Assalamualaikum

Dimaklumkan bahawa Akademi Pengajian Islam Darul Furqan, Ipoh akan
menganjurkan bengkel tarannum yang akan dikendalikan oleh AF Utz Hj
Radzi Kamarul Hailan iaitu Johan Qari Kebangsaan & Qari Antarabangsa
untuk tahun 2000/2004 dan juga Juri Tarannum AQ-TV9.

Program ini akan diadakan pada 28 Disember 2008, Ahad jam 9.00 pagi
hingga 4.30 petang bertempat di Masjid Saidina Abu Bakar Al-Siddiq,
Jalan Ara, Bangsar, 59100 Kuala Lumpur.

Yuran untuk bengkel sehari ini adalah RM80.00 seorang termasuk minum
pagi dan makan tengahari, kertas kerja dan sijil penyertaaan.

Kepada yang berminat untuk mendalami ilmu bacaan Al-Quran secara
bertarannum, saya ingin menjemput saudari/saudara untuk bersama
memeriahkan bengkel ini dan semuga kita mendapat rahmat dengan
memeriahkan Kalamullah.

Pembayaran boleh di buat ke Public Bank Berhad Savings Acc No. 48778415-02
(Ruhaiza bt Mohamad Sapian).  Selepas pembayaran, sila sms nama dan
no. kad pengenalan untuk pendaftaran.

Sekian, terima kasih.

Ruhaiza bt Mohamad Sapian
013-3467538

Hukum Taranum Al-Quran
<http://webblog.myjodoh.net/2007/08/01/hukum-taranum-al-quran/>



August 1, 2007 at 8:53 am * Filed under Umum
<http://webblog.myjodoh.net/category/al-quran/> 



TILAWAH al-Quran bukan asing bagi masyarakat Islam di negara ini, malah
Malaysia antara negara pelopor mengadakan acara itu setiap tahun.



Dalam mana-mana majlis tilawah, qari dan qariah akan memperdengarkan
bacaan dengan seni lagu atau tarannum. Kehandalan seseorang pembaca
bukan sekadar diukur kepada kebolehan tajwid tetapi sedap atau tidak
pembacaannya.



Melagukan al-Quran berbeza daripada nasyid, qasidah dan burdah malah
menurut Imam Syafie, melagukan al-Quran ialah mengelokkan kitab suci itu
tanpa melanggar hukum tajwid.



Namun, timbul perselisihan pendapat di antara ulama salaf (dahulu) dan
ulama khalaf (kemudian) mengenai kesenian lagu al-Quran. Ada berpendapat
hukum berlagu makruh dan harus.

Antara ulama yang berpendapat hukum berlagu makruh ialah Anas bin Malik,
Said bin Jabir, Ibn Sirin, Imam Malik dan Imam Ahmad. Mereka
bersandarkan kepada hadis yang berbunyi:

            "Bacalah al-Quran dengan bentuk suara dan lagu Arab,
hendaklah dijauhkan dengan bentuk lagu ahli kitab dan orang fasik.
Sesungguhnya akan datang selepas aku kaum tertentu yang membaca al-Quran
seperti orang bernyanyi dan cara ahli kitab dan cara seperti meratap
iaitu keluar huruf melalui kerongkong mereka tidak sesuai dengan makhraj
huruf semata-mata bertujuan mempesona dan menakjubkan orang saja."

Selain itu, Imam Ahmad berpendapat, pembacaan al-Quran secara berlagu
suatu perkara bidaah dan ia melarang daripada mendengarnya.

Ulama yang berpendapat hukum berlagu adalah harus ialah Umar Ibn
Khattab, Ibn Abbas, Ibn Mas'ud, Imam Hanafi dan Imam Syafie. Mereka
berpandukan hadis nabi, antaranya:
          
            "Daripada Barra' bin Azib berkata: Rasulullah bersabda
(maksudnya): Seseorang yang mahir membaca al-Quran ditempatkan di syurga
bersama Malaikat dan hiasilah al-Quran dengan suaramu."

Menurut Imam Mawardi, melagukan al-Quran itu boleh selagi tidak keluar
daripada kaedah hukum tajwid sehingga lagu merosakkan bacaan.

Ijmak ulama menyatakan, menjadi suatu yang digalakkan mendengar bacaan
al-Quran seorang yang mempunyai suara baik kerana ia lebih jelas kepada
makna yang dikehendaki.

Pensyarah al-Quran dan Tarannum, Kolei Islam Antarabangsa Sultan Ismail
Petra (KIAS), Muhammad Lukman al-Hafiz Ibrahim, berkata masyarakat Islam
perlu menganggap tarannum suatu tuntutan dengan melihat kepada beberapa
hadis sahih Rasulullah s.a.w yang menyuruh dan beramal demikian.

Asas bertarannum, katanya, ialah hadis Rasulullah s.a.w bermaksud:
"Bukanlah umat kami mereka yang tidak bertaranum dengan al-Quran."
(Sahih Bukhari: 6/273)

"Suatu bukti yang tidak dapat disangkal ialah mereka yang belajar ilmu
tarannum adalah lebih baik tilawah serta tajwidnya berbanding dengan
mereka yang tidak belajar," katanya.

