Walimatul Urus: Di Antara Sunnah Dan Yang Ditokok Tambah

http://fiqh-sunnah.blogspot.com/ 

Mewujudkan sebuah perkahwinan adalah merupakan satu langkah yang sangat murni 
dan sangat-sangat dituntut oleh agama yang fitrah. Perkahwinan atau ikatan 
pernikahan adalah sebuah sunnah yang mulia yang telah dilakukan oleh para Nabi 
dan Rasul serta generasi awal dan akhir yang mengikuti petunjuk mereka.

Perkahwinan adalah sebuah fitrah yang telah sedia ditanamkan ke dalam jiwa-jiwa 
manusia seluruhnya. Oleh sebab itu, Islam sangat-sangat menggalakkan umatnya 
untuk berkahwin. Ini tidaklah seperti mana yang berlaku kepada sebahagian agama 
seperti Kristian yang menggalakkan kerahiban, dan pertapaan para sami dari 
agama budha dan seumpamanya yang melarang perkahwinan. Malahan sebenarnya 
sebuah perkahwinan merupakan asas pembentukan sesebuah masyarakat yang harmoni. 
Dengan perkahwinan, jiwa-jiwa menjadi tenang, hati menjadi tenteram, populasi 
manusia semakin bertambah disebabkan oleh sebuah ikatan percintaan yang halal 
lagi sistematik. Sekaligus, ikatan perkahwinan dapat mengawal dari berlakunya 
pelbagai bentuk gejala yang tidak sihat seperti perzinaan, perbuatan 
homoseksual dan juga pelacuran sebagaimana yang berlaku di era zaman jahiliyyah 
sebelum datangnya Islam ke tanah Arab dan kini banyak berlaku di negara-negara 
barat pula.

Dengan izin dari Allah Subhanhu wa Ta’ala, tulisan ini cuba mengupas sebahagian 
daripada juzuk perkahwinan yang dimaksudkan. Tulisan ini bakal difokuskan 
kepada skop perlaksanaan majlis perkahwinan atau disebut sebagai walimatul urus.

Penulis terlintas untuk menulis berkenaan dengan topik ini adalah disebabkan 
melihat fenomena yang banyak berlaku pada akhir-akhir ini di mana majlis-majlis 
perkahwinan rata-ratanya semakin meriah tetapi pelik yang dilengkapi dengan 
kepelbagaian acara. Malah, ia dijadikan sebagai sebuah kebanggan bagi sesebuah 
pasangan pengantin baru sekiranya mereka berupaya mengadakan majlis perkahwinan 
mereka secara besar-besaran dengan disertai pelbagai juadah makanan dan acara 
tertentu yang menarik perhatian.

Ini termasuklah pelbagai bentuk makanan yang dihias dengan pelbagai rupa dan 
dimeriahkan lagi dengan upacara persandingan, muzik, tari-tarian dan 
nyanyi-nyanyian, upacara potong kek, adat menyarung cincin, dan seumpamanya. 
Bentuk upacara seperti ini kelihatannya begitu menyukarkan dan memerlukan 
perbelanjaan yang sangat besar. Apakah ia merupakan sebuah tuntutan di dalam 
agama atau sebaliknya, atau bagaimana.

Maka di sini timbullah sebuah persoalan, iaitu sejauh manakah sebenarnya majlis 
perkahiwnan yang benar-benar dianjurkan oleh Syari’at sebagaimana yang 
ditunjukkan oleh al-Qur’an dan as-Sunnah yang sahih? Adakah majlis perkahwinan 
itu perlu diadakan dengan pelbagai aturcara seperti upacara sarung cincin, 
persandingan, iringan muzik, dan sesi mengambil gambar? Selanjutnya, adakah 
bentuk-bentuk aturcara walimah seperti ini benar-benar menepati kehendak 
syari’at dan merupakan suatu yang dibenarkan atau sebaliknya?

Dengan itu, maka tulisan ini pun disiapkan dan insyaAllah tulisan ini akan cuba 
menyampaikan dan menggariskan bentuk majlis perkahwinan (walimatul urus) yang 
bertepatan dengan agama kita yang suci lagi murni. Sekaligus melihat sejauh 
manakah majlis perkahwinan masyarakat kita ini yang sebenarnya telah banyak 
ditokok tambah dengan pelbagai bentuk perbuatan yang mungkar lagi bercanggah 
dengan syari’at. Lebih parah, ia turut menyusahkan kebanyakan pasangan yang 
ingin membina mahligai rumahtangga mereka masing-masing kerana diikat dengan 
perkara-perkara seperti itu.

Dengan mengetahui yang mana yang realiti lagi sahih daripada sunnah, maka 
seterusnya tiada masalah untuk kita membezakan di mana sebenarnya yang mungkar, 
yang ditokok tambah dan seterusnya kita berupaya menjadikan sebuah majlis 
perkahwinan itu adalah sebuah majlis yang berhak mendapat keberkahan dan redha 
dari Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan memisahkannya dari apa yang tidak 
disyari’atkan (serta yang terlarang).

Definisi Walimatul urus

Menurut Imam ash-Shan’ani:

Kata walimah (وَلِيْمَة) diambil dari kata asal (ولم) yang bererti perhimpunan, 
kerana pasangan suami isteri (pada ketika itu) berkumpul sebagai mana yang 
dikatakan oleh imam az-Zuhri dan yang lainnya. Bentuk kata kerjanya adalah 
awlama yang bermakna setiap makanan yang dihidangkan untuk menterjemahkan 
kegembiraan. Dan walimatul urus adalah walimah untuk pernikahan yang 
menghalalkan hubungan suami isteri dan perpindahan status kepemilikan. (Imam 
Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 724, 
Darus Sunnah)

Menurut Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim:

Al-Walimah ertinya adalah makanan yang biasa disajikan (dihidangkan) pada pesta 
(majlis) pernikahan secara khusus. (Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, 
Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 310, Pustaka Ibnu Katsir)

Dari dua penjelasan ini dapat kita fahami bahawa yang dimaksudkan dengan 
walimatul urus itu adalah jamuan makan yang diadakan disebabkan berlangsungnya 
ikatan perkahwinan (pernikahan).

Ini adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas radhiyallahu ‘anhu, di 
mana beliau berkata:

“Ketika tiba waktu pagi hari setelah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjadi 
seorang pengantin dengan Zainab bin Jahsy, beliau mengundang orang-orang, lalu 
mereka dijamu dengan makanan dan setelah itu mereka pun bersurai.” (Hadis 
Riwayat al-Bukhari, no. 1428)

Juga perkataan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada ‘Abdurrahman bin ‘Auf 
apabila Nabi mengetahui ‘Abdurrahman baru sahaja bernikah:

“Laksanakanlah walimah walaupun hanya dengan seekor kambing.” (Hadis Riwayat 
al-Bukhari, no. 5169)

Dari Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

“Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menikahi seorang perempuan, 
beliau mengutuskan aku untuk mengundang beberapa orang untuk makan.” (Hadis 
Riwayat at-Tirmidzi, no. 3219)

Hukum Mengadakan Walimatul Urus

Imam ash-Shan’ani rahimahullah menjelaskan:

“Imam Ahmad berkata, “Walimah itu hukumnya sunnah”. Menurut jumhur, walimah itu 
disunnahkan (mandub). Ibnu Baththal berpendapat, “Aku tidak tahu apabila ada 
ulama yang mewajibkan, mungkin dia tidak tahu perbezaan ulama tentang hukum 
tersebut”.

