RAKYAT JUGA YANG UNTUNG AKHIRNYA ....
=================================================================
Misi menangi hati rakyat

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
 

"AHLI-AHLI parti perlu sedar bahawa kita tidak boleh berasa selesa bahkan 
tempoh ini perlu diibaratkan seperti 'telur di hujung tanduk' yang menuntut 
semua ahli bekerja dengan bersungguh-sungguh.''
 
Demikian peringatan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad 
lalu kepada ahli-ahli UMNO mengenai tempoh tiga tahun sebelum berlangsungnya 
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.
 
Muhyiddin membuat peringatan itu kerana tidak mahu ahli-ahli UMNO terus leka 
tanpa menyedari cengkaman politik parti tersebut sedang diancam habis-habisan 
oleh parti pembangkang.
 
Siang dan malam, sama ada melalui alam nyata atau maya, pembangkang terus 
melakukan pelbagai gerakan dengan tujuan memburuk-burukkan kerajaan Barisan 
Nasional (BN) dan UMNO.
 
Justeru dalam tempoh tiga tahun, jika BN dan UMNO gagal mematahkan serangan 
pembangkang atau membuat persiapan rapi menjelang PRU13, maka ia boleh 
mengakibatkan tampuk kekuasaan negara berpindah tangan. Sebenarnya, dalam 
sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dan dengan kuasa penentu sesebuah 
kerajaan terletak di tangan rakyat, tidak mustahil pemindahan kuasa boleh 
berlaku.
 
Oleh itu, ahli-ahli UMNO tanpa mengira kedudukan sama ada berjawatan atau 
tidak, harus memahami bahawa tiga tahun menjelang PRU13 seperti mana kata 
Muhyiddin adalah "tempoh kritikal".
 
Mereka tidak boleh lagi bersenang lenang dan hanya turun menemui rakyat apabila 
menjelang pilihan raya.
 
Senario politik negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) sudah tidak lagi 
mengizinkan UMNO untuk berpeluk tubuh dan membiarkan pembangkang dengan agenda 
politik mereka.
 
Oleh itu, sewaktu BN melalui kerajaan yang diterajuinya berusaha memenangi hati 
rakyat dengan melaksanakan pelbagai program pembangunan, ahli-ahli UMNO pula 
harus menjadi penyebar khabar kepada apa yang sedang diusahakan oleh kerajaan 
BN.
 
Untuk tempoh tiga tahun akan datang, BN dan UMNO harus dilihat relevan dan 
bukannya akan ditamatkan riwayatnya pada PRU13 nanti. Bagi tujuan itu tidak ada 
cara lain yang boleh dilakukan oleh UMNO selain berusaha memenangi semula hati 
dan fikiran rakyat untuk kembali menyokong parti itu.
 
Tidak kiralah sama ada sesebuah negeri itu dikuasai oleh BN atau pembangkang, 
usaha dihitung sama ada sesuatu kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri 
(DUN) ditakluk oleh BN atau tidak, apa yang penting misi utama UMNO kini ialah 
meraih kembali sokongan rakyat.
 
Memenangi hati dan minda rakyat, itulah misi utama UMNO sekarang selain 
berusaha memantapkan semangat juang dalam parti. Segala perancangan bagi 
meningkatkan keupayaan UMNO tidak bermakna kalau rakyat tidak menyokong. Jika 
ahli-ahli UMNO benar-benar sayangkan parti itu, maka mereka akan menjadikan 
tempoh tiga tahun ini sebagai gelanggang bagi memastikan panjipanji parti itu 
terus tegak di bumi Malaysia ini.
 
Dalam soal ini, keikhlasan, kejujuran dan pengorbanan pemimpin dan ahli UMNO 
amat dituntut. Pada masa ini kita harus mengakui orang berasa muak dengan UMNO 
terutamanya generasi muda. Mereka lebih suka mendengar apa kata pembangkang 
biarpun ia hanyalah propaganda.
 
Semua itu tidak menjadi soal kerana ia berpunca daripada kegagalan UMNO sendiri 
untuk berusaha memperbaiki diri.
 
Oleh itu, peringatan Muhyiddin adalah tepat pada masanya, UMNO tidak boleh 
terus leka dan lalai sedangkan dari semasa ke semasa pembangkang terus meracuni 
fikiran rakyat melalui pelbagai sudut.
 
Pembangkang sudah berjaya menampakkan diri mereka paling bersih apabila berlaku 
politik wang dalam UMNO, pembangkang dilihat "lebih demokrasi" apabila ingin 
membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak dan pembangkang juga dilihat lebih 
relevan berbanding BN dan UMNO.
 