Beliau berkata, ini sesuai dengan gesaan Rasulullah s.a.w supaya membaca
al-Quran dengan cara yang paling baik, seperti yang dapat difahami
melalui satu hadis bermaksud:

"Hiasilah al-Quran dengan suaramu kerana suara yang baik akan menambah
keelokan al-Quran." (Riwayat Hakim 1/768).

"Suara perlu dibentuk dengan tarannum yang baik untuk menyambut suruhan
Rasulullah s.a.w ini. Jika tidak bacaan akan menjadi buruk dan tidak
elok. Ini bertentangan dengan kemuliaan al-Quran.

"Seorang yang berkata tidak mampu bertaranum dengan alasan suaranya
tidak baik hanya memberi alasan yang remeh.

"Mereka sebenarnya tidak belajar bertaranum yang betul untuk al-Quran.
Realiti ini memang terbukti melalui kursus dan kelas yang diadakan.

"Sehingga guru dan penceramah agama sendiri yang mahir dalam ilmu
tafsir, hadis, fiqah dan lain-lain tidak membaca al-Quran dengan baik
malah salah," katanya.

Punca perkara itu, katanya, hanya satu kerana tidak belajar al-Quran
sedangkan mereka mendalami ilmu tafsir, hadis, fiqah dan lain-lain.

"Sekiranya dilihat dari sudut masyarakat Islam pula, mereka yang lemah
dalam membaca al-Quran masih ramai bahkan sebahagiannnya tidak tahu
membaca langsung. Itu belum lagi dibincangkan persoalan membaca dengan
baik dan bertarannum," katanya.

Jelas, berdasarkan keterangan itu termasuk beberapa hadis menegaskan
supaya membaca al-Quran dengan suara elok dan berlagu menyumbangkan
kepada keelokannya.

Tetapi ini tidak bermakna mereka yang tidak boleh berlagu dipaksa agar
berbuat demikian, sesuai dengan hadis bermaksud: "Sesungguhnya
mengelokkan suara dalam pembacaan al-Quran adalah dituntut. Jika tidak
berkemampuan hendaklah diperelokkan sekadar termampu saja."

Menurutnya, amalan berlagu dalam pembacaan al-Quran bermula sejak era
kegemilangan generasi pertama Islam, iaitu zaman Rasulullah s.a.w.

"Imam Ibn Hajar Asqalani meriwayatkan, masyarakat Arab cukup suka
berlagu sama ada ketika menunggang unta, di halaman rumah dan di mana
sahaja. Apabila al-Quran diturunkan, Rasululah s.a.w mahukan minat
berlagu itu dipindahkan kepada tarannum al-Quran (Fath al-Bari 6/69).

"Satu riwayat lain dari Imam Ibn Batthal menyebutkan, Saidina Umar
meminta Abu Musa al-Asy`ari (qari ulung di kalangan sahabat) membaca
al-Quran di hadapannya. Maka, Abu Musa membaca sambil bertarannum. Kata
Umar r.a sesiapa yang mampu untuk bertaranum seperti Abu Musa, silalah
(Syarah al-Bukhari oleh Ibnu Battal 9/342)

"Asasnya di sini ialah mengutamakan bacaan bertajwid dan tarannum
bertujuan untuk memperelokkan lagi bacaan al-Quran," katanya.

Jenis lagu adalah pelbagai, tetapi yang biasa bagi masyarakat di
Malaysia ada tujuh, membabitkan lagu Bayati (dimasyhurkan orang Mesir),
lagu Soba (berasal dari Arab Mesir), lagu Hijaz (berasal dari Hijaz
iaitu Makkah dan Madinah), lagu Nahawand (berasal dari Hamdan, Parsi),
lagu Rast (berasal dari Parsi), lagu Jaharkah (berasal dari Afrika) dan
Sikah (berasal dari Parsi).

Muhammad Lukman berkata, seseorang yang ingin membaca al-Quran boleh
memilih mana-mana tarannum yang sesuai dengan suara mereka.

"Umat Islam memang dituntut mempelajari tarannum sepanjang zaman dengan
tujuan untuk memperelokkan (tahsin) tilawah al-Quran.

"Namun, asas dalam tarannum al-Quran adalah tajwid. Al-Quran wajib
dibaca dengan tajwid.

"Taranum juga adalah tuntutan, namun tidak boleh sekali-kali mendahului
tajwid dan melampau dalam tarannum sehingga membelakangi tajwid. Perkara
ini mesti dijauhi," katanya.

Cuma, katanya, syarat pembelajaran tajwid dan tarannum adalah secara
talaqqi dan musyafahah (belajar secara langsung dan menghadap guru).

"Kaedah menggunakan kaset, cakera padat video (VCD) dan media lain
hanyalah sebagai satu alat bantu tambahan dan ia bukan asas kepada
pembelajaran al-Quran," katanya.

Dipetik Daripada Harian Metro, 1 Ogos, 2007


      Dapatkan nama E-mel keutamaan anda!
Kini anda boleh @ymail.com dan @rocketmail.com.
http://mail.promotions.yahoo.com/newdomains/my/

Kirim email ke