Bersama Dr Juanda Jaya

ISLAM menuntut penganutnya menjadi ahli politik yang handal walaupun tanpa
kedudukan, jawatan dan kerusi empuk direbutkan dengan rakus oleh sesetengah
pihak yang terseleweng matlamat agamanya. Pembabitan secara langsung atau
tidak dalam politik adalah tanggungjawab setiap Muslim sebagai penegak
keadilan agama Allah dan Rasul-Nya.

Politik sebahagian daripada agama dan ia tuntutan iman. Keimanan mewajibkan
seseorang menegakkan amar makruf nahi munkar. Sesiapa yang beriman kepada
Allah dan Rasul-Nya, dia wajib menjadikan politik sebagai medan dakwah dan
ibadah demi menegakkan yang hak dan mencegah yang batil. Politik adalah
kerja mulia dan jihad terbaik kerana berkaitan secara langsung dengan
pentadbiran urusan makhluk. Kalau ia diurus dalam bentuk yang terbaik, maka
akan tertegak kalimah Allah di atas bumi ini.

Hadis Rasulullah SAW diriwayatkan Imam Muslim bermaksud: “Tidak ada seorang
Nabi pun yang diutuskan Allah SWT di kalangan umat sebelumku melainkan wujud
daripada golongan hawariyun (pembantu) dan sahabat yang mengambil sunnahnya
dan mematuhi perintahnya. Kemudian dia meninggalkan selepas pengganti yang
berkata apa yang tidak mereka kerjakan dan melakukan apa yang tidak
diperintahkan.


“Sesiapa berjihad menentang mereka dengan tangan, dia adalah seorang mukmin.
Sesiapa berjihad menentang mereka dengan lidah, dia adalah mukmin, sesiapa
yang berjihad menentang mereka dengan hati maka dia adalah mukmin dan tidak
ada di sebalik itu iman walaupun sebesar biji sawi.”

Tidak ada iman dalam diri seseorang jika hatinya tidak bersuara dan
menentang apabila melihat kezaliman. Seorang mukmin dituntut sentiasa
menjadi ahli politik yang sekurang-kurangnya memiliki kemahuan mengubah
dengan hati atau jihad dengan hati apabila melihat kezaliman
bermaharajalela.

Di samping itu dia perlu sentiasa berhati-hati terhadap kejahatan dirinya
mudah terpengaruh dengan mengharap ganjaran dunia yang hina sehingga boleh
mencacatkan niat suci dan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.
Sikap mengambil berat terhadap nasib rakyat perlu dijiwai dengan niat ibadah
sambil menghadirkan rasa takut melakukan khianat terhadap mereka seperti
hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak mengambil berat perihal urusan
orang mukmin lain, maka dia bukan daripada kalangan mereka. Sesiapa yang
tidak menjadi penasihat untuk Allah, Rasul-Nya, pemimpin umatnya dan orang
awam, maka dia bukan daripada kalangan mereka. Pemilik kekayaan yang di
sisinya ada orang tertidur kelaparan, maka Allah dan Rasul-Nya berlepas diri
daripadanya (tidak diakui umat Muhammad).” (Hadis riwayat Al-Tabrani)

Sesiapa yang menjadikan Islam asas pegangan politik tetapi menutup pintu
rumahnya daripada keperitan kemiskinan yang dideritai rakyat dan menutup
mata daripada ketidakadilan yang dideritai umat, sesungguhnya perjuangan itu
bukan berasas roh politik Islam.

Al-Imam Ibnu Al-Qayyim menyatakan ulasannya mengenai politik sebagai
sebahagian daripada syarak:

“Sesungguhnya politik adil tidak bertentangan dengan apa yang dinyatakan
syarak, bahkan ia selari dengan apa yang dibawanya dan satu juzuk
daripadanya. Kami menamakannya sebagai politik seperti yang kamu istilahkan.
Sesungguhnya ia keadilan Allah dan Rasul-Nya.” (Al-Turuq al-Hukmiyah Fi
al-Siyasah al-Syar’iyyah)
Ramai ahli politik Muslim mengaku hanya diri dan partinya yang membela agama
Islam, bangsa dan negara tetapi amalan dan kerja politiknya bertentangan
dengan nilai Islam. Apakah mereka mempolitikkan Islam sebagai jenama saja
demi mengaut keuntungan dunia dan demi meraih undi semata-mata?

Pada hakikatnya, rakyat mampu menilai sejauh mana khidmat pemimpin politik
walaupun tanpa perlu mereka menjual agama dan semangat perkauman jahiliah
yang dihembuskan dengan penuh kebencian. Politikus Islam adalah mereka yang
dekat di hati rakyat, merasai sendiri nadi yang berdenyutkan penderitaan
mereka, berasa kesakitan mereka dan bukan ungkapan retorik basi yang
memualkan dan omong kosong saja.

Bagaimana umat boleh menjadi yang terbaik jika hanya disuap dengan kata
manis berfalsafah yang tidak praktikal, bahkan kadangkala meminjam ayat
al-Quran dan hadis Nabi SAW tanpa hak, tetapi mereka yang petah bercakap itu
tak mampu mengurus masalah kemiskinan dan kebodohan rakyat, gejala sosial
yang meruncing, hak rakyat yang belum dipenuhi dan pentadbiran tenggelam
dalam rasuah.

