Perihal Kematangan
<http://jarumemas.blogspot.com/2009/01/perihal-kematangan.html>     
[BLOGGER_PHOTO_ID_5295630962805779298] 
<http://2.bp.blogspot.com/_niVBEi-AVU0/SX3cTZ-ZK2I/AAAAAAAAA5I/6XkESyNKi\
N0/s1600-h/islamic.jpg> Matang jika dirujuk kepada tumbuhan - ia
bermaksud sudah boleh dituai contohnya : padi, gandum. Boleh di tebang
contohnya : meranti, merbau, jati, merbah. Boleh dipetik buahnya kerana
sudah masak seperti : rambutan, mempelam dan jambu.

Matang jika dirujuk kepada binatang - contohnya : sudah sampai umurnya
untuk disembelih bagi tujuan korban seperti kerbau, lembu, unta (unta
berumur 5 tahun lebih, kambing 2 tahun lebih).

Di dalam buku Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi keempat : kematangan
dirujuk kepada manusia ia menggambarkan insan yang sudah mencapai
kesempurnaan fikiran.

Begitulah takrifan kematangan berbeza apabila merujuk kepada objek yang
digunakan. Apatah lagi apabila dinilai dari sudut manusiawi ia lebih
subjektif.

Mengapa Perlu Kematangan?

Untuk menjadi matang, luaskanlah pergaulan dengan manusia. Di situ kita
akan melihat kepelbagaian pendapat, fikiran, budaya, tatacara hidup,
adat, bahasa dan sebagainya. Kematangan tidak datang dengan hanya duduk
di dalam bilik atau hanya berteori dengan akal sendiri, atau hanya
pandai bercakap sahaja di pentas, seminar, dewan kuliah, ceramah tanpa
turun ke lapangan umat dan merasai sendiri erti kehidupan.

Orang yang matang banyak benar fikirnya, sebab sudah merasai jatuh dan
bangunnya dalam hidup. Ia sudah merasai manisnya gula dan masinnya garam
di dalam buku kehidupan. Sudah terfikir apa yang boleh dan tidak boleh
di dalam pergaulan. Adakah baik dan buruk kesannya. Sebab itu katanya
banyak berkias. Jika menegur ia menyindir. Jika terlalu marah ia menjadi
diam dari biasa.

Orang yang matang tidak berfikir untuk diri sendiri sahaja. Tetapi
dilihat apa natijahnya kepada orang lain. Untung dan rugi dikirakan,
besar atau sedikit mudaratnya, disesuaikan pula dengan suasana, keadaan
dan zaman.

Dari Abu Hurairah radiyaLlahu 'anhu katanya : Telah bersabda RasuluLLah
sallaLLahu 'alaihi wasallam : Daripada keelokan Islam seseorang ialah
meninggalkan barang yang tidak berguna kepadanya " Hadith hasan riwayat
Tirmidzi
Islam mengajar kita untuk meninggalkan perbuatan yang sia-sia yang
menghabiskan umur dan masa secara percuma. Kehidupan perlu diisikan
dengan perkara yang dapat memberi manfaat kerana orang yang matang bukan
sahaja berfikir untuk waktu sekarang, tetapi sehingga di alam akhirat
sana.

Budaya Kita Tidak Sama

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki
dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan
bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara
satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi ALLah
ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih
keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya ALLah Maha Mengetahui lagi Maha
Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu) (Surah al
Hujarat ayat 13)
Orang Asli (yang masih belum sangat terdedah dengan kehidupan moden)
menghabiskan masa bersama keluarga, ada kalanya turun ke hutan mencari
rotan, menanam ubi kayu dan padi huma. Kadang-kadang meletakkan bubu,
jorannya dari buluh agar dapat ditangkap ikan tengas. Sifatnya pemalu,
sensitif dan berpegang pada janji. Janganlah kampung mereka dicerobohi
tanpa hak, tentu disumpit penceroboh tersebut. Tentu sahaja berbeza
bahasa, budaya dan loghat mereka kerana di tanahair kita sahaja terdapat
3 kumpulan etnik Orang Asli yang mempunyai pelbagai suku kaum iaitu
Negrito, Senoi dan Melayu- Proto.

