Melaksanakan Ibadah Korban Di Bawah Bimbingan Rasulullah

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

1 – Definisi Dan Hukumnya:

Al-Udhiyah: Adalah haiwan ternakan yang disembelih pada hari ‘Idul Adha dan 
hari-hari TasyriQ dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah Subahanahu wa 
Ta’ala. Haiwan ternakan yang dibolehkan untuk korban adalah unta, lembu, 
kambing, atau biri-biri. (Abu Malik Kamal, Ensikolopedi Fiqh Wanita, jil. 2, 
m/s. 115. Rujuk juga: ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 3, m/s. 566)

Hukum Berkorban:

Menurut Ibnu Taimiyah:

“Tidak wajib menyembelih korban, melainkan hanya bagi mereka yang mampu.” (Ibnu 
Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 23/162-164)

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu dia berkata, Rasulullah Shallallahu 
‘alaihi wa Salam bersabda:

“Sesiapa yang memiliki keluasan (rezeki) namun dia tidak berkorban, maka 
janganlah dia mendekati tempat solat kami.” (Hadis Riwayat Ahmad (1/321))

Manakala sebahagian ulama menyatakannya sebagai sunnah sahaja.

Namun, menurut pendapat yang lebih kuat dan tepat (rajih) hukumnya adalah wajib 
bagi setiap orang Islam yang berdaya (mampu) untuk berkorban. (Ali Hasan 
al-Halabi, Meneladani Rasulullah Dalam Berhari Raya, m/s. 86)

2 - Waktu Menyembelih Haiwan Korban:

Hari yang disyari’atkan untuk menyembelih haiwan korban adalah pada 10, 11, 12, 
dan 13 Dzulhijjah. Imam asy-Syafie rahimahullah berkata:

“Waktu menyembelih haiwan korban adalah ketika imam telah selesai solat 
Aidiladha… Apabila hari-hari Mina telah berlalu (tarikh 11, 12 dan 13 
Dzulhijjah), tidak boleh lagi menyembelih korban.” (Imam asy-Syafi’i, Mukhtasar 
Kitab al-Umm fi al-Fiqh, edisi terjemahan bertajuk Ringkasan Kitab al-Umm, 
Peringkas dan peneliti Hussain Abdul Hamid Abu Nashir Nail, Pustaka Azzam, 
Jakarta (2004), jil. 1, m/s. 737)

“Sesiapa yang menyembelih sebelum dia solat (Aidiladha), dia hendaklah 
mengulanginya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, hadis no. 5561)

“Seluruh hari TasyriQ merupakan waktu untuk penyembelihan (korban).” (Hadis 
Riwayat Ahmad (4/8). Disahihkan oleh Syu’aib al-Arnauth. Manakala Syaikh Ali 
Hasan al-Halabi menghasankannya)

Lihat juga perbahasan lainnya berkenaan masa untuk menyembelih di dalam Subulus 
Salam, susunan imam ash-Shan’ani.

3 – Ciri-ciri Haiwan:

Jenis haiwan: Haiwan ternakan yang berupa Unta, Lembu, Kambing, Kibas, atau 
biri-biri. (Bidayatul Mujtahid, jil. 2, m/s. 559. Dinukil dari Abu Malik Kamal, 
Shahih Fiqh Sunnah, jil. 3, m/s. 362)

Had umur: Berdasarkan hadis yang umum, harus mencapai usia Musinnah dan 
Jadza’ah, Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (maksudnya): 
“Janganlah kamu menyembelih (haiwan ternak) kecuali setelah mencapai usia 
musinnah (usia yang cukup bagi unta, lembu, dan kambing). Namun apabila 
mengalami kesukaran, maka sembelihlah binatang yang telah mencapai usia 
jadza’ah (usia yang cukup/6 bulan) dari domba (kibas).” (Hadis Riwayat Muslim, 
no. 1963)

Oleh kerana tidak ada ketentuan syar’i berkenaan batasan usia, maka terjadilah 
perbezaan pendapat di kalangan ulama. Akan tetapi pendapat yang paling banyak 
dipilih dari kalangan mereka (ulama) adalah sebagaimana berikut: Unta 5 tahun 
(atau lebih), lembu 2 tahun (atau lebih), kambing 1 tahun (tidak kurang 
darinya), dan kibas (domba) 6 bulan. (Pendapat ini dipilih oleh Syaikh Ibnu 
Utsaimin rahimahullah di dalam kitabnya asy-Syarhul Mumti’, jil. 7, m/s. 460)

Binatang Yang Tidak Boleh Berkorban Dengannya: Yang jelas butanya, Yang jelas 
sakitnya, jelas cacatnya (tidak boleh berjalan betul), yang tidak bersumsum 
(yang teramat kurusnya/tidak berlemak), dan yang putus telinganya.

