Lagi kisah-kisah masyarakat, dan banyak lagi di www.ceria.com.my
``KISAH-KISAH
yang dipaparkan dalam DCCK banyak membuat saya tertawa, kerana apa yang
saya lihat kebanyakan kaum lelaki cuba menegakkan benang basah,
sementara wanita pula meratapi diri sendiri konon dah banyak berjasa
dan berkorban kepada suami tetapi akhirnya dia menjadi mangsa suami.
``Wanita yang keciwa mendakwa jadi mangsa apabila suami sudah kaya dia
ditinggalkan, ada juga yang mendakwa suami berkahwin lagi sedangkan dia
sudah banyak berkorban harta benda, wang ringgit kepada suami, tetapi
semuanya dilupakan setelah suami jadi kaya atau terjumpa wanita yang
lebih baik daripadanya.
Demikian cerita Norwati dalam e-mel
yang dihantarkan kepada penulis dan ketika saya menghubunginya sambil
berbual panjang pada satu petang, sambil tertawa terkekek-kekek beliau
menambah kebanyakan masalah yang berlaku adalah berpunca daripada diri
wanita itu sendiri begitu juga suami. Kerana masing-masing tidak tahu
tugas atau fungsi baik sebagai isteri mahupun suami, bila dah keciwa
mereka menyalahkan satu sama lain.
``Namun saya bersimpati
juga dengan nasib yang menimpa mereka, malah ada kawan-kawan wanita
yang datang bertanyakan pendapat dan pandangan saya bagaimana mengatasi
masalah yang dihadapi atau sedang menimpa diri mereka. Saya juga kesian
dengan nasib wanita yang teraniaya dan boleh saya katakan secara
singkat di sini, bahawa mereka tidak tahu tugas atau fungsi mereka
sebagai isteri, sebab itulah dianiaya.
``Sebenarnya saya
bersimpati dengan kaum wanita, sebab itu bila baca kisah yang
dipaparkan dalam DCCK termasuk kisah minggu lalu tentang kisah hidup
Nooreen yang berjudul ``Lagak orang senang rupanya kaya hutang,di mana
Nooreen tidak mengaku dirinya ego sebaliknya menyalahkan suami
menyebabkan hidupnya menderita.
``Pada pandangan saya secara
ikhlas kaum wanita yang menganggap diri mereka sebagai 'mangsa' lelaki
atau suami boleh saya golongkan mereka ini sebagai "orang yang suka
diri menjadi mangsa - Playaing the role of victims. Mana tidaknya,
mereka yang sanggup berkorban atas dasar cinta atau bertolak-ansur
dengan suami demi kebahagian keluarga.
``Sedangkan, sikap
bodoh dan ego mereka itulah sebenarnya menjadi punca masalah dalam
hidup mereka. Puan, saya ni sebenarnya tak ada sebarang ruangan khas
untuk digunakan bagi memberi nasihat kepada mereka yang bermasalah
seperti ini.
`` Namun, selalu juga kawan-kawan datang, meminta
nasihat saya. Biasanya, terdiri daripada mereka yang mahu berkahwin
dengan lelaki yang berpendapatan kecil, berpendidikan rendah dan umur
teman lelakinya jauh lebih rendah daripada mereka (tidak sekupulah dari
sudut agama). Mereka bertanya kepada saya, ``Boleh kah, saya kahwin
dengannya lelaki itu?".
``Selalunya, kawan-kawan yang meminta
nasihat ini terdiri daripada kaum wanita yang sudah berumur. Ada yang
dah nak masuk 40 tahun pun. Bergaji 4 atau5 bahkan ada yang lebih 6
ribu ringgit sebulan. Mereka sudah ada rumah dan kereta. Sudah
mengerjakan Haji dan pergi Umrah berkali-kali. Jadi mereka tanya
bolehkah dia berkahwin dengan lelaki seperti itu (bergaji kecil,
berpendidikan rendah dan umurnya lebih muda)?
