Siswa perlu berani pertahankan program
mereka
Fahri Abdullah al-Masri
Sun | Dec 21,
08 | 1:06:11 pm MYT
11 Disember, 2008
Tadi, rombongan kami baru selesai membuat persembahan nasyid di Kg
Okebut, yang terletak tidak jauh daripada bandaraya Phnom Penh. Kini,
saya sedang mencoret sedikit catatan di dalam coaster yang kami sewa sepanjang
hari ini.
Iklan
Perkara pertama yang tersemat di fikiran, tatkala
tiba di Kemboja sejak 7 Disember lalu, ialah saya mahu terus tumpukan
penulisan tentang cara bagaimana pelajar-pelajar UKM mempertahankan
program baktisiswa mereka di di Kemboja Mei lalu. Baru sahaja
semangat mengarang tentang usaha ISIUKM mempertahan acara baktisiswa
itu, tiba-tiba, pada malam terakhir saya di sini (11 Disember), seorang
pimpinan meminta agar hal hal itu tidak dipanjangkan lagi.
"Tak payahlah cerita. Kes itu dah nak selesai," kata pengarah program
baktisiswa itu.
Kemungkinan mereka enggan membongkar cerita lama mungkin disebabkan
mereka takut diambil tindakan semula atas dakwaan memberi kenyataan
pada akhbar tanpa melalui pihak IPT. Dan semua ini tentunya bersalahan
dengan Auku.
Atau keengganan berkongsi pengalaman ini boleh jadi melibatkan isu-isu
apa sahaja yang tidak dimengertikan. Letih juga mendesak orang supaya
jadi berani. Lebih baik bersikap seperti ibu helang mendidik
anak-anaknya.
Apabila tiba usia anak helang terbang, ibu helang itu akan menolak
anak-anaknya keluar dari sarang, terus jatuh dalam gaung. Mana-mana
anak burung helang yang ada keinginan kuat untuk hidup, dia akan
terbang. Yang lemah pula akan terus menemui kematian.
Cuma ada sekali sahaja saya desak seorang pimpinan pelajar untuk beri
kenyataan kepada Berita Kampus bagi menyatakan pihaknya telah menang di
USM. Dan untuk menyatakan mereka menang sekalipun mereka tak berani.
Bukan sedikit wartawan kecewa dengan hal pelajar yang sukar memberikan
kenyataan ini. Masih ramai yang 'play safe'.
Kepustakaan mahasiswa
Sejak di sana, saya simpan azam, berikrar untuk menulis tentang kisah
HEP cuba mengganggu baktisiswa pelajar UKM ini di Kemboja untuk tatapan
pembaca. Penulisan ini bukanlah bermaksud mahu julang nama mereka untuk
kemegahan, sebaliknya untuk membina dan menyusun kepustakaan perjuangan
siswa.
Sesuatu bangsa itu mula lemah apabila ia tak tahu sejarah perjuangan
nenek-moyangnya yang terdahulu. Dalam gerakan pelajar, ini antara
masalah kita sekarang. Pelaku-pelaku dan aktor-aktor sejarah kurang
menulis pengalaman dan ini tentu menyulitkan generasi baru untuk
membuat rujukan.
Apabila pelajar tiada panduan, rujukan dan tidak tahu siapa imam,
mursyidul am dan tiada pimpinan maka mudahlah mereka tersasar dalam
tindakan.
Dalam kehidupan ini, kita perlukan peta perjuangan yang memandu kita
menuju ke akhirat. Sebagai Muslim, kita bertuah dan beruntung besar
kerana dikurniakan al-Qur'an sebagai peta perjuangan dan peta kehidupan
itu. Tanpa peta ini, kita mungkin boleh berjalan, berkelana dan
mengembara, tetapi kembara itu tentunya tidak membawa kita menuju ke
akhirat.
