SOLAT GERHANA / BULAN/MATAHARI


Gerhana terbahagi kepada dua iaitu gerhana bulan dan gerhana matahari. Gerhana 
ini merupakan  tanda kekuasaan Allah S.W.T. bukan disebabkan apa-apa munasabah. 
Contoh sebagaimana yang telah berlaku pada Zaman Rasulullah s.a.w apabila anak 
baginda yang bernama Ibrahim telah meninggal, kebetulan ketika itu berlakunya 
gerhana Matahari, maka orang-orang ketika itu menyangka berlakunya gerhana 
Matahari ini disebabkan kematian Ibrahim. Maka Nabi s.a.w bersabda :
"إن الشمس والقمر آيتان من آيات الله لا ينكسفان لموت أحد ولا لحياته فإذا 
رأيتموهما فادعوا الله وصلوا حتى ينكشف ما بكم ". (رواه البخاري ومسلم)
Maksudnya : “Sesungguhnya matahari dan bulan keduanya menjadi bukti adanya 
Tuhan dan kekuasaan-Nya. Keduanya gerhana bukan kerana matinya seseorang dan 
tidak pula kerana hidupnya seseorang, maka apabila kamu mengetahui keduanya 
gerhana, hendaklah kamu berdoa kepada Allah, dan solat sehingga habis gerhana 
itu.”
CARANYA :  Solat gerhana ini boleh dilakukan secara berseorang atau secara 
berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah. Solat Gerhana mengandungi 2 
rakaat, 4 al-Fatihah, 4 rukuk, dan 4 sujud. Iaitu seperti berikut :
Rakaat pertama :

Niat solat Gerhana, Takbir.
Baca Al-Fatihah dan surah.
rukuk.
I’tidal,
Baca Al-Fatihah dan surah.
rukuk.
I’tidal.
Sujud dan seterusnya seperti solat biasa.
Rakaat kedua :
Sama seperti rakaat pertama.
NIAT SOLAT GERHANA
الخُسُوْفِ  : Gerhana Bulan
الكُسُوْف : Gerhana Matahari
أُصَلِّي سُنَّةَ الخُسُوْفِ / الكُسُوْفِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya : Sahaja aku menunaikan solat gerhana (Bulan / Matahari) 2 rakaat 
kerana Allah Taala.
 
 