``Soalan mereka
ini sebenarnya sulit untuk saya jawab, tetapi saya berikan jawapan yang
lebih mudah, saya katakan sudah tentu tidak ada masalah kalau hendak
kahwin tentu sahaja boleh!
``Pada pandangan saya kawan-kawan
saya ini hidup mereka sudah jauh lebih senang berbanding dengan calon
lelaki yang mereka pilih itu. Mereka sudah mempunyai pendapatan tinggi
dan kukuh dan mereka sudah masak dalam mengurus hidup sendiri. Malah
boleh dikatakan wanita golongan ini hidup mereka sudah lebih daripada
bahagia dan amat selesa tanpa suami.
``Tetapi masalah mereka
yang cukup besar adalah kaum keluarga, saudara mara yang kaki penyebuk.
Terutamanya ibu bapa sendiri yang kononnya kalau mereka mati nanti tak
boleh tutup mata rapat, kalau anaknya yang dah berumur ini 'tak
diselamatkan' (tidak dikahwinkan).
``Memang pada mulanya
kawan-kawan saya tu tak kisah sangat tentang pasangan hidup mereka,
sebab kehidupan mereka sudah jauh daripada selesa. Tapi, kalau setiap
masa dan ketika kalau mereka balik ke kampung kaum keluarga mulalah
mendongengkan kisah anak dara tak kahwin ini, lama-lama mereka pun
sudah tak larat nak dengar lagi.
``Akibatnya mereka terpaksa
menyerah kalah. Mengikut! Jadi, sebagai kawan yang lebih berumur dan
dewasa daripada mereka, bila mereka bertanyakan pendapat saya, tentulah
saya jawab, kenapa tidak? Kahwinlah sahaja supaya ibu bapa mereka boleh
menutup mata betul-betul rapat bila mati nanti, tapi ingatlah kepada
beberapa nasihat saya.
``Saya memberi mereka 7 petua, kalau
nak kahwin juga dengan lelaki yang jauh lebih rendah pendapatan dan
pendidikan dan berumur jauh lebih muda daripada diri mereka sendiri.
Kata saya kalau ikut tujuh petua atau panduan ini kalau terjatuh pun
taklah parah sangat, sebab anda sudah bersedia. Berikut adalah beberapa
panduan ataupun nasihat saya.
``Pertama saya katakan kepada
mereka dia hendaklah membeli rumah sendiri, yang sudah pasti dibeli
atas nama anda sendiri sebelum kahwin. Namun anda mesti ingat petua
paling penting jangan sekali-kali cuba merampas tanggungjawab suami.
Apa itu tanggungjawab seorang suami? Saya percaya pembaca sendiri pun
tahu.
``Tanggungjawab suami adalah mengurus perbelanjaan rumah
tangga seperti membayar semua bil, membeli makan dan pakai, menjaga
sakit pening isteri dan anak-anaknya dan lain-lain. Sedikit atau
sekecil mana pun gaji suami, adalah menjadi tanggungjawab hakiki suami
tadi menyediakan semuanya terhadap isteri dan anak-anaknya.
``Atas dasar apa sekali pun (contohnya: bertolak ansur, kasihan atau
cinta) jangan sekali-kali kaum wanita mahu merampas tanggungjawab
lelaki yang asas ini (khususnya bantu membayar segala hutang
piutangnya). Kalau anda ambil-alih tanggungjawabnya ini, suami akan
cepat naik sedap (naik mua) lantas dia akan mula bersikap lepas tangan,
hingga menyerahkan semua tanggung jawab seperti membayar bil atau apa
sahaja untuk anda pikul.
