Kenyataan Media : Pemudawilayah Bantah Konsert Rihanna, Boikot Artis Amerika!!!
 
Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan (Pemudawilayah) hari ini melahirkan rasa 
kekesalan terhadap tindakan Syarikat Celcom (M) Berhad yang menaja dan akan 
turut menganjurkan program Xpax ignites Rihanna LIVE in Kuala Lumpur pada hari 
Jumaat, 13 Februari 2009 nanti.
 
Rihanna yang terkenal dengan lagu Bad Girl dan Umbrella sebelum ini dijangka 
akan mengadakan persembahan lewat pukul 8.30 malam di Stadium Bukit Jalil 
nanti. Iklan-iklan telah mula disebarkan melalui kaca TV, Surat Khabar, SMS dan 
ternyata ia adalah suatu usaha yang bersungguh dari Celcom dalam mengaut 
keuntungan dalam mengorganisasikan konsert ini.
 
Rihanna atau nama sebenarnya Robyn Rihanna Fenty merupakan artis kelahiran 
Kepulauan Barbados yang menempah nama di Amerika Syarikat. Beliau yang 
berkecimpung dalam genre R&B, Pop,Pop-Rock, dance dan reggae sering membawakan 
aksi yang menghairahkan dalam penyampaian lagu-lagunya disamping mengenakan 
pakaian ketat dan seksi.
 
Ini sememangnya tidak memenuhi citarasa budaya tempatan, dan tidak secocok 
dengan celcom yang dilihat sebagai sebuah syarikat tempatan yang sewajarnya 
mengutamakan budaya ketimuran dan artis-artis tempatan.
 
Kehadiran Rihanna yang kini sudah menetap di Amerika Syarikat sedikit sebanyak 
akan membawa keluar wang negara yang akhirnya akan masuk ke Amerika.
 
Melihat kepada pengaliran wang ini, bukan sahaja membawa kita memahami erti 
kerugian buat negara tetapi satu penderitaan buat rakyat Palestine dimana 
Amerika yang menjadi sekutu Israel membekalkan senjata ketika pembunuhan ngeri 
di Gaza hasil dari sumbangan dan dana cukai yang diberi oleh penduduk Amerika.
 
Sama ada Rihanna sedar atau tidak kita sememangnya tahu bahawa duit cukai yang 
dibayar beliau turut menyumbang kepada peperangan di Gaza.
 
Maka Pemudawilayah menolak kehadiran artis ini di Malaysia atas dasar 
ketidaksesuaian gaya penyampaian lagu, pakaian dan juga atas sentimen 
menghormati rakyat Palestine yang tertindas angkara kekejaman Israel dan 
sekutunya-Amerika yang ditaja oleh kebanyakkan penduduknya.
 
Sama ada Rihanna terlibat atau tidak, bagi kami beliau juga adalah agen kepada 
kerosakkan muda-mudi yang ada diseluruh dunia melalui penyampaian lagunya dan 
juga penyumbang kepada kekuatan dana Israel melalui Amerika yang menjadi tempat 
beliau menempah nama.
 
Memanggil Rihanna ke Malaysia umpama menghina adab ketimuran, merendahkan artis 
tempatan, sengaja merugikan ekonomi negara dan menyokong dasar perang Israel 
yang disokong Amerika.
 
Sewajarnya dalam suasana ekonomi yang tidak menentu dan palestine ditindas 
kini, kita meneruskan kempen boikot barangan Amerika termasuklah artis-artis 
mereka serta apa sahaja yang dikeluarkan dari negara itu terutama 
perkara-perkara yang negatif.
 
Justeru itu Pemudawilayah menyeru organisasi Kerajaan seperti Kementerian Luar 
Negeri, Imigresesn, Puspal, DBKL, Polis dan yang terlibat dalam mengeluarkan 
permit Konsert ini untuk menolak permohonan penganjur bagi membawa artis ini.
 
Organisasi NGOs dan parti-parti Politik serta orang perseorangan juga diseru 
untuk menolak Konsert ini dan menyatakan bantakan mereka dengan menghantar 
bantahan kepada Celcom dan organisasi Kerajaan yang terlibat dalam mengeluarkan 
permit konsert ini.
 
Pemudawilayah dalam masa terdekat akan mengemukakan surat bantahan bagi 
memastikan konsert ini dibatalkan. Cukuplah dengan segala macam bencana yang 
berlaku sekeliling kita, jangan diundang lagi apa yang kita tidak mampu 
hadapinya dimasa akan datang dengan cara yang sebegini.
 
Kita sibuk menderma untuk tabung Gaza tapi dalam masa yang sama wajarkah kita 
menyumbang kepada tabung peperangan Israel melalui konsert Rihanna ini?
 
Sesungguhnya Pemudawilayah akan terus konsisten menentang konsert-konsert yang 
tidak mengambarkan akhlak dan nilai ketimuran yang positif serta turut 
mengundang pelbagai masalah sosial di negara ini. Kami juga akan terus 
konsisten untuk memboikot apa sahaja produk Amerika yang merugikan negara dan 
menyumbang kepada peperangan atau kerosakkan di muka bumi ini.
 
Sekian. Terima Kasih.
 
Kamaruzaman Mohamad
Ketua
Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan


      

Kirim email ke