Pengenalan

Kita biasa mendengar profil syarikat dalam sesebuah syarikat. Profil syarikat 
begitu sinonim dan perkara yang perlu ada dan menjadi keperluan dalam mencapai 
hala tuju syarikat. Tahukah anda, apakah yang dikatakan dengan profil syarikat? 
Untuk siapakah sesebuah sasaran profil syarikat itu dibangunkan? Secara am, 
profil syarikat boleh diibaratkan sebagai sebuah platform dan medium dalam 
memperkenalkan kewujudan dan kekuatan sesebuah syarikat. Namun begitu, tidak 
banyak syarikat pada hari ini yang menyediakan profil syarikat malah menganggap 
perkara ini sebagai suatu bebanan. Oleh hal yang demikian, buku ini ditulis 
bagi menyediakan panduan dalam menyediakan sesebuah profil syarikat dan 
kepentingannya. 

Justeru, buku ini terbahagi kepada beberapa bahagian yang menerangkan 
kepentingan profil syarikat sebagai panduan kepada para usahawan dan anda di 
luar sana dalam menyedia-kan profil syarikat. Buku ini terbahagi kepada lima 
bahagian seperti yang tertera di bawah: 

Bahagian 1 - Apakah profil syarikat?
Bahagian 2 - Untuk siapakah profil syarikat ditulis? 
Bahagian 3 - Kepentingan profil syarikat 
Bahagian 4 - Format profil syarikat 
Bahagian 5 - Aneka contoh profil syarikat 

Dalam Bahagian 1, penerangan akan diberi mengenai maksud profil syarikat. Dalam 
bahagian ini, pembaca akan dapat mengetahui maksud profil syarikat. Hal ini 
termasuklah cara dan kaedah sesuatu isi penulisan itu dibentangkan. Dalam 
Bahagian 2 pula, diterangkan sasaran profil syarikat tersebut dan kepada pihak 
mana yang perlu diberikannya. Hal ini adalah perlu bagi mengetahui prioriti 
penulisan itu dilaksanakan. 

Manakala dalam Bahagian 3 pula, diterangkan kepentingan profil syarikat 
tersebut dan sebab diperlukan segera. Segala bentuk format penulisan yang 
dijelaskan dalam Bahagian 4 akan memberikan idea kepada penulis sama ada perlu 
mengikut format yang tertentu atau tidak. 

Akhir sekali, buku ini menyediakan 10 contoh profil syarikat agar dapat 
memberikan panduan kepada anda dalam usaha membangunkan profil syarikat anda 
sendiri. 

Oleh itu, dengan adanya panduan yang bersertakan contoh-contoh yang saya 
sediakan dalam buku ini, diharapkan dapat membawa manfaat kepada syarikat anda 
demi menjana pendapatan yang lebih positif hendak-Nya.

Selamat membaca!


1.0: Apakah profil syarikat?

Profil syarikat merupakan keterangan terperinci berserta butiran perihal 
syarikat yang memaparkan segala informasi dalaman berkenaan sesebuah organisasi 
atau syarikat. Dalam erti kata lain, profil syarikat merupakan suatu medium 
atau platform untuk memperlihatkan kekuatan syarikat anda.

Sesebuah profil syarikat harus mengandungi beberapa aspek penting untuk 
dipaparkan kepada pihak yang membacanya. Aspek ini termasuklah:

i. Maklumat syarikat
ii. Carta organisasi
iii. Sejarah syarikat
iv. Butiran perniagaan yang dijalankan
v. Matlamat syarikat
vi. Kewangan syarikat
vii. Carta aliran proses perniagaan yang diusahakan
viii. Kerja-kerja yang pernah dijalankan
ix. Kerja-kerja yang sedang dijalankan
x. Pengiktirafan yang diterima (sekiranya ada)
xi. Lampiran sijil-sijil/lesen
xii. Dokumen lain sekiranya perlu

Segala aspek yang ditulis di sebelah haruslah lengkap dan mampu menarik 
perhatian pembaca. Sekiranya terdapat informasi yang tidak betul, hal ini mampu 
merosakkan profil syarikat dan seterusnya kredibiliti syarikat anda. Sudah 
tentunya suatu yang merugikan, bukan? Oleh hal yang demikian, disarankan agar 
anda memasukkan data-data yang betul dan tidak ditokok tambah keasliannya.

Secara am, profil syarikat merupakan suatu medium terbaik untuk anda 
memaklumkan kekuatan syarikat. Hal ini merupakan perkara utama yang perlu 
dititikberatkan supaya syarikat anda berjaya mendapat perhatian daripada 
mana-mana organisasi yang menilainya bagi mendapatkan sesuatu projek ataupun 
jaringan perniagaan. Pelbagai idea kreatif dapat dilihat pada hari ini dalam 
membangunkan profil syarikat. Ada yang membuat cetakan warna berserta imej-imej 
yang menarik perhatian, persembahan interaktif melalui cakera padat (CD) atau 
melalui cetakan berbentuk buku dokumentasi.

Oleh hal yang demikian, perlu bagi sesuatu syarikat mengetahui bahawa 
pentingnya sesebuah profil syarikat dan sentiasa perlu mengemaskinikannya dari 
semasa ke semasa. Bagi seseorang Pengarah Urusan syarikat, beliau perlu 
menitikberatkan isi kandungan profil syarikat ini supaya tidak mengandungi 
unsur-unsur yang memesongkan hala tuju syarikat. Justeru, profil syarikat perlu 
dikemaskini dari semasa ke semasa demi meningkatkan isi kandungannya mengikut 
aspek yang telah dinyatakan di sebelah.


Artikel di atas dipetik daripada buku Aneka Contoh Profil Syarikat. Maklumat 
lanjut berkenaan buku ini boleh didapati dengan menghubungi Cik Nor di talian 
03-9019 5303 atau melayari web kami di www.books.perintis.com.my. 

Kirim email ke