Jumhur mengatakan hukumnya sunnah berdasarkan pendapat asy-Syafi’i 
rahimahullah.” (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, 
Bab Nikah, m/s. 726, Darus Sunnah)

Manakala sebahagian pendapat mengatakannya sebagai wajib seperti pendapat 
mazhab Zahiri sebagaimana yang dijelaskan di dalam Subulus Salam, asy-Syafi’i 
di dalam al-Umm, dan juga pendapat Syaikh al-Albani di dalam Adabuz Zifaf.

Ada pun pendapat yang terpilih adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibnu 
Qudamah rahimahullah:

“Tiada perbezaan pendapat di antara ahli ilmu, bahawasanya hukum walimah di 
dalam majlis perkahwinan adalah sunnah dan disyari’atkan (sangat dituntut), 
bukan wajib.” (Ibnu Qudamah, al-Mughni, jil 7, m/s. 2)

Siapa Yang Mengadakan Walimah

Walimah dilaksanakan dan diselenggarakan oleh Suami. Ini adalah sebagaimana 
perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri dan turut dicontohi oleh 
para sahabat-sahabatnya yang lain.

Dari Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

“Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menikahi seorang perempuan, 
beliau mengutuskan aku untuk mengundang beberapa orang untuk makan.” (Hadis 
Riwayat al-Bukhari, at-Tirmidzi, no. 3219)

Juga dari Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau menjelaskan:

“‘Abdurrahaman berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku baru sahaja 
bernikah dengan seorang wanita dengan mahar satu nawat emas (emas sebesar biji 
kurma)”. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Semoga Allah memberkahimu, adakanlah walimah walau pun hanya dengan 
menyembelih seekor kambing”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5169)

Berdasarkan hadis ini, Rasulullah telah memerintahkan ‘Abdurrahman bin ‘Auf 
supaya mengadakan walimah.

Walau pun begitu, walimah tidaklah semestinya dilakukan dengan seekor kambing 
tetapi ia dilakukan bersesuaian dengan kemampuan suami. Ini adalah kerana Nabi 
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri pernah melaksanakan walimah untuk 
Shafiyah dengan menyediakan campuran kurma tanpa biji yang dicampur dengan keju 
dan tepung di atas sumbangan para sahabat yang hadir. (Rujuk Hadis Riwayat 
al-Bukhari, no. 2048)

Waktu Walimah

Imam al-Mawardi dari mazhab asy-Syafi’i menjelaskan bahawa waktunya adalah 
setelah selesai akad pernikahan dan setelah kedua pasangan bersama.

Ibnu as-Subki berkata:

“Yang diriwayatkan dari perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa 
walimah itu diselenggarakan setelah berhubungan (pasangan bersama), berdasarkan 
hadis pernikahan di antara Nabi dengan Zainab binti Jahsy iaitu berpandukan 
perkataan Anas “di pagi harinya” (rujuk hadis di atas), iaitu ketika Nabi 
menjadi pengantin dengan Zainab, beliau mengundang kaum muslimin, perbuatan 
Nabi ini dijadikan bab oleh al-Baihaqi sebagai “Bab Waktu Walimah”. (Imam 
Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 727, 
Darus Sunnah)

Menurut Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, walimah tidak diadakan ketika 
perjalanan akad nikah berlangsung atau sebaik akad nikah, tetapi adalah setelah 
pasangan bersama (bersetubuh). (Rujuk: Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, 
Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 311, Pustaka Ibnu Katsir)

Begitu juga sebagaimana yang dijelaskan oleh Amru Abdul Mun’im Salim:

“Seseorang hendaklah menyelenggarakan walimah setelah ia berkumpul dengan 
isterinya.” (Amru Abdul Mun’im Salim, Panduan Lengkap Nikah Menuju Keluarga 
Sakinah, m/s. 177, Dar an-Naba’)

Hukum Menghadiri Undangan Walimah

Hukum menghadiri undangan walimah adalah wajib. Ini adalah sebagaimana hadis 
yang diriwayatkan dari Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata, 
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Apabila seseorang di antara kamu diundang ke majlis walimah, hendaklah dia 
menghadirinya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5173)

Pendapat yang menjelaskan wajibnya menghadiri undangan walimah juga turut 
dijelaskan oleh Ibnu ‘Abdil Barr, imam asy-Syafi’i, Imam Ahmad, Ibnu Hazm, Imam 
an-Nawawi, dan pendapat inilah yang telah menjadi kesepakatan para ulama.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallalalhu ‘alaihi wa 
Sallam bersabda:

“Dan barangsiapa yang meninggalkan undangan, maka dia telah melakukan maksiat 
kepada Allah dan Rasul-Nya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5177)

Walau pun begitu, undangan ke majlis walimah boleh ditinggalkan sekiranya 
memiliki uzur. Ini adalah sebagaimana penjelasan berikut:

1 – Apabila di dalam walimah tersebut mengandungi perkara-perkara maksiat 
seperti jamuan khamar (arak), gambar-gambar makhluk bernyawa, dan permainan 
alat-alat muzik dan nyanyian. Sekiranya ini berlaku, maka seseorang tidak perlu 
menghadirinya melainkan dengan tujuan untuk mencegah kemungkaran tersebut. 
Sekiranya dia berjaya mencegahnya, maka itu adalah satu kebajikan, dan 
sekiranya tidak berjaya, hendaklah dia segera beredar.

Ini adalah sebagaimana hadis ‘Ali radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

“Aku membuat makanan, lalu aku mengundang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa 
Sallam, kemudian beliau tiba, lalu beliau pun segera pulang. Aku pun segera 
bertanya, “Wahai Rasulullah, Ibu dan Bapaku sebagai tebusan, apakah yang 
membuatkan engkau pulang?”

Beliau menjawab:

“Sesungguhnya di dalam rumah ada kain penutup yang bergambar, dan sesungguhnya 
para malaikat tidak akan memasuki ke dalam sesebuah rumah yang di dalamnya 
mengandungi gambar-gambar.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, no. 3359. Dinyatakan 
sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Ibnu Majah dan Adabuz Zifaf)

Juga hadis dari ‘Umar al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu 
‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa beriman kepada Allah dan hari Akhir, maka janganlah duduk di meja 
makan yang di sana dihidangkan minuman keras (khamar).” (Hadis Riwayat Ahmad 
dan at-Tirmidzi. Rujuk: al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 152, Media Hidayah)

2 – Apabila terdapat pengkhususan undangan di mana orang yang mengundang 
membeza-bezakan di antara yang kaya dengan yang miskin atau fakir, makanan yang 
dihidangkan mengandungi syubhat, dan seumpamanya. Ini adalah sebagaimana yang 
dijelaskan oleh Imam ash-Shan’ani di mana diizinkan untuk tidak memenuhi 
undangan walimah “apabila adanya uzur di antaranya, apabila makanan yang 
dihidangkan mengandungi syubhat (tidak jelas kehalalannya), atau diperuntukkan 
kepada orang-orang kaya sahaja, atau ada orang yang tidak senang dengannya...” 
(Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 
729, Darus Sunnah)

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam 
bersabda:

“Seburuk-buruk makanan adalah makanan walimah, yang mana di dalam walimah 
tersebut tidak mengundang orang yang memerlukan (fakir), dan hanya mengundang 
orang yang tidak memerlukan (orang kaya)...” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 
5177)

