Peristiwa Bersejarah Di Bulan Muharam
Bulan Muharam merupakan bulan keberkatan dan
rahmat kerana bermula dari bulan inilah berlakunya segala kejadian alam ini.
Bulan Muharam juga merupakan bulan yang penuh sejarah, di mana banyak peristiwa
yang berlaku sebagai menunjukkan kekuasaan dan kasih sayang Allah kepada
makhluk-nya.
Pada bulan ini juga, Allah mengurniakan mujizat
kepada Nabi-Nabi-nya sebagai penghormatan kepada mereka dan juga limpah
kurnianya yang terbesar iaitu ampunan dan keredhaan bagi hambanya. Sebagai
tanda kesyukuran kepadanya, maka hamba-hambanya mempersembahkan ibadah mereka
(antara mereka dengan Allah) sebagai hadiah kepada Allah, namun dengan itu,
masih belum dapat lagi membalas kurniaan Allah yang sungguh bernilai.

Said bin Jubair dari Ibnu Abbas r.a berkata: Ketika Nabi saw baru berhijrah ke
Madinah, maka mereka dapati kaum Yahudi berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam).
Maka mereka pun bertanya kepada kaum Yahudi tentang puasa mereka itu. Mereka
menjawab, “Hari ini Allah SWT memenangkan Musa dan Bani Israel terhadap Firaun
dan kaumnya, maka kami berpuasa sebagai mengagungkan hari ini. Maka sabda Nabi
saw: “Kami lebih layak mengikuti jejak langkah Musa dari kamu.”
Maka Nabi saw pun menyuruh para sahabat agar
berpuasa. Antara lain kelebihan 10 Muharam ialah barangsiapa yang melapangkan
rezeki pada keluarganya, maka Allah akan meluaskan rezekinya sepanjang tahun
ini. Terdapat juga sebuah hadis meriwayatkan, “Barangsiapa yang berpuasa pada
hari Asyura, maka dapat menebus dosa satu tahun.” Maksud hadis ini ialah hari
yang kesepuluh Muharam (Asyura) merupakan hari dan bulan kemuliaan kerana pada
sesiapa yang berpuasa pada hari inilah, Allah membersihkan dan menebus
dosa-dosa mereka yang lampau..
Bulan Muharam merupakan satu-satunya bulan
yang teristimewa kerana banyak peristiwa yang bersejarah berlaku pada bulan ini
disamping ganjaran pahala yang besar kepada sesiapa yang beribadah pada bulan
ini sepertimana terdapat dalam satu hadist. “Sesiapa yang berpuasa pada hari
Asyura (10 Muharam), maka Allah akan memberi kepadanya pahala sepuluh ribu
malaikat dan juga akan diberi pahala sepuluh ribu orang berhaji dan berumrah
dan sepuluh ribu orang mati syahid. Dan sesiapa yang mengusap kepala anak yatim
pada hari Asyura, maka Allah akan menaikkan dengan tiap anak rambut satu
darjat. Sesiapa yang memberi buka puasa pada semua umat Muhammad saw dan
mengenyangkan perut mereka.” Sahabat pun bertanya, “Ya Rasulullah, Allah telah
melebihkan hari Asyura, dan menjadikan bukit dari lain-lain hari.” Jawab
Rasulullah, “benar, Allah telah menjadikan langit dan bumi pada hari Asyura,
dan menjadikan bukit-bukit pada hari Asyura dan menjadikan laut pada hari
Asyura dan menjadikan Loh Mahfuz dan Qalam pada hari Asyura dan juga menjadikan
Adam dan Hawa pada hari Asyura, dan menjadikan syurga dan neraka serta
memasukkan Adam ke syurga pada hari Asyura, dan Allah menyelamatkannya dari api
pada hari Asyura dan menyembuhkan dari bala pada Nabi Ayub.
Pada hari Asyura juga Allah memberi taubat
kepada Adam dan diampunkan dosa Nabi Daud, juga kembalinya kerajaan Nabi
Sulaiman pada hari Asyura dan kiamat akan terjadi pada hari Asyura.” Maka pada 
hari
itu ( 10 Muharam) Nabi Adam dan Nabi Nuh a.s berpuasa kerana bersyukur kepada
Allah kerana hari itu merupakan hari taubat mereka diterima oleh Allah setelah
beratus-ratus tahun lamanya memohom keampunan.
Pada hari itu juga, hari pembebasan bagi
orang-orang Islam yang telah sekian lama dikongkong oleh Firaun, di mana hari
itu mereka diselamatkan dari kejahatan dan kezaliman Firaun yang selama ini
mengancam agama dan menggugat iman mereka. Dengan tenggelamnya Firaun, Haman,
Qarun dan istana mereka bererti berakhirlah sudah kezaliman musuh-musuh Allah
buat masa itu. Terselamatlah tentera Nabi Musa dari musuh dengan mukjizat yang
Allah berikan, maka mereka berpuasa kerana kesyukuran yang tidak terhingga