Dari al-Barra’ bin Azib radhiyallahu ‘anhu, katanya: “Rasulullah Shallallahu 
‘alaihi wa Salam berdiri di tengah-tengah kami dan bersabda, “Empat haiwan yang 
tidak boleh dijadikan korban adalah: Yang jelas butanya, yang jelas sakitnya, 
jelas cacatnya (tidak boleh berjalan betul), dan yang tidak bersumsum (yang 
teramat kurusnya/tidak berlemak)”.” (Hadis Riwayat Ahmad, dan beliau 
menghasankannya. Hadis Riwayat at-Tirmidzi, dengan katanya hasan sahih. Rujuk: 
Imam ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 3, m/s. 577. Juga disahihkan oleh 
al-Albani, Shahih Sunan Abi Daud, 2802)

Dari Ali radhiyallahu ‘anhu, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam 
memerintahkan kami supaya memeriksa mata dan telinganya...” (Hadis Riwayat 
an-Nasa’i, 7/217)

Bagi Setiap Korban Adalah Bagi dirinya Dan Keluarganya: Diriwayatkan dari Abu 
Ayyub al-anshari, beliau berkata: “Pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa 
Salam, seseorang berkorban seekor kambing untuk dirinya dan keluarganya. Mereka 
memakan dan memberi makan orang lain, kemudian manusia berbangga sehingga 
seperti yang engkau lihat.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 1541. Menurut 
al-Albani, hadis ini Shahih. Lihat juga Imam Malik, al-Muwaththa’, 387 dan Imam 
ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 3, m/s. 584)

Menurut Imam ash-Shan’ani: “Seekor kambing boleh untuk satu orang lelaki dan 
keluarganya sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa 
Salam. (Imam ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 3, 584)

Setiap Unta Untuk Sepuluh Orang: Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu, “Bahawa Nabi 
Shallallahu ‘alaihi wa Salam menyebutkan satu unta untuk sepuluh orang.” (Hadis 
Riwayat al-Bukhari, no. 5543) Juga dari Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu, beliau 
berkata, “Ketika kami bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Salam dalam musafir, 
lalu tibalah hari raya korban, kemudian kami bersepakat untuk membeli seekor 
unta untuk sepuluh orang dan seekor lembu untuk tujuh orang.” (Hadis Riwayat 
al-Tirmidzi, no. 907. Menurut al-Albani, hadis ini Shahih)

Manakala sebahagian pendapat yang lain dan lebih masyhur (serta ijma’) adalah 
seekor unta untuk tujuh orang. Wallahu a’lam.

Setiap Seekor Lembu Untuk Tujuh (bahagian) Orang: “... dan seekor lembu untuk 
tujuh orang.” (Hadis Riwayat al-Tirmidzi, no. 907. Menurut al-Albani, hadis ini 
Shahih)

Tidak disyaratkan bahawa tujuh orang yang berkorban dengan satu unta atau lembu 
adalah orang-orang yang berada dalam satu rumah (atau keluarga). Kerana, para 
sahabat pun ketika mereka berkorban bersama adalah orang-orang yang berasal 
dari pelbagai kabilah. (Abu Malik Kamal, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, m/s. 
118)

4 – Penyembelihan Haiwan:

Disunnahkan Untuk Menyembelih Di Musholla: Daripada Ibnu ‘Umar radhiyallahu 
‘anhu, dia berkata: “Dahulu menjadi kebiasaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa 
Salam menyembelih haiwan korban di musholla iaitu kawasan lapang tempat 
menunaikan solat ‘Ied al-Adha.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5552)

Ini adalah sebagaimana yang telah kita fahami dan ketahui (melaui 
riwayat-riwayat yang sahih) bahawa solat di Masjid Nabawi adalah lebih baik 
daripada 1000 kali solat di masjid selainnya (kecuali Masjidil Haram). Namun 
ternyata walaupun dengan keutamaan sebesar ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi 
wa Salam tetap memerintahkan para sahabat untuk mendirikan solat Hari Raya di 
musholla.

