Persatuan Ulama selar Sister In Islam, program Musawah hari ini
Azamin Amin
Fri | Feb 13, 09 |  1:00:11 pm MYT


KUALA LUMPUR, 13 Feb (Hrkh) - Persatuan Ulama Malaysia cawangan Pulau Pinang 
(PUMPP) menyelar
penganjuran program Musawah yang membawa agenda Islam Liberal ke
Malaysia dan mempertikaikan prinsip-prinsip asas Islam

Iklan



Program �Musawah� adalah 'Global Movement for
Equality and Justice in the Muslim Family' anjuran pendukung kuat
fahaman sesat Islam Liberal di Malaysia iaitu Sisters in Islam (SIS).

Yang di Pertua Persatuan Ulama� Malaysia Dr Wan Salim Wan Mohd
Nor berkata pertemua Musawah itu dilihat berhasrat mempertikaikan
pelbagai prinsip-prinsip Islam khususnya dalam hukum syariah berkaitan
wanita dan kekeluargaan yang dipersetujui dan diterima oleh kesepakatan
ulamak muktabar.

Perjumpaan ini katanya bakal dihadiri oleh pelbagai tokoh
Liberal Muslim yang dipertikaikan oleh ulamak Islam muktabar iaitu
antaranya Muhammad Khalid Masud, iaitu pengerusi Majlis Ideologi
Islamik dari Pakistan, Farida Bennani dari Morocco, Sana Benachour
(Tunisia), Hussein Muhammad (Indonesia), Ziba Mir-Hosseini (Britain),
Zainah Anwar (Malaysia), Siti Musdah Mulia (Indonesia) dan Nur Rofia
(Indonesia) dan aktivis bukan Islam seperti Cassandra Balchin (UK) dan
lain-lain.

Kata Dr Wan, 200 Liberalis Muslim telah dijemput dari 40 buah
negara dan berkumpul di hotel mewah (bertaraf lebih lima bintang) The
Prince Hotel, Kuala Lumpur pada hari ini bagi menghadiri mesyuarat lima
hari tersebut.

"Perjumpaan tertutup ini juga tidak membenarkan penyertaan
dari pihak luar selain dari jemputan tertutup mereka. PUMPP melihat
perjumpaan dengan dana besar ini berkemungkinan disokong oleh
kepentingan Barat dengan tujuan meliberalkan Islam dan mengharapkan
pihak penguatkuasa dapat menyiasat punca sumber-sumber dana membiayai
program terbabit.

"Perjumpaan ini juga akan memberi persepsi yang negatif kepada
Malaysia yang bakal digambarkan sebagai negara yang mengamalkan
undang-undang Syariah yang mendiskriminasi wanita, terutamanya apabila
perjumpaan ini bakal dibawa perhatian kepada wakil Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu dengan kehadiran Professor Yakin Erturk (The
United Nations Special Rapporteur on Violence Against Women) yang akan
merasmikan perjumpaan tersebut," katanya dalam satu kenyataannya kepada
Harakahdaily.

PUM PP katanya juga menyelar kehadiran pimpinan negara bagi
merasmikan program tersebut seolah-oleh tidak merujuk terlebih dahulu
kepada pihak autoriti agama dalam negara seperti JAKIM dan Majlis Fatwa
Kebangsaan.

"Kertas kerja dan bengkel-bengkel yang bakal dibentangkan
semasa perjumpaan dilihat berhajat untuk menginterpretasikan semula al
Quran dan Hadith dari sudut pandang wanita yang selama ini dikatakan
bias pada lelaki.

"Musawah juga bakal mengenengahkan isu hak samarata antara
lelaki dan perempuan dalam kekeluargaan Islam melalui hukum-hakam
seperti poligami, faraid, ketaatan isteri, izin keluar rumah, aurat
wanita, dan sebagainya. Hukum-hakam ini bakal dipertikaikan dengan
melanggar segala Syari�at yang dibawa oleh al-Qur�an dan al-Sunnah,"
kata Dr Wan.

PUM PP katanya berharap kumpulan-kumpulan dan masyarakat bukan
Islam tidak terpengaruh dengan propaganda kumpulan liberal Islam ini
dan tidak campur tangan dalam urusan Aqidah dan prinsip-prinsip ajaran
Islam sepertimana Islam mengajar penganutnya untuk tidak campur tangan
dan menghormati dalam ajaran agama-agama lain sepertimana penegasan al
Quran.

"Kita menyelar pelaksanaan program ini dan dilihat bakal
merosakkan lagi aqidah umat Islam di Malaysia seterusnya membawa
perpecahan kepada umat Islam dan memberi persepsi yang salah kepada
Islam kepada semua pihak, termasuk masyarakat dunia yang hadir dan
melihat perkembangan di Malaysia," katanya.-azm
_

Kirim email ke