**
*Kelapa tua<http://hembusan-amal.blogspot.com/2009/05/kisah-kelapa-tua.html>
*. Semua orang kenal kelapa tua. Tahu pula gunanya kelapa tua itu. Sangat
penting dan sangat berguna kelapa tua ini dalam hidup manusia.

Namun begitu, kewujudannya tidak dipeduli dan tidak diendahkan orang. Kelapa
tua tidak pernah menjadi topic perbincangan. Tidak pernah dikaitkan dengan
apa-apa isu atau masalah. Kalaulah kelapa tua ini mempunyai emosi, tidak
ramai orang yang akan dapat merasakan dan menyelami perasaannya. Itulah
kelapa tua.

Kelapa tua pula tidak pernah susah hati kalau orang tidak mempedulikannya.
Dia hanya tergantung di atas pokok dan terbuai-buai bila ditiup angin.

Tapi, lazimnya elok-elok kelapa tua itu tergantung di atas pokoknya sambil
menikmati keindahan alam buana ini dari kedudukannya yang tinggi itu,
datanglah orang menjoloknya dengan galah yang panjang. Tidak sabar menunggu
kelapa tua itu jatuh sendiri. Bukannya selesa kena jolok-jolok macamtu.

Bila tangkainya sudah lemah setelah dijolok beberapa kali, maka gugurlah
kelapa tua itu berpusing-pusing ke bumi. Gugur itu pula bukannya rendah.
Bukan setakat lima atau sepuluh kaki tapi sampai empat puluh hingga lima
puluh kaki. Bunyinya berdentum sampai ke tanah. Waduh! Kalau calang-calang
buah, boleh berkecai. Kalau kepala orang, boleh bersepai otak.

Masalah kelapa tua ini tidak terhenti di situ sahaja. Ini baru
muqaddimahnya. Dia dikutip dan kulit sabutnya dikoyakkoyak dan dibuang
sedikit demi sedikit dengan parang cangkuk.Proses ini bukan sekadar sekali
tetak. Berpuluh-puluh kali parang cangkuk itu menusuk ke dalam kulit
sabutnya.Seksanya tak boleh nak cerita. Mula-mula sakit tusukan. Lepas itu
sakit dikoyak dan disiat-siat. Ini berterusan sampai tempurung sahaja yang
tinggal.

Bila dah sampai ke tempurung, maka tak apalah. Cantik juga rupanya. Keras
dan bulat. Tetapi manusia bukan tahu hendak menilai seni yang seperti ini.
Tempurung bulat yang cantik itu ditetak pula dengan parang dengan sebegitu
kuat hingga terbelah dua di tengah-tengahnya. Maka tersembur dan mengalirlah
air jernih dari dalam perutnya dan terdedahlah isinya yang putih bersih.

Bagi kebanyakan kehidupan yang lain, kalau sudah sampai ke tahap ini, maka
selesailah riwayat hidupnya. Tetapi bagi kelapa tua, ini baru permulaan.
Banyak lagi seksaan yang menanti.

Tak cukup dengan menyemburkan air dari dalam perutnya dan mendedahkan
isinya, isinya yang putih bersih itu dipisahkan dari tempurung, diparut dan
dikukur pula hingga menjadi lumat. Tempurungnya dibuang. Kadang-kadang di
bakar. Bentuk asal kelapa tua sudah tidak ada lagi. Yang tinggal
hanyalahisinya yang sudah lumat dikukur dan diparut.

Untuk menambah seksanya lagi, dituang pula air ke dalam isi parut itu,
diramas-ramas dan diperah-perah. Alangkah seksanya. Kalau hendak dikirakan,
ini sudah terkeluar dari batas-batas perikemanusiaan. Kemudian ia ditapis
menjadi santan. Kelapa tua yang dulunya keras dan bulat kini sudah menjadi
cecair yang putih.

Setelah itu, minyak dipanaskan dalam belanga. Bawang merah, rempah dan
rencah-rencah yang lain ditumis. Bila sudah cukup kuning dituanglah santan
tadi ke dalam belanga. Maka berpanasanlah santan itu hingga terkeluar
minyaknya. Apabila sudah masak dan bau harumnya merebak keseluruh ceruk
rumah, maka orang pun bertanya:

“Gulai apa tu? Sedap sangat baunya?”

Orang di dapur hanya menjawab, “Gulai ikan bawal.”Gulai dapat nama.

Ikan bawal dapat nama.Orang kata, “Oh! Sedap gulai ni.”“Oh! Sedap ikan bawal
ni.”

*Jasa kelapa tua tenggelam begitu sahaja. Perjalanan dan pengalamannya yang
begitu panjang dan menyeksakan dari sebiji kelapa tua di atas pokok yang
tinggi hingga ke belanga yang panas berbahang, tidak ada siapa yang ambil
kira atau ambil peduli.Alangkah indahnya kalau kita dapat berjasa seperti
kelapa tua ini. Jasa-jasa bukan untuk dipuji dan dipuja. Bukan untuk
dikenang atau untuk mendapat nama, tapi untuk ta’abbud kepada Tuhan. Biarlah
jasa-jasa kita tidak nampak di mata orang, tapi ada dalam perhatian Tuhan!*




Salaam & Regards
Amri el Wahab
Jemput ke laman blog saya di http://hembusan-amal.blogspot.com
Sent from Kuala Lumpur, Malaysia

Kirim email ke