Ibnu Qudamah rahimahullah menjelaskan: “Mengerjakan solat Hari Raya di musholla 
(kawasan lapang) adalah sunnah, kerana dahulu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Salam 
keluar ke tanah lapang dan meninggalkan masjidnya (iaitu Masjid Nabawi). 
Begitulah juga para khulafa’ al-Rasyidin. Dan ini merupakan kesepakatan kaum 
muslimim. Mereka telah sepakat di setiap zaman dan tempat untuk keluar ke tanah 
lapang ketika melaksanakan solat Hari Raya.” (Ibnu Qudamah, al-Mughni, jil. 3, 
ms. 260)

Afdhal Menyembelih Dengan Tangan Sendiri: Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, 
beliau menjelaskan bahawa, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam pernah 
memerintahkan dibawa kepadanya seekor kambing kibas bertanduk, yang kaki, 
perut, dan sekitar matanya berwarna hitam. Maka dibawakanlah haiwan tersebut 
kepada beliau. Beliau minta dibawakan pisau yang diasah dengan batu. Beliau pun 
mengambil pisau dan kambing tersebut, lalu membaringkannya dan menyembelihnya 
dengan berkata (berdoa), “Bismillah, Ya Allah, terimalah (korban ini) dari 
Muhammad, keluarganya, dan umatnya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1966)

Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, katanya: “Rasulullah Shallallahu 
‘alaihi wa Salam berkorban dengan dua ekor kambing kibas bertanduk. Beliau 
mengucapkan “Bismillah” dan bertakbir (بِسْمَ اللهِ وَاللهُ أَكْبَر), lalu 
beliau meletakkan kaki beliau di atas dahi binatang tersebut. Beliau 
menyembelihnya dengan tangan beliau sendiri. (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 
5558)

Disunnahkan supaya Membaringkan Haiwan Korban (Bagi Kambing): “... Beliau pun 
mengambil pisau dan kambing tersebut, lalu membaringkannya dan menyembelihnya 
dengan berkata (berdoa), “Bismillah, Ya Allah, terimalah (korban ini) dari 
Muhammad, keluarganya, dan umatnya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1966)

Berdasarkan hadis ini, menurut Imam ash-Shan’ani:

Hadis ini menjelaskan posisi kambing korban yang direbahkan, sehingga tidak 
disembelih dalam keadaan berdiri atau duduk. Kerana keadaan tersebut lebih 
mudah baginya (di mana dengan tangan kanan memegang pisau dan tangan kiri 
memegang kepala). Dan ini adalah ijma’ (kesepakatan) para ulama. Caranya adalah 
dengan merebahkan haiwan di atas lambung kirinya.

Disunnahkan juga berdoa supaya diterimanya haiwan sembelihan (ibadah korban 
yang dilakukan). (ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 3, m/s. 569)

Menyembelih Dengan Pisau Yang Tajam: Ketika Nabi hendak menyembelih, beliau 
meminta ‘Aisyah mengambil pisau dan mengasahnya terlebih dahulu. (Rujuk Hadis 
Riwayat Muslim, no. 1966)

Boleh Mewakilkan Dalam Menyembelih & Menguruskan Haiwan Korban: Dari ‘Ali 
radhiyallahu ‘anhu, dia berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam 
memerintahkanku untuk menyembelih untanya, dan membahagi-bahagikan kulitnya 
serta peralatan yang biasa diletakkan di punggung unta.” (Hadis Riwayat 
al-Bukhari, no. 1717)

Mengucapkan Bismillah dan Bertakbir: “... Beliau mengucapkan “Bismillah” dan 
bertakbir (بِسْمَ اللهِ وَاللهُ أَكْبَر), lalu beliau meletakkan kaki beliau di 
atas dahi binatang tersebut. Beliau menyembelihnya dengan tangan beliau 
sendiri. (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5558)

5 - Daging Korban Untuk Dimakan, Disedekahkan, Dihadiahkan, dan boleh juga 
Disimpan:

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: “Supaya mereka menyaksikan pelbagai 
manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah 
ditentukan atas rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka berupa binatang 
ternak. Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berikanlah 
untuk dimakan orang-orang yang sengsara (miskin) dan fakir.” (Surah al-Hajj, 
22: 28)

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda: “Makanlah, berikanlah 
(sedekahkanlah) kepada orang lain, dan simpanlah.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 
1974)