Atau, kalau menuju ke akhirat sekali pun, kita tidak diberitahu
mengenai apakah bekalan yang perlu dibawa. Di dalam peta perjuangan
al-Qur'an, Tuhan meletakkan kisah-kisah perjuangan orang terdahulu
seperti Ashabul Kahfi yang tinggal di dalam gua demi menyelamatkan iman
mereka, Ashabul Ukhduud dan lain-lain catatan mengenai perjuangan orang
yang soleh untuk kita nilai dan kita ikuti jejak yang ditinggalkan
mereka.
Turut ditemukan catatan sejarah di dalam al-Qur'an berhubung sikap
tamak, keangkuhan Fir'aun, Namrud, kedegilan Bani Israel dan
lain-lainnya untuk kita ambil pengiktibaran agar tidak mengikut contoh
perilaku mereka itu.
Pendek kata, al-Qur'an itu peta kehidupan, peta perjuangan, yang
memandu arah perjalanan kita menuju ke akhirat serta al-Qur'an itu
sering bertanya kita mengenai apakah persediaan kita untuk berdepan
dengan situasi di alam barzakh, alam mahsyar yang sungguh menakutkan.
Al-Qur'an itu kitab rujukan dan panduan kehidupan bagi manusia yang
mahu berkelana dan mengembara menuju ke akhirat. Dan mereka yang selalu
risau tentang amalannya, tentu akan menyibukkan dirinya dengan
urusan-urusan menyiapkan bekalan kerana mereka sudah faham tuntutan
kehidupan.
Mahasiswa Muslim yang ada pegangan, pemikiran dan prinsip hidup seperti
ini, mereka akan lekas-lekas mengerti bahawa dalam kehidupan universiti
ini, tiada masa lagi untuk kita membuat hal-hal mengarut seperti
mengurat sakan dalam universiti, meniru jawapan, menipu tesis, tidak
hadir ke kelas hanya kerana semata-mata malas dan sebagainya.
Tafsiran perjuangan
Banyak tafsiran perjuangan siswa ini. Ia
berbeza mengikut aliran, mazhab-mazhabnya. Dan, sekurang-kurangnya
perjuangan itu terbahagi tiga.
Pertamanya, hendaklah saudara mempertahan pendapat yang diyakini benar.
Janganlah gugurkan dan tarik balik kenyataan kita itu hanya kerana
Auku. Kita boleh tarik balik setelah dalam debat bersama HEP, ternyata
hujah kita ada kelemahan. Maka, dengan jujur kita menariknya kembali
setelah idea itu ada kelemahan. Hal ini tidak mengapa. Bersikap jujur
dengan idea itu sangat penting.
Apa yang berlaku dalam kebanyakan kes ialah, pelajar menarik kembali
idea-ideanya yang kuat bertenaga itu kerana takut hukuman Auku dan
gertakan HEP, padahal idea HEP itu boleh disanggah. Hal inilah yang
paling banyak dan kerap berlaku.
Kedua, hendaklah saudara mempertahan acara saudara. Contoh bagaimana
siswa UKM itu mempertahan acara baktisiswa Kemboja inilah yang terbaik
setakat ini rasanya. Tapi untuk bercerita lebih-lebih, rasanya
merekalah yang terlebih afdal bercerita. Saya tidak mahu panjangkan
cerita ini kerana mereka sendiri tidak berminat bercerita mengenainya.
Ketiga, hendaklah kita mengkaji dan menilai masalah-masalah masyarakat
dan cuba cari penyelesaiannya dengan menjemput ahli-ahli yang pakar
dalam masalah itu dan cuba memajukan langkah penyelesaiannya kepada
pihak kerajaan.
Kita bukan ahli dan pakar dalam banyak perkara. Maka, dengan menjemput
tenaga pakar-pakar yang boleh mengulas kejadian tanah runtuh di Bukit
Antarabangsa misalnya, ini bermaksud anda maju selangkah ke depan dalam
menjuarai isu-isu masyarakat. Tapi, siapakah yang tergerak hatinya
untuk membuat hal-hal sedemikian?
http://anakchampa.blogspot.com
12:19 p.m, 21 Disember
Sekolah Pemikiran Kg Baru _