Di antara uzur lain yang dibenarkan untuk tidak hadir ke undangan walimah 
adalah seperti uzur yang dengannya seseorang boleh meninggalkan solat Juma’at, 
seperti terjadinya hujan yang sangat lebat, jalan yang bermasalah, kerana 
takutkan musuh, takut hilangnya harta, dan yang lain yang seumpama. (Abu Malik 
Kamal as-Sayyid Salim, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 314, 
Pustaka Ibnu Katsir)

Digalakkan Mengundang Orang Bertaqwa (Soleh)

Ini adalah sebagaimana hadis berikut:

“Janganlah kamu bersahabat kecuali dengan orang yang beriman, dan janganlah 
makanan kamu dimakan melainkan oleh orang-orang yang bertaqwa.” (Hadis Riwayat 
Abu Daud, no. 4811. Hadis ini hasan menurut penilaian al-Albani)

Daripada Anas radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam 
berdoa kepada Sa’ad bin ‘Ubaidah yang menghidangkan kismis untuknya:

“Semoga orang-orang yang baik memakan makananmu, para malaikat mendoakanmu, dan 
orang-orang yang puasa berbuka di tempatmu.” (Hadis Riwayat Ahmad. Lihat: 
al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 157, Media Hidayah)

Dan jangan sekali-kali hanya mengundang orang-orang yang kaya lalu melupakan 
orang-orang yang memerlukan.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam 
bersabda:

“Seburuk-buruk makanan adalah makanan walimah, yang mana di dalam walimah 
tersebut tidak mengundang orang yang memerlukan (fakir), dan hanya mengundang 
orang yang tidak memerlukan (orang kaya)...” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 
5177)

Bolehkah Orang Yang Berpusa Menghadiri Walimah?

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam 
bersabda:

“Apabila seseorang di antara kamu diundang, hendaklah dia memenuhi undangan 
tersebut, jika dia sedang berpuasa hendaklah dia mendoakan, dan jika dia tidak 
berpuasa, hendaklah dia makan.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1431)

Menurut Imam ash-Shan’ani, hadis ini menunjukkan wajibnya memenuhi undangan 
walaupun dia sedang berpuasa. (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus 
Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 732, Darus Sunnah)

Dan sebenarnya tidak ada perbezaan akan kewajiban untuk memenuhi undangan 
walimah sama ada dia sedang berpuasa atau pun tidak. Akan tetapi dibolehkan 
bagi mereka yang berpuasa untuk menghadirinya sahaja tanpa menyantap hidangan 
dan dianjurkan mendoakan orang yang mengundangnya.

Namun, jika dia mahu, dia boleh untuk memakannya, atau tidak memakannya. Dan 
jika dia membatalkan puasanya, puasa sunat yang ditinggalkannya tidak wajib 
diganti.

Dari Jabir radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam 
bersabda:

“Jika salah seorang dari kamu diundang makan, maka hendaklah dia menghadirinya. 
Jika mahu, dia dibolehkan makan, jika tidak mahu dia boleh untuk 
meninggalkannya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1430)

Anjuran Supaya Mendoakan Pasangan Pengantin

Di antara keindahan di dalam Sunnah adalah mendoakan kebaikan, keberkahan, dan 
memohonkan keampunan buat pasangan pengantin serta mendoakan untuk orang yang 
mengundang ke majlis makan (walimah).

Di antara doa-doa yang disunnahkan kepada kita untuk berdoa dengannya adalah 
sebagaimana berikut:

Doa untuk pasangan pengantin:

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallahu 
‘alaihi wa Sallam jika memberikan ucapan doa kepada seseorang yang berkahwin, 
beliau akan berkata:


بَارَكَ اللهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ


“Semoga Allah memberikan keberkahan kepadamu, memberikan keberkahan atasmu, dan 
menyatukan kamu berdua di dalam kebaikan.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2130. 
Hadis ini dinilai sahih oleh at-Tirmidzi dan ath-Thusi sebagaimana yang 
dijelaskan oleh al-Albani di dalam Adabuz Zifaz)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata kepada ‘Abdurrahman bin ‘Auf:


بَارَكَ اللهُ لَكَ


“Semoga Allah memberkahimu...” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5169)

Doa ketika Rasulullah menikahkan ‘Ali dengan Fatimah:


اَلَّهُمَّ بَارِكْ فِيْهِمَا، وَبَارَكَ لَهُمَا فِيْهِمَا فِيْ بِنَائِهِمَا


“Ya Allah, berkahilah mereka berdua dan berkahilah perkahwinan mereka berdua.” 
(Diriwayatkan oleh ath-Thabrani di dalam al-Kabir. Rujuk: al-Albani, Adabuz 
Zifaf, m/s. 160, Media Hidayah)

Doa untuk orang yang mengundang makan:

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mendoakan untuk Abdullah bin Busr 
radhiyallahu ‘anhu dan keluarganya (ayahnya) di ketika dia selesai dijamu 
makanan:


اَلَّهُمَّ بَارِكْ لَهُمْ فِي مَا رَزَقْتَهُمْ، وَاغْفِر لَهُمْ، وَارْحَمْهُمْ


“Ya Allah, berkahilah mereka pada rezeki yang telah Engkau berikan kepada 
mereka dan ampunilah mereka serta rahmatilah mereka.” (Hadis Riwayat Muslim, 
no. 1615)

Dan dianjurkan bagi mereka yang diundang untuk mengucapkan terima kasih di atas 
undangan yang diberikan.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam 
bersabda:

“Tidak bersyukur kepada Allah, orang yang tidak berterima kasih kepada 
manusia.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4811)

Mengucapkan Ucapan Yang Tidak Disyari’atkan

Adalah tidak dibenarkan meninggalkan ucapan-ucapan (doa) yang telah sedia 
dicontohkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam seperti yang 
disebutkan di atas, lalu diganti dengan ucapan-ucapan yang tidak sewajarnya.

Sebagai contoh, pada masa ini begitu ramai yang mempopularkan bentuk-bentuk 
ucapan seperti:

“Selamat pengantin baru.”

“Semoga bahagia dan mendapat ramai anak.”

Ada pun sebenarnya, ucapan-ucapan seperti ini telah pun disentuh oleh para 
ulama sejak awal lagi.

Di antaranya al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah menjelaskan:

“Perkataan ini biasa diucapkan oleh orang-orang jahiliyyah sehingga ucapan ini 
dilarang.” (Fathul Bari, jil. 9, m/s. 222. Rujuk: Abu Hafsh Usamah, Panduan 
Lengkap Nikah, m/s. 232, Pustaka Ibnu Katsir)

Ini adalah kerana, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri telah 
melarang perbuatan seperti itu sebagaimana yang dijelaskan oleh ‘Uqail bin Abu 
Thalib.

Ini berlaku di ketika ‘Uqail berkahwin dengan seorang wanita dari suku Jasyam. 
Lalu orang-orang yang mengunjunginya mengucapkan:

“Semoga bahagia dan mendapat ramai anak.”

‘Uqail pun berkata, “Janganlah kamu mengucapkan seperti itu (kerana Rasulullah 
telah melarangnya).” Mereka pun bertanya, “jadi, apa yang harus kami ucapkan, 
wahai Abu Zaid?”

