KUALA LUMPUR, 16 Jan (Hrkh): PAS Pusat akan menganjurkan "Himpunan Solidariti 
Satu Juta Umat" di hadapan Kedutaan Amerika, pada Jumaat, 23 Januari ini bagi 
menyatakan bantahan terhadap kekejaman berterusan tentera negara pengganas 
Israel di wilayah Gaza yang berlanjutan sejak 28 Disember lalu. 
    
Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub berkata, program selepas solat Jumaat 
itu akan menggabungkan pelbagai pertubuhan politik dan badan bukan kerajaan 
(NGO) yang bersimpati dengan nasib umat Islam Palestin di Gaza yang terus 
diganyang tentera regim haram Israel. 

Menurut Salahuddin, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan 
mengetuai perhimpunan tersebut sebelum menyerahkan memorandum bantahan kepada 
Duta Amerika di Kuala Lumpur. 

"Ini adalah kemuncak bantahan kita kepada regim haram Israel melalui sekutu 
rapatnya Amerika Syarikat yang setakat ini telah membunuh lebih 1100 penduduk 
Palestin yang tidak berdosa, 1/3 daripadanya kanak-kanak, dan mengakibatkan 
lebih 4500 orang awam cedera," ujarnya ketika dihubungi Harakah. 

Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam khususnya ahli-ahli dan para 
penyokong PAS dari seluruh negara untuk bersama-sama hadir dalam perhimpunan 
tersebut bagi memberi isyarat jelas tentang bantahan rakyat Malaysia terhadap 
kekejaman regim haram Israel di wilayah Gaza. 

"Kita juga ingin menyatakan solidariti kita dengan rakyat Palestin dan mahu 
mereka mengetahui bahawa umat Islam seluruh dunia memberikan simpati yang 
mendalam terhadap musibah yang menimpa mereka kini," tegasnya.

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18879&Itemid=1
 



      

Kirim email ke