PRK Bukit Gantang: Media konvensional BN lwn media baru Pakatan
Ahmad Tajdid
Mon | Mar 30, 09 |  1:42:46 pm MYT


KEMPEN pilihan raya kecil di dua bukit di Semenanjung  dan Dun Batang Ai (Air), 
Sarawak sedang berlangsung.
Iklan



Bermula dengan hari penamaan calon 29 Mac lalu, kempen-kempen 20 calon
yang bertanding - tiga di Parlimen Bukit Gantang, lima belas di Dun
Bukit Selambau dan dua di Dun Batang Ai akan berlangsung hingga
menjelang tengah malam 7 April akan datang.

Pastinya antara yang mencuri perhatian para pemerhati dan  pengkaji politik 
adalah kaedah berkempen parti-parti  atau calon-calon yang bertanding.


Salah satu kaedah kempen politik BN adalah melalui media-media  arus perdana 
yang dikuasainya. Tatkala kerajaan BN bertindak  menggantung permit akhbar 
rasmi PAS dan KeADILan selama tiga  bulan (sehingga 22 Jun 2009), BN terus 
menggunakan media massa  arus perdana untuk mewar-warkan kempennya di tiga 
kawasan  pilihan raya kecil itu.

Sejauh mana keberkesanan kempen BN melalui media massa ini  menjadi sesuatu 
yang menarik untuk dibincangkan. Ini kerana  'media konvensional' yang 
digunakan BN sudah kian hilang  kredibiliti dan kepercayaan umum, berbanding 
'media baru' yang  digunakan Pakatan Rakyat.

Komen-komen para perwakilan Umno dalam mesyuarat agung parti  itu 24 higga 28 
Mac lalu tentang kegagalan BN dalam  menyampaikan 'mesej dan maklumat yang 
benar' kepada rakyat  pada kempen PRU12 tahun lalu secara tidak langsung lebih  
merujuk kepada kegagalan fungsi media arus perdana untuk  bertindak sebagai 
'jurucakap BN dan Umno'.

Sebenarnya kegagalan BN dalam menguruskan penyaluran  maklumatnya kepada rakyat 
bukan sangat berpunca daripada  kegagalan fungsi media arus perdana. Media arus 
perdana terus  kekal berfungsi sebagai saluran kempen BN paling efektif  kerana 
akhbar, TV dan radio masuk ke dalam hampir semua rumah  kediaman rakyat. Apa 
yang tiada pada media massa utama ini  adalah kebenaran dan keadilan.

Tanpa dua aspek penting itu (kebenaran dan keadilan),  kehebatan liputan dan 
kecanggihan teknologi tidak dapat  menawan hati dan pemikiran rakyat. Apatah 
lagi ketika  berhadapan media baru yang lebih dekat dengan hati rakyat  
khususnya golongan muda.

Perlu disedari bahawa strategi berbohong dan memanipulasi  fakta hanya berkesan 
dilakukan arus media perdana  di saat ketiadaan media baru seperti internet 
(khususnya blog)  dan khidmat pesanan ringkas (SMS). Media baru juga semakin  
berkembang seiring dengan perkembangan teknologi. Penghantaran  SMS kini 
diperluaskan kepada penghantaran audio dan visual  melalui telefon bimbit yang 
lebih efisien berbanding siaran TV  dan radio.

Untuk memahami senario ini, diperturunkan dua contoh penulisan  yang disiarkan 
oleh media konvensional dan media baru bagi  penilaian pembaca. Dua penulisan 
ini merujuk kepada insiden  yang berlaku di Masjid Simpang dalam kawasan PRK 
Parlimen  Bukit Gantang, 29 Mac lalu.
Berita di bawah dipetik daripada mStar online yang dimiliki  MCA. Insiden ini 
juga dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia  milik Umno bertarikh 30 Mac 2009:

Nizar 'rampas' acara BN di masjid Bukit Gantang
Oleh G. MANIMARAN

TAIPING: Bekas Menteri Besar Perak yang juga calon PAS bagi  kerusi Parlimen 
Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar  Jamaluddin 'bertembung' dengan 
rombongan Barisan Nasional (BN)  di Masjid Simpang malam tadi - mencetuskan 
sedikit kekecohan.
Semalam (29 Mac) merupakan hari pertama kempen pilihan raya  kecil Parlimen 
Bukit Gantang.

Nizar yang dikatakan hadir tanpa undangan ke majlis bacaan  Yassin dan solat 
hajat anjuran BN telah mencuba untuk  mengimamkan solat Maghrib.
Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang, Datuk Rosli Hussin ketika  dihubungi mStar 
Online berkata, Nizar bersama beberapa  penyokongnya memasuki masjid dan terus 
mengimamkan solat  Maghrib.

Isu tersebut dengan pantas disebarkan menerusi SMS, menjadi  bahan kempen dalam 
beberapa ceramah anjuran BN di bahagian  Bukit Gantang.
"Orang-orang dia (Nizar) minta mikrofon untuk Nizar berucap  selepas Maghrib 
tetapi tidak diberikan, telah dihalang oleh  Pengerusi Masjid (Yahaya Sulaiman).
"Kami berikan beliau peluang sertai majlis ini, anjuran BN  tetapi beliau 
datang untuk buat kacau," kata beliau ketika  dihubungi.

Rosli yang turut hadir ketika kejadian berkata, tidak berlaku  apa-apa 
kekecohan besar dan kumpulan Nizar telah meninggalkan  majlis selepas itu.
Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir  pada majlis 
tersebut.

Mengulas isu yang sama, Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry  Abdul Kadir 
berkata, Nizar bertindak keterlaluan apabila cuba  mengambil alih jemaah dengan 
meminta mikrofon daripada imam  dan cuba mengadakan ceramah sebelum menunggu 
Isyak.