‘Uqail berkata,

“Ucapkanlah: Semoga Allah memberkahimu di dalam kesenangan atau pun kesusahan”. 
Begitulah kita diperintahkan. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, 
‘Abdurrazzaq, Ahmad. Rujuk: al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 162, Media Hidayah)

Disunnahkan Memberi Hadiah dan Membantu Melaksanakan Walimah

Dari Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

“Setelah Nabi Shallalalhu ‘alaihi wa Sallam menikahi Shafiyah, pada pagi 
harinya Nabi pun berkata: “Sesiapa yang memiliki sesuatu untuk disumbangkan, 
hendaklah disumbangkan”. Beliau pun menghamparkan lembaran kulit yang disamak 
(sebagai bekas). Ada orang yang menyumbang keju, ada yang menyumbang kurma, dan 
ada yang memberikan minyak samin. Mereka pun membuat hais (campuran kurma tanpa 
biji, keju, tepung dan minyak).” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2048)

Berdasarkan hadis ini, Syaikh al-Albani rahimahullah menyatakan:

“Orang-orang kaya dan yang memiliki kelebihan (bekalan) dianjurkan untuk 
memberikan sumbangan di dalam majlis walimah saudaranya.” (al-Albani, Adabuz 
Zifaf, m/s. 139, Media Hidayah)

Demikianlah sesebuah majlis walimah (walimatul urus) yang ditunjukkan oleh 
Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan diamalkan oleh para sahabat 
dan generasi awal umat Islam lainnya. Ianya begitu mudah dan ringkas.

Di bahagian seterusnya, tulisan akan difokuskan kepada beberapa contoh amalan 
di dalam masyarakat Melayu ketika majlis-majlis walimah mereka pasa masa kini. 
Sekaligus kita akan melihat sama ada ianya harus, sunnah, atau sebaliknya yang 
membawa kepada larangan syari’at mahu pun bid’ah.

Kemungkaran dan Tokok Tambah (Bid’ah) Di Dalam Majlis Walimah

Bahagian ini ditulis adalah berdasarkan pemerhatian terhadap majlis walimah 
(walimatul urus) tertentu di sekitar masyarakat Melayu Semenanjung Malaysia.

Yang dimaksudkan sebagai kemungkaran di sini adalah apa jua perkara yang 
dilarang dan diharamkan di dalam agama.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah 
syaitan. Sesiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya 
syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar. 
Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, 
niscaya tidak seorang pun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan 
mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang 
dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah 
an-Nuur, 24: 21)

“Waai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan 
cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang 
menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang diwajibkan 
(oleh Allah).” (Surah Luqman, 31: 17)

“Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya 
bagimu, maka tinggalkanlah.” (Surah al-Hasyr, 59: 7)

Manakala tokok tambah (bid’ah) yang dimaksudkan di sini adalah apa jua tokok 
tambah yang dikhususkan di dalam majlis walimah yang pada asalnya menurut 
timbangan agama tidak disyari’atkan. Aturcara walimah (majlis perkahwinan) 
adalah sebuah ibadah yang disyari’atkan oleh agama melalui Nabi kita Muhammad 
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Di mana di dalam sebuah hadis disebutkan:

“Sebenar-benar perkataan, adalah Kitabullah (al-Qur’an), sebaik-baik petunjuk 
adalah petunjuk Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, seburuk-buruk perkara 
adalah apa yang diada-adakan di dalam agama, setiap perkara baru yang 
diada-adakan di dalam agama adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu sesat.” (Hadis 
Riwayat Abu Daud, no. 1097)

Dari Irbadh bin Sariyah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa 
Sallam bersabda:

“Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap 
perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah 
sesat.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4607)

Dengan lebih tepat, “bid’ah adalah sebuah cara baru di dalam agama yang dibuat 
menyerupai seakan-akan syari’at dengan tujuan untuk berlebih-lebihan di dalam 
beribadah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.” (Imam asy-Syatibi, di dalam 
al-I’tisyam. Rujuk: Yazid Abdul Qadir Jawas, Syarah ‘Aqidah Ahlus Sunnah wal 
Jama’ah, m/s. 78-79, Pustaka Imam asy-Syafi’i. Juga Alawy Abdul Qadir 
as-Saqqaf, Mukhtashar al-I’tisham, m/s. 32, Media Hidayah)

Maka dengan ini, sesuatu yang asalnya tidak dikhususkan atau tidak 
disyari’atkan oleh agama melalui dalil-dalil yang benar di dalam walimatul 
urus, maka sekiranya ia berlaku dan dilakukan ini adalah termasuk ke dalam 
bentuk-bentuk tokok tambah terhadap agama yang jelas bertentangan dan mengajak 
kepada perbuatan bid’ah.

Perbahasan di dalam bahagian ini akan dibawakan dengan seringkas mungkin dan 
padat.

1 – Membuka Aurat

Perbuatan mendedahkan aurat di khalayak ramai (para hadirin) oleh wanita pada 
masa ini semakin banyak dilakukan di dalam majlis-majlis walimah. Malah ianya 
sudah menjadi satu trend (gaya) dalam kalangan umat Islam setiap kali pasangan 
pengantin melangsungkan majlis perkahwinan mereka. Terdapat sebagahagian wanita 
yang asalnya bertudung, tetapi apabila tiba hari perkahwinannya, dia dengan 
relanya membuka tudung dan menededahkan bahagian-bahagian aurat tertentu. 
Termasuk perbuatan mendedahkan aurat adalah dengan memakai pakaian yang ketat 
sehingga menggambarkan bentuk tubuh badan, mengenakan pakaian dengan kain yang 
jarang, dan mengenakan kain yang tipis.

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangan dan 
kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang 
(biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke 
dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (aurat) kecuali kepada... 
(mahram mereka)...” (Surah an-Nuur, 24: 31)

Untuk lebih lanjut berkenaan perbahasan aurat wanita, bolehlah merujuk tulisan 
bertajuk: “Pakaian Seorang Wanita Beriman (Muslimah) Menurut al-Qur’an & 
as-Sunnah” di blog fiqh penulis. Atau boleh juga merujuk sebuah buku yang baik 
karya Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani bertajuk, “Jilbab al-Mar’atil 
Muslimah”, dan buku ini telah pun diterjemahkan oleh Media Hidayah dan Pustaka 
at-Tibyan dengan tajuk “Jilbab Wanita Muslimah”.

