Kanak-kanak Tebing Barat terus ditangkap atas tuduhan membaling batu
March 16, 2009
Penaklukan Zionis ke atas kawasan yang diduduki bangsa Palestin semakin
meningkat di perkampungan Kifl Hares di kawasan Salfit di utara Tebing Barat,
menurut laporan International Women’s Peace Service (IWPS) semalam, Ahad 15 Mac
2009.
Kejahatan tentera Zionis Israel ke atas bangsa Palestin saban hari
berterusan, di mana rumah kediaman diceroboh dan dirosakkan, anak-anak
ditangkap, masyarakat awam diugut dengan kekuatan senjata. Menurut IWPS yang
kini berada 24 jam di kawasan bandar Salfit, pencerobohan tentera Zionis dan
serangan secara tiba-tiba kini semakin kerap dan membimbangkan.
Malam Jumaat 13 Mac lalu, tentera Zionis telah memasuki kawasan berdekatan
sebuah masjid lama di perkampungan Kifl Hares. Penduduk kampung mendakwa
kejadian tersebut berlaku antara pukul 1:30 pagi dan 3:00 pagi.
Tentera Zionis telah memecah masuk ke dalam sebuah
rumah di mana penghuninya sedang nyenyak tidur, menyerang keluarga tersebut dan
menangkap seorang anak berumur 17 tahun yang sedang sakit akibat kerosakan buah
pinggang. IWPS melaporkan, “tentera Zionis datang ke rumah mereka kira-kira
pukul 2:10 pagi, meledakkan bom untuk membuat bising di belakang dapurnya,
kemudian terus memecah masuk ke dalam rumah.”
Seorang anak lelaki keluarga tersebut, iaitu abang kepada pesakit buah
pinggang yang ditangkap, telah diserang dan dihumban ke lantai. Ibu mereka juga
dipukul oleh tentera tersebut.
Keluarga tersebut yang mempunyai 14 ahli keluarga, termasuk seorang bayi
berumur 3 bulan dan seorang wanita yang sedang hamil, kemudiannya dipaksa keluar
ke jalan dengan asakan muncung senjata. Mereka dipaksa duduk di jalanan dalam
kesejukan dan kegelapan malam, sementara tentera tersebut terus membaling dan
meletupkan bom-bom tangan. Malahan mereka juga membaling sebutir bom ke arah
seorang wanita hamil. Doktor bagaimanapun mengesahkan wanita tersebut hanya
mengalami kecederaan ringan.
Tentera Zionis jelas mencari sesuatu dari keluarga tersebut. Mereka merampas
semua dokumen pengenalan dan juga sebuah dokumen yang didakwa oleh keluarga
tersebut sebagai “sangat penting.” Tentera Zionis mendakwa remaja sakit buah
pinggang yang berumur 17 tahun tersebut memiliki senjata, tetapi selepas
menggeledah rumah dan kawasan sekelilingnya, tidak ada sebarang bentuk senjata
ditemui kecuali sepucuk pistol mainan kanak-kanak.
Tentera tersebut kemudiannya mengubah taktik dan mendakwa remaja tersebut
telah “membaling batu.” Malangnya, tarikh-tarikh di mana tentera Zionis mendakwa
remaja tesebut membaling batu dibuktikan tidak betul. Remaja tersebut pergi
bekerja di Ramallah dan Biddya pada hari tarikh-tarikh yang didakwa.
Ini merupakan kejadian ketiga pada tahun ini di mana tentera Israel menyerang
rumah keluarga tersebut, kali pertama pada bulan Januari, kemudian lagi pada
bulan Februari.
Relawan IWPS yang membuat lawatan ke rumah tersebut menceritakan semua yang
ada di dalam rumah telah dirosakkan.
Sementara itu, penduduk melaporkan kanak-kanak juga ditangkap dari keluarga
lain pada malam yang sama. “Seorang kanak-kanak 13 tahun ditangkap tapi
dilepaskan 2 jam kemudian,” kata seorang relawan antarabangsa. Kanak-kanak
tersebut telah dikeluarkan dari jip tentera Israel beberapa batu dari rumahnya,
tetapi berjaya pulang ke pangkuan keluarga dengan menumpang orang. Dia tiba
pukul 10:00 pagi itu, beberapa jam selepas pengalaman ditangkap tentera Zionis
yang mengerikan.
Seorang lagi kanak-kanak berumur 15 tahun juga ditangkap dan dibawa ke
penjara tentera Huwara yang dibina atas kawasan Nablus di utara Tebing Barat.
Manakala seorang kanak-kanak lain berumur 14 tahun ditangkap pada malam yang
sama, untuk kali kedua sepanjang hidupnya yang masih sangat muda.
Relawan-relawan antarabangsa melaporkan kepada IWPS, “Dia merupakan orang yang
pertama dari 4 kanak-kanak yang ditangkap, kemudian dibawa dengan jip tentera
mengelilingi kampung sambil tentera Zionis menangkap kanak-kanak lainnya. Dia
dibawa ke penjara Ofar [juga di Ramallah].”
Kanak-kanak tersebut telah dilepaskan dari penjara Ofar yang sangat terkenal
dengan penyeksaan. Bulan lepas keluarganya membayar 2000NIS (400 Euro) untuk
melepaskan beliau setelah dua bulan ditahan dan disoal-siasat oleh Zionist.
Kanak-kanak adalah antara 11, 000 orang Palestin yang dipenjara oleh Israel,
termasuk tahanan politik.


      

Kirim email ke