Ketika bercakap dengan pemberita selepas memperkenalkan calon  BN, Ismail 
Saffian di Tokong Nyee Wong Kong di sini malam  tadi, Zambry berkata, tindakan 
itu telah dirancang oleh PAS  dan sanggup menggunakan masjid sebagai tempat 
berpolitik.


Demikian berita yang dinukilkan oleh media massa pro-BN. Cuba  kita lihat pula 
tulisan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir.  Mohammad Nizar Jamaluddin yang 
juga calon PAS bagi PRK  Parlimen Bukit Gantang dalam blog popular beliau,  
Kamparinn.blogspot.com :

Saya telah mengimamkan Solat Maghrib
Terlebih dahulu beribu maaf kerana lama sangat tidak update blog saya kerana 
maklumlah mengirakan kerenah  pindah randah dan naik turun mahkamah Tinggi KL 
dan  Persekutuan, Putrajaya. Pohon sembah derhaka!

Hari penamaan calon PRK P059 Bkt Gantang bejalan lancar dengan  sedikit 
huru-hara sewaktu saya dan isteri bersama-sama  pemimpin PAS lain memasuki 
pintu pagar Dewan Perbandaran  Taiping jam 8.45 pagi (29 Mac).

Namun sewaktu pergi menunaikan solat maghrib di Masjid  Simpang, saya diminta 
oleh imam Tuan Haji Hisham untuk  mengimamkan solat tersebut dan saya bersetuju.
Sewaktu masuk ke masjid saya diberitahu Tan Sri Muhyidin  Yasin, Timb Presiden 
Umno; Dato' Zambry Kader; calon (BN)  Ismail Saffian dan ramai lagi pemimpin 
Umno Pusat dan negeri  juga ada bersama. Pimpinan Umno berada di saf pertama.

Pada rakaat pertama saya telah membaca ayat "wa'tasimu  bihablillahi jamii'an, 
walaa tafarraqu..." dan rakaat kedua  surah al-Kaafirun.
Selepas solat saya membaca doa termasuk doa Qunut Nazilah yang  turut diaminkan 
oleh semua ma'mum termasuk pemimpin tinggi  Umno.

Umno menganjurkan solat hajat dipimpin oleh seorang imam  import, Haji Jama'iy 
namanya. Habis solat, imam Haji Hashim  bangun dan berucap di hadapan dengan 
menyebut nama pimpinan  UMNO Tan Sri Muhyiddin dan Dato' Zambry. Nama saya juga 
 disebut dan diraikan.

Imam telah mengundang saya menyampaikan tazkirah dengan  memberi tafsir ayat 
al-Quran yang saya baca pada rakaat  pertama solat maghrib sebentar tadi.
Namun beberapa pimpinan Umno setempat telah memprotes termasuk  penasihat 
masjid (pakai songkok tinggi) yang menghalang dan  mengarah supaya terus 
diadakan majlis bacaan Yaasin. Berlaku  sedikit komosi (commotion). Saya 
mengelak bagi memelihara  suasana.

Habis baca Yaasin saya pergi bersalam dengan Dato Zambry dan  dia nampak berang 
dan menyatakan kepada saya, kenapa  menggunakan masjid berpolitik dan tak 
sepatut saya jadi imam  tadi.

Katanya lagi dengan nada kuat dan marah: "Jika mahu jadi imam  saya boleh jadi 
imam, jika nak tafsir saya boleh tafsir".
Saya tersenyum dan relaks sahaja dan terus meninggalkan majlis  untuk acara 
lain.

Hujan sungguh lebat ketika itu. Semua makmum melihat dan  menyaksikan adegan 
kelakar dan 'ajaib' tersebut dan ramai  makmum mengiringi saya sewaktu 
meninggalkan masjid.

Sekadar makluman! Doakan PR menang besar di P059 Bkt Gantang.

Merujuk kepada berita yang disiarkan media BN, pastinya kita  dapat melihat 
bagaimana insiden tersebut diputarbelitkan BN  bagi kepentingan politik mereka. 
Jelas watak imam masjid yang  bertanggung jawab menjemput Nizar untuk 
mengimamkan solat dan  menyampaikan tazkirah tidak dilaporkan.

Malah sikap kasar Zambry (yang disifatkan Adun Sungkai, N  Sivanesan sebagai 
'kekanda saya') tidak pula dilaporkan media  pro-BN.
Tuduhan bahawa Nizar menyalahgunakan masjid untuk kepentingan  politik juga 
meleset kerana BNlah sebenarnya yang bertindak  sedemikian kerana mengadakan 
majlis membaca Yaasin sempena  kempen pilihan raya di masjid.
Apapun terpulanglah kepada pembaca untuk menilai kebenaran dua
sumber penulisan di atas. Tetapi apa yang ingin ditegaskan sekali lagi,
strategi berbohong dan memutarbelitkan fakta oleh media arus perdana
tidak lagi berkesan di era kewujudan dan percambahan media baru seperti
blog.

Apa yang lebih utama dalam kempen-kempen politik adalah  kebenaran, ketelusan, 
intergriti dan kredibiliti sumber  maklumat. Tanpa ciri-ciri itu usaha 
mempengaruhi atau  meyakinkan rakyat umpama mencurah air di daun keladi.
Cuma satu yang ingin diulas... Zambry ketika memarahi Nizar  mendakwa kononnya 
beliau juga mampu mengimamkan solat dan  menyampaikan kuliah tafsir.

Soalnya, dengan kecenderungan beliau untuk berbohong dan bercakap kasar, adakah 
manusia yang sudi berimamkan beliau?- tajdid _


Kirim email ke