Nik Aziz terima serban ganti topi keledar
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju
pakaian serban digantikan dengan topi keledar bagi penunggang motosikal yang
mahu memakainya, jika ia didapati boleh mencegah daripada kecederaan apabila
berlaku kemalangan.
Mursyidul Am Pas itu berkata, jika serban dipakai dengan ikatan kemas dan boleh
mencegah kecederaan, ia boleh digantikan dengan topi keledar yang dianggap
lebih selamat itu.
Malah, katanya, topi keledar yang keras itu tidak selamat jika tidak dipakai
kemas dan diikat dengan betul. "Kadang-kadang serban dan semuntal yang diikat
kemas lebih selamat, kerana ia lembut apabila berlaku hentakan kuat berbanding
topi keledar yang keras itu.
"Topi keledar pun jika tidak dipakai dengan kemas dan diikat dengan betul boleh
menyebabkan penggunanya tidak selamat apabila berlaku kemalangan, kerana mudah
tercabut atau kecederaan dalaman akibat hentakan kuat," katanya ketika
dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang pelajar
sekolah pondok di Pasir Tumboh di sini, pada dua hari lalu dijatuhi hukuman
denda RM90 atau penjara dua hari kerana didapati bersalah tidak memakai topi
keledar ketika menunggang motosikal sebaliknya memakai serban.
Bagaimanapun, pelajar pondok terbabit, Ahmad Nasir Darus, 28, memilih untuk
menjalani hukuman penjara dua hari.
Nik Abdul Aziz berkata, umum mengetahui berapa ramai penunggang motosikal yang
terbunuh akibat nahas jalan raya walaupun mereka memakai topi keledar sewaktu
menunggang motosikal.
Katanya, soal ia merupakan pakaian pak lebai atau golongan haji tidak
berbangkit walaupun undang-undang dan peraturan jalan raya mengklasifikasikan
begitu dan beliau tidak mahu campur urusan agama dengan peraturan jalan raya.
"Cuma bagi saya, mereka yang memakai pakaian serban tidak harus dikenakan
tindakan, jika ia dipakai dan diikat dengan kemas," katanya.
Menurut Nik Aziz, serban bermakna dalam bahasa Melayu asal ialah ikatan kain
kepala, seperti juga semuntal bagi pakaian tradisi orang Melayu Kelantan
sedikit masa dulu.
Beliau berpendapat, jika masyarakat keturunan Sikh yang memakai serban dan
boleh dikecualikan daripada undang-undang jalan raya, tidak ada sebab orang
Islam yang memakai serban tidak boleh dikecualikan daripada peraturan itu.
"Saya tidak mahu ganggu soal agama. Lebai atau jahil, bukan boleh dinilai pada
pakaian kerana ini mengikut tafsiran masingmasing, kerana ada orang lebai atau
haji tetapi tidak pakai serban atau kupiah, dan ada juga yang pakai serban
sebesar bakulpun tetapi tidak dianggap lebai," katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan mengkaji semula peraturan itu bagi
mengelakkan kekeliruan yang timbul seperti apa yang terjadi kepada kes
berkenaan. BERNAMA
Dapatkan alamat E-mel baru anda!
Rebut nama E-mel yang telah lama anda kehendaki sebelum orang lain
mendapatkannya!
http://mail.promotions.yahoo.com/newdomains/my/