Oleh `Izzat Anwari bin Hasni

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tegas dan yakin.
Tiba-tiba mata Fatimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak
bawah.
"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan 
hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fatimah dengan
suara tersekat-sekat. 

Mata Fikri liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang
perlakuan dia dan Fatimah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi
lagak Fatimah langsung tidak selari dengan penampilannya.

"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya...
Fatimah mula sebak.
"Tak. Maksud saya..."
"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fatimah dengan kasar.
"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup
melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara
Fatimah semakin tinggi, setinggi egonya.

Fikri diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fatimah' di sebalik Fatimah
yang dia kenal selama ini.
Fatimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung
labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya
apabila memujuknya untuk bermadu.

Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. 
Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

"Ada hikmah," bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya terhadap
Fatimah.
Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan
jadual Fikri sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang
diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah
yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi.
Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah 
jalannya. Jalan yangmembawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang
serta bahagia di hari kelak.

Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit sebanyak memenangi
hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Fikri dilihat sebagai calon
suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama
yang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai muslimah yang
menaruh hati padanya, namun, Fatimah terlebih dahulu rapat dan memenangi
hati Fikri. Bagi Fatimah, Fikri seperti pelengkap kepada dirinya. Namun,
hanya sehingga saat Fikri melamarnya menjadi isteri kedua.

Fikri masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fatimah
nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan
Fatimah, namun sikap Fatimah yang keras dan kurang memahami erti dakwah
membantutkan usaha Fikri tersebut. Bagi Fatimah, Fikri tak ubah seperti
lelaki lain.

Gerak kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu
kehilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya
sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. 

Fikri semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan
berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun.
Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang
semudanya. Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali
lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri - sama ada dia
menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri. 

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri
dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikri
sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap
kiriperjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah
pasti membawa Fikri menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang
dikenalinya adakah sama seperti Fatimah atau tidak?

Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia
meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah
merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Fikri
berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan
yakin, sekali lagi Fikri mengulangi soalan yang pernah 
ditanya kepada Fatimah.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tanpa segan silu.
"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.
"Er, betul ke ni?" tergagap Fikri menerima jawapan Nusaibah yang tenang
dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun
kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Fikri.

"Kenapa saya?" tanya Fikri ingin tahu.
"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin
tetapi sedikit malu.
"Baiklah," jawab Fikri tersenyum.

Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak
kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga
bersama Nusaibah, Fikri terasa dakwahnya semakin laju. 

Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah
sangat membantu gerak kerja Fikri semampu mungkin. Setiap kali turun ke
lapangan untuk berdakwah, Fikri membawa Nusaibah untuk membantu kerja
dakwah seadanya.

Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar
berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini
sebelum berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan gerak kerja
dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi
pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam
perjalanan ke sebuah program dakwah.
"Ye sayang?" jawab Fikri sambil memandu.
"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang,"luah
Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.
"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Fikri menoleh sedikit ke arah
Nusaibah, sambil tersenyum.
"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri dalam
gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri keranau
sahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri
pertama Fikri yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Fikri
aktif dalam dakwah sebelum ini.

"Kita dah sampai," Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang beg
berisi fail di tangannya. Fikri berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah
di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah
kiri kereta.

"Itu isteri pertama abang," Fikri menuding jari ke arah khemah tersebut.
"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari
Fikri.
"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.
"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.
Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

"Perjuangan, " jawab Fikri.

SEDARLAH SEMUA... KALIAN AKAN DIMADUKAN!

JIKA DIRIMU BAKAL SEORANG ISTERI...
TERIMALAH KENYATAAN BAHAWA ANDA AKAN DIMADUKAN, BAHKAN ANDA BUKAN 
ISTERI PERTAMA YANG BAKAL DIKAHWINI TETAPI ANDA ADALAH BAKAL ISTERI 
KEDUA!!! 
 
KERANA ISTERI PERTAMA BAGI SUAMIMU IALAH PERJUANGAN ISLAM!!!
PERKAHWINAN INI TELAH LAMA DILANGSUNGKAN... KEHADIRAN DIRIMU ADALAH 
UNTUK BERSAMA BERGANDING BAHU MEMPERJUANG KAN ISLAM BUKAN MENJADI 
BATU PENGHALANG PERJUANGAN SUAMIMU...

JANGANLAH JADIKAN DIRIMU SEBAGAI PUNCA SERTA MERENDAHKAN HARGA DIRI 
MU DENGAN TERJADINYA PERCERAIAN SUAMIMU DENGAN ISTERINYA YANG 
PERTAMA IAITU PERJUANGAN ISLAM!

JIKA DIRIMU BAKAL SEORANG SUAMI...
TERIMALAH BAHAWA ANDA BUKANLAH SUAMI YANG PERTAMA YANG BAKAL 
DINIKAHINYA ATAU INSAN YANG PERTAMA YANG DICINTAI DAN DISAYANGI OLEH 
BAKAL ISTERIMU!!! 
 
BAHKAN DIRIMU ADALAH INSAN YANG KEDUA YANG 
DICINTAINYA.... 
KERANA SUAMI YANG PERTAMA BAGINYA IALAH PERJUANGAN ISLAM DAN
MEMARTABATKANNYA... 
 
DIA MENCINTAIMU KERANA DIRIMU MENCINTAI ISLAM DAN MEMPERJUANGKAN ISLAM.
JIKA DIRIMU TIDAK SEDEMIKIAN... SEKELUMIT CINTA PUN TIDAK AKAN LAHIR
DALAM SANUBARI ISTERIMU...

BANTULAH ISTERIMU DAN KUATKANLAH DIA UNTUK TERUSKAN PERJUANGAN...

Sumber: http://rawdha-sakeena.blogspot.com
<http://rawdha-sakeena.blogspot.com/> 

Kirim email ke