Mereka menganggap isu itu seperti angin bertiup sepoi bahasa, sedangkan isu
sebenar umpama puting beliung yang boleh meranapkan segalanya. Ke manakah
masa depan agama, bangsa dan negara mahu dikemudi, jika parti politik yang
mengaku berasaskan Islam dan perjuangannya saling bertelingkah sesama
sendiri?

Mengapa membiarkan semangat satu agama, bangsa dan negara itu hancur
berkecai oleh ego yang melampau? Mengapa tidak ditonjolkan akhlak Islam
murni dalam mencari penyelesaian terhadap isu umat Islam, sedangkan Nabi
Musa AS dan Nabi Harun AS disuruh bersikap lemah-lembut ketika menasihati
Firaun yang sudah dilaknat al-Quran akibat kekejamannya. Seperti firman
Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya Firaun berbuat sewenang-wenang di muka
bumi dan menjadikan penduduknya berpecah-belah dengan menindas segolongan
daripada mereka, menyembelih anak lelaki mereka dan membiarkan hidup -anak
perempuan. Sesungguhnya Firaun termasuk orang yang berbuat kerosakan.”
(Surah Al-Qasas ayat: 4)

Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS menggunakan pendekatan politik bijaksana yang
mengutamakan kompromi sebelum menyatakan dakwah ketika menghadapi Firaun
seperti dirakamkan dalam al-Quran bermaksud: “Pergilah kamu berdua kepada
Firaun, Sesungguhnya dia melampaui batas. Kemudian hendaklah kamu berdua
berkata kepadanya dengan lemah lembut, mudah-mudahan dia beringat atau
takut.” (Surah Taha ayat: 43-44)

Jika sesama parti politik Islam saling menghentam, berbalah sepanjang jalan
tanpa mahu melihat konsep syura dan perundingan yang menjadi pilihan Rasul
SAW ketika fasa dakwah pembinaan negara Islam yang termaktub dalam piagam
hak asasi manusia pertama di Madinah dan dalam setiap langkah yang diambil
baginda SAW, maka dikhuatiri ada pihak membenci Islam menangguk di air
keruh. Akhirnya umat Islam juga yang rugi.

Allah berfirman menggesa umat Islam bersatu padu dan berwaspada dengan musuh
dalam selimut bermaksud: “Janganlah orang Mukmin mengambil orang kafir
menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang Mukmin. Siapa berbuat
demikian, nescaya lepaslah ia daripada pertolongan Allah kecuali kerana
(siasat) memelihara diri daripada sesuatu yang ditakuti daripada mereka
(kafir) dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri-Nya (seksa) dan hanya
kepada Allah kamu kembali.” (Surah Ali Imran ayat: 28)

Konsep syura dalam Islam tidak memandulkan demokrasi, kebebasan bersuara dan
hak membangkang dengan hujah dan fakta yang bertanggungjawab, bahkan semua
itu menjadi tunjang bagi pelaksanaan syura dalam politik bercirikan Islam.
Pemimpin politik Muslim tidak teragak-agak menyatakan bantahan jika sesiapa
melakukan kezaliman walaupun dari kalangan ahli parti sendiri.

Begitu juga apabila pihak lawan mengemukakan cadangan dan idea bernas dan
benar demi kesejahteraan rakyat dan ia tidak bercanggah dengan syarak,
mereka mesti sepakat dalam hal ini tanpa memandang kepada perbezaan parti.
Bersatu untuk kebenaran dan sama membanteras kezaliman tanpa pandang bulu,
tiada sedikitpun fanatisme parti antara mereka antara sifat politik Islam.

Amalan ini adalah gaya kepemimpinan Khalifah Rasulullah SAW. Abu Bakar ra
ketika dilantik sebagai Amirul Mukminin berkata: “Wahai manusia aku dilantik
untuk memerintah kamu, sedangkan aku bukan orang paling baik daripada
kalangan kamu. Jika kamu melihat aku di atas kebenaran maka sokonglah aku.
Jika aku di atas kebatilan, betulkan aku, taati aku selagi aku mentaati
Allah dalam urusan kamu. Jika aku menderhakai Allah, maka tiada taat lagi
untukku.”

Khalifah selepasnya, Umar al-Khattab ra pula berkata: “Semoga Allah
merahmati seseorang yang menunjukkan kepadaku keaiban diriku. Wahai sekalian
manusia! Sekiranya kamu melihat aku menyeleweng daripada kebenaran maka
perbetulkanlah aku.” Lalu seorang lelaki bingkas berdiri dan berkata: “Wahai
Ibnul Khattab. Demi Allah jika kami melihat kamu melakukan penyelewengan
maka kami akan perbetulkannya dengan mata pedang kami.” Umar akur dan memuji
tindakan lelaki ini.

Sesungguhnya menasihat pemimpin yang tersilap adalah kewajipan rakyat bahkan
ia perintah Allah Taala dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan itulah (kisah)
kaum Ad yang mengingkari tanda kekuasaan Tuhan mereka, dan menderhakai rasul
Allah dan mereka menuruti perintah setiap ketua yang bermaharajalela lagi
degil dalam keingkarannya.” (Surah Hud: 59)

Namun kaedah tidak berhikmah boleh menyumbang kepada perpecahan dan
persengketaan lebih teruk. Oleh itu, kembali kepada sistem syura dan kasih
sayang sesama Muslim untuk memperbetulkan iklim politik yang kini tenat
dihentam gempa tsunami dan semakin kelam berjerebu.




Salaam & Regards
Amri el Wahab
Jemput ke laman blog saya di http://hembusan-amal.blogspot.com
Sent from Kuala Lumpur, Malaysia

Kirim email ke