``Kalau anda sudah bersedia lepas 10
tahun, berkelakuan seperti itu anda jangan membebel kemudian hari
dengan bercerita ke sana ke sini (termasuk dalam DCCK), kononnya segala
pengorbanan anda kepada suami selama itu tidak dihargai lagi. Anda dah
terlalu sayang kepada suami sanggup berkorban konon, jadi jangan bising
pikul saja, sebab anda yang nak berkorban atas dasar sayang konon,
cintalah dan entah apa-apa lagi
``Kedua, anda mesti bersedia menerima segala-galanya ikut kemampuan
suami. Contohnya, kalau suami cuma mampu beli beras tempatan berlaukkan
ikan selar kuning setiap hari, sedangkan anda biasa makan beras Siam
harum wangi jenama termahal dan lauk ikan jenahak, maka anda jangan
membantah, anda telan semua yang suami anda beli walaupun tercekik
sebab tak berselera. Namun kalau sesekali teringin nak makan
sedap-sedap, makan di tempat kerja.
``Begitu juga halnya kalau
dia beli baju kain murahan, hargailah, pakailah. Sekurang-kurangnya,
anda pakai sewaktu nak melawat ibu bapa mertua anda biar suami puas
hati dan mertua anda lihat apa yang anda pakai. Jangan nak tunjuk
kemewahan anda.
``Ketiga, jangan sekali-kali menghalang
suami anda menanggung ahli keluarganya. Itu adalah menjadi
tanggungjawabnya. Biarkan dia berhabis untuk keluarganya, dan anda
tidak perlu menghulurkan wang untuk membantunya. Biar dia uruskan
sendiri. Kalau dia tak ada duit untuk anak-anaknya biarkan dia mencari
jalan keluar sendiri.
``Bagaimana pun sebaik-baiknya anda
nasihatkan dia supaya dia dapat memastikan dalam rumah tangga telah
disempurnakan terlebih dahulu terutama tanggungjawabnya kepada
anak-anak.
``Keempat kalau anda hendak mencari pembantu
rumah, anda uruskan sendiri, anda bayarlah gajinya. Kerana pembantu
rumah itulah yang banyak mengambil tanggung jawan dan tugas yang
sepatutnya anda lakukan di rumah. Kerana anda bekerja demi masa depan
anda.
``Kelimanya jangan sekali-kali anda cuba merampas
tanggungjawab suami ketika dia mahu meneruskan pelajarannya. Kerana
anda harus ingat anda bukannya bank atau PTPTN. Kalau dia hendak
menyambung pelajarannya, dia boleh belajar, tapi ingat,
tanggungjawabnya terhadap keluarga mesti didahulukan.
``Jangan pulak kerana kesian, cinta dan sayang konon anda biarkan dia
sambung belajar, dan anda ambil alih tugas mengurus keluarga. Kalau
anda masih hendak menunjukkan simpati anda terhadap suami tercinta,
lima atau sepuluh tahun kemudian anda jangan sekali-kali pergi ke rumah
emak mengadu anda sudah jadi mangsa, suami tinggalkan anda atau bertemu
kekasih baru di kampus dan nak minta izin kepada anda untuk kahwin lagi.
``Kerana pada pandangan saya semuanya adalah salah anda, anda tidak
berterus-terang dari awal dan jika ditakdirkan anda dimadukan terima
saja jangan menangis jangan meratap atau membebel kepada Puan Maimunah
untuk ditulis cerita anda dalam DCCK nanti.
``Keenam, jangan
sekali lagi cuba hendak memperbaiki diri suami anda. Contohnya kerana
anda malu pangkat atau gaji suami rendah maka anda berusaha malah
menggalakkan dia jadi usahawan. Sebab masalahnya nanti anda juga yang
akan keciwa.
``Sebab pertama kerana anda yang terpaksa
bergadai bergolok, malah mengeluarkan wang simpanan anda untuk
diberikan kepada suami supaya dijadikan modal dia berniaga. Masalah
besar yang bakal anda tempuh nanti jika dia gagal dalam perniagaan
kerana tidak cukup pengalaman dan kurang berminat berniaga maka hidup
anda akan dibebani hutang bukan puluhan ribu malah ratusan ribu ringgit
dan anda akan menyesal sepanjang hayat.