Orang Jawa tidak sama dengan Orang Jawa Halus dan Jawa Kasar, Bugis,
Banjar. Begitulah dengan mereka yang tinggal di negeri dan negara lain.
Bahasa dan loghatnya tidak sama. Mungkin sahaja ada perkataan yang sama
sebutan tetapi berbeza erti dan penerimaan. Ada yang menyukai masakan
manis, pedas dan sebagainya.

Bahasa di SMS tiada nada tinggi dan rendahnya (hanya dapat dilihat
tulisan besar dan kecil, titik, koma dan yang berkaitan) berbanding
bahasa percakapan.

Ilmu, Akhlaq dan Kematangan

Lihatlah, adab remaja dan diri di zaman ini. Masih adakah santunnya
kepada orang yang lebih tua apabila bercakap? Masih rajinkah memberi
salam dan senyum? Ilmu semakin tinggi adakah menjadikan diri semakin
menunduk atau mendongak langit? lalu berjalan dengan sombong dan bongkak
sedangkan siapalah jika diperkirakan hakikat diri, siapalah diri kita
sebenarnya di hadapan ALlah berbanding orang lain (yang lebih tinggi
ilmu dan taqwanya).

Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada
manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong;
sesungguhnya ALlah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong
takbur, lagi membanggakan diri (Surah Luqman 18)

Lihatlah, di zaman ini terdapat juga insan yang berani menuduh tanpa
bukti, tidak diselidiki benarkah tuduhannya kepada orang atau golongan
yang lain. Tidak memikirkan kesan dari percakapannya dan perbuatannya.

Mungkin agaknya ia lupa apa yang disuruh ALlah :

Surah Al-Hujuraat ayat 6, yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang
beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita,
maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak
menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab
kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang
kamu telah lakukan".ALLahu ALlah...

Matang Dalam Membuat Keputusan

Ada juga yang suka berfikiran singkat, keputusan hendak segera tanpa
ditimbang buruk dan baiknya. Ada juga apabila yang sudah memegang
jawatan atau urusan yang penting segalanya hendak baharu. Tidak pula
membuat kaji selidik, bertanyakan dengan orang yang lebih tahu, tidak
mahu bermesyuarat agar setiap tindakan dapat diteliti dengan lebih
mendalam. Katanya zaman dahulu biarkan berlalu, sekarang adalah zaman
kita, pendekatan perlu berubah mengikut masa. Bahkan lebih dari itu
terus dihapuskan sahaja tatacara dan budaya walaupun ia adalah baik
untuk masa hadapan. Lihat sahaja hukuman rotan kepada anak murid.
Keputusan guru diharamkan dari merotan dan diserahkan kepada 'tiga
tangan' iaitu guru disiplin, guru penolong kanan dan pengetua.

Segala masalah berkaitan akhlaq pelajar diserah bulat-bulat kepada
kaunselor sekolah. Akibatnya ramailah pelajar yang semakin kurang
ajarnya. Semakin hilang hormatnya dengan guru apatah lagi didukungi oleh
ibu dan ayah yang tidak boleh anaknya 'dijentik sedikit' walaupun
tujuannya untuk mendidik dan membetuli sikap yang salah. Padahal dalam
menyelesaikan masalah pelajar ada masanya diperlukan rotan untuk
mendidik. Ada masanya perlu dinasihati, ada masanya perlu juga
dikuarantin. Setiap satunya mempunyai kekuatan tersendiri. Alangkah
baiknya jika ketiga-tiga ini digabungkan agar lebih efektif.

Pelajar merokok, berapa ramai yang 'makan nasihat' dengan diberi
kaunseling? Pelajar yang mencuri, mengaibkan guru, dan kesalahan yang
berat berapa kerat yang mengubah diri hanya dengan menghadiri sesi
kaunseling semata-mata. Sedangkan apabila dilihat dalam Islam sendiri
hukuman rotan itu wujud (contoh dalam hukuman zina lelaki dan wanita
yang belum berkahwin serta minum arak) antara lain untuk memberi rasa
insaf, gerun dan untuk mencegah bukan sahaja kepada diri pelaku
kesalahan malahan untuk orang yang menyaksikannya.

Dan kini, akibatnya masyarakat juga sendiri yang merasa bahangnya.

Begitulah.. serba sedikit perihal kematangan.. Apa ruginya jika kita
berfikir berkali-kali, belajar memahami, bertanya dahulu sebelum
bertindak?

Sumber : Http://jarumemas.blogspot.com <Http://jarumemas.blogspot.com>

Kirim email ke