Khutbah Khas Gerhana

MARILAH kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah 
Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa, iaitu istiqamah dalam 
mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Dengan 
yang demikian, mudah-mudahan kita akan menjadi umat yang terbaik dan unggul 
serta mendapat keredaan Allah Subhanahu Wata'ala di dunia dan di akhirat.
Allah Subhanahu Wata'ala Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui akan segala 
kejadian. Dialah juga yang menjadikan apa yang ada di bumi seperti manusia, 
jin, tumbuh-tumbuhan dan haiwan serta menjadikan apa yang ada di langit seperti 
bulan, matahari dan sebagainya. Iaitu sebagai bukti keterangan yang nyata 
tentang kudrat, iradat, ilmu, kebijaksanaan serta pengurniaan nikmat dari Allah 
Subhanahu Wata'ala yang banyak dan luas yang mendorong supaya makhluk-Nya 
memuji dan bersyukur serta mengabdikan diri sebagai hamba dengan khusyuk dan 
tawaduk kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Umat Islam mestilah percaya dengan penuh yakin bahawa Allah Subhanahu Wata'ala 
pentadbir seluruh alam, segala peredaran cakerawala, bumi, bulan, matahari dan 
seumpamanya adalah di bawah kekuasaan Allah Subhanahu Wata'ala yang 
menggerakkannya. Peredaran bulan dan matahari yang teratur setiap hari secara 
berganti-ganti, matahari beredar di waktu siang, manakala bulan beredar di 
waktu malam adalah atas kudrat dan iradat Allah Subhanahu Wata'ala jua dan 
ia-Nya mempunyai hikmat dan tujuan tersendiri, Maha Suci Allah, Pentadbir seru 
sekalian alam.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ibrahim ayat 33, tafsirnya:
"Dan Dia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar untuk 
kepentingan kemudahan kamu dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah 
hidup kamu."
Sesungguhnya Allah menjadikan malam dan siang adalah sebagai tanda kekuasaan 
atau bukti kekuasaan-Nya, keduanya (malam dan siang) akan mengakibatkan 
perubahan dan perbezaan cuaca, masa dan waktu. Begitu juga dengan kejadian 
gerhana, adapun gerhana itu terbahagi kepada dua iaitu gerhana matahari dan 
bulan. Gerhana itu ialah suatu perubahan, suatu kejadian, suatu keagungan dan 
kebesaran tuhan yang berlaku pada matahari dan bulan, di mana kejadian ini 
adalah suatu perkara yang amat mudah bagi Allah Subhanahu Wata'la melakukan-Nya.
Oleh itu jika berlaku kejadian gerhana matahari atau bulan, ianya bukanlah 
merupakan suatu tanda akan timbul suatu kejadian yang aneh dan mengkhuatirkan, 
tetapi gerhana itu berlaku atas sifat wajib bagi Allah Subhanahu Wata'ala iaitu 
berkehendak dan berkuasa atas segala sesuatu yang tidak dapat dihalang oleh apa 
jua kekuatan pun di dunia ini, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi 
Wasallam, maksudnya:
"Dari Abi Masuud Radiallahuanhu berkata: Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi 
Wasallam: Sesungguhnya matahari dan bulan tidak akan gerhana kerana kematian 
atau hidupnya seseorang, keduanya itu adalah bukti dari tanda-tanda kebesaran 
Allah Ta'ala. Maka apabila kamu melihat gerhana itu berdirilah, bersembahyang 
dan berdoalah kepada Allah. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).
Apabila berlaku gerhana, kita sebagai umat Islam adalah dianjurkan oleh 
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam supaya bersegera untuk melakukan 
perkara-perkara yang berkebajikan seperti berdoa, berzikir, bersembahyang, 
bertakbir, bersedekah dan beristighfar. Sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu 
Alaihi Wasallam, maksudnya:
"Dari A'isyah Radiallahuanha ia berkata: Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi 
Wasallam: Maka apabila kamu melihat gerhana itu lalu berdoalah kamu kepada 
Allah Ta'ala, serta berzikir, bersembahyang dan bersedekah. (Riwayat Al-Imam 
Al-Bukhari).
Oleh yang demikian, wahai kaum Muslimin, marilah kita sama-sama mengambil 
kesempatan semasa berlakunya gerhana bulan ini untuk bersegera bertaubat atas 
segala dosa yang telah dilakukan, serta memperbanyakkan doa dan istighfar 
memohon keampunan ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala. Di samping itu, marilah 
kita melakukan perkara-perkara yang berkebajikan dan menghindari daripada 
melakukan perkara-perkara mungkar dan maksiat serta perbuatan syirik yang 
bercanggah dengan ajaran agama Islam. Mudah-mudahan kejadian gerhana bulan ini 
akan menimbulkan keinsafan, menambahkan dan menguatkan lagi keimanan serta 
ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal’alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ali 'Imran ayat 190 - 191, 
tafsirnya:
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukuran malam dan 
siang, ada tanda-tanda kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah bagi 
orang-orang yang berakal: Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah 
semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan 
mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi sambil berkata: Wahai 
Tuhan kami! Tidaklah engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha 
Suci Engkau maka peliharalah kami dari azab neraka."
 
SOLAT SUNAT GERHANA MATAHARI (KUSUF)

