Kenyataan Media : Ketua Polis Negara perlu tumpu usaha basmi jenayah bukan
berpolitik
Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan (pemudawilayah) memandang serius
peningkatan kes jenayah yang melibatkan golongan pelajar yang dilaporkan oleh
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan semalam.
Utusan Malaysia melaporkan bahawa;
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini (semalam) melahirkan
kebimbangannya dengan trend penglibatan pelajar dalam kegiatan jenayah yang
menunjukkan peningkatan sejak dua tahun lalu.
Beliau berkata, jenayah melibatkan golongan itu yang dianggap serius
termasuklah kes bunuh, rogol, samun, merusuh, mencuri dan pecah rumah.
Katanya, ini dibuktikan apabila pada 2007, sebanyak 1,836 kes dilaporkan dengan
melibatkan tangkapan seramai 3,383 pelajar.
Tambahnya, daripada jumlah itu, seramai 3,241 pelajar orang adalah mereka yang
berusia 13 hingga 18 tahun.
“Bagi tahun lalu pula, angka itu terus menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak
2,218 kes dengan melibatkan penahanan seramai 3,725 pelajar.
“Daripada jumlah itu seramai 3,629 pelajar adalah berusia 13 hingga 18 tahun,”
katanya dalam perutusan sempena sambutan ulang tahun ke-39 pasukan Kor Kadet
Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Berdasarkan fakta-fakta yang dinyatakan jelas pada kita bahawa perlunya satu
usaha yang serius diperingkat pasukan Polis dan membendung gejala ini dari
terus meningkat.
Pemudawilayah tidak nafikan bahawa ibu bapa, guru dan masyarakat perlu
memainkan peranan. Tetapi dalam masa yang sama bila ia sudah dikategorikan
sebagai perbuatan jenayah maka tindakan Polis menjadi keutamaan.
Pembanterasan jenayah seharusnya sinonim dengan tugas Polis, namun akhir-akhir
ini rakyat sudah melihat seolah-olah penjenayah masakini tanpa mengira usia
sudah tidak takut dengan Polis.
Kebanyakkan rakyat membuat persepsi bahawa Polis hanya mampu menerima dan
mengeluarkan kertas Laporan Polis bagi tujuan makluman dan claim insurans
sahaja. Tindakan susulan seperti siasatan jarang dilakukan terutamanya bagi kes
yang melibatkan kerugian kurang dari RM 1000.
Selain itu kes-kes melibatkan keganasan seperti pergaduhan kumpulan samseng,
rogol dan bunuh akan diambil tindakan pantas jika ianya disiarkan dalam akhbar.
Jika tidak siasatan akan bertangguh-tangguh.
Pemudawilayah sendiri pernah membantu seorang mangsa kes Ah Long membuat
laporan Polis. Dan pegawai yang menyiasat kes itu hanya kata, "jika Ah Long itu
datang kacau, buat Laporan Polis lagi. Tapi Polis tidak boleh bertindak apa-apa
selagi Ah Long tidak pukul atau mencederakan mangsa"
Mangsa telah membuat banyak Laporan Polis tetapi Polis tak buat apa dengan
alasan Polis tiada kuasa untuk menyiasat Ah Long itu walaupun mangsa pernah
membuat laporan yang rumahnya disimbah cat dan pagarnya dirantai.
Paling mengejutkan, setelah Pemudawilayah menyiasat sendiri kes itu, antara Ah
Long yang terlibat adalah mereka yang berumur bawah 21 tahun. Dan ini sudah
menunjukan bahawa trend jenayah kini sudah semakin menular kepada golongan muda
dan mereka menjadi rekrut untuk kumpulan-kumpulan samseng yang giat melakukan
jenayah bersama Ah Long.
Jadi sejauh manakah pihak Polis serius untuk membantu rakyat dan melindungi
mereka. Jika kes sekecil itu pun Polis boleh lepas tangan, bagaimana dengan
kes-kes besar seperti kes pembunuhan Altantuya yang tidak disiasat dengan
bersunguh-sungguh oleh Polis walaupun banyak aduan dibuat tentang penglibatan
seorang ahli Politik dalam kes itu.
Malangnya Ketua Polis Negara berpolitik pula dan mengalihkan masa kerjanya
untuk memantau aktiviti politik dan pilihanraya di 3 tempat-Bukit Gantang,
Bukit Selambau dan Batang Ai, yang sedang berlangsung sekarang.
Semalam Polis secara tiba-tiba mengeluarkan arahan melarang jentera Pilihanraya
di 3 tempat berkenaan untuk menyebut atau bercakap tentang isu Sultan Perak dan
Kes Altantuya. Tidak cukup dengan itu, aktiviti kempen juga dihadkan sehinggan
jam 11 malam.
Dalam masa yang sama, beribu Polis dihantar ke sana dan menyebabkan banyak
tempat kekurangan anggota untuk berkerja membanteras jenayah.
Sepanjang 10 tahun ini tidak ada apa-apa kes yang besar berlaku sepanjang sesi
kempen pilihanraya melainkan kes petugas Pas yang dipukul Pemuda Umno di Ijok
pada tahun 2007. Itu pun tidak diambil tindakan oleh Polis.
Mereka telah dibelasah teruk oleh kumpulan Pemuda Umno berhampiran Balai Polis
hingga masuk wad, tetapi hingga kini tiada tangkapan dan dakwaan dibuat.
Jadi apa gunanya pihak Polis mencampuri urusan Politik dan Pilihanraya. Apa
sebenarnya keutamaan Polis.
Pihak Polis perlu membuka semula Fail Meja mereka dan membaca kembali senarai
tugas mereka. Jika mahu Polis dipandang tinggi oleh rakyat, mereka perlulah
membuat senarai keutamaan tugas mereka dengan meletakkan pembanterasan jenayah
sebagai tugas utama.
Pemudawilayah tidak menolak sumbangan Polis pada negara, tetapi mereka perlulah
meletakan diri mereka ditempat yang betul untuk dilihat oleh rakyat, bukannya
sibuk berkepit dengan orang Politik dengan harapan dapat naik pangkat atau
dapat gelaran Dato' dan Tan Sri sahaja.
Jika mahu berpolitik, jadilah orang politik dan bertandinglah dalam
Pilihanraya, jangan berselindung dibalik seragam yang mulia itu tetapi
membiarkan diri dan organisasi dimanipulasikan oleh orang yang berkepentingan.
Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan