Analisis PRK P36: Siapa antara 'Top 3' ini jadi taruhan PAS?
13 Dec 2008 11:48PM


Oleh Mohd Sayuti Omar 

KALAU BN
ada tiga hingga lima calon untuk diletakkan bertanding dalam pilihan
raya kecil Kuala Terengganu pada 6 Januari depan, Pas pula ada tiga
calon yang menjadi sebutan dan sandaran untuk merampas kerusi
berkenaan. Di sini saya tidak bercadang untuk mengulas dan menganalisa
calon-calon BN, dan hanya akan menyorot calon-calon Pas sahaja.

Tiga
nama disebut-sebut akan diletakkan oleh Pas, ialah Naib Presiden,
Mohamad Sabu yang juga calon Pas di kerusi berkenaan dalam pilihan raya
umum lalu, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mustafa Ali dan seorang ahli
perniagaan Prof Khazani Abdullah.Ketiga calon ini realtifnya
berbeza antara satu sama lain. Mohamad Sabu dikenali sebagai pekerja
parti yang lantang dan rajin di dalam Pas. Pekerja yang pandai mengulas
isu dan membuat humor ketika bersyarah. Beliau juga menjadi daya
penarik kepada majlis ceramah Pas.

Kerana kehebatan itu beliau
saya sifatkan sebagai calon berlabel nasional. Mustafa Ali pula
pemimpin veteran dalam Pas yang berpengalaman. Saya namakan sebagai
pekerja lama parti. Manakala Khazani tokoh muda Pas yang masih belum
dikenali calon amatur dan harapan masa depan. Pekerja baru parti.

Walaupun
Pas Terengganu tidak ‘kasik’ calon dan masih ada serangkaian calon
lain, seperti Wan Mutalib Embong, Abu Bakar Chik dan lain-lain, tetapi
itulah tiga nama yang dikira akan disenaraipendekkan oleh Pas
Terengganu untuk dipertimbangkan dan diputuskan oleh Pas Pusat dan
Majlis Syura Ulama.

Rasanya elok juga untuk melihat populariti calon-calon berkenaan berdasarkan 
poll yang dibuat oleh beberapa portal berita dan juga blog persendirian 
termasuk blog
saya. Perbandingan ini hanya tertumpukan kepada dua nama saja, Mohamad
Sabu dan Mustafa Ali kerana Khazani tidak disenaraikan dalam mana-mana poll..

Ada
empat orang nama yang disenaraikan dalam poll berkenaan, iaitu Mohamad
Sabu, Mustafa Ali, Wan Mutalib Embong dan Syed Azman Syed Ahmad. Jelas
sekali dari segi popular menurut poll-poll itu, Mohamad Sabu menjadi pilihan 
utama berbanding dengan Mustafa Ali.

Misalnya poll yang dibuat oleh KL.Pos
yang dikutip jam 11:00 pagi ini (11 Disember 2008) Mohamad Sabu
mendapat sokongan sebanyak 89%, Mustafa 4% dan Wan Mutalib sebanyak 7%.
Manakala poll dari blog pinkturtle
pula yang dikutip pada waktu sama daripada 430 pengundi, sebanyak 68%
atau 291 undian diberikan kepada Mohamad Sabu, Syed Azman 27% atau 115
undian, Wan Mutalib dan Mustafa masing-masing 3% atau kira-kira 11-13
undi saja.

Poll dari blog saya pula yang
dikutip pada masa sama, daripada 216 pengundi Mohamad Sabu menerima 122
undian atau 56%, Syed Azman 43 undi atau 19%, Wan Mutalib menerima 6
undi atau 2% dan Mustafa menerima 21 undi atau 9%. Saya turut
meletakkan pilihan ‘calon-calon lain’ yang menerima 24 undi atau 11%.

Saya mengagakkan mereka yang membuat pengundian menerusi poll dalam ketiga blog 
berkenaan adalah hampir 90 % orang yang sama dan kebanyakan mereka adalah 
pelayar dari luar Kuala Terengganu. Jelas dari poll itu Mohamad Sabu menjadi 
calon popular dengan mengatasi calon-calon lain dari ketiga poll berkenaan.

Ada
beberapa sebab kenapa Mohammad Sabu popular, antaranya kerana nama
beliau sudah disebut awal-awal oleh Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz
Nik Mat yang mahukan Mohamad Sabu diberikan peluang bertanding sekali
lagi. Sedikit sebanyak pandangan Nik Aziz itu mempengaruhi pengundi
terutamanya pengundi yang taksub dengan cara politik beliau (Nik Aziz).

Selain
itu ialah kerana Mohamad Sabu dilihat popular berbanding dengan
nama-nama lain di kalangan masyarakat bawahan dan mereka yang meminati
politik berbentuk ceramah.

Persoalannya kini apakah Pas Terengganu akan mengambil kira trend yang 
ditunjukkan oleh poll
berkenaan ataupun suara pemerhati dan peminat politik Pas di luar
Terengganu itu? Kalau Pas memperlakukan ini sudah tentu Mohamad Sabu
adalah calon paling layak.

Sebaliknya sekiranya Pas Terengganu ada kriteria dan indikatornya sendiri, 
populariti berdasarkan poll dan ukuran orang awam itu tidak akan diterima pakai 
dan memungkinkan Mohamad Sabu tidak akan diturunkan semula.