Solat Sunat Gerhana atau juga dikenali sebagai solat sunat Kusuf atau Solat 
Khusuf merupakan solat yang didirikan sewaktu terjadi gerhana bulan atau 
matahari. Solat sunat gerhana matahari dalam istilah arabnya : Solat Sunat 
Kusuf. Solat sunat gerhana bulan dalam istilah arabnya : Solat Sunat Khusuf.
Kusuf dari segi bahasa bermaksud terlindungnya cahaya matahari samada 
terlindungnya itu dalam bentuk juzu'nya atau keseluruhannya. Khusuf pula mutlak 
digunakan untuk lindungan cahaya bulan secara juzu' atau pun keseluruhannya. 
Ramai ulama' yang menyatakan bahawa kedua-dua kalimah itu boleh digunakan untuk 
kedua-duanya sekali samada gerhana bulan atau pun matahari.
Hukum Solat Gerhana Matahari
Hukumnya adalah sunat muakkadah atau pun sunat yang digalakkan.
Ini berdasarkan daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang 
bermakna : Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada 
tanda-tanda (kebesaran) Allah tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya kerana 
kematiaan seseorang dan tidak pula kerana kelahirannya. Maka apabila kamu 
melihat perkara itu maka sembahyanglah dan berdoalah sehingga kembali 
terang(hilang gerhana) apa dengan kamu.
Hadis ini keluar daripada mulut Rasulullah s.a.w pada hari kematian anak 
lelakinya Ibrahim di mana ramai orang mendakwa bahawa kematian Ibrahim inilah 
yang menyebabkan matahari bersedih sehingga berlakunya gerhana. Mengikut 
kepercayaan mereka ketika jahiliah di mana apabila berlakunya gerhana matahari 
atau pun bulan maka mereka beranggapan bahawa berlakunya sesuatu gerhana 
disebabkan kematian seseorang yang besar dan mulia.
Rasulullah s.a.w telah menyangkal kefahaman karut ini lalu bersabda sebagaimana 
tersebut. Begitulah juga dengan kebanyakan kita hari ini yang mana mereka bukan 
bersegera untuk solat gerhana apabila berlakunya sesuatu gerhana tetapi 
sebaliknya mencari sesuatu untuk memukul pangkal-pangkal pokok buahan supaya 
berbuah lebat. Perkara ini jika melibatkan kepercayaan yang berlawan dengan 
kekuasaan Allah dalam membuat sesuatu boleh membawa kepada syirik.
Cara Solat Sunat Gerhana
Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru 
sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami'ah!! ( Solat berjemaah )
Niatnya : "Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat mengikut imam 
kerana Allah Ta'ala" - (Jika berimam) ataupun "Sahaja aku solat sunat gerhana 
matahari dua rakaat kerana Allah Ta'ala" - (Jika solat seorang diri)
Solat gerhana ini boleh dilakukan secara berseorang atau secara berjemaah dan 
sebaiknya dilakukan secara berjemaah. Solat Gerhana mengandungi 2 rakaat, 4 
al-Fatihah, 4 rukuk, dan 4 sujud. Iaitu seperti berikut :
Rakaat pertama
1. Niat solat Gerhana, Takbir
2. Baca Surah Al-Fatihah dan surah
3. Rukuk
4. I'tidal
5. Baca Al-Fatihah dan surah
6. Rukuk.
7. I'tidal.
8. Sujud dan seterusnya seperti solat biasa.
Rakaat kedua
1. Niat solat Gerhana, Takbir.
2. Baca Al-Fatihah dan surah.
3. Rukuk.
4. I'tidal,
5. Baca Al-Fatihah dan surah.
6. Rukuk.
7. I'tidal.
8. Sujud
9. Tahiyyat Akhir
SEHUBUNGAN DENGAN ITU MASJID NEGARA AKAN MENGADAKAN SOLAT SUNAT GERHANA 
MATAHARI SEPERTI MANA BERIKUT :-





TARIKH

: 26 JANUARI 2009 BER. 29 MUHARRAM 1430 HIJRAH



MASA

: SELEPAS SOLAT ASAR



TEMPAT

: DEWAN SOLAT UTAMA, MASJID NEGARA
ANDA BOLEH MEMBACA INFO LANJUT MENGENAI PERISTIWA GERHANA MATAHARI YANG AKAN 
BERLAKU INI DENGAN KLIK PADA PAUTAN DI BAWAH :-





INFO GERHANA MATAHARI
SUMBER INFO : PLANETARIUM NEGARA, MALAYSIA.
 
Marilah kita sama-sama menghayati dan menginsafi kebesaran Allah s.w.t dalam 
mengatur alam ini. Selain dari panduan maklumat dari pakar-pakar astronomi 
mengenai kejadian ini, sewajibnya kita membetulkan akidah dan iktikad di dalam 
hati kita bahawa Allah s.w.t itu Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana dalam 
mengatur dan menguruskan langit dan bumi dan segala isinya.
Mungkin ada sesuatu mesej di sebalik kejadian ini tanpa kita sedari. Maka 
sedarilah dan marilah kita sama-sama berfikir dan merenung sejenak dalam masa 
24 jam yang kita ada setiap hari. Setiap saat yang berlalu menandakan usia kita 
semakin tua dan usia dunia juga lebih tua dari kita. Jika usia dunia amat 
sedikit maka usia kita teramat-amat sedikit dari usia dunia.
Marilah sama-sama kita menunaikan solat Asar secara berjemaah dan seterusnya 
mengerjakan solat sunat gerhana matahari (kusuf) di Masjid Negara. Datanglah 
beramai-ramai ke Masjid Negara pada 26 Januari 2009 (Isnin) !!!





      

Kirim email ke