengucapkan salam 'eid mubarak, maaf zahir batin.
 
Wassalam



Kirim email ke