``Terimalah
kenyataan, bukan semua orang boleh menjadi usahawan berjaya seperti Tan
Sri Nazamuddin atau Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari. Anda sepatutnya
terima keadaan suami anda seperti seadanya, seperti mula-mula anda
bersedia berkahwin dengannya dahulu.
``Tetapi kalau suami anda
berjaya dalam perniagaan dan menjadi usahawan berjaya walaupun tak
setaraf Tan Sri Tajudin Ramli mahupun Datuk Halim Saad, maka dia akan
jadi orang yang terkejut beruk, sebab jadi kaya tak semena-mena, maka
corak hidupnya akan bertukar, dan anda jangan bersedih, meratap dan
menangis apa lagi kalau dia tak balik ke rumah, sebab dah ada orang
kedua dan dia akan minta izin anda untuk kahwin seorang lagi.
``Nasihat saya yang ketujuh dan terakhir, jangan sekali-kali buat joint
akaun. Anda hendaklah sentiasa ingat hari tua anda. Sebab banyak
terjadi seorang asyik menyimpan sementara seorang lagi asyik
berbelanja, ataupun menabung untuk kekayaan dirinya sendiri. Siapa tau!
Bila terjadi satu-satu hal duit dalam bank anda tinggal kosong, anda
sendiri gigit jari. Dah banyak terjadi ini bukan benda baru, jadi
sayangi diri sendiri supaya tidak kesal kemudian hari.
``Inilah tujuh nasihat saya kepada semua rakan-rakan yang ingin
mendapatkan nasihat saya, dan insyaAllah mereka berjaya dalam hidup
hingga beranak pinak, ini bukan soal ego, tetapi sensibility. Setiap
insan ada tanggungjawab masing-masing yang telah ditetapkan oleh Allah.
Kalau salah seorang daripada kita melanggarnya, samalah macam kita
merosakkan alam sekitar. Musibah akan menimpa. Jadi, jangan menyesal di
belakang hari dan menganggpa diri sebagai mangsa, sebab yang salah
adalah diri anda sendiri.Demikian nasihat Norwati.
Norwati
seorang pesara kerajaan berjawatan tinggi juga, kini bekerja secara
kontrak dengan kerajaan. Tidak berumah tangga, mungkin kerana tidak ada
jodoh dan lebih selesa bekerja. Ketika ditanya apakah beliau merasa
sunyi setelah bersara kerana tidak mempunyai keluarga, katanya hidupnya
terlalu sibuk, selain membaca, melayari internet, menulis, mendengar
ceramah agama beliau juga suka melancong. Jadi hidupnya tidak pernah
sunyi.
Betul juga, sunyi sebenarnya terletak kepada diri
sendiri, kalau tidak tahu menggunakan masa memanglah sunyi. Ada juga
mereka yang mempunyai keluarga terasa hidup mereka sunyi apabila
anak-anak dah besar, bekerja dan meninggalkan mereka. Ada juga yang
terlalu sibuk, sudahlah semasa mudanya sibuk mengurus anak-anak, dah
tua pula terpaksa menjaga cucu, itu terpulang kepada diri sendiri
menguruskan hidup masing-masing.
Kata Norwati walaupun tidak
berkahwin dan tidak mempunyai anak dia selesa dengan hidupnya sekarang,
yang penting mesti membuat persediaan dari awal, ada simpanan wang, ada
rumah dan kereta, jadi kita tidak perlu bergantung kepada orang lain,
kita boleh urus diri sendiri.
Demikian pandangan seorang
wanita yang tidak mempunyai keluarga, bagaimana pun terpulang kepada
anda memikirkannya mengikut pilihan anda sendiri sama ada mahu
berkahwin ataupun tidak. Tapi yang penting katanya jangan menyesal
kalau menjadi mangsa suami, kerana ia adalah pilihan anda sendiri.
Sebaik-baiknya kaum wanita hendaklah mempunyai perancangan masa depan
untuk diri sendiri.
-Maimunah