2 – Bersolek dan memakai wangi-wangian bagi wanita

Dari Abu Musa al-Asy’ary radhiyallahu ‘anhu, dia berkata:

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda:

“Wanita yang memakai wangi-wangian, dan kemudian dia melintasi suatu kaum 
supaya mereka mencium bau wanginya, maka wanita tersebut adalah wanita 
penzina.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4172, at-Tirmidzi, no. 2786)

“Alasan dari larangan tersebut dapat dilihat dengan jelas iaitu menggerakkan 
panggilan syahwat (kaum lelaki). Sebahagian ulama telah mengaitkan perkara lain 
dengannya, seperti memakai pakaian yang cantik (melawa), perhiasan yang 
ditampakkan, dan bercampur baur dengan kaum lelaki.” (Ibnu Hajar al-‘Asqalani, 
Fathul Bari, 2/279. Rujuk: Abu Malik Kamal, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, 
m/s. 151, Pustaka Ibnu Katsir)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“... Dan janganlah kamu berhias (tabarruj) dan bertingkah laku seperti 
orang-orang Jahiliyyah yang dahulu.” (Surah al-Ahzab, 33: 33)

3 – Mencukur Kening dan Memakai Rambut Palsu

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Allah melaknat orang yang membuat tatu dan wanita yang minta ditatu, wanita 
yang menyambung rambutnya (dengan rambut palsu), yang mencukur alis (bulu 
kening), dan yang minta dicukur, dan wanita yang merenggangkan giginya untuk 
kecantikan sehingga mengubah ciptaan Allah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 
4886)

4 – Memanjangkan Kuku dan Mewarnakannya Dengan Pewarna

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Termasuk fitrah bagi manusia itu ada lima: Khitan, mencukur bulu kemaluan, 
merapikan misai, memotong kuku, dan mencabut bulu ketiak.” (Hadis Riwayat 
al-Bukhari, no. 5889)

Berkenaan permasalahan trend mewarnakan kuku ini, Syaikh al-Albani rahimahullah 
berkata:

“Ini adalah merupakan kebiasaan buruk yang dilakukan oleh wanita-wanita Eropah 
kepada wanita-wanita Islam, iaitu memanjangkan kuku dan mewarnakannya dengan 
warna merah atau selainnya dengan kuteks (pewarna/pengecat kuku). Kebiasaan ini 
juga turut dilakukan oleh sebahagian pemuda. Perbuatan ini selain mengubah 
ciptaan Allah, ia juga menjadikan pelakunya terlaknat dan perbuatan ini 
termasuk meniru-niru (tasyabbuh) perbuatan wanita-wanita kafir.

“Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang kafir), maka 
dia termasuk di dalam golongan mereka.” (al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 184, 
Media Hidayah)

Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang kafir), maka 
dia termasuk di dalam golongan mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud. Sahih menurut 
Syaikh al-Albani di dalam Shahihul Jami’, no. 6149, juga dijelaskan di dalam 
Jilbab al-Mar’atil Muslimah)

5 – Mencukur Janggut

Sebahagian kaum lelaki muslim pada masa ini tidak lagi berminat memelihara 
janggut dan membenci memelihara janggut. Malah, ada pula di antara mereka yang 
mencukur janggutnya semata-mata untuk nampak bergaya di majlis perkahwinannya. 
Sedangkan, perbuatan memelihara janggut adalah sebuah sunnah yang ditunjukkan 
oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan di dalam banyak 
hadis-hadisnya berkenaan janggut ia menunjukkan sebuah perintah yang perlu 
diikuti.

Daripada Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa 
Sallam bersabda:

“Selisihilah kaum majusi, rapikanlah misai, dan peliharalah janggut.” (Hadis 
Riwayat al-Bukhari, no. 5893)

Untuk perbahasan lanjut berkenaan hukum dan sunnah memelihara janggut ini, anda 
bolehlah merujuk sebuah tulisan yang ditulis oleh Ustaz Rasul Dahri yang telah 
saya letakkan di dalam blog fiqh saya bertajuk “Pandangan Syari’at Berkenaan 
Pemeliharaan Janggut”.

6 – Mengkhususkan Adanya Cincin Perkahwinan

Perbuatan bertukar cincin atau menetapkan adanya cincin perkahwinan, 
pertunangan, atau pun pernikahan, ianya sama sekali bukan berasal daripada 
ajaran Islam.

Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh al-Albani rahimahullah:

“Tindakan ini (menyarung cincin) selain meniru tradisi orang-orang kafir 
sehingga menjadi sebuah larangan, ia juga mengandungi pelanggaran terhadap 
dalil-dalil hadis yang melarang lelaki mengenakan cincin emas...” (al-Albani, 
Adabuz Zifaf, m/s. 191, Media Hidayah)

Asal perbuatan (adat) menyarung cincin perkahwinan ini adalah berasal dari adat 
kepercayaan kuno kaum Nasrani (kristian). Ini adalah sebagaimana yang 
dijelaskan oleh Syaikh al-Albani di dalam kitabnya, Adabuz Zifaf.

Syaikh Ibnu Bazz rahimahullah (Mufti Saudi Arabia) menjelaskan: “Kami tidak 
mengetahui dasar amalan ini (sarung cincin) di dalam syari’at.” (Muhammad 
al-Musnid, Fatawa Islamiyah, 3/129. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh 
Usamah, m/s. 230, Pustaka Ibnu Katsir)

7 – Adat Bersanding dan Pelamin

Perbuatan mengadakan pelamin dan adat bersanding bukanlah sebuah amalan yang 
berasal dari ajaran Islam. Malah, ia mungkin ditiru dan berasal dari ajaran 
Hindu atau pun Kristian. Ini adalah kerana amalan tersebut sangat mirip dengan 
adat upacara perkahwinan mereka.

Menurut Syaikh Abdullah bin ‘Abdurrahman al-Jibrin hafizahullah:

“Perbuatan ini (bersanding) adalah tidak dibenarkan. Sebab ini adalah bukti 
atas tercabutnya rasa malu dan taqlid (mengikuti) kepada kaum yang suka kepada 
keburukan. Perkaranya adalah jelas. Pengantin wanita sepatutnya merasa malu 
menampakkan diri di hadapan manusia, lalu bagaimana dengan perbuatan tersebut 
yang sengaja dilakukan di hadapan orang-orang yang sengaja menyaksikannya?” 
(Muhammad al-Musnid, Fatawa Islamiyah, 3/188. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu 
Hafsh Usamah, m/s. 230, Pustaka Ibnu Katsir)

Syaikh Ibnu ‘Utsaimin rahimahullah berkata:

“Di antara perkara mungkar, bahawa rasa malu sebahagian manusia telah tercabut 
dari mereka. (Adalah) seorang suami datang di tengah kaum wanita dan naik 
pelamin bersama isterinya di hadapan kaum wanita, iaitu pada awal pertemuannya 
dengan isterinya untuk bersanding dengannya, bersalaman tangan dengannya, 
mungkin menciumnya, dan mungkin memberikan hadiah kepadanya berserta coklat dan 
selainnya yang dapat menggerakkan syahwat dan mengakibatkan fitnah.” (Min 
Munkaratil Afraah, m/s. 7, 10. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, 
m/s. 231, Pustaka Ibnu Katsir)

8 – Menabur Gula-gula, Coklat, dan Bunga

Perbuatan ini tidak terdapat di dalam syari’at atau pun majlis walimah 
sebagaimana yang disunnahkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Ada pun sebenarnya, perbuatan ini termasuk meniru-niru perbuatan kaum kafir 
yang diambil dari perbuatan kaum kristian yang menabur bunga di acara-acara 
perkahwinan mereka.

Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang kafir), maka 
dia termasuk di dalam golongan mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud. Sahih menurut 
Syaikh al-Albani di dalam Shahihul Jami’, no. 6149, juga di dalam Jilbab 
al-Mar’atil Muslimah)

Imam Ibnu Katsir menjelaskan di bawah penafsiran Surah al-Baqarah, 2: 104:

“Allah Ta’ala melarang hamba-hamba-Nya yang beriman menyerupai (syi’ar) 
orang-orang kafir, sama ada dalam ucapan mahu pun perbuatan mereka.” (Ibnu 
Katsir, Shahih Tafsir Ibnu Katsir (Judul asal: al-Mishbaahul Muniir fii 
Tahdziibi Tafsiiri Ibni Katsir, Selenggaraan Syaikh Syafiurrahman 
al-Mubarakfuri), jil. 1, m/s. 364, Pustaka Ibnu Katsir)

Sekiranya amalan tersebut disandarkan kepada agama, maka perbuatan tersebut 
termasuk meletakkan perbuatan yang tiada asalnya di dalam agama, maka ia adalah 
bid’ah lagi sesat. Ini adalah kerana walimatul urus adalah sebuah aturcara 
agama sebagaimana yang diperintahkan (ditekankan) berdasarkan sunnah yang jelas.

Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam 
bersabda:

“Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu yang baru di dalam agama kami ini, maka 
ianya tertolak.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2697)

Dari Irbadh bin Sariyah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa 
Sallam bersabda:

“Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap 
perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah 
sesat.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4607)

9 – Adat Merenjis Air Mawar

Adat ini juga bukan berasal dari Islam. Mungkin ia diambil dari amalan 
masyarakat Hindu. Selain merupakan perbuatan yang ditokok tambah (bid’ah) di 
dalam walimatul urus, malah ianya juga boleh menjurus kepada perbuatan syirik 
sekiranya dengan perbuatan merenjis tersebut disertakan dengan i’tiqad 
(keyakinan-keyakinan) tertentu seperti mempercayai pasangan pengantin yang 
direnjis akan mendapat kebahagiaan dan seumpamanya.

10 – Mewajibkan Adanya Duit dan Barang Hantaran

Adat ini ditetapkan oleh kebanyakan masyarakat Melayu secara umumnya iaitu 
dengan mewajibkan pihak lelaki (atau bakal/calon suami) supaya membayar 
sejumlah wang yang dinamakan sebagai wang hantaran kepada keluarga pihak 
perempuan. Kebiasaannya (pada masa ini) sehingga RM10 000 atau lebih dari itu 
bergantung kepada status pendidikan atau pun permintaan wanita yang hendak 
dinikahi. Nilai wang hantaran ini akan ditetapkan oleh sama ada bakal isteri 
atau pihak keluarga bakal isteri. Sekali imbas, perbuatan ini adalah 
seakan-akan sebuah perbuatan jual beli wanita. Dan wang ini akan diserahkan 
kepada keluarga si isteri.

Dan kemudiannya, kedua-dua pihak akan saling bertukar barang hantaran tertentu 
sesama mereka. Di mana mereka mengkhususkan dengan jumlah bilangan tertentu, 
seperti 5 dulang dari lelaki berbalas 7 dulang barangan tertentu dari pihak 
perempuan, atau 7 dulang dari pihak lelaki berbalas 9 dulang dari pihak 
perempuan, atau 9 dulang dari pihak lelaki berbalas 11 dulang dari pihak 
perempuan, dan seterusnya.

Ada pun sebenarnya perbuatan ini langsung tidak pernah ditetapkan oleh Islam, 
dan perbuatan ini merupakan perbuatan bid’ah iaitu amalan yang ditokok tambah 
ke dalam majlis walimah umat Islam. Adalah menjadi suatu yang sunnah di dalam 
agama supaya memudahkan urusan pernikahan (juga urusan yang lain), tetapi, 
dengan ditambahnya amalan-amalan seperti ini, ia hanya akan menyusahkan 
(memberatkan) pasangan yang hendak berkahwin dan ia sekaligus menggalakkan 
maksiat sekiranya perkahwinan ditangguhkan hanya semata-mata disebabkan perkara 
yang karut ini.

Dari Irbadh bin Sariyah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa 
Sallam bersabda:

“Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap 
perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah 
sesat.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4607)

Namun, apa yang diwajibkan atau pun disunnahkan di dalam syari’at hanyalah 
memberikan mahar (maskahwin) oleh lelaki kepada wanita yang dinikahi, sama ada 
berdasarkan apa yang diminta oleh wanita tersebut atau pun tanpa diminta. Dan 
maskahwin ini tidaklah semestinya di dalam bentuk wang ringgit atau 
barang-barang tertentu. Ianya sama ada tertakluk berdasarkan apa yang diminta 
oleh wanita, atau pun bebas dengan apa yang hendak diberikan oleh si lelaki 
jika si wanita tidak menetapkannya. Dan mahar adalah merupakan salah satu rukun 
dan syarat sahnya nikah.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Berikanlah maskahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai 
pemberian dengan penuh kerelaan...” (Surah an-Nisaa’, 4: 4)

“... Maka isteri-isteri yang telah kamu nikmati (campuri) di antara mereka, 
berikanlah kepada mereka maharnya (dengan sempurna), sebagai suatu 
kewajiban...” (Surah an-Nisaa’, 4: 24)

Dan mahar yang paling baik adalah mahar yang paling mudah, ringan atau tidak 
mahal (tidak menyusahkan dan memberatkan si suami).

Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa 
Sallam bersabda:

“Pernikahan yang paling besar keberkahannya adalah yang paling mudah maharnya.” 
(Hadis Riwayat Ahmad, no. 24595)

Perbuatan meninggikan atau memahalkan penetapan nilai mahar adalah satu 
perbuatan yang dibenci oleh agama sebagaimana disebutkan di dalam beberapa 
hadis.

Umar al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu berkata:

“Ingatlah, janganlah meninggikan nilai mahar wanita. Jika itu merupakan 
kemuliaan di dunia atau taqwa di sisi Allah, sudah tentu yang paling utama 
melakukannya adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Hadis Riwayat 
Abu Daud, no. 2106) (Rujuk: Amru Abdul Mun’im Salim, Panduan Lengkap Nikah, 
m/s. 76, Dar an-Naba’)

Sahih di dalam beberapa riwayat bahawa Rasulullah dan beberapa sahabat 
berkahwin dengan mengeluarkan mahar yang sangat kecil. Malah di sebahagian 
keadaan, ada yang memberikan mahar dalam bentuk cincin besi, baju besi, 
memerdekakan hamba, dengan hafazan al-Qur’an, dengan mengajarkan surah-surah 
tertentu dari al-Qur’an, dengan segenggam kurma, dengan mengislamkan seseorang, 
dengan sebiji emas sebesar biji kurma, dan selainnya.

11 – Bersalaman Dengan Bukan Mahram

Di dalam sebuah hadis dijelaskan bahawa:

“Seseorang yang ditusuk kepalanya dengan jarum besi adalah lebih baik daripada 
menyentuh wanita yang tidak halal baginya.” (al-Albani, Silsilah Hadis 
ash-Shahihah, no: 225)

Dan para ulama juga menetapkan serta menjelaskan bahawa Rasulullah Shallallahu 
‘alaihi wa Sallam sendiri tidak pernah menyentuh wanita yang tidak halal 
baginya walau pun di dalam peristiwa bai’ah.

Berkenaan perkara ini juga, telah jelas di dalam al-Qur’an bahawa Allah 
Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan supaya kaum lelaki dan wanita yang beriman 
supaya tunduk dari memandang kaum berlainan jantina mereka, maka apatah lagi 
jika perbuatan bersalaman atau bersentuhan, sedangkan perbuatan pandang 
memandang sahaja pun sudah ditegah.

12 – Tahlilan dan Kenduri Bacaan Doa Selamat

Amalan ini adalah merupakan bid’ah yang merupakan tokok tambah di dalam agama 
yang kini sangat banyak dilakukan oleh masyarakat Melayu. Untuk penjelasan 
lanjut berkenaan amalan ini, silakan merujuk buku kecil bertajuk “Yasinan dan 
Tahlilan Menurut Mazhab Syafi’e”, tulisan Abu Farouq Ustaz Rasul Dahri, 
terbitan Jahabersa.

