Pujian vs Galakan 
 

Sebagai ibu bapa dan pendidik, kita perlu memberi pujian dengan betul dan 
berpada-pada. Mungkin anda tertanya-tanya, adakah pujian-pujian yang anda 
berikan kepada anak-anak dan pelajar-pelajar kita itu ada keburukannya? Ya, 
pujian ada keburukannya jika tidak digunakan dengan betul. Memang pujian itu 
merupakan satu cara yang agak berkesan untuk meningkatkan harga diri seseorang 
tetapi terdapat satu lagi strategi yang lebih berkesan. 

 

         Dr. Rudolph Dreikur, seorang pakar psikologi yang terkenal, pernah 
berkata, “…seorang kanak-kanak itu memerlukan galakan seperti pokok perlukan 
matahari dan air”. Strategi ini lebih memberikan kesan berpanjangan kepada cara 
kanak-kanak itu melihat dirinya. Pujian dan galakan itu merupakan strategi yang 
positif, berkesan dan membawa manfaat jika digunakan. Kedua-dua teknik ini 
boleh:

 

i.       Membina harga diri

ii.       Meningkatkan rasa bangga

iii.      Menggalakkan kerjasama

iv.      Membina perhubungan yang positif

v.       Membantu kanak-kanak semasa mereka menghadapi kesukaran dan masalah

 

         Bagaimanapun, jika anda kaji betul-betul, sebenarnya ada perbezaan 
yang ketara antara pujian dan galakan. Cuba anda lihat perbezaannya:

 

1.      Pujian ialah satu ganjaran yang perlu dimenangi:

         “Tahniah Haziq kerana berjaya dapat A dalam ujian semalam!”

 

         Galakan pula ialah satu hadiah:

         ”Abah berasa bangga kerana Haziq betul-betul berusaha dengan gigih 
untuk peperiksaan kali ini!”

 

2.      Pujian menggunakan perkataan-perkataan yang menunjukkan kita menghakimi:

          “Awak dapat jawab semua soalan dengan betul. Tahniah!”

 

         Galakan menggunakan pertuturan perkataan yang menunjukkan kita 
mengambil berat:

         “Saya berasa gembira apabila awak mencuba untuk menjawab soalan saya 
tadi.”

 

3.      Pujian menggalakkan pertandingan:

         “Tahniah Aiman! Aiman dapat nombor satu dalam kelas!”

 

         Galakan menggalakkan kerjasama:

         ”Teruskan usaha Ain! Nampak makin bagus keputusan periksa Ain.”

 

4.      Pujian menunjukkan penerimaan bersyarat:

         “Emak sayangkan Odah apabila Odah dapat keputusan yang baik dalam 
peperiksaan.”

 

         Galakan menunjukkan penerimaan tanpa syarat:

         “Emak sayangkan Odah apabila Odah berada di sisi emak.”

 

5.      Pujian mengajar kanak-kanak untuk memuaskan hati orang dewasa: 

         “Bagus betul Hafiz hari ini kerana tolong mak mengemas rumah. Mak rasa 
bangga dengan Hafiz.”

 

         Galakan pula mengajar kanak-kanak untuk memuaskan hati mereka sendiri:

         “Abah perhatikan sekarang ini, Syakirin semakin rajin mengulang kaji 
pelajaran. Syakirin patut bangga dengan diri Syakirin.”

 

6.      Pujian hanya boleh diberi apabila kanak-kanak itu berjaya:

         “Tahniah, Zul kerana berjaya mendapat keputus-an cemerlang dalam 
peperiksaan.”

 

         Galakan pula boleh digunakan apabila seseorang kanak-kanak itu sedang 
menghadapi kegagalan atau kekecewaan:

         “Tak apa, adik. Emak tahu adik dah berusaha keras untuk mendapatkan 
keputusan yang cemerlang dalam ujian Matematik itu. Teruskan usaha adik itu!”

 

         Daripada penerangan-penerangan di atas, anda boleh lihat bahawa 
puji-pujian boleh mendatangkan ketagihan dan boleh menyebabkan kanak-kanak itu 
mencari motivasi yang berbentuk luaran. Sebaliknya, galakan akan kurang 
menyebabkan ketagihan dan lebih menggalakkan motivasi dalaman kanak-kanak itu. 
Secara amnya, pujian itu berkesan, tetapi galakan lebih berkesan!