kepada Allah swt.
Banyak peristiwa bersejarah yang berlaku
pada 10 Muharam ini, di mana pada hari inilah, Allah telah memuliakan Nabi-Nabi
dengan sepuluh kehormatan.
        1. Setelah beratus-ratus tahun meminta ampun dan taubat pada Allah, 
maka pada hari yang bersejarah 10 Muharam inilah, Allah telah menerima taubat 
Nabi Adam. Ini adalah satu penghormatan kepada Nabi Adam a.s.
        2. Pada 10 Muharam juga, Nabi Idris a.s telah di bawa ke langit, 
sebagai tanda Allah menaikkan darjat baginda.
        3. Pada 10 Muharam, tarikh berlabuhnya perahu Nabi Nuh a.s kerana 
banjir yang melanda seluruh alam di mana hanya ada 40 keluarga termasuk manusia 
binatang sahaja yang terselamat dari banjir tersebut. Kita merupakan cucu-cicit 
antara 40 keluarga tadi. Ini merupakan penghormatan kepada Nabi Nuh a.s kerana 
40 keluarga ini sahaja yang terselamat dan dipilih oleh Allah. Selain dari itu, 
mereka adalah orang-orang yang engkar pada Nabi Nuh a.s.
        4. Nabi Ibrahim dilahirkan pada 10 Muharam dan diangkat sebagai 
Khalilullah (kekasih Allah) dan juga hari di mana baginda diselamatkan dari api 
yang dinyalakan oleh Namrud. Nabi Ibrahim diberi penghormatan dengan Allah 
memerintahkan kepada api supaya menjadi sejuk dan tidak membakar Nabi Ibrahim. 
Maka terselamatlah Nabi Ibrahim dari angkara kekejamanNamrud.
        5. Pada 10 Muharam ini juga Allah menerima taubat Nabi Daud kerana Nabi 
Daud merampas isteri orang walaupun bagainda sendiri sudah ada 99 orang isteri, 
masih lagi ingin isteri orang. Oleh kerana Nabi Daud telah membuatkan si suami 
rasa kecil hati, maka Allah turunkan dua malaikat menyamar sebagai manusia 
untuk menegur dan menyindir atas perbuatan Nabi Daud itu. Dengan itu sedarlah 
Nabi Daud atas perbuatannya dan memohon ampun pada Allah. Sebagai penghormatan 
kepada Nabi Daud a.s maka Allah mengampunkan baginda pada 10 Muharam.
        6. Pada 10 Muharam ini juga, Allah mengangkat Nabi Isa ke langit, di 
mana Allah telah menukarkan Nabi Isa dengan Yahuza. Ini merupakan satu 
penghormatan kepada Nabi Isa daripada kekejaman kaum Bani Israil.
        7. Allah juga telah menyelamatkan Nabi Musa pada 10 Muharam daripada 
kekejaman Firaun dengan mengurniakan mukjizat iaitu tongkat yang dapat menjadi 
ular besar yang memakan semua ular-ular ahli sihir dan menjadikan laut terbelah 
untuk dilalui oleh tentera Nabi Musa dan terkambus semula apabila dilalui oleh 
Firaun dan tenteranya. Maka tenggelamlah mereka di Laut Merah. Mukjizat yang 
dikurniakan Allah kepada Nabi Musa ini merupakan satu penghormatan kepada Nabi 
Musa a.s
        8. Allah juga telah menenggelamkan Firaun, Haman dan Qarun serta 
kesemua harta-harta Qarun dalam bumi kerana kezaliman mereka. 10 Muharam, 
merupakan berakhirnya kekejaman Firaun buat masa itu.
        9. Allah juga telah mengeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan setelah 
berada selama 40 hari di dalamnya. Allah telah memberikan hukuman secara tidak 
langsung kepada Nabi Yunus dengan cara ikan Nun menelannya. Dan pada 10 Muharam 
ini, Allah mengurniakan penghormatan kepada baginda dengan mengampun dan 
mengeluarkannya dari perut ikan Nun.
        10. Allah juga telah mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman a.s pada 10 
Muharam sebagai penghormatan kepada baginda. Dengan itu, mereka berpuasa dan 
beribadah kepada Allah sebagai tanda kesyukuran kepada Allah swt. Nabi saw 
telah bersabda dengan maksudnya: “Saya dahulu telah menyuruh kamu berpuasa 
sebagai perintah wajib puasa Asyura, tetapi kini terserahlah kepada sesiapa 
yang suka berpuasa, maka dibolehkan berpuasa dan sesiapa yang tidak sukar boleh 
meninggalkannya.”

Begitulah sabda Rasulullah di mana puasa
pada hari Asyura ini sangat-sangat dituntut. Kalau tidak memberatkan umat
baginda, maka diwajibkan. Oleh kerana takut memberatkan umatnya, maka hukumnya
adalah sunat.


      

Kirim email ke