Persoalannya, apakah gambaran mengenai pembangkang itu benar? Apakah kerana 
mereka pembangkang maka apa juga yang mereka katakan adalah betul? Kita juga 
harus bertanya sejauh mana pula persiapan BN dan UMNO untuk membuktikan hakikat 
sebaliknya.
 
Lihat sahaja apa yang berlaku di Perak, UMNO dilihat terlalu lambat untuk 
bertindak memberi penjelasan kepada rakyat sedangkan pembangkang di negeri itu 
bergerak sepanjang malam untuk menggambarkan kononnya mereka teraniaya dan 
menjadi mangsa rampasan kuasa oleh BN.
 
Mungkin kenyataan mereka tidak betul, tetapi apa yang UMNO dan BN lakukan bagi 
menafikannya? Apakah hanya melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) atau laman web 
sahaja sedangkan berapa ramai sangat yang ada kemudahan Internet di rumah 
mereka.
 
Rakyat mahu mendengar secara langsung dari mulut pemimpin UMNO sendiri mengenai 
kedudukan sebenar dan bukannya hanya bergantung kepada kecanggihan teknologi 
atau alam maya semata-mata.
 
Kita tidak menafikan bahawa alam siber adalah penting tetapi ia hanyalah salah 
satu alat, penerangan secara bersemuka juga perlu dilakukan seperti mana 
dilaksanakan oleh pembangkang.
 
Dalam tempoh tiga tahun yang dianggap kritikal ini juga, pemimpin-pemimpin UMNO 
di semua peringkat harus mengubah sikap mereka. Ini kerana penulis diberitahu 
ada sesetengah ketua bahagian yang langsung tidak turun ke bahagian selepas 
menang pada pemilihan baru-baru ini.
 
Malah tiada sebarang aktiviti berkaitan dengan rakyat dilakukan. Semua itu 
hanya akan memudaratkan lagi kedudukan UMNO dalam usaha meraih sokongan rakyat 
apatah lagi di kawasan yang dikuasai oleh pembangkang.
 
Pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat akar umbi harus benar-benar merasai denyut 
nadi rakyat termasuklah di kalangan ahli UMNO. Rakyat harus berasa mereka 
diutamakan seperti mana slogan kerajaan BN, "Rakyat Didahulukan, Pencapaian 
Diutamakan".
 
Jika pemimpin-pemimpin di peringkat bawah hanya bersikap "syok sendiri'' 
sedangkan minda rakyat pada setiap masa terus disumbat dengan propaganda oleh 
pembangkang, maka tidak mustahil pada pilihan raya akan datang, kawasan yang 
dikuasai oleh UMNO pun boleh terlepas ke tangan pembangkang.
 
Bermula dari saat ini, para pemimpin dan ahli UMNO seharusnya memahami bahawa 
tempoh tiga tahun menjelang PRU13 adalah penentuan hidup atau mati parti induk 
Melayu itu.
 
Justeru dalam mesyuarat-mesyuarat bahagian yang diadakan, tumpuan harus 
diberikan kepada usaha melahirkan idea-idea bernas tentang bagaimana boleh 
memperbaiki kedudukan parti di kalangan rakyat.
 
Hakikatnya, rakyat memang yakin bahawa BN, satu-satunya parti yang boleh 
mentadbir negara ini dengan baik sejak awal kemerdekaan lagi tetapi rakyat juga 
adalah manusia biasa. Mungkin akibat dipengaruhi oleh pembangkang, mereka boleh 
membuat keputusan di luar dugaan.
 
Apa pun andaian yang dibuat terserahlah kepada pemimpin dan ahli UMNO 
menentukannya. Peringatan sudah diberikan bertalu-talu, pelbagai laungan sudah 
diluahkan termasuklah "berubah atau diubah". Kalau mereka belum sedar juga 
mengenai bahaya yang menanti, maka mereka juga tidak perlu menangis jika kuasa 
terlepas daripada genggaman.
 
Percayalah PRU13 adalah sasaran utama pembangkang untuk mengambil alih tampuk 
pemerintahan negara. Mereka tidak melihat satu dua negeri atau tiga empat 
kerusi Parlimen, tetapi memastikan pentadbiran kerajaan di Putrajaya bertukar 
tangan.
 
Relakah ahli-ahli UMNO melihat semua itu berlaku? Tepuk dada tanyalah selera.



 
Noorshamsudin Bin Hj. Mohd. Darus
IS Audit, Audit & Compliance Division, AFFINBANK
1st Floor, Menara AFFIN, 80 Jalan Raja Chulan
50200 Kuala Lumpur,  W. Persekutuan
MALAYSIA
 
Tel:  03 - 27315246  /  03 - 27315242    Fax: 03 - 20264081    -  H/P:  012 - 
2923403
 
  "BANKING WITHOUT BARRIERS"
 


      

Kirim email ke