Kesalahan bahasa dalam penulisan sering berlaku sama ada disedari ataupun tanpa 
disedari. Kesalahan bahasa pasti berlaku jika kita tidak mengetahui hukum 
tatabahasa. Oleh itu, dalam bahagian ini disenaraikan beberapa kesalahan bahasa 
yang biasa dilakukan sebagai panduan dan hukum tatabahasa sebagai rujukan bagi 
meminimumkan kesalahan bahasa yang berlaku semasa menulis.


3.1 Kesalahan dari segi kata, frasa dan imbuhan

Kesalahan dari segi kata, frasa dan imbuhan ialah kesalahan menggunakan kata 
atau frasa atau imbuhan di tempat yang tidak sepatutnya. Kesalahan dari segi 
kata, frasa dan imbuhan paling kerap kita lakukan dalam penulisan. Terdapat 
banyak kesalahan dari segi kata, frasa dan imbuhan yang dapat saya kesan dalam 
bahan terbitan. Yang berikut merupakan kesalahan kata, frasa dan imbuhan yang 
lazim berlaku.


3.1.1 Kata, frasa dan imbuhan kata nama

i. Penggunaan kata nama khas di tempat kata nama am

a. Bahasa Inggeris dan bahasa Inggeris
Ejaan b huruf besar bagi ejaan Bahasa Inggeris digunakan apabila merujuk kepada 
subjek atau mata pelajaran. Jika tidak, b bagi ejaan bahasa Inggeris perlu 
dieja dengan huruf kecil. Begitu juga bagi bahasa Melayu.


ii. Penggunaan kata dan frasa nama yang tidak tepat

a. Teladan ATAU Tauladan 
Penggunaan kata teladan adalah betul. Hal ini demikian kerana kata tauladan 
adalah salah mengikut tatabahasa. 

b. Pusat beli-belah ATAU Pusat membeli-belah
Penggunaan kata yang betul ialah pusat beli-belah. Hal ini demikian kerana 
pusat membeli-belah membawa maksud kompleks tersebut berjalan untuk 
melaksanakan urusan jual beli.

c. Kata alu-aluan ATAU Kata-kata aluan
Penggunaan kata yang betul ialah kata alu-aluan. Hal ini demikian kerana dalam 
kamus tidak terdapat perkataan aluan.


iii. Penggunaan imbuhan Pe-...-an di tempat imbuhan PeR-...-an

a. Persaraan ATAU Pesaraan 
Kata pesaraan tidak terdapat dalam kamus. Oleh itu, kata persaraan adalah betul.

b. Perdamaian ATAU Pedamaian 
Kata pedamaian tidak terdapat dalam kamus. Oleh itu, kata perdamaian adalah 
betul.


iv. Penggunaan imbuhan PeR-...-an di tempat imbuhan Pe-...-an

a. Pelantikan ATAU Perlantikan
Kata perlantikan tidak terdapat dalam kamus. Oleh itu, kata pelantikan adalah 
betul.

b. Peletakan ATAU Perletakan
Kata perletakan tidak terdapat dalam kamus. Oleh itu, kata peletakan adalah 
betul.

NOTA: 

Bagi menentukan sama ada satu-satu perkataan itu menerima Pe-...-an atau 
PeR-...-an, perkataan itu boleh diuji dengan imbuhan beR-.... Jika perkataan 
tersebut boleh menerima beR-... dan meN-..., hal ini bermakna perkataan 
tersebut juga boleh menerima imbuhan PeR-....-an. Jika perkataan tersebut dapat 
menerima imbuhan meN-..., hal ini bermakna perkataan tersebut boleh menerima 
imbuhan Pe-...-an. 


v. Kesalahan penggunaan imbuhan kata nama

a. Penstrukturan ATAU Pengstrukturan 
Penstrukturan adalah betul. Hal ini demikian kerana kata pinjaman yang bermula 
dengan huruf s dan t menerima imbuhan pen- dan bukannya peng-.

b. Pergolakan ATAU Pergolakkan 
Kata pergolakan adalah betul. Hal ini demikian kerana kata nama hanya menerima 
imbuhan apitan peR-...-an dan bukannya peR-...-kan. 

c. Pengklasifikasi ATAU Penklasifikasi 
Pengklasifikasi adalah betul. Hal ini demikian kerana kata pinjaman yang 
bermula dengan huruf k akan bergabung dengan imbuhan peng- dan bukannya pen-.


vi. Hukum D-M

a. Hal-hal lain ATAU Lain-lain hal 
Penggunaan yang betul ialah hal-hal lain. Hal ini demikian kerana kata hal-hal 
merupakan unsur yang diterang manakala kata lain pula merupakan unsur yang 
menerang. Begitu juga bagi frasa lain-lain perkara dan lain-lain agenda. Frasa 
yang betul ialah perkara-perkara lain dan agenda-agenda lain. 

b. Janji temu ATAU Temu janji 
Penggunaan yang betul ialah janji temu. Hal ini demikian kerana kata janji 
merupakan unsur yang diterang manakala kata temu pula merupakan unsur yang 
menerang. Sesungguhnya, kita membuat janji untuk bertemu dan bukannya bertemu 
untuk berjanji. 

c. Pendingin hawa ATAU Penghawa dingin 
Penggunaan yang betul ialah pendingin hawa. Hal ini demikian kerana kata 
pendingin merupakan unsur yang diterang manakala kata hawa pula merupakan unsur 
yang menerang.

NOTA:

D-M bermaksud diterangkan (D) dan menerangkan (M). Dalam peraturan itu, unsur 
yang diterangkan merupakan unsur inti yang hadir pada kedudukan pertama dan 
unsur penerang pula hadir pada kedudukan kedua.

Contohnya:

Diterangkan (D)              Menerangkan (M)
sos                                 cili
restoran                          Aminah
lampu                             suluh
dapur                              gas
perpustakaan                   mini


Maklumat lanjut berkenaan buku CARA MUDAH MENGENAL PASTI KESALAHAN LAZIM DALAM 
BAHASA MELAYU ini boleh didapati di www.books.perintis.com.my atau sila 
berhubung dengan Cik Nor di talian 03-9019 5303. 

Kirim email ke