Dalam
pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu ini apa yang paling
diutamakan kemenangan. Pas perlu menang untuk membuktikan bahawa
pengaruh Pas masih kuat di negeri itu. Kemenangan itu juga akan menjadi
petunjuk untuk masa depan Pas – pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Manakala
dalam konteks Pakatan Rakyat pula kemenangan itu sangat penting bagi
meyakinkan rakyat untuk meneruskan projek terbengkalai untuk
menumbangkan kerajaan BN yang diilhamkan oleh Anwar Ibrahim.

Justeru calon yang dianggap benar-benar mampu memberi kemenangan akan dipilih 
dan diberikan keutamaan.

Seperti disebutkan tadi nama Khazani tidak dimasukkan ke dalam poll.
Jadi beliau tidak mendapat petunjuk apakah beliau mampu atau tidak.
Namun Dewan Pemuda Pas Terengganu beriya mahu menonjolkan Khazani
sebagai calon dalam pilihan raya berkenaan sambil menafikan yang Pas
Terengganu kekurangan calon tempatan.

Berdasarkan latar belakang
pendidikan akademi Khazani yang luas dan cemerlang itu beliau
berkelayakan. Tetapi bila diukur kepada pengalaman dan penglibatan
dalam politik ia masih mentah dan muda.

Mari kita tinjau satu persatu potensi yang ada kepada ketiga calon berkenaan.

Mohamad Sabu
– memang beliau orang luar dan pertama kali bertanding di Kuala
Terengganu. Beliau pernah menang di luar negerinya, iaitu di Kelantan
selama dua penggal. Mohamad Sabu adalah tokoh yang tersendiri dalam Pas
dengan anutan, fahaman dan aliran pemikiran sendiri. Beliau dilihat
seorang pejuang Islam yang percaya kepada kekuatan semangat, iltizam
yang ampuh dan bukan bersujud kepada kebendaan.

Mohamad Sabu
bukan seorang pengamal politik kebendaan. Kehidupannya sendiri
sedarhana. Kepercayaan dan dasar politiknya, Hadith dan Quran. Beliau
seorang yang tertarik dengan pendekatan Islam secara jema’i.

Dari
segi dakwah menerusi ceramah memang ada kepada beliau. Mohamad Sabu
juga mempunyai semangat perjuangan yang kental dan tidak cair dengan
ugutan. Pendeknya Mohamad Sabu seorang pejuang Islam tulen dalam Pas
dan sudah teruji keimanannya.

Bagaimana pun statusnya sebagai
orang luar memberi sedikit masalah kepadanya. Pilihan raya kecil
menyebabkan pengundi akan melihat kepada isu-isu local dan dalam hal
ini sebagai orang luar beliau tidak mempunyai kelebihan berbanding
dengan calon setempat. Apa lagi pengundi di Kuala Terengganu itu
sendiri kuat semangat kedaerahannya dan melihat calon yang ada
pertalian persaudaraan dengan mereka.

Mustafa Ali
– adalah tokoh veteran Pas Terengganu yang banyak pengalaman. Beliau
sudah tidak popular dan sedang menghadapi kesuraman cahaya politiknya.
Di luar Terengganu beliau sudah ditolak dengan politiknya yang kurang
tegas dan play save. Kelebihan yang ada kepadanya ialah
beliau calon tempatan. Mustafa mempunyai banyak pertalian persaudaraan
dengan pengundi di Kuala Terengganu.

Khazani Abdullah
– Beliau tokoh muda yang belum dikenali. Dalam erti kata lain beliau
tidak mempunyai apa-apa aset semasa melainkan mempunyai latar belakang
pendidikan dan kerjaya yang baik.

Berdasarkan kepada huraian dan
dapatan itu Pas kini hanya mempunyai dua calon sahaja iaitu Mohamad
Sabu dan Mustafa Ali. Sekrianya pengundi Terengganu masih berpegang
kepada tradisi dan politik 'semangkuk' (tempatan) maka Mustafa Ali lah
calonnya.


Kesimpulannya bagi saya sebelum Pas memutuskan calon,
Pas harus melihat apakah yang diharapkan daripada kemenangan pilihan
raya kecil kecil itu. Sekiranya Pas mahu menjadikan kemenangan itu
sebagai modal meneruskan projek terbengkalai 16 September, Pas harus
memilih calon yang boleh menyambungkan projek berkenaan. Sebaliknya
jika Pas merasakan projek itu perlu terbengkalai maka Pas boleh memilih
calon yang hanya membawa kemenangan tetapi tidak akan merubah suasana
politik nasional.


* Penulis dilahirkan di Kampung Gual
Nibong, Gual Periok, Pasir Mas Kelantan pada Feb, 1960. Mendapat
pendidikan dan pengalaman kewartawanan di Indonesia awal tahun 1980-an.
Berkecimpung dalam dunia kewartawan/penulisan buku politik sejak lebih
20 tahun. Sehingga kini telah menghasilkan lebih 45 buah buku politik
semasa. Antara buku yang menjadi sebutan "Anwar Ibrahim: Mimpi dan
Realiti, "Sumpah dan Airmata Reformis Bangsa:,"Saya Mahafiraun", "Hitam
Putih: Darul Arqam" dan lain-lain. Blog beliau boleh dilayari di 
msomelayu.blogspot.com - Pengarang





Tiga nama yang disebut-sebut adalah Md Sabu, Datuk Mustafa Ali dan Profesor 
Khazani Abdullah



CILOK DARI SINI BEB!!!



      

Kirim email ke