13 – Sesi Nanyian-nyanyian, Muzik dan Kugiran

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Akan muncul dari umatku beberapa kaum yang menghalalkan zina, sutera, khamar 
(minuman keras), dan alat-alat muzik...” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5590)

Di dalam Tafsir Ibnu Katsir, Ibnu Mas’oud radhiyallahu ‘anhu menjelaskan dengan 
tegas bahawa muzik dan nyanyian adalah termasuk perkara yang tidak berguna.

Untuk perbahasan lebih lanjut berkenaan persoalan muzik dan nyanyi-nyanyian 
ini, dipersilakan merujuk kitab karya Imam Ibnul Qayyim, bertajuk Ighaatsatul 
Lahfan atau Syaikh al-Albani, bertajuk Tahriim Alath ath-Tharb, dan kitab 
syaikh al-Albani ini telah ada terjemahannya.

14 – Permainan Kuda Kepang

Permainan kuda kepang adalah merupakan amalan yang bermula dari masyarakat kaum 
Jawa. Ia kini agak popular di beberapa kawasan seperti di di Johor dan Selangor.

Ada pun sebenarnya, sebahagian amalan yang dilakukan di dalam permainan kuda 
kepang ini adalah perbuatan yang boleh membawa kepada syirik. Ini adalah 
disebabkan di dalamnya mengandungi perbuatan berhubungan atau berunding 
(mengadakan perjanjian) dengan jin dan syaitan, selain pemujaan menggunakan 
ayam jantan dan asap kemenyan.

Imam Abil ‘Izz al-Hanafi rahimahullah berkata:

“Cara manusia dalam mengambil kesenangan dari golongan jin adalah dengan 
meminta dipenuhi keperluan-keperluannya, dipenuhi kemahuannya, atau menerima 
berita-berita ghaib dari mereka, serta yang seumpamanya. Sedangkan cara jin 
mengambil kesempatan dari manusia adalah dengan pengagungan manusia 
terhadapnya, dengan permintaan tolong, dan permohonan keselamatan, serta 
ketundukan manusia kepadanya.” (Abdul Akhir Hammad al-Ghunaimi, Tahzib Syarah 
ath-Thahawiyah, m/s. 98, Pustaka at-Tibyan)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Dan bahawasanya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta 
perlindungan kepada beberapa laki-laki dari kalangan jin, maka jin-jin itu 
menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.” (Surah al-Jin, 72: 6)

Selain itu, permainan kuda kepang ini di dalamnya juga disertai dengan pelbagai 
bunyi-bunyian tertentu yang menjurus kepada muzik terlarang.

15 – Bomoh Tolak Hujan

Terdapat beberapa kelompok dari kalangan masyarakat Melayu yang begitu gemar 
mengambil atau mengupah bomoh-bomoh tertentu supaya menjampi bagi tujuan 
menahan hujan dari turun. Selain itu, khidmat bomoh juga turut digunakan bagi 
mengesan (meramal dengan ilmu ghaib) sama ada pada tarikh atau hari-hari 
tertentu yang tidak akan turun hujan. Ini dilakukan dengan harapan supaya 
tempat diadakan majlis walimah sentiasa cerah (tidak hujan), sekaligus 
menjadikan majlis berjalan lancar.

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib, tidak ada yang 
mengetahuinya kecuali Dia sendiri...” (Surah al-An’am, 6: 59)

Rasulullah Slallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa yang mendatangi seorang peramal atau dukun lalu membenarkan apa yang 
ia katakan, maka orang tersebut telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada 
Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Hadis Riwayat al-Hakim 1/8. 
Dipersetujui oleh adz-Dzahabi)

Imam ath-Thahawi rahimahullah berkata di dalam Kitab aqidahnya:

“Kita tidak mempercayai (ucapan) dukun mahu pun tukang ramal (bomoh), demikian 
juga setiap mereka yang mengakui sesuatu yang menyelisihi al-Kitab dan 
as-Sunnah serta ijma’ kaum muslimin.” (Imam ath-Thahawi, Aqidah ath-Thahawiyah. 
Rujuk: Abdul Akhir Hammad al-Ghunaimi, Tahzib Syarah ath-Thahawiyah, m/s. 90, 
Pustaka at-Tibyan)

Berkenaan turunnya hujan, banyak hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa 
Sallam menyarankan kita supaya bersyukur di atas sebab turunnya hujan. Ini 
adalah sebagaimana di dalam doa yang dicontohkan oleh beliau Shallallahu 
‘alaihi wa Sallam:

“Ya Allah, turunkanlah hujan yang bermanfaat (untuk manusia, tanaman, dan 
binatang).” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1032)

Dan penjelasan Rasulullah sendiri sebagaimana berikut:

“Kita diberi hujan adalah kerana kurnia dan rahmat Allah.” (Hadis Riwayat 
al-Bukhari, no. 1038)

Dan sekiranya kita memiliki rasa bimbang dan takut hujan tersebut memberikan 
gangguan atau sebarang kerosakan kepada kita, maka Rasulullah Shallallahu 
‘alaihi wa Sallam juga telah mengajarkan kepada kita bagaimanakah doa yang 
harus kita praktikkan.

Dari Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau menjelaskan doa tersebut sebagaimana 
berikut:


اَللَّهُمّ حَوَاليَنْاَ وَلاَعَليَنْاَ، اَللَّهُمَّ عَلىَ اْلآكاَمِ 
وَالظِّرَابِ، وَبُطُوْنِ اْلأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ


“Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami (di luar kawasan kami), bukan 
untuk merosakkan kami. Ya Allah, turunkanlah hujan ke dataran tinggi, beberapa 
anak bukit, perut lembah dan beberapa tanah yang menumbuhkan tumbuh-tumbuhan.” 
(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1013)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), 
bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa 
apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala 
perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada 
dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah, 2: 186)

Malah, berkenaan dengan hukum berjumpa dengan bomoh, pawang, atau pun dukun 
yang dikatakan mampu menolak hujan dan memiliki kelebihan ilmu ghaib tertentu 
ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menjelaskan kepada kita 
melalui sabdanya:

“Sesiapa yang mendatangi seorang peramal atau dukun lalu membenarkan apa yang 
ia katakan, maka orang tersebut telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada 
Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Hadis Riwayat al-Hakim 1/8. 
Dipersetujui oleh adz-Dzahabi)

16 – Mengambil, Melukis, dan Menggantung Gambar

Daripada Said bin Abu al-Hasan, “Ketika aku bersama Ibnu ‘Abbas, seorang lelaki 
datang dan berkata, “Wahai Ibnu Abbas, pendapatan (periuk nasi) aku adalah dari 
hasil kerja tanganku dan kerjaku adalah membuat gambar-gambar ini”. Ibnu ‘Abbas 
berkata, “Aku sekadar memberi tahu apa yang aku dengar dari Rasulullah. Aku 
mendengar beliau bersabda, “Sesiapa membuat gambar dia akan di-azab oleh Allah 
sehingga dia mampu menghidupkannya dan sesungguhnya dia tidak akan berupaya 
untuk menghidupkannya”. Mendengarkan hal ini, lelaki itu menarik nafas panjang 
(mengeluh) dan mukanya menjadi pucat. Ibnu ‘Abbas berkata padanya, “Jika kamu 
masih tetap mahu untuk membuat gambar-gambar, aku nasihatkan agar kamu membuat 
gambar-gambar pokok (tumbuh-tumbuhan) dan sebarang gambar yang bukan berupa 
dari makhluk bernyawa”.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2110)

Daripada Ibnu ‘Abbas, “Abu Talha, seorang sahabat Rasulullah dan seorang 
sahabat yang pernah bersama dalam peperangan badar memberitahu kepadaku bahawa 
Rasulullah berkata, “Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada 
anjing atau gambar.” Yang dia maksudkan adalah gambar yang menyerupai makhluk 
bernyawa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Secara ringkasnya:

1 – Dilarang melukis, menggantung, dan membuat gambar berupa makhluk bernyawa 
seperti manusia atau haiwan, atau apa sahaja yang menunjukkan ia sebagai 
makhluk bernyawa.