 

         Topik ini dapat mendidik kita agar memberi pujian dan galakan bagi 
memotivasikan kanak-kanak untuk belajar dengan lebih gigih dalam memahirkan 
diri mereka dalam bahasa Inggeris. Selain dua strategi ini, ada satu strategi 
yang lain. Strategi ini juga sering disarankan oleh penulis perhubungan manusia 
yang tersohor, Dale Carnegie, dalam buku beliau “How to Win Friends and 
Influence People”. Lihat dalam cerita berikut bagaimana strategi ini digunakan 
dengan efektif:

 

         “Strategi ini saya pelajari daripada John William, yang merupakan 
Pengerusi di syarikat tempat saya bekerja dahulu. John merupakan seorang ahli 
korporat yang hebat dan amat berbakat. ‘Kemahiran manusia’ beliau amat 
menakjubkan dan beliau disayangi, dihormati dan disegani oleh semua orang yang 
me-ngenali beliau. Saya amat seronok memerhati dan mempelajari cara beliau 
berinteraksi dengan orang lain.

 

            Bila-bila sahaja setiausaha saya memberitahu bahawa John sedang di 
talian, saya akan berasa teruja. Saya amat seronok berbual dengan beliau. Suatu 
hari, saya cuba menganalisa sebab-sebab penggilan beliau cukup menyeronokkan 
saya. Selepas membuat analisa, saya mula memahaminya! John sering memuji saya, 
“Minit mesyuarat yang awak buat itu cukup hebat.” Beliau juga sering memberi 
galakan kepada saya, “Saya berasa gembira melihat awak hadir ke perlawanan 
persahabatan bola sepak syarikat kita semalam. Bagus kerana awak sudi 
meluangkan masa awak untuk datang memberikan sokongan.”

 

            Tetapi apa yang lebih penting ialah John sering menunjukkan minat 
beliau terhadap diri, keluarga, aktiviti-aktiviti dan juga kehidupan saya. 
Beliau sering menunjukkan minat kepada saya sebagai seorang insan dan bukan 
sekadar pekerja beliau. Apabila John menelefon saya, beliau sudah tentu ingin 
bertanyakan urusan syarikat tetapi beliau akan memulakan perbualan beliau 
dengan bertanyakan anak-anak, isteri atau aktiviti-aktiviti saya. Beliau 
menunjukkan minat terhadap diri saya dan saya amat menyukainya.

 

            Apabila saya menyedari akan kuasa minat ini, saya mula 
menggunakannya untuk membina dan mengekalkan perhubungan dengan kanak-kanak dan 
pekerja-pekerja saya. Saya masih ingat lagi pada suatu hari saya bertembung 
dengan seorang pekerja muda di pejabat dan kami mula berbual. Dengan mengambil 
iktibar daripada sikap John, saya tidak memberi pujian atau galakan kepada 
beliau. Sebaliknya, saya menunjukkan minat yang ikhlas terhadap diri beliau. 
“Saya nampak awak baru beli kereta ya, David. Cantik warna kereta awak tu. Di 
mana awak beli kereta tu?” Muka pekerja muda itu kelihatan teruja! Pengurus 
Besar syarikat beliau menyedari kereta baru beliau dan mengambil masa untuk 
memberitahu beliau! Perbualan yang ringkas itu lebih bermakna kepada beliau 
daripada sebarang pujian dan galakan. “

 

                Pengajaran daripada cerita ini, anda sebagai ibu bapa dan 
pendidik boleh memberikan hadiah menakjubkan kepada kanak-kanak dengan 
menunjukkan minat yang ikhlas dengan kehidupan mereka. Sebagai contoh, jika 
anak anda pulang dengan hasil lukisan yang dilukis oleh mereka di sekolah, anda 
mungkin boleh meluahkan perasaan anda, “Wah! Menariknya lukisan adik ni. Adik 
baru belajar di sekolah ke?” ataupun jika di sekolah, anda boleh menunjukkan 
minat anda dengan seseorang pelajar dengan berkata, “Cikgu dapat tahu bapa awak 
seorang anggota polis. Awak tahu tak datuk saya dulu pun seorang anggota 
polis?” Cuba tunjukkan minat yang ikhlas dengan kehidupan dan aktiviti-aktiviti 
anak-anak dan pelajar-pelajar anda.





Artikel di atas dipetik daripada buku Cara Mudah Memperkenalkan Bahasa Inggeris 
Kepada Anak Anda terbitan Perintis Books Sdn. Bhd. Buku ini boleh dibeli di 
gerai Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. & gerai Pekan Ilmu 
Publications & Distributors Sdn. Bhd. mulai 27 April sehingga 6 Mei sempena 
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007. Untuk maklumat lanjut, sila lawati 
www.perintis.books.com.my.

Kirim email ke