Dari Ali radhiyallahu ‘anhu, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam 
memerintahkan kepadaku supaya menguruskan korbannya, dan membahagi-bahagikan 
daging, kulit, dan pakaiannya kepada orang-orang miskin. Dan aku tidak 
dibenarkan memberi apa pun dari korban tersebut kepada penyembelihnya” (Hadis 
Riwayat al-Bukhari, 1716)

Tidak Menjadikan Daging Korban Sebagai Upah Dan Bahan Jual-Beli: Dari ‘Ali 
radhiyallahu ‘anhu, dia berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam 
memerintahkanku untuk menyembelih untanya, dan membahagi-bahagikan kulitnya 
serta peralatan yang biasa diletakkan di punggung unta. Beliau juga 
memerintahkanku supaya tidak memberikan daging tersebut kepada tukang sembelih 
(atau yang mengurus). Akan tetapi kami memberikan upah kepadanya dengan wang 
kami sendiri.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1717) “...Dan aku tidak 
dibenarkan memberi apa pun dari korban tersebut kepada penyembelihnya” (Hadis 
Riwayat al-Bukhari, 1716)

Menurut Ibnu Rusyd, “Ulama bersepakat bahawa menjual daging korban adalah 
dilarang. Mereka berselisih pendapat dalam masalah kulit dan rambut yang boleh 
dimanfaatkan. Majoriti ulama menyatakan bahawa perkara tersebut tidak 
dibolehkan (untuk dujual beli). (ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 3, m/s. 582)

6 – Tidak Memotong Kuku Dan Rambut Bagi Yang Hendak Berkorban:

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda: “Jika telah masuk sepuluh 
hari pertama bulan Dzulhijjah dan ada di antara kamu semua yang ingin 
berkorban, maka janganlah memotong rambut dan kukunya walau sedikit.” (Hadis 
Riwayat Muslim, no. 1977)

Menurut Imam al-Nawawi rahimahullah:

”Yang dimaksudkan dengan larangan memotong kuku dan rambut adalah larangan 
menghilangkan kuku dengan memotong, mencabut atau dengan cara lain (secara 
sengaja). Termasuk juga larangan menghilangkan rambut sama ada dengan mencukur, 
memendek, mencabut, membakar, menggunakan sesuatu untuk menghilangkan rambut 
dan apa juga cara sama ada pada bulu ketiak, misai, bulu ari-ari, rambut atau 
bulu-bulu lain di bahagain anggota badan yang lain.” (Imam an-Nawawi, Syarh 
Muslim, jil. 13, m/s. 138-139)

Manakala sekiranya dia melakukan perkara tersebut (memotong kuku atau rambut), 
Ibnu Qudamah rahimahullah menjelaskan:

“Sesiapa yang melanggar larangan ini (mengunting rambut dan memotong kuku 
pent.), hendaklah dia memohon keampunan dari Allah dan tidak ada fidyah 
baginya, sama ada disengajakan atau pun terlupa”. (Ibnu Qudamah, al-Mughni, 
jil. 11, m/s. 96)




“تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ”
“Semoga Amalan Kami & Anda Diterima”



@Nawawi Subandi,
YM: [EMAIL PROTECTED]

------------------------------------

Free download [Internet Explorer/Firefox]:
Hidayahnet Toolbar [no virus, adware, malware etc] 
http://hidayahnet.ourtoolbar.com

--------------------------------------------------------------------------
**Boycott Israel**Support Palestine** 

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in 
any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved 
otherwise. 

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily 
digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your 
mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the 
title "change to daily digest". 

--------------------------------------------------------------------------

Affiliates:
Islamic_Board - Malaysia - Islamic Events and Notices 
http://groups.yahoo.com/group/islamic_board/

iPerintis - eGroup untuk Saintis dan Jurutera Muslim  
http://groups.yahoo.com/group/iperintis/

Hidayahnet Toolbar [no virus, adware, malware etc] 
http://hidayahnet.ourtoolbar.com

Recommended sites:
Angkatan Belia Islam Malaysia  : http://www.abim.org.my
Jamaah Islah Malaysia          : http://www.jim.org.my
Palestinkini Info              : http://www.palestinkini.info
Partai Keadilan Sejahtera      : http://pk-sejahtera.org
Fiqh Siber                     : http://al-ahkam.net/
The Muslim Brotherhood         : http://ikhwanweb.com
Hidayahnet website             : http://hidayahnet.multiply.com/  Yahoo! Groups 
Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    mailto:[EMAIL PROTECTED] 
    mailto:[EMAIL PROTECTED]

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/

Kirim email ke