2 – Dibolehkan melukis atau membuat gambar selain makhluk bernyawa seperti 
tumbuh-tumbuhan, air terjun, bangunan dan kenderaan.

3 – Pengambilan gambar hanya diizinkan untuk perkara yang benar-benar mendesak 
lagi memerlukan seperti untuk tujuan passport.

4 – Tidak dibenarkan untuk mengambil gambar bagi tujuan kenang-kenangan 
sebagaimana yang difatwakan oleh Syaikh Ibnu Bazz.

Untuk perbahasan lebih lanjut berkenaan dengan hukum mengambil, melukis, 
menggantung, atau membuat gambar ini, dipersilakan merujuk tulisan bertajuk, 
“Lukisan/Gambar: Larangan Membuat dan Menggantungnya”.

17 – Upacara Memotong Kek Perkahwinan

Perbuatan ini juga bukan berasal dari syari’at Islam, bahkan berasal dari 
budaya orang kafir dari masyarakat Kristian. Malah ia juga menyerupai atau 
mengambil syi’ar kaum Majusi (penyembah api) sekiranya kek tersebut disertai 
dengan nyalaan lilin.

18 – Berbelanja Besar Untuk Set Pakaian

Di dalam Islam, kita dituntut untuk bersederhana di dalam segala perkara yang 
kita laksanakan. Kita juga tidak digalakkan untuk membazir dan berlebih-lebihan.

Suatu yang kini semakin menjadi trend di dalam masyarakat Melayu saat ini 
adalah menetapkan bahawa pasangan pengantin di ketika majlis perkahwinan mereka 
mestilah memakai pakaian yang sedondon seperti memakai pakaian yang sama 
warnanya dengan pasangan, memakai pakaian yang mesti dilengkapi dengan tanjak, 
keris, dan bunga-bungaan. Jika keadaan tersebut berlaku sebaliknya, di mana 
pasangan pengantin tidak mengenakan set pakaian seperti itu, maka mereka pun 
akan dilihat sebagai janggal dan diejek sebagai tidak mengenal atau tidak 
menghormati adat.

Ada pun sebenarnya penetapan seperti ini adalah termasuk ke dalam perbuatan 
berlebih-lebihan dan boleh menjurus kepada larangan agama. Cukuplah sekadar 
berpakaian dengan pakaian yang melambangkan akhlak, imej, dan nilai-nilai Islam 
yang murni. Dan Islam itu bukanlah suatu agama yang memberat-beratkan umatnya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk 
menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah 
yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda 
kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.” (Surah al-A’raaf, 7: 26)

“Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (Surah 
al-A’raaf, 7: 31)

Demikianlah beberapa contoh perkara-perkara mungkar dan tokok tambah yang pada 
masa ini begitu popular dilakukan (dipraktikkan) di dalam masyarakat umat Islam 
Melayu di kebanyakkan majlis-majlis perkahwinan mereka. Walau bagaimana ia 
berlaku dan dipopularkan sekali pun, ia tetap tidak dibenarkan menandingi apa 
yang telah disyari’atkan dan dicontohkan oleh Nabi kita, Muhammad Shallallahu 
‘alaihi wa Sallam. Dan sesungguhnya agama ini telah pun sempurna tanpa perlu 
ditokok tambah dengan pelbagai bentuk kehendak citarasa serta nafsu manusia.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan 
kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redhai Islam itu menjadi agama bagimu.” 
(Surah al-Ma’idah, 5: 3)

Dan suatu yang paling penting di dalam beragama ini, bukanlah kata-kata dan 
perbuatan manusia yang menjadi ukuran, tetapi yang perlu kita tekankan adalah 
sejauh mana kita teguh di dalam sebuah pendirian di atas sebuah kebenaran yang 
ditegakkan di atas dalil-dalil dari perkataan Allah Subhanahu wa Ta’ala dan 
petunjuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (al-Qur’an) sebagai kalimat yang benar dan 
adil. Tidak ada yang dapat mengubah kalimat-kalimat-Nya dan Dia lah yang Maha 
Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang 
yang di muka bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. 
Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain 
hanyalah berdusta (terhadap Allah).” (Surah al-An’am, 6: 115-116)

Sebagai penutup, sekali lagi penulis jelaskan bahawa sebenar-benar perkataan 
adalah perkataan Allah Subhanahu wa Ta’ala, dan sebaik-baik petunjuk adalah 
petunjuk Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan Allah Subhanahu wa Ta’ala 
berfirman:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, 
ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu”. Allah Maha 
Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali Imran, 3: 31)

Dan,

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh tauladan yang baik 
bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari 
kiamat dan dia banyak mengingat Allah.” (Surah al-Ahzaab, 33: 21)

Bersama-samalah kita mencari redha dari Allah sebagaimana cara yang telah Dia 
tunjukkan melalui Kitab-Nya dan Rasul-Nya. Mulakanlah alam rumahtangga kita di 
atas keredhaan-Nya dan hindarilah dari kemurkaan-Nya.

Wallahu a’lam... 


@Brother an-Nawawi
+60126887715 
YM: [email protected]


------------------------------------

Free download [Internet Explorer/Firefox]:
Hidayahnet Toolbar [no virus, adware, malware etc] 
http://hidayahnet.ourtoolbar.com

--------------------------------------------------------------------------
**Boycott Israel**Support Palestine** 

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in 
any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved 
otherwise. 

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily 
digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your 
mail delivery settings or email the moderators at 
[email protected] with the title "change to daily digest". 

--------------------------------------------------------------------------

Affiliates:
Islamic_Board - Malaysia - Islamic Events and Notices 
http://groups.yahoo.com/group/islamic_board/

iPerintis - eGroup untuk Saintis dan Jurutera Muslim  
http://groups.yahoo.com/group/iperintis/

Hidayahnet Toolbar [no virus, adware, malware etc] 
http://hidayahnet.ourtoolbar.com

Recommended sites:
Angkatan Belia Islam Malaysia  : http://www.abim.org.my
Jamaah Islah Malaysia          : http://www.jim.org.my
Palestinkini Info              : http://www.palestinkini.info
Partai Keadilan Sejahtera      : http://pk-sejahtera.org
Fiqh Siber                     : http://al-ahkam.net/
The Muslim Brotherhood         : http://ikhwanweb.com
Hidayahnet website             : http://hidayahnet.multiply.com/  Yahoo! Groups 
Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    mailto:[email protected] 
    mailto:[email protected]

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [email protected]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/

Kirim email ke